Tuesday, September 17, 2013

Ada pemimpin PAS yang bela Chin Peng? (17/9/13)


PAS menolak perjuangan komunisma kerana ianya bertentangan dengan akidah Islam. Malah mereka yang mendokong perjuangan inilah yang telah ditentang oleh kebangkitan gerakan Islam di Afghanistan satu ketika dahulu apabila komunis Rusia menaikkan kerajaan boneka di sana. Gerakan Islam inilah kemudiannya dikenali sebagai Mujahideen Afghanistan.
Gerakan Islam tidak pernah berkerjasama dengan komunis, malah mereka adalah musuh tradisi lantangan terangnya perbezaan antara fahaman keduanya.

Mana-mana regim yang menganuti faham ini sudah pasti akan menekan dan menindas rakyatnya yang beragama Islam. Ini telah terbukti dikebanyakkan Negara komunis termasuklah di Cina dimana jutaan umat Islam ditindas sehingga hampir-hampir hilang pegangan mereka kecuali dikalangan mereka yang istiqomah.
Oleh itu apabila diumumkan semalam kematian bekas Setiausaha Agung Partai Komunis Malaya atau PKM (CPM) Chin Peng di Bangkok, ramai yang menarik nafas lega.

Chin Peng dan PKM semasa berjuang samada secara aman mahupun ketika mengangkat senjata, bercita-cita mahu menegakkan Negara komunis di sini mirip sebagaimana komunis “Mao” Cina. Bayangkan jika mereka berjaya di dalam perjuangan mereka itu, apa bentuk dan rupa Negara kita hari ini? Apa nasib umat Islam hari ini?
Saya tidak boleh terima jika ada yang menganggap bahawa Chin Peng dan PKM merupakan pejuang kemerdekaan Negara. Kalau Negara ini mahu dimerdekakan ala komunis, sudah pasti umat Islam tidak dapat menerimanya dan tidak mustahil sebagaimana di Afghanistan yang pernah kita saksikan, mujahideen akan bangkit di sini.

Lantas apabila berita kematian Chin Peng itu tersebar, kita tidak hairan apabila mereka yang sehaluan dengan Chin Peng atau sekurang-kuranya ada anutan sosialisma dalam darah daging perjuangan mereka menyatakan simpati. Mereka inilah sebaris dalam menuntut agar mayat bekas pengganas nombor satu Negara itu dibenarkan dibawa pulang ke tanahair untuk pengkebuamian.
Dr Nasir, Dr Jeyakumar dari PSM telah pun mengeluarkan kenyatan simpati dan mohon agar mayatnya dibenarkan kembali, begitu juga Lim Kit Siang.

Tetapi apabila ada pemimpin PAS yang turut serta memohon agar mayat mendiang dibenarkan dibawa pulang ke Negara, saya rasa janggal. Bagaimana seorang pemimpin gerakan Islam boleh begitu, sedangkan dia pasti akur akan gerakan dan aktiviti Chin Peng dan dasar serta matlamat perjuangan mendiang!
PAS bertungkus lumus membawa masuk wakil-wakil Mujahideen Afghanistan semasa muktamarnya berdekad dahulu, semata-mata mahu menyatakan simpati dan komitednya PAS dalam perjuangan menghapuskan komunis di Afghanistan yang kejam dan zalim itu. Saya ingat pernah mendengar pidato berapi-api dari Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor ketika itu, mencerminkan betapa bencinya PAS khasnya Islam terhadap perjuangan komunis.

Tiba-tiba apabila pemimpin nombor satu komunis dalam Negara meninggal dalam buangan, pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan meminta agar mayatnya dibawa pulang, apa dah jadi ni?!
Kalau kita baca akhbar The Star hari ini, seorang wartawan akhbar berkenaan yang hadir ketika Chin Peng dan beberapa pemimpin PKM menandatangani Perjanjian Damai dengan kerajaan di Haatyai, melaporkan bahawa beliau pernah bertanya Chin Peng yang ketika itu ditemanio Rashid Maidin dan pemimpin PKM Lain adakah mereka telah meningalkan fahaman komunis melalui perjanjian ini, Chin Peng berkata : “Tidak”. Mereka hanya meninggalkan perjuangan bersenjata namun ideologi komunisma kekal dalam darah daging mereka.

Kini Chin Peng telah tiada, biarlah beliau disemadikan di Thailand, tempat beliau meninggal dunia.
Pemimpin PAS tadi mesti mengeluarkan penjelasan bahawa kenyataannya itu adalah pandangan peribadi beliau dan bukan mewakili PAS sekurang-kurangnya orang-orang PAS boleh menilai beliau.

(Hairan ketika Rashid Maidin meninggal di Thailand, tidak pula pemimpin tadi minta supaya Allahyarham dikebumikan di sini)

1 comment:

Anonymous said...

kominis dan britis sama saja tukang pelingkup Islam kat negara kita nampak macam britis bagi Islam diamalkan tetapi bukan semua.kalau bukan semua rosak sudah perjalanan syariat Islam itu yang agen yahudi mau britis lakukan.kalau musuh Islam tetap musuh Islam walaupun lagak baik.awas.