Monday, December 01, 2014

Suara hati pemilik Blog ..... (1/12/14)


Sedar tak sedar rupanya saya telah mempertahankan BLOG ini sejak 20 Mei 2004 dahulu (dengan posting saya yang pertama) sehingga kini bermakna telah lebih 10 tahun usia BLOG ini. Alhamdulillah.
Mengimbau kembali detik-detik awal sehinggalah ke hari ini saya percaya arah aliran penulisan saya tidak berubah. Gaya dan persembahan juga rasanya “maintain” walaupun dalam keadaan sedih, marah apalagi gembira. Para pengunjung blog ini adalah saksi kepada kenyataan ini.

Mempergunakan sepenuhnya kreativiti yang dikurniakan Allah swt untuk tujuan dakwah dan memperjuangkan kebenaran, terus merupakan agenda BLOG ini dan insyallah akan cuba saya pertahankan. Saya cuba sedaya upaya mengelakkan diri dari menggunakan bahasa kesat, maki-hamun dan seumpamanya dalam berhujah dan mengenengahkan pandangan di sini. Mungkin bagi sesetengah pengkarya ianya mencerminkan suara hati sebenar mereka, atau mungkin dengan bahasa-bahasa sedemikian mereka dipandang “berani” atau “cool”, bagi saya tidak.
Saya mahu berani apabila diperlukan, mahu tegas apabila terpanggil tetapi akur bahawa ianya perlulah dalam ruang-lingkup ketertiban dan melalui cara yang sopan mencerminkan keperibadiaan dan pembawaan serta pendidikan agama kita.

Saya mahu kemenangan berpihak pada yang benar, oleh itu biarlah saya khasnya BLOG ini menjadi alat ke arah itu.
Saya sedar bahawa sepanjang lebih 10 tahun ini ramai yang gemar pada pandangan saya, namun insaf ramai juga yang barangkali tidak gemar, benci apalagi marah-marah. Itu biasa dan sesuatu yang perlu diterima.

Lain padang lain belalang, rambut sama hitam begitulah makhluk bergelar manusia ini dijadikan Allah swt.
Bagi yang senang dengan BLOG saya ini dan sering mengunjunginya khasnya tidak lupa 424 “members” atau peminat setia, selain puluhan blog dan laman yang memautkan BLOG saya pada blog atau laman mereka, terima kasih saya ucapkan. Sokongan anda semua membakar semangat saya untuk terus berkarya.

Dan bagi yang selebihnya, yang sangat tidak gemar, benci atau marah-marah, tapi singgah juga untuk menambahkan sakit hati, terima kasih juga atas kunjungan saudara. Begitulah saya sebagaimana saya tidak berupaya merobah fikiran dan minda saudara, saudara juga tidak akan berupaya merobah saya, kirimlah komen atau email dan maki hamun, ianya tidak akan merobah haluan saya kecuali terpesona dengan kekotoran minda dan sakitnya jiwa tuan-tuan.
Sekurang-kurangnya saya tahu ada yang tidak senang dan sakit jiwa dengan tulisan saya, bukan senang melakukan itu.

Apa pun dengan izin Allah swt saya akan terus mempertahankan BLOG yang kecil ini, semoga Allah swt memberikan kekuatan buat saya untuk terus menyumbang ke arah kemenangan Islam.
Saya mungkin tidak boleh menjadi pemimpin, tidak pandai berpidato, tidak kaya untuk menyumbang wang ringgit yang banyak, tetapi saya punya kemampuan untuk menulis dan kemampuan ini akan terus saya asah demi menyumbang ke arah kemenangan itu, tiada maki-hamun atau gertak dan amaran dari mereka yang sakit dan kotor jiwanya yang boleh menghalang BLOG ini dari terus menyalurkan pandangan dan buah fikir saya.

Terima kasih semua.

 

 

 

No comments: