Kenapa?
Kerana PAS sedang melalui proses pemilihan pimpinan bermula
dari peringkat cawangan-cawangan seterusnya Kawasan-kawasan dan kemuncaknya
nanti Muktamar PAS Pusat pertengahan tahun ini.
Bukan pertama kali PAS melalui proses pemilihan parti,
kenapa kali ini perhatiannya terlebih istimewa?
Kerana kali ini pimpinan PAS peringkat tertinggi mahu
dicabar.
Sebelum ini pun PAS pernah melihat pertandingan diperingkat
tertinggi, Almarhum Dr Burhanuddin pernah melawan Prof Zulkifli Mohamad untuk
jawatan nombor satu, Almarhum Ustaz Hasan Shukri pernah bertanding melawan Dato
Mustapha Ali untuk jawatan nombor dua dan banyak lagi, lalu kenapa kali ini
terlebih istimewa?
Bagi saya kali ini ia istimewa kerana beberapa kalangan
pimpinan Pusat kelihatan vokal dan terbuka mahu menuntut perubahan pucuk
pimpinan khasnya bagi jawatan Presiden. Mereka ini bilangan yang kecil tetapi
nyaring bersuara sehingga memkasa semua mendengar.
Desakkan yang luar biasa ini tercetus barangkali kerana ada
pihak yang duduk di keliling Presiden Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang berasa tidak
selesa, mereka menganggap Tuan Guru seakan “stumbling block” atau batu
penghalang terhadap perlaksanaan apa sahaja agenda mereka.
Beberapa keputusan Presiden yang direstui oleh Majlis Syura
Ulamak bagi mereka dirasakan ganjil, tidak menepati selera dan kemahuan mereka.
Lalu apa lagi, datang musim pemilihan ini bangkitlah mereka berkempen menuntut
agar Tuan Guru dan mereka yang sealiran dengan pemikiran Tuan Guru sewajarnya
disingkir.
Sejauh manakah keputusan Presiden dan Majlis Syura kebelakangan
ini yang tidak boleh diterima ahli-ahli akar umbi PAS?
Beberapa kerat pimpinan ini berkeras merasakan ia tidak
sesuai buat PAS namun adakah ahli-ahli PAS peringkat akar umbi sebenar dan
sesungguhnya berkongi pendirian mereka?
Mereka mahu bangkit membuat perubahan membongkah Tuan Guru
dengan harapan satu PAS yang “baru” dapat dibentuk dan dilahirkan selepas
Muktamar nanti.
Lalu inilah suasana yang paling baik untuk menjual agenda
dan gagasan mereka, mana tahu kiranya diterima oleh ahli-ahli PAS, muktamar
nanti Tuan Guru Presiden dan mereka yang sealiran dengan Tuan Guru dapat dinyah
terus dari kepimpinan PAS. Biar mereka sahaja yang menerajui dan menguasai
kepimpinan PAS. Ketika itu Majlis Syura pun dapat dirubah, wajah PAS yang
kononnya konservatif boleh berubah menjadi moderat lagi liberal.
Berkempenlah mereka sebagaimana kumpulan yang mahu
mempertahankan Tuan Guru dan kepimpinan ulamak juga turut berkempen.
Perlembagaan PAS tidak melarang ahli-ahlinya berkempen asalkan mematuhi segala
adab yang telah ditetapkan khasnya yang terkandung dalam Peraturan-peraturan
Pemilihan PAS (2013) (Pindaan 2014).
Namun demikian ahli-ahli PAS khasnya kekuatan akar umbi di lebih
175 kawasan seluruh negara jangan di pandang sebelah mata. Mereka mungkin
terkadang kelihatan lekeh, “simple” , rendah diri dan tidak se vokal beberapa
kerat pimpinan tertinggi yang ada, namun bacaan politik mereka tinggi. Mereka
menyertai PAS kerana cintakan perjuangan Islam, dasar dan matlamat perjuangan
PAS mereka peluk dan pertahankan sebagai sebahagian dari darah daging kehidupan
mereka. Mereka inilah kekuatan PAS yang sejati yang tidak boleh digoyang,
digoncang apalagi dikikis buang sesuka hati.
Mereka menghormati dan taat pada pimpinan. Lantaran
keikhlasan perjuangan yang dibentuk dalam jiwa mereka, mereka akan terus berada
bersama pimpinan selagi mana pimpinan itu tidak (meminjam kata-kata Tuan Guru
Presiden dalam Mukatamar yang lalu) membawa mereka terjerumus ke Neraka!
Kerana itu ada kalangan pemerhati hairan, mengapa dalam
keadaan Tuan Guru Presiden contohnya diserang, difitnah, direndah-rendahkan
kepimpinannya, namun beliau terus mendahului pencalonan untuk jawatan Presiden
setakat ini .
Mungkin terlalu awal untuk membuat andaian kerana baru
sekitar 20 peratus dari kawasan-kawasan PAS telah selesai mengadakan Mesyuarat
Agung Tahunan masing-masing.
Akan tetapi beberapa keputusan seakan memberi petunjuk ke
satu arah yang mula mempengaruhi beberapa pemerhati dan penganalisa.
Terbaru, yang terpampang di dada akhbar sebahagian besar
akhbar-akhbar media perdana adalah kekalahan bekas MB Perak yang juga Timbalan
Pesuruhjaya PAS Perak dan AJK PAS Pusat, Nizar Jamaluddin di Kawasan Kampar
Perak. Beliau tewas mempertahankan jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan yang
beliau pegang selama 14 tahun.
Bagaimana Nizar boleh tewas?
Nizar lah antara tokoh vokal yang menuntut perubahan dalam
pucuk pimpinan PAS. Ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala
Kedah bulan lalu beliau menggesa para perwakilan memain peranan untuk merobah
pimpinan dalam Muktamar depan. Beliau antara lain berkata:
“Pemimpin yang ada wajib dan wajar diubah”Dalam ucapan berkenaan yang boleh diikuti di youtube, beliau menyerang secara terbuka “style” kepimpinan Tuan Guru Presiden. (Saya tidak pasti pula adakah apa yang disebut Nizar dalam ucapannya itu menyalahi atau tidak Peraturan-peraturan Pemilihan PAS yang disebut di atas)
(Ditakdirkan para perwakilan Kuala Kedah kemudiannya membuat
keputusan mengekalkan Tuan Guu Hj Abd Hadi Awang sebagai calon Presiden)
Sesungguhnya banyak lagi tindak-tanduk dan kenyataan Nizar
sebelum itu yang telah mengusik hati, jiwa dan perasaan orang-orang PAS khasnya
apabila beliau menolak rasional Tuan Guru Presiden tentang Pilihanraya PBT dan
usaha perlaksanaan Hudud di Kelantan.
Di sinilah kita perlu sedar jangan sekali-kali “under
estimate” atau merendah-rendahkan keupayaan orang-orang PAS.
Adakah apa yang berlaku ke atas Nizar itu akan menular dan
menjangkiti rakan-rakannya yang lain yang turut berkongsi agenda dengan beliau?
Yang pastinya satu lagi contoh, nasib yang menimpa Timbalan
Presiden Muhammad Sabu pula sebagaimana dilaporkan Malaysiakini:
“Lebih mengejutkan PAS Batu Kawan tidak mencalonkan Mohamad
selaku pesuruhjaya Pulau Pinang bertanding dalam jawatan tertinggi itu”
Adakah trend ini akan berterusan?
Ada 80 peratus kawasan-kawasan PAS yang belum selesai
mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan masing-masing dan masih terlalu awal
mengandaikan bahawa trend ini akan kekal dan senjata yang Nizar gunakan bakal
memakan diri akhirnya.
Akan tetapi kesimpulannya kita melihat ahli-ahli PAS
diperingkat akar umbi sesungguhnya hari ini lebih memberi tumpuan dan keutamaan
kepada usaha PAS untuk melaksanakan Hudud di Kelantan. Tuntutan perjuangan
zaman-berzaman itu kini jika tiada aral melintang bakal melihat terlaksana diketika
hidup mereka masing-masing.
Tuan Guru Presiden yang bakal membentangkan Rang
Undang-undang persendirian di Dewan Rakyat sesi yang akan datang dilihat
sebagai ikon yang sedang memegang dan membawa obor Islam itu. Mustahil orang
PAS mahu menganggu tugas beliau, mustahil orang PAS mahu merebahkan seorang
pejuang yang istiqamah meneruskan tuntutan perlaksanaan Islam walau dihalang
dan diganggu sepanjang jalan perjuangan.
Saya secara peribadi yakin, kekuatan PAS diakar umbi sedikit
pun tidak akan terganggu malah akan bersatu bersama Tuan Guru Presiden kerana
tiada yang lebih penting selain melihat cita-cita perjuangan Islam terlaksana.
Tuan Guru kental, tegas dan berani ke hadapan dan ahli-ahli PAS malah
sebahagian besar umat Islam yang merindui perlaksanaan Islam pasti akan teguh bersama-samanya.
5 comments:
peliharalah pas ya allah selagi mereka berjuang atas nama mu...selamatkan bumi msia dari anasir2 yg melemahkan dan melumpuhkan islam dr bersinar dan berkembang...jadikanlah msia antara bumi tertegaknya hukum allah...
selagi tukang bilang undi diberi pd asmuwi...selagi u malaun2 ni tidak akan berputus asa...tukar asmuwi!
Saya yakin disebalik segala tohmahan & cacian yang dilempar kpd TG Presiden, beliau tetap tabah dan tenang. Malah jauh sekali untuk menyerang balas. Kerana beliau yakin, hanya Allah sebaik2 pembela & tempat bergantung.
Alhamdulillah. Posting yg baik.
Wallahualam
Kawasan Seremban, Telok Kemang ( PD ) dan Jelebu menyaksikan mereka sebulat suara menolak kepimpinan TG Haji Hadi. Sifirnya senang utk melihat kecenderungan mrk.. siapa yg dtg merasmikan AGM Kawasan. Contohnya di Jelebu, Dr Hatta dipanggil tetapi beliau seakan cuba melunakkan suaranya kpd presiden tetapi pengerusi pemilihan calon iaitu anak kepada Almarhum Ust Fadhil Noor tanpa berselindung menggunakan kesempatan untuk memberi taklimat dan sesi tazkirah tentang ketidak-setujuan kelompok mrk terhadap pembentangan hudud di Parlimen.
Semasa proses mesyuarat belum tamat dan sebelum pengundiaan, phak kawasan telah meninta beliau memberi tazkirah di atas.. saya tak pnh belajar atau dgr agenda tazkirah menghina ini boleh dilakukan skrg. Semasa pengundian secara angkat tangan utk memilih presisen, timbalan dan naib presiden seolah-olah sudah kesepakatan mrk memilih calon yg dikatakan telah diwar-warkan oleh pihak tertentu di setiap mesyuarat agong cawangan..rata-rata perwakilan dari cawangan seperti dikawal oleh remote petang AGM itu...
Post a Comment