Konflik di Selatan Thai yang melibatkan wilayah-wilayah majoriti
Islam dari Pattani, Yala sehingga ke Narathiwat telah berlarutan berdekad-dekad
lamanya. Tuntutan kemerdekaan atau sekurang-kurangnya wilayah autonomi dari
rakyat tempatan telah bergema lantaran sejarah silam yang melakarkan sebahagian
besar wilayah ini di dalam rumpun Melayu yang lebih dekat dengan penduduk utara
Semenanjung Tanah Melayu dahulu dan kini Malaysia.
Aksara, Prayud dan Najib |
Menurut sejarah Kesultanan Melayu Pattani yang memerintah
dalam kurun ke 14 melibatkan ketiga-tiga wilayah ini dan sebahagian Songhkla
termasuklah sebahagian Negeri Kelantan bermula 1530 di bawah pemerintahan
Sultan Ismail Shah. Zaman kegemilangan pemerintahannya adalah bermula pada
tahun 1584 (kerajaan Kesultanan Melayu Melaka jatuh 1511) semasa tempoh
pemerintahan berturut-turut 4 orang Ratu terkemuka iaitu Ratu Hijau (The Green Queen), Ratu Biru (The
Blue Queen), Ratu Ungu (The Purple Queen) dan Ratu Kuning (The Yellow Queen)
yang mempunyai hubungan akrab dengan kerajaan kesultanan Pahang dan Johor.
Konflik ini berlarutan bukan sekadar tuntutan malah
melibatkan kebangkitan sehingga mencetuskan keganasan, pertumpahan darah dan
kehilangan serta kemusnahan harta benda di kedua-dua belah pihak kerajaan Thai
dan penduduk Islam di Wilayah Selatan.
Namun perkembangan dunia kebelakangan ini menyaksikan banyak
konflik seumpama ini diperingkat antarabangsa dapat direda dan diselesaikan
apabila semua pihak yang berkepentingan dapat duduk dan berunding secara
rasional dan berlapang dada. Sesungguhnya pertumpahan darah dan keganasan tidak
dapat menyelesaikan masalah malah sekadar mencetuskan kemarahan, kebencian dan
penderitaan.
Selatan Thai wajar diamankan, konflik yang berlarutan ini
perlu diselesaikan semoga tiada lagi yang menderita dan tiada nyawa yang
terkorban samada dikalangan masyarakat Islam mahupun yang bukan Islam. Rantau
kita biar aman, dan rakyat keseluruhannya biar terus sejahtera dan
berbaik-baik.
Terbaru Perdana Menteri Thai Jeneral Prayut Chan-o-cha semasa
membuat kunjungan satu hari ke Malaysia telah menegaskan komitmen kerajaan
beliau, meneruskan usaha Perdana Menteri sebelumnya iaitu untuk merintis jalan
perdamaian di Selatan Thai.
Dilaporkan bahawa Malaysia terus mendapat keyakinan kerajaan
Thai agar menjadi orang tengah atau fasilitator dalam meneroka jalan agar
konflik berkenaan dapat diselesaikan. Perdana Menteri Najib Tun Razak diberi mandat
agar bertindak selaku fasilitator mewaikili kerajaan Malaysia. Jeneral Prayut
dalam lawatannya itu turut memperkenalkan Jeneral Aksara Kerdpol sebagai Ketua Perunding
mewakili kerajaan Thai.
Ternyata Malaysia perlu segera menyusun langkah membawa
mereka yang terlibat ke meja perundingan. Penduduk Selatan Thai yang terlibat
sebagaimana rakyat di Kelantan, Terengganu dan Utara Semenanjung kuat berpegang
teguh kepada agama. Malah pejuang-pejuang pembebasan samada PULO (Pattani United
Liberation Organisation) BRN dan
lain-lain kesemuanya berjuang atas nama Islam.
Oleh itu sewajarnya PM Malaysia mengambil kira memantapkan
pasukan fasilitatornya dengan memasukkan mereka yang mempunyai pengalaman dan
latar-belakang agama jika serius mahu penyelesaian terbaik.
Konflik di Selatan Thai walaupun melibatkan Negara asing
tetapi sesungguhnya dekat di hati rakyat Malaysia khasnya umat Islam kerana
ianya melibatkan saudara serumpun dan seagama.
Saya mencadangkan, memandangkan isu ini isu antarabangsa dan
Malaysia diberi penghormatan sebagai sebuah Negara jiran yang punya hubungan
rapat dengan penduduk Selatan Thai, maka tanpa mengira kepentingan politik PM
Malaysia harus menimbangkan dua tokoh yang saya yakin boleh membantu
melancarkan rundingan damai ini kelak.
Pertama adalah Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang,
Presiden PAS dan ahli Parlimen Marang (bekas MB Terengganu) yang kini merupakan
Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia. Tuan Guru pernah terlibat dalam beberapa
rundingan damai konflik lain termasuklah di Aceh, Afghanistan, Iraq. Beliau juga
merupakan ahli Lembaga Amanah Muasasah
Al-Quds dan ahli jawatankuasa al Taqrid Mazahib (organisasi yang mengumpulkan
tokoh-tokoh ulamak Sunni dan Syiah dunia).
Kedua pula Ustaz Dato Mohammad Yaacob, Menteri Besar
Kelantan yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat. Memandangkan wilayah konflik
ini bersempadanan dengan Negeri Kelantan, maka MB Kelantan sangat sesuai
dilibatkan.
“Team” Malaysia akan dipandang lengkap dan kukuh apabila
kedua-dua tokoh ini dapat dilibatkan yang sudah pasti akan membangkitkan
perasaan selesa dan senang hati kumpulan pemisah yang sememangnya menghormati
dan memandang tinggi tokoh-tokoh agama lebih-lebih lagi yang dekat dengan
mereka.
Ini bukan isu politik Malaysia. Melibatkan dua tokoh PAS ini
bukan bermakna BN dan Umno kendur atau PAS mahu bersatu dengan BN. Itu
pandangan mereka yang berpenyakit di hati.
Konflik di Selatan Thai adalah isu antarabangsa yang
merangkumi isu kemanusiaan, isu perpaduan, isu keamanan. Malaysia diberi amanah
berperanan dengan harapan dapat menggunakan pengaruhnya mereda dan
menyelesaikan konflik ini.
Demi keamanan di Selatan Thai yang telah lama gelap dan
bersengketa itu, kepentingan politik tempatan perlu diketepikan. Semoga kita
semua dapat berperanan mengembalikan keamanan di Negara jiran kita itu.
No comments:
Post a Comment