PAS menjunjung kasih atas pengisytiharan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang Dipertuan Agong Malaysia yang ke 15 baru-baru ini.
Pengisytiharan yang penuh adat istiadat itu dari Istana Kubang Kerian ke Lapangan Terbangan Sultan Ismail sehinggalah ke KLIA, Bangunan Parlimen dan berakhir di Istana Negara sungguh warna-warni dan paling bersejarah khususnya buat rakyat Kelantan dan seluruh warga Malaysia amnya.
Suka tidak suka walaupun Malaysia telah melihat 14 Yang Dipertuan Agong silih berganti dan memegang teraju, namun ternyata pengisytiharan Sultan Muhammad V kali ini telah lebih menarik perhatian ramai.
Mungkin kerana Tuanku datang dari Kelantan, iaitu negeri yang diperintah oleh PAS sejak 26 tahun lalu. Tetapi yang pastinya kemunculan Tuanku seakan melepaskan satu bentuk aura yang telah memaksa rakyat memberikan lebih tumpuan dan perhatian kepada Baginda.
Hakikatnya Tuanku sangat disenangi rakyat Negeri Kelantan sejak menjadi Sultan pada 13 September 2010 dan sebelumnya sebagai Tengku Mahkota Kelantan.
Keperibadian dan akhlak Tuanku sungguh dikagumi rakyat lantaran itu Tuanku benar-benar diangkat dan diiktiraf sebagai Sultan berjiwa rakyat.
Institusi Raja-raja Melayu telah wujud di tanahair kita sejak ratusan tahun.
Tanah Melayu yang asalnya di bawah kuasa dan takluk mutlak Raja-raja Melayu ini akhirnya diperkenankan oleh Duli- duli Tuanku untuk diberikan kemerdekaan di bawah Persekutuan Malaya dan kemudiannya Malaysia, dengan Duli-duli Tuanku menyerahkan sebahagian besar kuasa kepada anak negeri untuk mentadbir dan memerintah negeri-negeri dan negara melalui sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan.
Begitu besar pengorbanan Raja-raja Melayu demi memberi kemerdekaan selain kesejahteraan kepada rakyat, namun jasa dan pengorbanan ini sering dilupa dan terselit serta terbiar begitu sahaja dalam lembaran sejarah.
Tuanku Raja-raja Melayulah yang memayungi kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam dalam negara dan negeri-negeri.
Raja-raja Melayu dihormati rakyat dan institusi mereka terpelihara oleh Perlembagaan Pesekutuan dan Negeri-negeri. Kesetiaan rakyat terhadap mereka malah diikrarkan di dalam Rukunegara walaupun kebelakangan ini sudah ada individu dan kumpulan kecil yang biadap seumpama pengkhianat yang mula mempertikaikan institusi ini.
Saya yakin dan percaya Raja-raja Melayu sangat prihatin dan menerima perkembangan politik dan budaya yang berligar di sekitar mereka. Raja-raja Melayu memelihara dekorum tidak sekali-kali terlibat atau campurtangan dalam urusan politik kepartian. Apa sahaja keputusan dan mandat rakyat diterima Tuanku, dan inilah amalan dalam negara kita sejak Merdeka.
Apa pun ketaatsetiaan rakyat kepada Raja-raja tambah padu dan disanjung tinggi apabila Duli-duli Tuanku proaktif dan lebih turun ke bawah mendampingi dan mengambil-tahu nasib dan kebajikan rakyat jelata.
Perkara ini kita tahu memang menjadi perhatian pihak istana, dan hakikatnya kebelakangan ini pihak istana di setiap negeri termasuklah Istana Negara begitu terlibat aktif apabila ada perkara-perkara besar melibatkan rakyat samada bencana, upacara agama, keramaian dan sukan.
Tetapi lebih tinggi lagi lantaran sebagai payung agama Islam, apabila sahaja Tuanku menjiwai agama dengan ilmu dan diterjemahkan melalui kepribadian dan cara hidup, perhatian rakyat akan pantas teralih ke arahnya. Ini kerana hari ini rakyat begitu dekat dan memelihara agama mereka.
Segala amalan dan pengaruh British dan Barat umpamanya sudah semakin jauh ditinggalkan dan rakyat hari ini mula menobatkan kembali budaya dan agama sendiri
Apa sahaja usaha dan inisiatif untuk memartabatkan agama dan perlaksanaannya terus mendapat perhatian dan sokongan rakyat kerana rakyat semakin matang dan berilmu.
Hari ini diiktiraf dan diakui bahawa Islamlah asas dan pokok yang boleh menyelamat dan menyatukan ummah dan negara. Rakyat akan mulia dan terbela apabila Islam dibela dan sebaliknya akan hina dan melarat apabila Islam dikesampingkan.
Kerana itu apabila rakyat melihat Yang Dipertuan Agong nya memiliki ciri-ciri seorang Muslim yang sejati, memulia dan mengamalkan agamanya, rakyat tersentuh hati dan malah semakin sayangkan Baginda.
Inilah yang telah dirasai dan dilihat oleh rakyat Kelantan sejak bertahun lalu dan inilah yang bakal dikenali dan dilihat oleh rakyat Malaysia dalam lima tahun pemerintahan Sultan Muhammad V sebagai Yang Dipertuan Agong yang ke 15.
Sudah pasti Yang Dipertuan Agong yang ke 15 nanti akan mampu mencetuskan kebangkitan rakyat sekurang-kurangnya mendorong rakyat jelata mencontohi akhlak dan keperibadian Tuanku. Ini kerana pepatah Arab ada menyebut “An-Naasu ‘ala Diini Muluukihim” yang maksudnya “Manusia (rakyat) itu mengikuti agama (cara hidup) pemimpin mereka”
Semakin baik dan semakin istiqamah Yang Dipertuan Agong, sudah hampir pasti rakyat dan negara juga akan begitu.
Sejarah telah membuktikan Islam berjaya tembus dan sampai ke jajahan Kesultanan Melayu Melaka apabila Sultan Melaka sendiri ketika itu memilih untuk menganut dan menerima Islam. Agama ciptaan manusia ditinggalkan kerana menerima agama yang suci dari Tuhan yang satu.
Semoga Sultan Muhammad V tidak akan penat dan terus diberi tenaga dan ruang untuk melepaskan auranya ke seluruh pelusuk tanahair sepanjang 5 tahun pemerintahan Tuanku sebagai Yang Dipertuan Agong.
Biar maruah dan kehormatan rakyat Malaysia kembali tegak, negara semakin sejahtera dan maju bebas dari bencana dan malapetaka. Semoga rakyat dan negara berjaya dikeluarkan dari belenggu ekonomi yang tidak menentu. Segalanya tidak mustahil apabila Raja dan rakyat berpegang teguh dan sama-sama membela dan mempertahankan Islam.
Kita sesungguhnya yakin dan percaya kemuliaan syariat Islam akan semakin terpelihara dan dibela di bawah naungan Yang Dipertuan Agong dengan dukungan umat Islam, rakyat jelata keseluruhannya.
Allahuakbar.
Here I freely share my thoughts. Likewise please feel free to comment or criticize.
Wednesday, December 21, 2016
Saturday, December 17, 2016
PAS tegas tolak kerjasama Pan dan Dap
DAP sebelumnya telah bertindak mencabar dasar dan prinsip
perjuangan PAS sehingga membangkitkan porak-peranda dalam parti apabila
bersekongkol dengan kalangan pimpinan tertentu dalam PAS ketika itu untuk
merobah saf kepimpinan PAS.
Hala tuju perjuangan PAS dianggap dan dilihat sebagai
kononnya tidak liberal dan langsung tidak membantu perjuangan rakan-rakannya
yang lain dalam PR.
Camputangan DAP walaubagaimanapun gagal apabila mereka yang
“DAP friendly” atau “mesra DAP” ini tidak berjaya dengan agenda mereka mengambil-alih
kepimpinan PAS. Mereka ditolak oleh para perwakilan muktamar PAS dan akhirnya
bertindak mengangkat kaki dan mengkhianati perjuangan PAS, lari keluar parti
dengan kerusi-kerusi Parlimen dan DUN milik PAS dan akhirnya menubuhkan parti
baru dengan restu DAP yang kononnya mahu berjuang menggantikan PAS.
Lahirlah Pan atas pengkhianatan terhadap perjuangan PAS.
