Sejak PAS tiada lagi ikatan atau
persefahaman politik dengan DAP dan PKR, dan kini bersendirian dalam
gerak-kerjanya, ramai yang beranggapan bahawa PAS bakal hilang undi masyarakat
bukan Melayu khususnya masyarakat Cina dalam Pilihanraya Umum ke 14 nanti.
Ini sudah pasti akan
mengakibatkan PAS hilang sebahagian besar kerusinya di Pantai Barat terutama di
Selangor dan beberapa negeri lain yang dimenangi hasil dari sokongan para
pengundi bukan Melayu.
Andaian ini dibuat kerana selama
di dalam Pakatan Rakyat dahulu, masyarakat bukan Melayu telah menerima PAS
dengan hati yang terbuka. Satu undi buat PAS seakan-akan satu undi buat DAP.
Memenangkan PAS samalah dengan
memenangkan DAP dan mungkin juga PKR lantas masyarakat bukan Melayu tiada
berhalangan mengundi dan memenangkan calon-calon PAS dalam PRU 2008 dan 2013.
Sejauh manakah benar andaian ini?
Benarkah PAS akan hilang terus undi dan sokongan masyarakat bukan Melayu lalu
mengakibatkan ia kalah besar khasnya di Pantai Barat dalam PRU ke 14 nanti?
Isunya di sini adalah DAP. Adakah
parti berkenaan hari ini benar-benar secara mutlak menguasai sentimen pengundi
Cina khasnya sehingga mampu mempengaruhi keputusan mereka dalam menyebelahi dan
mengundi satu-satu parti termasuklah partinya sendiri.
Kalau kita lihatkan dalam PRU
2008 dan 2013 contohnya di Selangor, DAP ternyata telah mencatatkan pencapaian
terbaik. Dalam PRU 2008 ia bertanding 15 kerusi DUN di Selangor dan berjaya
menang 13. Manakala dalam PRU ke 2013, ia kekal bertanding di 15 kerusi berkenaan
dan menang kesemua 15 kerusi.
Bolehkah kita andaikan DAP
mengawal mutlak kuasa pengundi Cina lantaran pencapaian di atas?
Memang ia kelihatan begitu dan
malah kemenangan calon-calon PKR dan PAS pada PRU 2008 dan 2013 itu turut
dibantu dengan lonjakkan sokongan pengundi Cina khasnya di kerusi-kerusi
campuran dimana kehadiran minoriti pengundi Cina banyak mempengaruhi keputusan.
Tetapi sejauh manakah pengundi
Cina benar-benar kekal setia dan akan terus ikut telunjuk DAP setelah sekarang
tiada lagi Pakatan Rakyat, setelah DAP menyingkir dan kini menyerang PAS dan
PAS kini memilih bersendirian?
Jangan lupa jika dilihat PAS
meraih untung dengan memperolehi undi Cina hasil dari kerjasama dengan DAP, DAP
juga sesungguhnya berjaya menerobosi segmen pengundi Melayu yang sebelum ini
sukar buatnya setelah berkawan dengan PAS. Di kerusi-kerusi campuran dan malah
majoriti Cina sekalipun, kalangan pengundi Melayu ada membantu dan memangkah
DAP hasil dari inisiatif dan pengaruh PAS setelah ia berkawan dengan DAP.
Ini bermakna hari ini, jika PAS bakal
rugi maka DAP juga sebenarnya bakal rugi.
Menurut sebuah firma pengkaji,
Politweet, 138 dari 184 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia menyaksikan
pertambahan ketara peratusan pengundi Melayu antara 2008 dan 2013 merobah beberapa
kerusi majoriti Cina sebelumnya, umpama Serdang, Rasah, Kluang dan Taiping kini
menjadi kerusi campuran.
Mahukah pengundi Melayu yang
sebelum ini lunak kepada DAP lantaran melihat ada kerjasama antara PAS dan DAP
kini kembali mengundi DAP lagi setelah kedua parti berpisah?
Berbalik kepada penguasaan undi
bukan Melayu khasnya pengundi Cina, apakah faktor sebenar yang mendorong mereka
mengundi pembangkang khasnya DAP dalam jumlah yang begitu besar pada PRU 2008
dan 2013 lalu.
Besar kemungkinan kerana mereka
hilang kepercayaan pada Umno lantas menolak calon-calon MCA dan Gerakan serta
MIC yang “bersyarikat” dengan Umno melalui BN. Dan kemarahan ini lebih tepat
lagi disokong oleh kemampuan DAP berkerjasama dengan PAS yang boleh
menggantikan Umno dalam mengimbangi kuasa majoriti masyarakat Melayu.
Masyarakat Cina di Malaysia
adalah segmen masyarakat yang cerdik dan berilmu. Mereka berjaya dalam
perniagaan dan bidang yang mereka terokai, sebagaimana bijak di bidang
perniagaan demikian juga dalam politik, mereka bukan buta. Mereka sedar dengan
hanya 29 kerusi yang punya pengundi Cina melebihi 50% di Malaysia dari 222
kerusi Parlimen, maka masyarakat minoriti Cina sesungguhnya tidak mampu
memerintah negara bersendirian. Mereka perlukan bantuan masyarakat majoriti
Melayu.
Justeru langkah DAP sebelum ini
berkerjasama dengan PAS selain PKR adalah kerana mahukan sokongan blok Melayu
untuk memungkinkan mereka dapat berperanan diperingkat Federal. Demikian juga
di Selangor, bantuan dan sokongan kuasa politik Melayu mereka perlukan untuk
berkuasa diperingkat negeri.
Saya yakin masyarakat Cina yang
dambakan keamanan dan stabiliti terutama di bidang ekonomi tidak mahu negara
kita terjerumus ke kancah ketegangan dan huru-hara. Mereka sedar kepentingan
kuasa politik, tetapi DAP menang besar semata-mata tanpa “backing” sebuah parti
Melayu yang sama kuat hanya akan mencetuskan ketidakstabilan dan akhirnya
memudaratkan kehidupan mereka.
Peristiwa 13 Mei, 1969 adalah
satu contoh bilamana negara menjadi porak-peranda apabila kuasa minoriti hampir
mengatasi yang majoriti.
Tiada mana satu bangsa dalam
negara ini mahu mengulangi peristiwa hitam yang lampau itu.
Saya yakin juga masyarakat Cina
terkesan dengan tindakan ektrim dan agresif DAP dalam memusuhi dan menyerang
PAS serta mencabar status quo Islam dalam negara. Mereka kenal PAS, kerana
mereka sudah lama melihat dan berkawan dengan parti Islam ini.
PAS istiqamah dalam
memperjuangkan Islam, dan mereka tahu Islam yang mahu PAS perjuangkan itu
sesungguhnya tidak menganggu kehidupan mereka. Malah masyarakat Melayu Islam
yang bertaqwa yang mahu dilahirkan PAS itu bakal menjadi pemangkin keamanan dan
kestabilan negara yang nanti akan dinikmati juga oleh mereka.
DAP yang rasis, ekstrim dan
menyerang Islam sesungguhnya bukan mendekatkan masyarakat bukan Melayu dengan
mereka tetapi bakal mengakibatkan masyarakat ini lari dan menjauhkan diri dari
mereka.
Malah bukan hanya masyarakat
bukan Melayu, masyarakat majoriti Melayu lebih-lebih lagi juga akan bangkit
besar-besaran menolak DAP kerana sikapnya yang melampau dan keterlaluan itu.
DAP sebelum ini dilihat parti
yang boleh memberi keadilan kepada semua dan menghormati status quo dan amalan
kita di Malaysia turun-temurun, tetapi apabila ia memisahkan diri dari PAS, ia
mula menjadi bongkak dan agresif tanpa menyedari mereka bukannya mula disenangi
tetapi mula ditakuti dan dibenci.
PAS tidak akan rugi memisahkan
diri dari DAP. PAS masih akan dapat meraih undi bukan Melayu walau berpisah
dengan DAP kerana segmen pengundi ini bukannya taksub pada DAP pun sebagaimana
cuba digambarkan.
Teruslah PAS mendekati masyarakat
bukan Melayu dengan khidmat yang baik dan budaya politik yang matang dan
sejahtera kerana itulah ukuran penting buat mereka nanti bukannya DAP yang
rasis dan menolak status quo itu. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment