Thursday, June 01, 2017

Ramadan manifestasi politik matang dan sejahtera



Umat Islam seluruh dunia kini sedang menjalani ibadah berpuasa di bulan Ramadhan al Mubarak termasuklah di Malaysia. 

Bagi parti-parti politik sudah pastilah program dan aktiviti masing-masing terpaksa diuabhsuai memandangkan umat Islam berlapar dan berdahaga di siang hari dan hanya makan-minum di sebelah malam.

Bagi mereka yang beriman, masing-masing akur dan akui bahawa di dalam bulan mulia ini Allah swt telah menurunkan al Quran, mukjizat yang merupakan petunjuk kepada manusia, yang menjadi panduan dan menejalskan antara yang hak dan yang bathil. Masing-masing yang tahu akan berkejar-kejar untuk memperolehi keberakatan yang dijanjikan di bulan Ramadhan ini.

PAS sebagai sebuah gerakan Islam tidak boleh melepaskan kemuliaan bulan Ramadhan ini untuk mempertingkatkan usaha bagi meyakin dan menarik seramai mungkin pengikut agar bersama menggalas tanggungjawab mendaulat dan memartabatkan al Quran sehingga menjadi panduan sebenar sebagai satu sistem hidup bermasyarakat dan bernegara.

Sebagai sebuah parti Islam, bulan Ramadhan lah bulan terbaik untuk menunduk dan melenturkan hati mereka yang sebelum ini menentang atau menolak perjuangan PAS ini agar insaf dan dapat berada dalam bahtera perjuangan yang sama.

Diketika berlapar disiang hari dan memenuhi program-program ibadah di malam hari, pastinya hati masing-masing lapang dan sentiasa bersedia menerima apa sahaja kebaikan yang dilontarkan.

Di ketika inilah gagasan “Budaya politik matang dan sejahtera” atau BPMS yang diperkenalkan oleh  Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang paling sesuai dipraktik dan diamalkan agar perjuangan Islam ini menjadi pilihan setiap Muslim di tanah air. Dalam Ucapan dasarnya di Muktamar Tahunan PAS ke 63 di Kata Sarang Semut, Kedah baru-baru ini, Tuan Guru menjelaskan betapa budaya ini menepati sirah perjuangan Islam yang sebenar.

Hari ini masyarakat Malaysia sudah tidak berminat lagi malah benci dan meluat pada budaya politik kekerasan dan politicking yang melampau sehingga semua perkara dan isu dilihat dalam perspektif yang negatif dan penuh kebencian. Budaya seumpama itu tidak pula berjaya menyeleasikan masalah rakyat malah lebih mengheret rakyat ke kancah ketegangan dan benci membenci antara satu sama lain.

PAS perlu ke hadapan di bulan Ramadhan ini membawa dan mengutamakan politik damai. Bukannya politik yang mahu mencetuskan ketegangan dan huru-hara, yang berebut-rebut jawatan dan mahu menjulang diri sebagai Perdana Menteri dan lain-lain, tetapi lebi kepada politik yang mahu menjadikan Islam sebagai penyelamat mengeluarkan rakyat dari ketempangan dan kepincangan yang ada menuju ke kesejahteraan Islam.

Kata Tuan Guru lagi: “ Berhikmahlah tanpa menyeleweng, Mendahulukan kemaafan dimasa menghadapi lawan yang zalim sehingga setelah mencapai kemenangan dan berada dalam keadaan paling kuat. Inilah kebijaknsanaan yang paling munasabah dengan konsep demokrasi yang mengizinkan dakwah seluas-luasnya dan seberapa ramai manusia.”

BPMS ternyata mampu untuk meredakan ketegangan diperingkat akar umbi yang selama ini kelam lantaran terbelenggu dengan suasana politik yang melampau dan merugikan ummah.

Presiden PAS terbukti bukan sekadar menteorikan BPMS tetapi menjadikannya amalan dan menerapkannya dalam kepimpinannya dengan harapan ia menjadi budaya amalan dalam PAS disemua peringkat.

Beberapa aktiviti besar yang disertai Tuan Guru bermula dengan Multaqa Alumni Al Azhar pada bulan Disember 2015 dahulu, diikuti dengan Himpunan Aman Rohingya di Stadium Mini Titiwangsa setahun selepasnya pada bulan Disember 2016  dan kemuncaknya pembentangan RUU355 di Parlimen telah mempamirkan budaya politik Islam sebenar yang sangat matang dan menekankan kedamaian dan penyatuan demi mengejar kesjahteraan Islam yang hakiki.

Dalam kancah politik tempatan sejak sebelum Merdeka lagi, hanya dua parti besar yang saban ketika bertarung untuk mendapatkan sokongan majoriti pengundi Melayu dan Islam, iaitu PAS dan Umno. Tidak dapat dinafikan PAS sentiasa ketinggalan dalam meraih sokongan pengundi segmen ini lantaran tembok besar yang memisahkan antara mereka yang dibina teguh oleh Umno sejak zaman Allahyarham Dato Onn lagi

Tanpa sokongan besar segmen ini, PAS sukar mengatasi Umno.

Ternyata melalui BPMS Tuan Guru  Presiden PAS telah berjaya merobohkan tembok besar itu sehingga hujah dan rasional PAS yang sebelum ini tidak mendapat tempat, kini telah sampai ke telinga-telinga ahli-ahli dan penyokong Umno dan boleh saja meresap ke hati-hati mereka.

Siapa sahaja yang dihimpit kepayahan dan kesusahan hidup pasti mahu mencari jalan keluar yang boleh merobah kesengsaraan mereka, dan Islam menjanjikan keselamatan itu bukan hanya di dunia malah sehinggalah ke negara kekal kita nanti iaitu di akhirat.
Kerana itu di bulan Ramadhan ini jentera PAS perlu lebih agresif dengan bertunjangkan BPMS ini dan tanpa jemu-jemu mendampingi sasaran dakwah kita dengan harapan cita-cita perjuangan Islam dapat turut berlabuh di hati mereka.

Hari ini PAS sudah tiada PKR dan DAP lagi, masing-masing berpisah dan terpisah dengan PAS kerana tegarnya PAS berpegang pada dasar dan prinsip Islam yang diperjuangkannya. PAS terlalu yakin pada Islam ini sehingga mana-mana pihak yang menolak, apalagi menghina atau mempersendakannya sudah tidak lagi dilihat sebagai kawan dan PAS bersedia menghadapi mereka.

PAS sanggup hilang kuasa dan hilang kawan asalkan jangan hilang Islam dan inilah mesej yang perlu sampai ke hati setiap umat Melayu Islam dalam negara terutama di bulan Ramadhan yang mulia ini. Kesungguhan dan istiqamah PAS dalam membawa dan mempertahankan Islam tidak lagi boleh dipertikaikan.

Lantaran itu umat Melayu Islam khasnya dan rakyat Malaysia amnya perlu bersama PAS dan meninggalkan segala politik kotor dan tegang yang hanya akan merugi dan meranapkan negara di masa hadapan.

Al Quran turun di bulan Ramadhan ini untuk difaham dan diamalkan sebagaimana ditunjukkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. secara praktik dizamannya. PAS berdiri tegak sebagai sebuah gerakan Islam untuk menjadi wadah memperjuangkan Islam sehingga ia dapat diamalkan sesama umat Islam dan limpahan kesejahteraan dan keadilannya turut dikecapi oleh yang bukan Islam.

Semoga Ramadhan ini menjadi yang terbaik buat kita semua dan semoga PAS terus bertapak di hati semua.

No comments: