Beberapa rang undang-undang telah dibentangkan di Dewan
Rakyat semalam sebagai sebahagian dari langkah kerajaan memperketat dan memperkemaskan
lagi pencegahan jenayah dalam Negara dikala rakyat jelata berhadapan dengan
kes-kes jenayah yang semakin menjadi-jadi.
Saya percaya ianya akan lumat dibahaskan oleh ahli-ahli
parlimen dan semoga sesuatu yang bermakna dapat dicapai dan yang paling penting
keselamatan dan kesejahteraan rakyat dapat dijamin.
Saya sempat membaca beberapa cadangan baru yang dikemukakan,
ada yang boleh diterima, ada yang barangkali perlu diperhalusi namun ada juga
yang saya nampak agak “keterlaluan” dan sewajarnya ditolak.
Pindaan terhadap Kanun Keseksaan yang menjadikan satu
kesalahan jenayah bagi sesiapa yang menghina, memusnahkan, memijak atau
membakar jalur gemilang adalah sesuatu yang patut, memandangkan ianya merupakan
bendera rasmi Negara yang sewajarnya dihormati oleh semua. Akan tetapi
memasukkan juga tindakan yang sama terhadap bendera Negara asing (foreign
nation) bagi saya adalah keterlaluan.
Kita hormat dan mendaulatkan Negara kita, manakala bagi Negara
asing, mereka yang berdamai dan berbaik-baik dengan kita, kita hormati. Namun
jika ada yang mencari masalah dengan kita, contohnya Negara “Haram” Israel yang
menjajah dan menzalimi bumi dan rakyat Palestin, tidak ada sebab untuk kita
menghormati mereka apalagi bendera mereka.
Kita mungkin berhadapan dengan contohnya Amerika Syarikat
yang menghina agama, Negara atau rakyat kita. Ketika itu tidak ada sebab kita
menghormati mereka. Sikap kita itu paling dekat kita zahirkan dalam tidak
menghormati bendera mereka. Takkanlah ketika itu ianya menjadi satu kesalahan
jenayah!
Kalau rakyat kita pijak dan menghina jalur gemilang, beliau
itu memang biadap, dan sewajarnya diambil tindakan, akan tetapi apabila rakyat
kita bertindak demikian terhadap bendera Negara asing yang memusuhi kita atau
rakyat kita atau kepentingan kita atau agama kita, menjadikan tindakan memijak
bendera Negara itu atau mebakarnya sebagai suatu kesalahan jenayah bagi saya “tidak
masuk akal”.
Oleh itu dalam bab ini saya mohon ahli-ahli Parlimen kita
samada dari kerajaan mahupun pembangkang, agar menolaknya sama-sekali, kecuali
yang melibatkan bendera Negara kita sendiri.
No comments:
Post a Comment