Kini setahun lebih berlalu dan hubungan PAS dan DAP tidak
kelihatan seperti mampu berubah. Walaupun PAS, PKR dan DAP masih bersama
memerintah negeri Selangor atas mandat rakyat pada PRU 2013, namun demikian di gelanggang
politik PAS dan DAP bertarung antara satu dengan yang lain.
Usaha PAS membawa dan mendaulatkan perjuangan Islam dan
pemerkasaan syariaah umpamanya terus mendapat tentangan terbuka DAP yang
mendakwa kononnya Malaysia Merdeka dijamin sebagai sebuah negara sekular iaitu
yang memisahkan agama dengan politik dan pentadbiran.
DAP menolak contohnya RUU355 yang dibawa PAS atas alasan
kononnya ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan mewujudkan dualisma
dalam sistem undang-undang selain ia kononnya adalah usaha untuk memperkenalkan
“Hudud” di Malaysia.
Dengan keadaan sedemikian hampir mustahil PAS boleh kembali
duduk semeja dengan DAP.
Bagi DAP kononnya bertelagah dan menolak PAS begitu akan
mengakibatkan pengundi Cina yang kononnya menolak Islam akan teguh bersama
mereka.
Bagi DAP mendakap dan membelai Pan, parti yang menghimpunkan
mereka yang berjuang Islam progresif kononnya boleh menarik pengundi Melayu
Islam kepada mereka.
Ternyata segala anggapan DAP itu silap dan tersasar jauh.
PAS yang disangkanya akan terkubur dan kering kerana
ditinggalkan ahli-ahlinya yang akan berbondong-bondong menyertai Pan, rupanya
terus kekal relevan dan bertenaga. Ahli-ahli PAS semakin kukuh bersama gerakan
Islam ini dan malah hasil dari layanan buruk DAP itu telah mengakibatkan PAS
mampu meraih simpati para pengundi Melayu Islam. Orang Melayu melihat PAS
bersungguh bawa dan perjuangkan Islam, PAS tiada kepentingan selain mahu
melihat Islam dinobatkan dan semakin ia diserang tambah-tambah oleh DAP ia
semakin mendapat simpati dan tempat.
Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini contohnya telah
meluluskan 1,615 orang ahli baru untuk PAS bagi tempuh sebulan November-Disember
2016. Malah menurut rekod dinyatakan bagi tahun 2016 ini sahaja PAS telah
berjaya memperolehi ahli baru seramai 23,561 orang.
Terbukti PAS bukan sahaja gagal dilenyapkan tetapi hari ini
berbagai pihak sedang cuba untuk menjadi “jambatan” kononnya bagi menyatukan
kembali PAS dengan DAP dan Pan demi penyatuan dan pembentukkan blok pembangkang
yang lebih kukuh bagi menghadapi BN “satu lawan satu” dalam PRU yang akan datang.
PAS memang mahu menang dalam menghadapi Umno dan BN, musuh
politik tradisinya sejak zaman berzaman, dan PAS bersedia menjalin kerjasama
dengan mana-mana pihak yang bersedia dan sudi menerima perjuangannya namun
demikian PAS jelas dan tidak berselindung dalam mengemukakan syarat-syaratnya.
PAS tidak sekali-kali akan berkerjasama dengan DAP dan Pan
dua musuh politiknya.
Isu satu lawan satu tidak berbangkit apabila melibatkan DAP
dan Pan kerana kedua-duanya memang terang-terangan menentang PAS dan mahu melenyapkan
PAS. Buktinya sudah ada yang bernafsu dan bercita-cita mahu merampas kerajaan
negeri Kelantan.
PKR dan mana sahaja rakan baru yang mahu berkawan dan
berkerjasama dengan PAS perlu sedar dan faham akan realiti politik ini.
Sebagaimana ditegaskan Timbalan Presiden PAS Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dalam
ceramahnya di Paya Jaras baru-baru ini, jangan sekali-kali jadikan PAS batu
loncatan .
Jangan apabila perlu dan terdesak maka diheret dan diseret
PAS ke tengah, akan tetapi apabila telah menang dan senang segala jasa PAS
dilupakan dan tidak lagi dipedulikan. PAS terlalu banyak pengalaman dalam hal
ini dan tidak bersedia pengalaman seumpama ini diulangi.
