Thursday, August 03, 2017

Ramainya KLEPTOKRAT dalam politik Malaysia



Penggunaan istilah dan slogan untuk memburuk dan menjatuhkan sesuatu pentadbiran atau kerajaan terutama oleh parti-parti politik yang tidak sehaluan adalah suatu amalan biasa dalam pencak demokrasi.

Dalam hal ini di Malaysia sendiri pelbagai isitilah pernah dan sedang dilontarkan dalam konflik politiknya antara yang popular diambang zaman reformasi dahulu adalah “KKN” atau korupsi, kronisma dan nepotisma.

Kerajaan pentadbiran Dr Mahathir Mohammad dahulu diserang oleh parti-parti pembangkang dengan slogan KKN ini bermula dari langkah yang diambil oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran pemecatan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Dr Mahathir didakwa telah menggunakan kuasa dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri ketika itu untuk mengamalkan KKN demi mempertahankan kuasa dan kedudukannya serta juak-juaknya selain memperkayakan diri masing-masing.

Datuk Seri Anwar dan para penyokongnya telah membuat pendedahan demi pendedahan yang mengaitkan amalan tidak bermoral ini dengan Dr Mahathir dan mereka yang di sekelilingnya.

Itu semua tinggal sejarah hari ini.

Hari ini slogan lain pula yang dijaja. Kelompok pembangkang tertentu hari ini mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaannya merupakan kerajaan “kleptokrasi”. Iaitu kerajaan yang menyalahgunakan kedudukan dan kuasa masing-masing untuk mencuri dan memunggah kekayaan negara buat kepentingan diri peribadi masing-masing.

Skandal 1MDB umpamanya didakwa sebagai satu bukti benarnya slogan “kleptokrasi” ini terhadap Najib dan pimpinan BN selain banyak isu dan skandal yang lain.

Sejauh manakah Najib seorang pencuri bertaraf kleptokrat masih belum dibuktikan dimana-mana mahkamah terbuka setakat ini namun itulah isitilah yang dijaja dewasa ini dan dipalitkan dengan beliau.

Mengkategorikan pengamal rasuah kleptokrat ini sesuatu yang menarik terutama dalam suasana politik dewasa ini. Namun mereka yang menjuarai slogan ini perlu juga berhati-hati jangan sampai slogan yang sama memakan diri pula.

Bagi PAS sendiri ekoran krisis dalamannya sejurus selepas Muktamarnya di Kuala Selangor pada tahun 2015 dahulu bangkit juga isitilah “pencuri” ini tetapi tidaklah slogan “kleptokrat yang digunakan. Kalangan mereka yang kecewa dalam pemilihan muktamar berkenaan telah bertindak keluar parti dan kemudiannya menubuhkan parti baru, masalahnya dengan membawa sekali ataupun “mencuri” kerusi-kerusi Parlimen dan DUN PAS yang mereka menangi pada PRU lalu atas tiket PAS untuk didakwa sebagai kerusi parti baru mereka.

Tidakkah mereka ini juga “kleptokarat”?

Tindakan bermoral sepatutunya mengosongkan kerusi masing-masing kerana ia semua milik PAS lantaran dimenangi atas tiket PAS. Bertindak membawa kerusi-kerusi itu terjun bersama mereka dan mendakwanya sebagai kerusi Pan hari ini samalah menjadikan mereka juga “kleparisantokrat”.

Jika menggunakan kedudukan dan kuasa untuk menguntungkan diri adalah “kleptokrat”, maka bekas MB Barisan Nasional Selangor dulu, Khir Toyo adalah seorang kleptokrat. Mahkamah telah mendapati beliau bersalah dan dikenakan hukuman 12 bulan penjara kerana mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, hartanah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta.

Jika Khir kleptokrat dan kerajaan BN Selangor semasanya adalah kerajaan kleptokrasi, bagaimana pula dengan Ketua Menteri Pulau Pinang hari ini, Lim Guan Eng?

Guan Eng bakal dibicarakan di bawah Akta SPRM kerana dituduh mendapatkan untuk dirinya satu lot tanah dan banglo di alamat No 25, Jalan Pinhorn pada harga yang dia tahu tidak sepadan dengan nilainya, daripada seorang bernama Phang Li Koon iaitu RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran ketika itu ialah RM4.27 juta.

Bezanya Khir telah disabit kesalahannya manakala perbicaraan Guan Eng belum bermula. Jika sabit seperti Khir sudah pasti Guan Eng juga nanti boleh dilabel seorang kleptokrat.

Seorang lagi bekas MB Selangor yang hari ini berada dalam kelompok pembangkang juga pernah ditangkap di Australia kerana menyeludup masuk ke negara itu wang tunai asing seberat 19 kilogram bernilai RM2.8 juta. Beliau akhirnya dibebaskan, tetapi adakah wang tunai yang dibawanya sebanyak itu juga menjadikannya seorang kleptorat, atau bagaimana?

Apa pun yang dilabel dan dituduh hari ini sebagai kerajaan kleptokrasi adalah kerajaan Najib Tun Razak. Namun tidak seperti Khir Toyo, Najib belum pernah disabit lagi atas tuduhan berat itu sebagaimana Guan Eng yang masih berpeluang membela diri.

Jika sabit dan terbukti bersalah, Najib juga seorang kleptokrat, tetapi setakat hari ini ia kekal sebagai dakwaan semata-mata kerana belum dibukti dan disabitkan dimana-mana mahkamah lagi sebagaimana Guan Eng.

Menariknya bagaimana pula dengan kerajaan Dr Mahathir dulu? Beliau PM Malaysia dari tahun 1981 sehingga 2003, dan beliau dulu pernah didakwa mengamalkan korupsi, kronisma dan nepotisma. Dakwaan ini dijuarai bukan oleh orang lain tetapi oleh Datuk Seri Anwar sendiri. Lalu bagaimana statusnya?

Terbaru kerajaan dilaporkan telah menubuhkan Suruhanjaya Di Raja bagi menyiasat dan membincangkan kerugian pelaburan FOREX atau matawang asing di zaman Dr Mahathir yang didakwa telah mengakibatkan Bank Negara Malaysia kerugian lebih RM30 bilion.
Jika sabit kesalahannya nanti adakah boleh kita label Dr Mahahtir juga seorang kleptokrat atau bagaimana?

Jangan nanti kleptokrat yang mahu dijatuhkan tetapi yang naik berkuasa rupa-rupanya si kleptokrat juga?

Demikianlah kalutnya label dan slogan politik hari ini.  Ia menjadi tambah serabut kerana ada kemungkinan yang mendakwa dan didakwa kedua-duanya sama kleptokrat belaka. Mampu selamatkah negara kita Malaysia jika begini kedudukannya?

Lantas sesungguhnya tiada pilihan lain buat kita dalam PRU ke 14 nanti kecuali semua bertekad untuk bersatu, “Sejahtera Bersama Islam.” roslansms@gmail.com


No comments: