Tuesday, February 25, 2014

Khalid tolak penemuan UMCEDEL (25/2/14)


Menurut akhbar NST MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dilaporkan menolak penemuan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya (UMCEDEL) yang mengatakan bahawa kononnya rakyat Kajang bersedia mengangkat Dato Seri Anwar Ibrahim menggantikan beliau sebagai MB Selangor yang baru.
Menurut Khalid walaupun pengundi di Kajang kelak akan mengundi Anwar tidaklah bermakna bahawa mereka menolak kepimpinannya di negeri itu. Tambah Khalid mereka (pengundi Kajang) tahu akan jasa dan sumbangan beliau kepada negeri ini sejak beliau mengambil-alih jawatan MB. Dan beliau menurut NST sekali lagi menolak spekulasi bahawa Anwar akan menggantikan tempatnya.

Demikianlah kontroversi isu MB Selangor ini terus bermain dan ditiupkan.
Saya yakin setakat ini ramai yang sudah menerima SMS, Whatsapp dan seumpamanya berkenaan isu ini. Dan lebih menyedihkan sehingga dijaja apa yang didakwa keburukkan Tan Sri Khalid dan sebab-sebab mengapa beliau perlu diturunkan dari jawatan MB.

Saya secara peribadi melihat Khalid sebagai seorang tokoh yang masih diperlukan untuk terus berada di “kerusi” MB di Selangor. Ternyata gaya kepimpinannya telah yang paling penting meyakinkan rakyat betapa perlunya PR kekal mentadbir negeri maju ini. Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa tidak pernah saya kira rakyat Selangor begitu selesa dan yakin dengan MB mereka sebagaimana hari ini.
Saya masih ingat di minggu pertama beliau menjadi MB dan saya ditugaskan oleh Presiden PAS ketika itu untuk mengunjunginya (sebagaimana pernah saya buat posting di sini) atas urusan penting, beliau seakan ketika itu telah pun berada dalam suasana “in full control”, berjaya menguasai suasana dalam waktu yang singkat, mungkin lantaran pengalaman luasnya di bidang korporat dan pentadbiran sebelum ini.

Beliau memberitahu saya ketika itu bahawa beliau baru sahaja berjaya (di minggu pertrama menjadi MB) menambahkan pendapatan negeri sebanyak RM8juta tunai.
Dengan kesungguhan beliau bercerita pada saya betapa beliau telah berjaya memberi kata dua kepada bank-bank yang menyimpan “reserve” negeri Selangor bahawa beliau mahukan penyemakan semula atas kadar faedah yang diberikan kepada Selangor, tidak lagi pada kadar yang lama zaman berzaman. Dalam sekelip mata, oleh kerana pihak bank tahu bahawa mereka berurusan dengan seorang tokoh korporat yang berjaya dan mahir, mereka menambahkan kadar sebelum ini kepada kadar baru dan dalam sekelip mata kata Khalid beliau memungut RM8juta tunai untuk Selangor!

Lantaran negeri ini berada di tangan seorang MB yang mahir, cekap dan telus lah maka dari RM400juta “reserve” tunai pada tahun 2008 hari ini (2013) “reserve” itu telah mencacak naik ke RM2.5 billion.
Apa pun alasan bagi saya disaat ini yang penting adalah PR perlu menang di Kajang. Dan seterusnya demi kesejahteraaan dan kestabilan negeri ini disamping kemakmuran rakyatnya, biarlah MB yang cemerlang ini kekal ditempatnya. Semoga Selangor nanti menjadi contoh kepada rakyat di negeri-negeri lain, dan perubahan sepesat Selangor kelak akan turut dirasai di negeri-negeri lain apabila mereka memilih untuk merubah seperti yang berlaku pada Selangor di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim.

Monday, February 24, 2014

Kalimah "Allah" jangan debat tapi cari penyelesaian (24/2/14)


Isu penggunaan kalimah “Allah” masih tinggal terapung-apung di udara tanpa ada satu kata putus yang boleh mereda atau menyelesaikan permasalahannya.
Bagi PAS contohnya kata putus telah pun dikeluarkan oleh Presiden dan Majlis Syura Ulamak PAS, pada dasarnya bagi PAS menterjemahkan kalimah “God” atau “Lord” dalam mana-mana kitab agama bukan Islam kepada Allah tidak dibolehkan kerana ianya tidak menepati maksud sebenar dan boleh mengelirukan.

Namun dalam PAS sendiri pun ada juga sekalangan pemimpinnya yang seolah berhujah membelakangkan keputusan ini. Bagi mereka yang “terlalu hebat” ini, keputusan tersebut sekadar panduan dan bukannya pegangan dan pendirian parti. Anehnya mereka itu bukan pun dari kalangan yang berlatarbelakangkan disiplin agama, lantas mereka pun sesungguhnya tanpa mereka sedari menyumbang kepada kekeliruan yang bertambah kusut.
Apa pun saya tertarik dengan pandangan Datuk Seri Idris Jala, Menteri di Jabatan di Perdana Menteri dan seorang penganut Kristian Roman Katolik yang disiarkan dalam akhbar The Star hari ini.

Panjang lebar huraian yang beliau berikan terhadap isu ini termasuklah “Penyelesaian 10 perkara” yang dikemukakan oleh kerajaan.
Anehnya Idris Jala lebih faham dan kelihatan dapat menerima Enakmen Islam Negeri-negeri yang melarang dan mengawal penggunaan kalimah Allah dan beberapa kalimah lain oleh masyarakat bukan Islam, berbanding beberapa pemimpin Islam lain.

Bagi saya apa yang mahu dihurai dan detakankan oleh Idris adalah sikap toleransi dan faham-memahami antara masyarakat berbagai agama dan kaum di Malaysia samada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.
Bagi Sabah dan Sarawak beliau menegaskan bahawa penduduk tempatan di sana telah menggunakan kalimah “Allah” ini sejak daripada sebelum Merdeka lagi, namun beliau bersetuju kiranya da usaha untuk menggunakan kalimah ini bagi maksud menyibarkan agama Kristian dikalangan orang Islam, maka ia adalah salah.

Namun bagi Semenanjung Malaysia beliau menjelaskan:
“Furtheremore Christians in Peninsular Malaysia who are Chinese, Indians and others do not normally use “Allah” in English and in their own vernacular language.”

(Malahan penganut Kristian di Semenanjung Malaysia yang berbangsa Cina, India dan lain-lain tidak biasanya menggunakan kalimah “Allah” dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa ibunda mereka)
Dalam isu akhbar Kristian “The Herald” pula beliau berakata sepatutnya ianya diselesaikan secara rundingan dan dialog tetapi memandangkan pihak The Herald mahu menggunakan penyelesaian undang-undang, maka semua pihak perlu menunggu keputusan rayuannya, dan sama-sama menghormatinya apabila ia telah diputuskan.

Jadi jika seorang pemimpin Kristian mempunyai pandangan sedemikian rupa, apalah lagi yang mahu kita hujah dan perdebatkan lagi. Ada sampai pemimpin politik Islam bertegang-tegang urat berbahas isu ini, masing-masing mahu membuktikan kehebatan dan kejaguhan mereka,dan sekali lagi, mereka barangkali tidak sedar kedua-dua mereka bukan pun memiliki kelayakan agama yang tinggi lagi sempurna, serahkanlah urusan ini kepada ahlinya!
Saya fikir jika orang bukan Islam boleh memahami bahawa kebimbangan utama masyarakat Islam dalam isu ini adalah permasalahan “murtad”, dan ianya sudah dan pernah pun berlaku (Nor Aishah Bukhari, Joshua @ Jamaluddin Othman, Lina Joy) kerana itu umat Islam Malaysia begitu sensitif dan mempertahankan eksklusifnya penggunaan kalimah ini dikalangan orang Islam, jika ini dapat difahami, ianya sesuatu yang positif dan kita dapat hidup secara harmonis, bersatu-padu sebagaimana biasa.

Ini bukan isu politik tetapi ini isu maruah dan masa depan.
Kalau begitu pandangan Idris Jala, dan kalau keputusan Majlis Syura ULamak PAS serta ulamak-ulamak lain dan NGO Islam dapat diterima, saya rasa bibit penyelesaian dalam isu ini sudah terzahir, tiada siapa yang juara, yang pentingnya semua dapat hidup dengan aman dan damai dalam bumi kita yang dicintai ini.

 (NOTA : saya perhatikan beberapa ulasan media alternatif termasuklah Malaysia Insider, mengkritik dan mencemuh pandangan Idris Jala itu)

Thursday, February 20, 2014

MB Selangor dari pandangan pakar undang-undang (20/2/14)


Pakar dan pensyarah undang-undang Prof Emeritus Shad Saleem Faruqi berkongsi pandangan terhadap senario di Selangor pasca PRK Kajang dalam ruangannya “Reflecting on the law” dalam akhbar The Star hari ini (m/s:22).
Menurut beliau kiranya benar Dato Seri Anwar Ibrahim mahu dinobatkan sebagai MB Selangor pasca PRK Kajang maka beberapa kemungkinan senario isu perlembagaan perlu dilihat, dipertimbang dan diterokai. Antaranya:

PERTAMA – Perletakkan jawatan
Perlu ada kesediaan meletak jawatan di pihak Tan Sri Khalid Ibrahim. Namun dalam hal ini juga Shad memperakui bahawa Tan Sri merupakan seorang tokoh yang kukuh kedudukannya dalam Dewan dengan dukungan 44 dari 56 ahli dewan dan malah kata Shad, Tan Sri diperakui sebagai seorang tokoh yang popular dan diminati ramai.

Dengan berlatarbelakangkan hakikat demikian kata Shad lagi kalau pun ia meletakkan jawatannya, tidak ada jaminan yang Tuanku Sultan Selangor akan memberikan perkenan. Tuanku berkuasa menitahkan Tan Sri agar terus kekal di kerusi MB.
Selain itu tambah beliau, Tuanku juga boleh menangguhkan pemergian Tan Sri itu tertakluk kepada keputusan rayuan kes jenayah di mahkamah yang melibatkan Anwar. Tuanku mungkin bimbang kiranya Anwar menjadi pengganti dan kemudiannya kecundang dalam rayuannya maka akan sekali lagi berlaku kekosongan jawatan MB.

KEDUA – Undi tidak percaya
Sekiranya Tan Sri enggan tunduk kepada arahan partinya untuk mengosongkan kerusi MB, maka PKR boleh membawa undi tidak percaya ke atas Tan Sri di Dewan. Dalams senario ini ada 2 kemungkinan, pertama, Dewan luluskan dan Tan Sri mengosongkan kerusinya atau , kedua, Tan Sri selaku MB menggunakan kuasanya mengadap Tuanku Sultan memohon Dewan Negeri dibubarkan. Kiranya dibubarkan Tan Sri kekal sebagai “caretaker” MB sehingga selesai pilihanraya.

KETIGA – Pemecatan oleh Tuanku Sultan
Sekiranya sidang Dewan tidak dipanggil, PKR atau Pakatan Rakyat boleh meyakinkan Tuanku Sultan yang Tan Sri tidak lagi memiliki sokongan majoriti ahli-ahli dewan dan dengan itu melalui Artikel 53 (2)(a) Sultan boleh memecat Tan Sri, namun disini, perlaksanaan kuasa itu tertakluk sepenuhnya di atas budi-bicara Tuanku dalam menjalankan kuasa Baginda.

KEEMPAT – Digantung atau dipecat
PKR boleh menggantung atau memecat keahlian Tan Sri. Namun menurut Shad dalam senario di India semasa pemerintahan Indra Gandhi, walaupun dipecat dari parti Kongres nya mendiang terus berpegang pada jawatan PM kerana majoriti ahli dewan tetap berdiri di belakangnya.

Shad membuat kesimpulan bahawa perlantikkan dan pemecatan MB tidak syak lagi adalah merupakan kuasa budibicara Tuanku Sultan berdasarkan Artikel 55 (2) (a) Perlembagaan Negeri Selangor. Apa yang pernah berlaku di negeri-negeri Perlis, Perak, Terengganu dan Selangor sendiri dalam hal ini menjadi tauladan perundangan dan perlu diambil kira semua pihak.
Dan yang paling menarik dalam ulasan Shad bahawa, sesungguhnya perubahan dan pengembangan pentafsiran undang-undang itu sangat luas. Ianya tidak mustahil kata beliau kiranya berlaku juga kekosongan jawatan MB samada melalui perletakkan jawatan atau pemecatan, Tuanku Sultan boleh sahaja tidak melantik calon PKR dan sebaliknya melantik pula wakil dari PAS, yang pada pandangan Tuanku boleh menguasai sokongan majoriti dalam dewan.

Apa pun kerana itu pandangan dan pendirian PAS agar Kajang jangan digunakan sebagai alasan untuk menukar MB adalah sesuatu yang mustahak untuk diambil kira dan difahami apalagi dihormati. Jangan kerana tekanan politik dalaman yang sepatutnya boleh diselesaikan secara dalaman, dipunggah ia secara pukal dan terbuka di khalayak ramai dan akhirnya mengundang krisis yang tidak menguntungkan sesiapa.
Dalam suasana tenang dan aman hari ini dari ceruk-ceruk kampung, lurah dan gunung serta pekan dan bandar Selangor sampailah ke serambi istana semuanya terpelihara, jangan digegarkan sehingga akhirnya mencetuskan gundah-gulana.

 

 

Wednesday, February 19, 2014

MB Selangor: Hormatilah pandangan PAS (19/2/14)


PRK Kajang bakal menyaksikan suatu ujian besar terhadap persahabatan dan permuafakatan Pakatan Rakyat. Bukan pertandingannya yang dimaksudkan, bagi pertandingan PR lawan BN serta mungkin  beberapa calon Bebas itu, adalah dijangkakan PR melalui Dato Seri Anwar Ibrahim selaku calon PKR mewakili PR bakal menang dengan selesa. Yang dimaksudkan adalah apa akan berlaku selepas Anwar berjaya mempertahankan kerusi Kajang.
Saya melihat bagi PAS PRK ini merupakan sesuatu yang mengejut dan tidak sepatutnya diadakan diwaktu rakyat sedang “sakit” menghadapi kenaikan kos hidup yang timpa-menimpa. Namun atas nama persahabatan dan permuafakatan, menghormati “kawan”, maka dikerahkan juga para pemimpin dan petugasnya agar membantu calon PKR demi memastikan kerusi ini tidak jatuh ke tangan lawan.

Tidak ada siapa dalam PR mahu melihat kerusi ini jatuh ke tangan musuh.
Ujian besar yang saya maksudkan merujuk kepada jawatan Menteri Besar Selangor.

PAS dalam kenyataan rasminya yang dibuat oleh Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebelum ini ada menyebut bahwa :  
"…………………. ingin dipertegaskan bahawa isu kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor adalah tidak berbangkit”

Ini bermakna pada pandangan PAS jangan jadikan PRK Kajang ini sebagai gelanggang untuk merobah kepimpinan negeri Selangor. Dalam erti kata lain PAS selesa dan akan mempertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor samada sebelum, semasa atau selepas PRK Kajang.
Semua pihak boleh membaca dengan terang dan jelas maksud PAS.

Masalahnya walaupun kenyataan ini diketahui umum namun dari hari ke hari isu “tukar MB” di Selangor semakin lantang dan ketara. Pihak PKR yang merupakan rakan permuafakatan PAS di dalam PR terang-terang mempromosi dan menjual calonnya sebagai bakal MB Selangor yang baru (selain dari beberapa kerat pimpinan PAS sendiri yang ghairah dan terlompat-lompat, tak sedar mereka mengkhianti pendirian parti sendiri).
Pihak media samada yang arus perdana mahupun alternatif saban hari memainkan isu ini seolah Tan Sri Khalid sudah tiada nilai dan harga buat PR di Selangor!

PAS adalah rakan paling “senior” dalam PR. Kerana itu sikap dan pendirian PAS terkadang berbeza dari rakan-rakannya yang jauh lebih muda usia dan pengalaman. PAS mengharung pengalaman dan pahit-jerih sejak dari sebelum Merdeka sehingga hari ini lebih 60 tahun menjunjung dan mendaulatkan matalamat dan prisip perjuangannya. Sudah pasti pandangan PAS mengambil kira semua aspek dan ruang-lingkup politik apalagi kehendak syariah.
PAS mahu Tan Sri Kahlid kekal sebagai MB. Benar ada kritikkan dan teguran terhadap kepimpinan Tan Sri di Selangor, khasnya dari kalangan ahli-ahli PKR sendiri, namun mungkin PAS melihat krtikan dan teguran itu tidaklah sampai keperingkat yang boleh memudarat dan menjejaskan kelangsungan kerajaan PR di Selangor. (Dalam hal ini PAS konsisiten sebab pernah PAS pecat ADUN nya yang ketika itu EXCO Selangor apabila ia sedari mudarat yang mendatang jika tokoh berkenaan dikekalkan)

Sikap PAS jelas, biarlah Tan Sri kekal mengepalai Selangor, lantaran rekod pentadbirannya yang bersih dan cemerlang itu. Malah rakyat Selangor pun terbukti selesa dan memandanga tinggi pakan beliau. Tidak ada bukti kukuh dan berasas yang boleh dikemukakan yang menunjukkan bahawa PR dan Selangor akan terancam dengan kekalnya Tan Sri sebagai MB.
Apa akan berlaku kiranya pandangan PAS ini ditolak?

Disitulah akan bermulanya ujian menguji kekuatan persahabatan dan permuafakatan PR.
PAS melalui kenyataan rasminya bukan meminta pun jawatan MB, apa yang ia mahu adalah Tan Sri yang mewakili PKR Selangor (yang mengikut angkanya adalah rakan kongsi terkecil di negeri ini) kekal sebagai MB kerana Selangor perlu terus bergerak ke hadapan bagi memberi rangsangan dan dorongan politik yang lebih besar khasnya pada PRU akan datang.

Menukar MB melalui PRK Kajang dikira suatu langkah yang tidak bijak dan silap.
Mungkin ramai yang akan mempertikaikan pendirian ini (termasuk segelintir dalam PAS yang saya sebutkan yang sudah barangkali sesuai sahaja berhijrah ke “rumah” lain), tetapi dalam apa pun suasana, PAS adalah rakan kongsi dalam PR, naik dan turun, susah dan senang bersama PR, menghargai komitmen dan kesetiaan PAS selama ini, wajarlah pendiriannya dihormati khasnya oleh rakan-rakan dalam PR, DAP dan PKR. (Kiranya ada ahlinya sendiri yang mempertikaikan pendiriannya, ahli itu bermasalah dan perlu didisiplinkan).

Bukannya PAS menolak Anwar sebagai MB, bukankah PAS sebelum ini yang terkehadapan yang mahukan Anwar sebagai PM sejak dari zaman Reformasi lagi. Masalahnya perhitungan PAS barangkali melihat bahawa dalam suasana semasa, mengekalan Tan Sri sebagai MB adalah yang terbaik bukan hanya buat PR malah lebih penting lagi rakyat Negeri Selangor yang PR wakili.
Pandangan PAS boleh dibahas dan dibincangkan, tetapi bersungguh dalam waktu dan ketika ini mempromosi pertukaran MB sedangkan PAS berdasarkan kenyataan rasminya tidak bersedia, menunjukkan tiada ada kesepakatan dan lebih parah lagi ia menggoncang asas penubahan PR itu sendiri iaitu perpaduan dan kesatuan ketiga-tiga parti.

Jika MB yang ada itu kotor, bermasalah, tidak bermoral, saya pasti PAS lah yang akan ke hadapan menuntut penyingkirannya. Tetapi berbuat demikian ke atas seorang hamba Allah yang bersih, baik dan berkaliber, adalah merupakan suatu penghinaan, yang bagi saya adalah merupakan alasan terbesar mengapa PAS tidak dapat memberikan persetujuannya.
Kita yang menjuarai kepimpinan yang telus dan bersih, kita yang memperjuangkan ketulusan dan keterbukaan, oleh itu bagaimanakah kita pula mahu terlibat dalam kerja-kerja merobohkan sesuatu yang sedemikian.

Semoga ujian besar ini dapat datasi dan diselesaikan dengan rasional dan tidak emosional sehingga akhirnya rakyat dan negeri tergadai.

 

 

 

 

  

Monday, February 17, 2014

Jatuh bangun MB Selangor bersebab (17/2/14)


Selangor telah menukar Menteri Besarnya berkali-kali sejak Merdeka. Acapkali jika tidak kerana keuzuran, pertukaran berkenaan adalah kerana masalah moral penyandangnya sehingga ada penganalisa yang mengatakan bahawa kerusi MB Selangor ini adalah kerusi “panas”.
Yang pertama disingkirkan melalui undi tidak percaya dalam Dewan adalah Allahyarham Dato Harun Idris apabila beliau enggan menggosongkan kerusi MB setelah dipecat dari Umno pada 19 Mac 1976. Sidang Dewan khas terpaksa dipanggil dengan Pemangku MB Dato Hormat Rafiee membentangkan usul memecat Harun. Setelah diundi 25 bersetuju, 1 iaitu Harun sendiri menentang, 4 berkecuali dan 1 tidak hadir.

Umno memecat Harun setelah beliau didakwa di Mahkamah atas kes rasuah.
Seorang lagi bekas MB iaitu Muhammad Taib digugurkan dari jawatan MB pada April 1997 apabila didakwa di Mahkamah Australia kerana gagal mengisytiharkan wang tunai RM3.8 juta yang dibawanya ke Negara berkenaan.

Manakala Tan Sri Abu Hassan Omar yang menggantikan Muhammad Taib juga terpaksa berundur pada bulan Ogos 2000, tak sampai sepenggal menjadi MB apabila berbangkit desas-desus skandalnya dengan seorang wanita.
MB Umno terakhir adalah Dr Khir Toyo yang tersingkir secara teknikal apabila Pakatan Rakyat merampas kuasa dari BN dalam PRU 2008. Khir akhirnya diseret ke mahkamah atas tuduhan rasuah dan kini menanti rayuannya di mahkamah setelah disabitkan oleh mahkmah tinggi.

Demikianlah kisah jatuh dan tersungkur mereka yang duduk atas kerusi “panas” MB Selangor sejak lebih 3 dekad yang lalu. Apa pun ternyata jatuhnya mereka kesemuanya angkara masalah moral dan hilangnya keyakinan rakyat atas mereka. Tidak ada dalam sejarah negeri ini atau mana-mana negeri lain di Malaysia sekalipun, seorang Menteri Besar yang baik dalam erti kata memiliki rekod cemerlang, bersih, telus, tiba-tiba “dijatuhkan”, tidak pernah berlaku.
Di Selangor Menteri Besarnya datang dari pelbagai disiplin pengajian dan latarbelakang. Kalau kita mulakan dari Dato Harun, beliau seorang lulusan undang-undang, Dato Hormat tidak memiliki kelulusan tinggi (dikhabarkan seorang bekas Sarjan dalam pancaragam polis), Tan Sri Ahmad Razali seorang bekas guru (ipar kepada PM Tun Mahathir ketika itu), Muhammad Taib juga bekas guru, Abu Hassan bekas pegawai kanan kerajaan lulusan Sarjana (MA) dan Khir Toyo seorang doktor gigi.

Tidak pernah Selangor yang mewah, maju dan kaya-raya ini memiliki seorang MB yang punya kelulusan tinggi dan pengalaman luas dibidang korporat.
Apa yang mahu saya tonjolkan bahawa hari ini tidak seperti yang lepas-lepas malah tidak seperti di negeri-negeri lain, Selangor punya seorang MB yang memiliki rekod perkhidmatan yang cemerlang Keperibadian dan kepimpinannya bersih dan telus, dan ini diakui semua bukan sekadar oleh kawan malah juga oleh lawan.

MB Selangor hari ini berkelulusan tinggi dan cemerlang dalam pengajiannya. Iaitu lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya dan MBA dari Univesiti Queensland Australia. Beliau pernah menjadi CEO Permodalan Nasional Berhad (terlibat semasa pelancaran Amanah Saham Nasional), dan CEO Kumpulan Guthrie. Pada tahun 1981 beliau antara individu yang terlibat mengembalikan penguasaan Guthrie (syarikat gergasi perladangan ) ke tangan anak bangsa apabila PNB menguasai 51% saham syarikat berkenaan sekaligus merampas penguasaan Brtish ke atasnya.
Memang layaklah Negeri Selangor yang gagah perkasa ini, negeri termaju dan antara terkaya di Malaysia, di pimpin dan ditadbir oleh tokoh yang berkaliber dan berkebolehan umpama Tan Sri Khalid.

Tiba-tiba, tanpa ada kecacatan dan kekurangan, tanpa ada skandal, masalah moral atau seumpamanya kita mendapat khabra berita bahawa tokoh ini mahu dirihatkan!!!
Jika tidak ditukar Tan Sri, Selangor berkemungkinan rebah ditangan BN, agenda ke Putrajaya akan terbantut…..demikianlah antara kajian dan pandangan beberapa kalangan bijak pandai tertentu. Tetapi bukankah Selangor yang terbit dengan keputusan PRU paling cemerlang? Jika dulu iaitu PRU 2008 PR menang 36 kerusi BN 20 kini PRU 2013 di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid PR tambah 8 kerusi ke 44 dan BN cuma dapat bertahan di 12 kerusi!

Dan selain itu ada yang keluarkan hujah bahawa beberapa isu sensitif termasuklah kes perampasan Bible, tidak dtangani secara bijak oleh Tan Sri, bahawa ancaman puak ekstrimis boleh memungkinkan darurat diisytiharkan. Benarkah begitu? Walaupun yang terbit dengan hujah berkenaan bijak-bijak belaka tetapi sejauh mana ianya benar dan logic perlu ditimbang juga. Jangan sampai kita dikatakan punya agenda lain, marahkan pijak sehingga bertindak bakar kelambu!
Terbitlah dengan analisis yang lebih konstruktif dan masuk akal. Hujahkanlah kelemahan dan kegagalan Tan Sri dengan terperinci jika ada yang boleh memungkinkan PR kalah dan kecundang di Selangor dan Putrajaya kelak. Nyatakanlah alasan konkrit bahawa rakyat akan tolak PR jika Tan Sri Khalid kekal begini begini begini.

Saya harian mengapa alasan-alasan longgar dan hujah yang mentah mahu digunakan untk mengundurkan seorang yang baik dan cemerlang umpama Tan Sr Khalid yang tidak pernah Selangor rasakan sebagai pemimpinnya sebelum ini.
Janggallah sejarah negeri ini, apabila MB-MB sebelumnya jatuh angkara isu moral dan masalah besar, tiba-tiba Tan Sri Khalid, MB PR, jatuh kerana ……. kerana apa pun kita tak tahu kerana tidak diyakinkan seyakin-yakinnya.

Pilihanraya Kecil Kajang akan bermula tak berapa lama lagi. Kajang perlu dipertahankan demi membuktikan kukuhnya PR di Selangor. Semoga kita menang cemerlang di Kajang dan semoga jawatan MB sebagaimana yang disurakan oleh PAS sebelum ini tidak dipersoalkan. Kekallah negeri ini ditadbir dan dipimpin demi kesejahteraan rakyat dan negeri oleh Tan Sri Khalid selaku MB Pakatan Rakyat Selangor.

 

Saturday, February 15, 2014

Semoga kekal Tan Sri Khalid sebagai MB Selangor (15/2/14)

Semasa minggu pertama Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi MB Selangor selepas PRU 2008, saya diarahkan oleh Presiden PAS untuk pergi berjumpa beliau atas urusan rasmi. Ternyata Tan Sri begitu berbangga dengan sokongan rakyat dan terpancar di wajahnya berbagai rancangan dan cadangan yang akan dikemukakan oleh beliau selaku MB untuk memandu negeri termaju di Malaysia ini. Sudah pasti pengalamannya sebagai tokoh korporat yang berjaya akan digunakan sepenuhnya untuk memacu dan mentadbir Selangor.

Apa yang masih terpaku di hati saya sehingga hari ini adalah kenyataan beliau berkenaan kedudukannya itu. Kalau orang biasa-biasa sudah pasti kerusi empuk MB akan menjadi batu loncatan untuk ia memewahkan lagi hidupnya, keluarganya, kaum kerabat dan kroni. Bukankah itu yang telah berlaku bagi mereka yang duduk di atas kerusi ini sebelumnya? Kerana itu Umno dan BN tumbang kerana rakyat mahu menempatkan orang yang lebih baik duduk di atas kerusi ini.
Kata Tan Sri Khalid sebenarnya beliau tidak perlu kepada kedudukan sebagai MB ini. Memang umum mengetahui beliau seorang jutawan yang berjaya hasil usaha dan kelincahan serta kebijaksanaannya dalam dunia korporat dahulu.

Kata beliau, jawatan ini beliau terima kerana mahu menyumbang khidmat kepada negeri beliau, kepada Selangor.
Kenyataan ini bagi saya mencerminkan keikhlasan seorang yang mulia yang mahu menjadi lilin membakar diri demi keselesaan, kemajuan dan kemewahan rakyat dan negeri Selangor. Dan terbukti beliau benar-benar berpegang kepada kata-katanya itu.

Di bawah beliau Selangor terus bangkit gagah, maju dan perkasa menjadi sesuatu yang dikagum rakyat dan malah mush-musuh politik sekali.
Atas rekod bersih, telus dan gigih inilah maka rakyat Selangor telah memberikan mandate sekali lagi kepada PR bawah kepimpinan beliau dalam PRU 2013 baru-baru ini. Malah beliau turut membuktikan keupayaannya dimana dalam PRU itu beliau mengosongkan kerusi DUN Ijoknya untuk berhijrah ke DUN Pelabuhan Kelang.

Ada sesetengah pengkritik mengatakan perpindahan ini kerana Tan Sri goyang, rekodnya di Ijok tidak baik kononnya. Ternyata kritikkan itu meleset apabila beliau menang besar di Pelabuhan Kelang dan calon PKR Ijok Dr Idris turut berjaya mengekalkan kerusi itu dengan selesa.
Tidak keterlaluan saya katakan Selangor memang dahagakan seorang MB, seorang pemimpin seperti Tan Sri. Jika selama ini kerusi MB menyaksikan satu demi satu penyandangnya gugur angkara masalah rasuah dan moral, Tan Sri lain dari yang lain-lain.

Pernah beliau bercerita kepada saya berkenaan ibunya. Ketika melancarkan skim Amanah Saham Nasional dahulu, yang diterajui beliau. Katanya kepada saya, ibunya pernah bertanya, “Sahak (nama timangan Tan Sri di kampung) dimana kau simpan duit orang tu, jaga-jaga nanti hilang….. (lebih kurang begitu)” menunjukkan betapa seorang ibu prihatin dan mendidik anaknya agar jujur dan amanah. Memanglah wang pelabur bukan dalam kocek Tan Sri, tetapi seorang ibu yang tidak tahu mekanisma sebenarnya tetap mahukan anaknya itu berperibadi mulia.
Hari ini Tan Sri bukan sekadar menjaga wang pelabur ASN tetapi khazanah dan kekayaan rakyat dan negeri Selangor dan terbukti ibunya telah berjaya membentuknya menjadi anak yang baik kerana dia sehingga ini muncul tidak tewas dan gelap mata dengan kekayaan dan peluang yang berada disekelilingnya.

Selain PKR, DAP dan PAS dapat menerima Tan Sri sejak 2008 sebagai MB, malah kualiti kepimpinannya itulah yang telah menjadi modal kempen bagi PR dalam PRU 2013 bagi mempertahankan Selangor.
Rakyat terus memberi mandat malah yang lebih kuat dan selesa kali ini demi kerana keyakinan mereka pada Tan Sri.

Isunya, benarkah Tan Sri “dipaksa” menandatangani surat perletakkan jawatan sebagaimana dilaporkan oleh akhbar The Star hari ini?

Kecewalah rakyat jika begitu dan saya harap tidak.
Selepas PRU 2013 lalu Setiausaha Agung PKR menegluarkan kenyataan:

“PAS dan DAP, menerusi Presidennya Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng masing-masing telah bersetuju supaya Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang untuk  diangkat sebagai Menteri Besar Selangor dan meneruskan khidmat cemerlang beliau menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.
KEADILAN dengan ini menyeru supaya keseluruhan rakyat Negeri Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya untuk terus menggembeling semangat kerjasama dan setiakawan antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit yang telah selama ini ditunjukkan, bagi terus memastikan agenda perubahan rakyat  dapat diteruskan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.”

Biarlah Tan Sri meneruskan khidmat cemerlang beliau itu.
Entah kenapa tiba-tiba saya teringat kisah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan isterinya yang mahu saya jadikan penutup posting ini:

Apabila Nabi Ismail pulang daripada berburu, seperti biasa dia bertanya sekiranya sesiapa datang datang mencarinya.
 Nabi Ismail : Ada sesiapa datang semasa aku tiada di rumah?

 Isteri : Ya, ada. Seorang tua yang baik rupanya dan perwatakannya sepertimu.
 Nabi Ismail : Apa katanya?

 Isteri : Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.
 Nabi Ismail : Apa jawapanmu?

 Isteri : Aku nyatakan kepadanya hidup kita dalam keadaan baik, tiada apapun yang kurang. Aku ajak juga dia makan dan minum.

 Nabi Ismail : Adakah dia berpesan apa-apa?
 Isteri : Ada, dia berkirim salam buatmu dan menyuruh kamu mengekalkan tiang pintu rumahmu.

 Nabi Ismail : Oh, begitu. Sebenarnya dialah ayahku. Tiang pintu yang dimaksudkannya itu ialah dirimu yang dimintanya untuk aku kekalkan.
 Isteri : Alhamdulillah, syukur.

Semoga kekal lah Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor dengan sokongan dan dokongan rakyat insyallah.

 

Sunday, February 09, 2014

Bagaimana apabila ada pemimpin yang lawan arus? (9/2/14)


Tarikh penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN Kajang telah pun ditetapkan pada 11 Mac ini manakala hari mengundinya pada 23 Mac 2014. Bagi PR oleh kerana kerusi DUN berkenaan ditandingi sebelum ini oleh PKR maka PKR lah diberikan peluang sekali lagi untuk bertanding dan menamakan calon. Malah calon PKR telah pun diumumkan oleh MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim iaitu Ketua Umum PKR sendiri Dato Seri Anwar Ibrahim.
PAS sendiri samada diperingkat negeri Selangor mahupun pusat melalui Presidennya telah mengeluarkan kenyataan dan penegasan bahawa akan membantu calon PKR mempertahankan DUN Kajang. Pada 3 Febuari lalu Presiden PAS mengeluarkan kenyataan:

“Bersesuaian dengan semangat dalam Pakatan Rakyat maka PAS Pusat dan PAS Negeri Selangor akan membantu jentera pilihan raya PKR berdasarkan kepada keperluannya dalam menghadapi PRK ini.”
Walaubagimanapun kenyataan di atas turut dikeluarkan berserta satu keratan penegasan yang merupakan sikap dan pendirian PAS mencerminkan kehendak dan kemahuan akar-umbi khasnya dari negeri Selangor sendiri apabila Presiden PAS dalam kenyataan yang sama turut menyebut:

“Dalam pada itu juga, ingin dipertegaskan bahawa isu kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor adalah tidak berbangkit.”
Kenyataan Presiden ini dibuat setelah mempengerusikan mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihanraya PAS Pusat, bermakna ia keputusan peringkat tertinggi parti dan dicapai secara syura sekaligus merupakan sikap dan pendrian PAS.

Malah pada malam yang sama Dewan Pemuda PAS Pusat turut bermesyuarat dan atas nada dan semangat yang sama mengeluarkan kenyataan:
“Dewan Pemuda PAS Malaysia akan turun membantu PKR dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 Kajang atas semangat kebersamaan dalam Pakatan Rakyat.”

Pemuda PAS Pusat turut berpendirian:
"Pemuda PAS Malaysia mendesak agar isu Menteri Besar Selangor dihentikan segera kerana rakyat Malaysia sudah muak dengan polemik politik yang tidak berkesudahan. Polemik Kajang ini tidak perlu mengheret Pakatan Rakyat membincangkan isu Menteri Besar Selangor yang baru, kerana ia akan menjejaskan isu kebajikan rakyat. Kesediaan Pemuda PAS untuk bersama-sama turun di Kajang tidak bermakna ianya turut menyokong sebarang perubahan di dalam kepimpinan kerajaan negeri Selangor khususnya kerusi menteri besar.”

Dan beberapa hari kemudian iaitu pada 7 Febuari 2014 Dewan Ulamak PAS Pusat pula telah mengadakan mesyuarat bulanannya dan mengeluarkan kenyataan berikut:
“Dewan Ulamak PAS Pusat mengalu-alukan keputusan Lajnah Politik PAS Pusat sepertimana kenyataan Presiden bahawa PAS Pusat dan PAS Selangor akan membantu PKR dalam PRK Kajang berdasarkan keperluan.”

Dewan Ulamak turut menegaskan:
“Dewan Ulamak PAS Pusat juga menegaskan bahawa isu Menteri Besar Selangor tidak perlu dibangkitkan dalam PRK Kajang dan kemenangan PRK Kajang tidak menjadi jambatan untuk pertukaran MB sedia ada”.

Kenyataan-kenyataan di atas adalah keputusan yang dibuat PAS dan oleh kerana ianya keputusan peringkat tertinggi maka sewajarnya ia dipatuhi dan dihormati lebih-lebih lagi oleh ahli dan pimpinan PAS disemua peringkat.
Meminjam kata-kata YB Ustaz Idris Ahmad yang bertanggungjawab dalam bab tarbiyah PAS:

“Sabda Rasulullah SAW “Berjamaah itu rahmat, berpecah itu adalah azab” . Demikianlah hadis Rasululah SAW yang memperingatkan kepada kita terutama kita sebagai anggota jamaah Islam yang dipayungi oleh Parti Islam Semalaysia. Hadis ini menunjukan bahawa dalam kerja Islam kita perlu buat secara berjamaah, bukan bekerja seorang diri walaupun kita bijak.”
Benar dalam kepanasan polemik menjelang PRK Kajang rakan-rakan dari PKR telah mengeluarkan apa yang dinamakan “Rencana Kajang” dimana antara agenda rencana berkenaan adalah menaikkan Dato Seri Anwar Ibrahim kelak menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor melalui PRK Kajang.

Ternyata rencana berkenaan mengundang pelbagai reaksi dalaman diperingkat PKR dengan Tan Sri Khalid Ibrahim berterang-terangan menafikan akan mengosongkan kerusi MB nya.
Apa pun, samada popular atau sebaliknya rencana berkenaan, itu merupakan agenda kawan-kawan kita. Bagi PAS berdasarkan keputusan dan kenyataan-kenyataan di atas, jawatan MB tidak menjadi isu. Ia kekal dan tidak wajar berlaku pertukaran hatta melalui PRK ini sekalipun.

Mungkin ada yang berpandangan yang PAS tidak sealiran dengan arus perdana yang mahukan kejayaan “Rencana Kajang” itu. Apa pun anggapan sebagai sebuah badan politik dan rakan dalam PR PAS berhak mengeluarkan pandangan dan pendriannya atas apa jua isu dan ia sewajarnya dihormati lebih-lebih lagi oleh kawan-kawannya.
Tetapi posting saya ini dibuat bukan untuk menonjolkan perbezaan sikap antara PAS dan PKR, itu lumrah dalam mana-mana pakatan politik dimana-mana pun. Bagaimana ia diselesaikan, terpulanglah pada kebijaksanaan bersama. Apa yang saya mahu bangkitkan adalah beberapa kenyataan pimpinan tertinggi PAS kebelakangan ini yang kelihatan menyokong “Rencana Kajang” sekaligus membelakangkan keputusan yang telah dibuat oleh partinya sendiri.

Dr Dzulkefly Ahmad, AJK Pas Pusat, contohnya telah mengeluarkan rencana “Mengapa saya menyokong Rencana Kajang”. Rencana ini terang-terangan membelakangkan malah tidak menghormati sikap dan pendirian PAS yang telah dibuat sebelum ini.
Sebagaimana kata YB Ustaz Idris di atas: “…..dalam kerja Islam kita perlu buat secara berjamaah, bukan bekerja seorang diri walaupun kita bijak.”

Apa pun kita perlu hormati, terima dan pertahankan keputusan sikap dan pendirian parti kita sendiri begitulah yang ditarbiyahkan oleh parti terhadap kita. Tak kiralah kita ahli tiada berjawatan dalam parti apalagi kiranya kita berjawatan.
Kesimpulannya saya kongsi seterusnya kenyataan YB Ustaz Idris Ahmad semoga menjadi iktibar kepada kita yang sayangkan parti dan jamaah PAS ini:

Rasulullah SAW sebagai manusia yang paling bijak di kalangan makhluk Allah di atas muka bumi ini, baginda tidak lupa dalam gerak kerja baginda. Baginda tetap membuat satu kerja dengan berjamaah. Sebab itu Rasulullah (SAW) telah membentuk jamaah awal di rumah al-Arqam Abi Arqam. Ini hendak menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mengajar kita dalam melaksanakan kerja Islam ia perlu berjamaah. Sebab itu Pas sebagai sebuah jamaah yang tersusun rapi dengan mempunyai skil kepimpinan yang mantap, tidak pernah mengabaikan hal ini.

Alim macam mana sekalipun, warak macam mana sekalipun ia tidak boleh membuat keputusan secara persendirian. Kerana Pas ini parti Islam, ia bukan “parti Turperware”. Apa taraf sekalipun dan apa kelulusan sekalipun dan apa pangkat sekali pun ia tidak boleh buat keputusan secara sendiri. Inilah yang baginda ajar kepada umatnya.

 

Tuesday, February 04, 2014

Kekal DUN Kajang dan kekal MB Selangor (4/2/14)


Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang telah mengeluarkan kenyataan bahawa PAS atas semangat Pakatan Rakyat akan membantu jentera pilihanraya PKR “berdasarkan kepada keperluannya” dalam Pilihanraya Kecil kajang nanti.
Dan sehubungan itu Presiden PAS turut menegaskan bahawa kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor “adalah tidak berbangkit”.

Sekali lagi PAS selaku rakan dalam Pakatan Rakyat telah mempamirkan kematangan dan kebesaran jiwanya meraikan kawan-kawannya walaupun hakikatnya, semua tahu dan telah pun dilaporkan, isu PRK Kajang ini dibuat dengan begitu pantas dan senyap-senyap tanpa pengetahuan pihak tertinggi
Kerusi N25 DUN Kajang adalah kerusi PKR, lantas benarlah Presiden PAS, oleh kerana akan berlaku pilihanraya kecil di sana ekoran kekosongan kerusi, dan PKR telah mengisytiharkan calonnya akan bertanding, selaku rakan dalam PR PAS akan datang membantu berdasarkan keperluan, apa saja dihajati PKR nanti.

Sudah pasti juga sebagaimana PKR, Pas juga mahu kerusi ini terus berada dalam genggaman PR dan tidak jatuh ke tangan BN.
Namun yang pentingnya bagi Presiden PAS, pilihanraya kecil ini tidak sekali-kali melibatkan jawatan Menteri Besar Selangor. Apabila menegaskan bahawa jawatan MB Selangor “tidak berbangkit” bukannya “tidak berbangkit lagi” bermakna Presiden PAS akur dengan desakan PAS Selangor bahawa seharusnya kekosongan kerusi DUN Kajang adalah isu dalaman PKR dan tidak ada kena mengena dengan jawatan dan kedudukan MB Selangor (sila rujuk kenyataan SU Perhubungan PAS Selangor).

Sesungguhnya hubungan Pakatan Rakyat yang merangkumkan PAS, PKR dan DAP ini akan kekal kukuh dan harmoni kiranya semua pihak matang dan berbesar jiwa dalam mengharungi pakatan persahabatan ini. Pakatan ini mampu berdiri tegak dan bergerak kerana didukung oleh kekuatan bersama PAS, PKR dan DAP bukannya kekuatan individu atau satu kelompok dan puak sahaja.
Semoga Dato Seri Anwar Ibrahim mengekalkan kemenangan PR di Kajang dan Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai MB Pakatan Rakyat Selangor.

Monday, February 03, 2014

Jika kosong berilah peluang pada PAS pula (3/2/14)


Bukan hanya di Selangor tetapi seluruh Negara hari ini isu kekosongan kerusi di kawasan Dewan Negeri Kajang, Selangor hangat diperkatakan. PKR dijangka melancarkan jentera pilihanrayanya malam ini manakala PAS Pusat pula akan memanggil mesyuarat Lajnah Politiknya.
Yang jelas ADUN Kajang, CC Lee dari PKR telah pun meletakkan jawatannya dan Speaker Selangor telah pun memaklumkan SPR berkenaan kekosongan itu.

PKR pula melalui MB Tan Sr Khalid Ibrahim telah pun mengumumkan bahwa PKR akan bertanding meletakkan Ketua Umumnya Dato Srri Anwar Ibrahim sebagai calon.
Ada yang merasakan pilihanraya kecil ini tidak perlu. Ada pula yang menggambarkan pilihanraya kecil ini bakal menjadi anjakkan besar ke arah perubahan lanskap politik bukan hanya di Kajang dan Selangor malah seluruh Negara! Ada yang mengatakan ianya pembaziran sedang kita sedang melawan isu yang sama. Ada pula yang mengatakan PRK ini suatu ikhtiar besar PKR dan PR ke arah menyelamatkan Selangor dan melangkah ke Putrajaya.

Apa pun PRK ini bakal diumumkan tidak berapa lama lagi oleh SPR dan PR perlu bertanding mengisi kekosongannya.
Oleh kerana kerusi telah kosong maka suka tak suka ia perlu diisi. Oleh kerana yang kosong kerusi PKR maka suka tak suka calonnya nanti dalam PRK ini adalah dari PKR juga. Lalu sebagai kawan suka tak suka semua pihak dalam PR terpkasa turun membantu.

Masalahnya PRK ini bukan sekadar mengisi kekosongan kerusi DUN Kajang tetapi lebih daripada itu yang bertiup kencang adalah ianya bagi memberi laluan ke arah calon yang memang nanti melompat ke kerusi tertinggi pentadbiran negeri, walaupun ada pihak yang nafi dan ada yang membenarkannya, jawatan MB dikatakan akan menjadi rebutan calon PR yang menang nanti.
Jika benar maka di sinilah letaknya kontroversi yang melanda Selangor.

Isu dalaman PKR itu hal PKR yang saya kira mampu dan boleh mereka selesaikan. Kalau menurut The Star hari ini ia sehingga membabitkan formula mengeluarkan Tan Sri Khalid dari kerusi MB dan Azmin Ali dari kerusi DUN nya di Bukit Antarabangsa, rumit namun itu masalah PKR dan sekali lagi saya yakin mereka boleh atasinya.
Yang kontroversinya adalah apabila dikatakan pemilik kerusi Kajang kelak bakal dinobatkan menjadi MB Selangor!

Kalau kita amalkan politik “tak kisah” dan politik “ lantak-melantak”, mirip macam soldadu kisah si Luncai, amalan yang sengaja saya reka, memang masing-masing akan tolak fakta dan realiti serta mengaku dan taat pada apa sahaja yang diputuskan oleh orang yang paling vokal dan “berkaliber”.
Tak mengapalah kalau ADUN Kajang yang baru mahu dijadikan MB – “bairkan-biarkan”. Tak mengapalah kalau MB Selangor diwakili oleh parti paling kecil perwakilannya dalam PR Selangor – “biarkan-biarkan”.

Tetapi politik PR bukan politik si Luncai, politik PR adalah politik Malaysia, politik yang membawa harapan dan pentafsiran baru mendaulatkan suara ramai mematikan amalan kronisma, korupsi dan nepotisma. Menjulang demokrasi dan hak asasi serta hak sama rata.
Di Selangor PAS dan DAP punya 15 kerusi masing-masing manakala PKR 14. Di Selangor pada PRU lalu kita berkempen mengekalkan Tan Sri Khalid sebagai MB, rakyat diberitahu darihal kewibawaannya, kebolehannya, kemampuan dan pengalamannya. Tiba-tiba hari ini ada gerakkan yang mahu singkirkan Tan Sri Khalid.

Kalau ianya gerakan dalaman PKR, itu hak mereka. Tetapi hakikat bahawa kekosongan MB itu mahu diisi, maka demi agenda politik besar PR yang sama-sama kita julang, hak perlu diberikan kepada rakan konsgi terbesar untuk mengemukakan calon. Dalam hal ini DAP dan PAS perlu diberi peluang, bukannya kerana gila kuasa, tetapi kerana menghormati suara terbanyak.
DAP kesemua 15 ADUN nya terdiri dari bukan Melayu/ Islam, maka dari segi teknikalnya, menurut Perlembagaan Negeri, kesemua mereka tidak layak. Walaubagaimanapun kesemua 15 ADUN PAS menepati syarat kelayakan, dan oleh itu PAS selayaknya diberikan hak untuk menamakan calon kecualilah PAS tidak mahu dan bersetuju memberi laluan.

PAS telah bertarung hampir 63 tahun termasuklah di bumi Selangor, meletakkan calon sejak seawal PRU Persekutuan 1955 termasuk di Selangor (antara calon terawal ketika itu adalah Almarhum Prof Zulkiflee Muhammad). PAS menghadapi tekanan, ujian, penindasan berdekad-dekad berjuang dan berhempas pulas di Selangor. Ahli-ahlinya berjihad siang dan malam membongkar tanah, membajak dan menyemai benih bagi menyuburkan tanah Selangor. Ketika rakyat membenci takut pada parti selain Perikatan dan BN, PAS sudah berada di sana, bekerja meyakinkan rakyat.
Dari PRU 1959 hingga kini, dari tiada perwakilan sehinggalah muncul sebagai Ketua Pembangkang 1999 (PAS 4 PKR 1 DAP1), membentuk kerajaan Pakatan Rakyat 2008 (PAS 8, DAP 13, PKR 15) dan kini 2013 (PAS 15, DAP 15, PKR 14) PAS konsisten samada bersendirian ataupun berpakat dengan kawan-kawan menjunjung dan meneruskan perjuangan di Selangor dan seluruh Malaysia.

Allah mentakdirkan sejak PRU 1990 sehinggalah kini tiada mana-mana wakil PAS di negeri-negeri atau Parlimen yang telah melompat berpaling tadah meninggalkan perjuangan!
Oleh itu demi menghormati PR, demi menghormati pengorbanan dan jasa masing-masing rakan dalam PR, suka tak suka sepatutnya apabila berlaku kekosongan kerusi MB dalam senario Selangor hari ini, peluang pertama perlulah diberikan kepada PAS untuk menamakan calonnya. Kita bukan berpandukan keputusan 2008 ketika PAS rakan terkecil dengan 8 kerusi cuma, tetapi kita perlulah berpandukan keputusan terkini 2013 dimana, hari ini PAS punya 15 kerusi.

Ianya bukan keterlaluan atau radikal tetapi ia fakta dan PR perlu berbesar hati menunjukkan kepada rakyat jelata bahawa ia menghormati fakta dan realiti.
Semoga kesepakatan dan perpaduan dalam PR terus kekal.