Kerana itu PAS kini sangat berhati-hati dan secara terbuka
meletakkan syarat-syaratnya.
Apa pun yang berlaku program dan aktiviti PAS diseluruh
negara terus bergerak dan digerakkan. Kerana itu keahlian parti terus
meningkat. PAS serius dan bersedia menghadapi pilihanraya dengan jentera dan
kekuatan yang terlatih yang telah dibuktikan puluhan tahun.
Ringkasnya PAS dengan keahlian yang berdisiplin dan penuh
istiqamah sentiasa bersiap-sedia menghadapi apa sahaja kemungkinan. roslansms@gmail.com
Wednesday, November 23, 2016
PAS dan Bersih 5
Perhimpunan BERSIH buat pertama
kalinya diadakan pada tanggal 10 November 2007 iaitu kira-kira 9 tahun lalu.
Ketika itu kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang hanyalah di Kelantan yang
dipertahakan oleh PAS dengan majoriti tipis pada PRU 2004.
Tuntutan BERSIH ketika itu adalah
empat perkara yang jelas iaitu pertama membersihkan daftar pemilih dari
sebarang ketempangan dan kepincangan, kedua penggunaan dakwat kekal untuk
mengelakkan pengundian berganda, ketiga pemansuhan undi pos bagi anggota
tentera dan polis dan keempat akses media yang adil kepada semua parti politik
semasa pilihanraya.
Tiada tuntutan untuk
menggulingkan kerajaan atau menjatuhkan Perdana Menteri ketika itu, kerana pada
dasarnya sistem berpilihanraya masih diiktiraf dan dianggap sebagai sistem yang
paling sesuai yang walaubagaimanapun perlu kepada beberapa penambahbaikan dan
perubahan drastik.
Oleh kerana tuntutan ini sangat
relevan buat sistem berdemokrasi di Malaysia, maka PAS sebagaimana parti-parti
pembangkang lain ketika itu telah bersetuju melibatkan diri, lebih penting lagi
buat PAS kerana bimbang sistem yang kotor boleh menggugat kedudukannya khasnya
di negeri Kelantan.
PAS telah mengambil bahagian
paling aktif dalam perhimpunan yang julung-julung kali diadakan itu, malah
sejarah membuktikan bahawa penggembelingan tenaga dan kekuatan yang paling
besar dalam perhimpunan itu datangnya dari PAS. Presiden dan seluruh kepimpinan
PAS terlibat sehinggakan kekuatan akar umbi PAS dikerahkan dan telah turun membanjiri
Kuala Lumpur berbodong-bondong menaiki bas, keretapi dan kenderaan persendirian
dari segenap penjuru dan ceruk tanahair.
Saya ketika itu merupakan
Setiausaha Akhbar Presiden dan masih tajam diingatan betapa keberanian dan
kesungguhan ahli-ahli PAS lah yang telah mendorong dan memberi kekuatan kepada
rakyat yang lain untuk bergerak menuju Istana Negara. Sukarelawan Unit Amal PAS ternyata menyerlah
mewarnai himpunan raksaksa itu.
Saya bersama pimpinan lain
diketuai Presiden PAS sendiri berjalan kaki dalam cuaca yang renyai-renyai, dari
Masjid Negara menuju ke Istana Negara.
Penyokong yang lain yang datang
dari pelbagai penjuru di Bandaraya, ada yang tersekat lalu ditembak gas pemedih
mata dan “water canon” manakala rombongan Presiden PAS dari Masjid Negara selamat
tiba di luar Istana tanpa gangguan.
Matlamat menyerahkan memorandum
ke Yang Dipertuan Agong berjaya dan yang lebih penting tuntutan BERSIH ada yang
telah diterima dan dilaksanakan manakala yang selebihnya telah menyaksikan
beberapa penambahbaikan walaupun tidaklah sempurna sepenuhnya.
Saya mengimbau kembali perisitiwa
ini agar rakyat Malaysia dapat melihat dan menyedari penglibatan PAS sejak
awal-awal lagi. PAS terus menyertai perhimpunan BERSIH berikutnya, cuma pada
BERSIH 4 ia sekadar menghantar dua wakil dan BERSIH 5 baru-baru ini PAS tidak
mengambil bahagian.
Keputusan tidak mengambil bahagian dalam
BERSIH 5 baru-baru ini bukanlah bermakna PAS tiada lagi berminat menuntut
pilihanraya yang bersih dan adil, akan tetapi ianya diambil oleh kerana PAS mempunyai
pendekatannya yang sendiri.
Tidak dinafikan pilihanraya yang
bersih dan adil merupakan asas paling penting dalam sistem berpilihanraya dan
demokrasi berparlimen. Itulah tuntutan PAS sepanjang usianya dan terbaru
melalui BERSIH sejak 2007 lalu, tetapi kali ini kaedah tuntutannya bagi PAS
perlukan pendekatan yang berbeza.
PAS hari ini lebih menekankan
budaya politik matang dan sejahtera. Melalui kaedah ini PAS lebih minat
melakukan “engagement” dengan pihak-pihak berkepentingan selain memberikan
teguran yang konstruktif dan nasihat secara langsung kepada pihak kerajaan dan
badan yang bertanggungjawab dalam melaksanakan pilihanraya.
Pendekatan baru ini PAS yakin
lebih bermakna dan kini lebih disenangi rakyat kerana ianya tidak mencetuskan
ketegangan dan huru-hara yang hanya akan mengancam kestabilan negara. Pada
pandangan PAS politik konfrantasi sudah basi dan mula ditinggalkan, memang
rakyat menuntut reformasi pilihanraya tetapi rakyat juga mahukan keamanan yang
ada dipertahan dan dikekalkan.
Inilah cabaran besar bagi semua
pihak, dan PAS menganggap cabaran ini sesuatu yang serius dan mahu membuktikan
bahawa ia mampu membawa perubahan itu tanpa memperjudikan nasib dan masa depan
negara dan rakyat.
Kongres Rakyat umpamanya yang
menghimpunkan suara rakyat melalui pelbagai NGO dan badan, PAS percaya adalah
forum yang lebih sesuai dan lebih dialu-alukan masyarakat sivil berbanding
protes jalanan.
PAS sedar bahawa mereka yang
mengambil bahagian dalam BERSIH 5 masing-masing mempunyai hak untuk berbuat
demikian. PAS tidak pernah mencabar hak mereka itu.
Cumanya dari pengalaman BERSIH 4
yang lalu ternyata semangat BERSIH 2007 yang asal sudah semakin luntur serta dikesampingkan
dan malah sudah ada pihak-pihak tertentu yang cuba “hijack” perhimpunan BERSIH
dengan membawa tuntutan dan agenda peribadi yang tidak menepati dasar dan
prinsip perjuangan PAS.
Ramai mengetahui pihak liberal
termasuklah kumpulan haram “LGBT” yang memperjuangkan hak golongan lesbian dan
homoseksual yang bertentangan dengan Islam dan budaya kita turut mengambil
kesempatan melalui BERSIH. PAS tidak akan membenarkan dirinya terlibat dengan
puak mungkar ini.
Dan tidak sebagaimana BERSIH yang
sebelumnya, hari ini PAS tiada lagi hubungan politik dengan DAP, malah DAP hari
ini memilih PAS sebagai musuh utamanya. Bagaimana mungkin PAS mahu bersekongkol
dengan mereka yang menganggap PAS sebagai musuh? Demikian juga kehadiran parti
PAN yang kononnya diasaskan untuk menggantikan PAS, masuk akalkah PAS
berhimpun bersama golongan pengkhaianat
seumpama ini?
Selain itu kehadiran golongan radikal
“baju merah” menyumbang ke arah hilang fokusnya himpunan ini.
Apa pun ternyata ketiadaan PAS
sangat dirasai dalam BERSIH 4 dan 5 yang terbaru. Sejak BERSIH 4 lagi ramai
yang menyatakan bahawa perwakilan Melayu dalam himpunan BERSIH telah susut
kerana ternyata PAS lah yang selama ini berjaya menggembeling golongan majoriti
ini.
Dan ini juga membuktikan anasir
yang kononnya dilahirkan untuk menggantikan PAS telah sekali gagal, rugi
besarlah penajanya.
Tuesday, November 22, 2016
Surat terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia (termasuklah YB Ahli-ahli Parlimen)
(Menjawab tuduhan liar Zaid
Ibrahim)
Rang Undang-undang Persendirian
dari Ahli Parlimen Marang, Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang yang memohon
untuk meminda Akta 355, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dijangka
dibentangkan sebelum sidang Dewan Rakyat berakhir pada 24 November ini
sekiranya diberi kesempatan.
Adapun Rang Undang-undang itu
bermaksud meminda Akta 355 dengan:-
i. menggantikan seksyen 2 di
dalam akta berkenaan dengan:
“2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut
agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang
disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan
Undang-undang Persekutuan” dan
ii. memasukkan selepas seksyen 2
dengan seksyen berikut:
“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2
Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh
undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di
bawah seksyen yang disebutkan di atas, selain dari hukuman mati.”
Sesungguhnya Akta 355 ini adalah
berkenaan urusan dan pentadbiran Mahkamah Syariah di negeri-negeri seluruh
Malaysia. Undang-undang Syariah yang telah wujud sekian lama dalam negara kita hanya
terpakai dan berkenaan dengan orang Islam sahaja. Lantas sebarang pindaan ke
atasnya termasuklah apa yang sedang diusahakan oleh Ahli Parlimen Marang ini
hanyalah terkena atas rakyat Malaysia yang beragama Islam sahaja.
Rakyat Malaysia yang bukan Islam
tidak akan terlibat sama-sekali.
Janganlah kita mudah terpedaya,
terpesong atau terpengaruh dengan mana-mana individua atau kumpulan yang
memandang serong dan menentang usaha ini atas pelbagai alasan fitnah dan kepalsuan.
Pertimbangkanlah:
1. Skop pindaan ini adalah untuk
memberi kuasa Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman setimpal dengan
undang-undang syariah iaitu sebagaimana yang terkandung dalam hukum Islam yang
sebenar. Namun ianya tertumpu kepada hukuman penjara, denda dan sebatan. Hari
ini hadnya adalah terbatas kepada tiga
tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.
Melalui pindaan ini had hukuman
di atas boleh dipertingkatkan selaras dengan hukum syariah sebenar sebagaimana
yang terkandung dalam enakmen negeri-negeri yang berkaitan.
Pindaan ini tidak melibatkan
hukuman potong tangan (sebagaimana dituduh oleh seorang bekas Menteri dalam
surat terbukanya – “The amendment could mean the amputation of limbs … “) dan
sebarang tuduhan sedemikian ternyata punya maksud jahat untuk mengagalkan usaha
awal umat Islam rakyat majoriti di negara ini untuk mengamalkan ajaran agama
mereka sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan.
2. Pindaan ini jelas menyebut
bahawa had hukuman di Mahkamah Syariah nanti adalah sebagaimana yang dibenarkan
undang-undang syariah. Mahkamah Syariah Negeri-negeri menjalankan tugasnya
berlandaskan Enakmen Negeri-negeri yang diluluskan oleh Dewan-dewan Negeri. Tidak
benar menuduh bahawa mahkamah nanti berhak menjatuhkan hukuman
sewenang-wenangnya (kononnya dituduh – “ …with the bill, jail sentence can be
imposed without any limitations.”) tanpa had.
Undang-undang syariah telah jelas
menghadkan hukuman bagi satu-satu kesalahan, dan jika Enakmen Negeri-negeri ada
yang mengambil semangat dari undang-undang syariah, ianya memang diketahui
punya had, mengatakan sebaliknya seolah menghina hukum Allah swt.
Di Kelantan umpamanya kesalahan
meminum arak disebut dengan terang di bawah Kanun Jenayah Syariah Kelantan, fasal
22:
Sesiapa yang meminum
arak atau minuman yang memabukkan, sama ada dia mabuk atau tidak dan tanpa
mengira kuantiti yang diminumnya, adalah melakukan suatu kesalahan syurb dan
apabila disabitkan hendaklah disebat tidak melebihi lapan puluh kali sebatan
dan tidak kurang daripada empat puluh kali sebatan
Di Terengganu seksyen 5, Enakmen Jenayah Syariah Terengganu
(2002) menyebut:
2) Sesiapa yang melakukan
kesalahan syurb hendaklah dihukum dengan hukuman seperti berikut:
(a) bagi kesalahan
pertama atau kedua dengan sebat tidak kurang daripada empat puluh sebatan;
(b) bagi kesalahan
ketiga dengan sebat tidak kurang daripada empat puluh sebatan dan tidak lebih
daripada lapan puluh sebatan; dan
(c) bagi kesalahan
keempat dan seterusnya dengan sebat tidak kurang daripada empat puluh sebatan
dan tidak lebih daripada lapan puluh sebatan, dan boleh juga dikenakan hukuman
penjara selama tempoh yang difikirkan patut oleh Mahkamah.
3. Usaha ini bukannya memperkenalkan hukum Hudud, kerana
hukum berkenaan sebenarnya komprehensif melibatkan kesemua kesalahan jenayah
dalam Islam termasuklah merompak, membunuh, mencuri dan sebagainya.
Walaubagaimanapun pindaan ini jelas menyebut “…selain dari hukuman mati” bermakna
hukuman mati yang ada dikenakan atas kesalahan Hudud tidak boleh dikuatkuasakan
sekaligus membuktikan pindaan ini bukanlah Hukum Hudud sebagaimana didakwa.
4. Usaha ini adalah usaha untuk membawa umat Islam lebih
dekat kepada amalan agamanya yang sebenar walaupun tidak keseluruhannya.
Sebagai seorang Muslim apa sahaja usaha untuk dekat kepada agama mereka sudah
pasti adalah usaha yang baik dan menentangnya sudah pasti bermakna menetang
usaha memperkasakan agama sendiri, menentang hak yang diberikan kepada umat
Islam Malaysia.
Umat Islam di Malaysia akan menjadi rakyat yang baik apabila
mereka lebih dekat pada agama mereka, dan ini sudah pasti turut memberi jaminan
keamanan kepada warga Malaysia yang lain khasnya yang bukan Islam.
Kerana itu sebarang usaha seperti ini wajar dialu-alukan.
5. Sesungguhnya Akta 355 ini telah menjadi undang-undang
sejak tahun 1965. Semasa perbahasan Bajet 2017 baru-baru ini Ahli Parlimen Kota
Bharu menyebut bahawa ketika Akta 355 ini di bawa ke Parlimen dahulu, mendiang
PM Singapura Lee Kuan Yew adalah ahli Dewan, dan tiada ahli yang bukan Islam
pun bangkit membahaskannya kerana ianya berkenaan hal ehwal orang Islam. Begitu
juga semasa Akta ini melalui pindaan pada tahun 1984, beberapa ahli Parlimen
DAP yang ada dalam Parlimen hari ini juga merupakan ahli, mereka pun ketika itu
tidak bangkit termasuklah Lim Kit Siang dan Dr Tan Seng Giaw.
Demi perpaduan dan kesatuan rakyat Malaysia yang berbilang
kaum dan agama.
Hormatilah hak umat Islam untuk mengamalkan agama mereka
sebagaimana selama ini umat Islam yang majoriti menghormati amalan dan
kepercayaan penganut agama lain yang merupakan minoriti dalam negara kita.
Semoga suasana harmoni di Malaysia dapat terus kekal tanpa ada syak wasangka.
Surat terbuka ini mohon merayu dan memberi kesadaran kepada
semua bahawa Rang Undang-undang ini berniat baik iaitu untuk memperkasakan
Mahkamah Syariah tanpa punya niat jahat atau mahu mencederakan hak dan
kepercayaan mana-mana pihak lain.
Rang Undang-undang ini melalui proses demokrasi berparlimen,
dibawa secara tertib dan menurut peraturan. Islam mahu diperkasakan melalui RUU
ini dan ianya dibawa secara terhormat dan terbuka bukannya melalui pintu
belakang atau seumpamanya.
Siapa sahaja termasuk ahli-ahli parlimen berhak membahas,
memberi teguran dan mencadang penambah-baikan terhadapnya tetapi mohonlah agar
ia dapat diluluskan kerana umat Islam, rakyat Malaysia yang majoriti yang dekat
dan sayang pada agama mereka sangat mengharapkan dan mahu melihat amalan agama
mereka selari dengan ajaran sebenarnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)