Jangan jaki pada kami di Selangor
Ternyata walau ditohmah diserang dan diancam bertalu-talu, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor kekal bertahan dan kini usianya melangkau 2 tahun. Dari perkembangan semasa kerajaan negeri ini dijangka dapat terus bertahan sehingga ke penghujung penggalnya dan tidak mustahil akan terus bertahan dengan izin Allah dan sokongan rakyat untuk banyak ppenggal lagi berikutnya.
Kesepakatan parti-parti PAS,PKR dan DAP negeri ini yang membentuk kerajaan negeri bersama, semakin kukuh lantaran persefahaman, tolak-ansur dan hormat-menghormati yang berjaya dibentuk bersama sepanjang usia 24 bulan itu khasnya dikalangan pimpinan tertingginya.
Walaupun pada awalnya kelihatan seakan goyah, namun ia sekadar suatu proses pendidikan dan orientasi yang kini semakin mematangkan ketiga-tiga pihak, suatu pencapaian yang terus digeruni oleh musuh yang semakin berputus-asa. Memang ramai yang dengki dan jaki pada ikatan setiakawan ini, mereka memang bernafsu mahu merogkai dan mencerai-beraikkannya lantaran kepentingan politik dan peribadi, apa sahaja peluang akan diperkosa demi melihat PR Selangor berkecai, tetapi sehingga kini mereka gagal.
Konvensyen Pakatan Rakyat Selangor baru-baru ini menegaskan kesungguhan semua pihak dari pimpinan tertinggi PAS, PKR dan DAP negeri sehinggalah kepimpinan akar-umbi di Selangor, bahawa kerajaan ini akan terus diperkasa, dipertahan dan terus melangkah ke hadapan untuk membela dan mepertahankan nasib dan kebajikan rakyat Selangor.
Minggu lepas di Dewan Rakyat seorang ahli parlimen MCA dari Johor, dalam ucapannya cuba merendahkan pencapaian kerajaan PR Selangor. Katanya 20 meter padu pertama air percuma yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor kepada rakyatnya tidak mencapai matlamatnya keranan kononnya hanya orang-orang kaya yang merasainya sedangkan orang miskin yang tinggal di rumah-rumah pangsa tidak merasainya.
Ini satu contoh “politik dengki” yang merupakan amalan pimpinan BN dimana-mana peringkat pun. Air percuma yang merupakan sebahagian dari program MES atau Merakyatkan Ekonomi Selangor itu memang bermaksud buat semua rakyat Selangor lebih-lebih lagi pada golongan miskin.
Masalahnya ia hanya dapat diberi pada mereka yang memiliki meter individu, dirumah-rumah pangsa dan apartmen, pihak pengurusan yang menguruskan kediaman jenis ini biasanya menyediakan meter pukal, lantaran itu skim ini tidak dapat dilaksana. Kerajaan negeri memang faham akan masalah ini dan tidak berpeluk tubuh membiarkan ia begitu sahaja. Usaha memindahkan meter pukal kepada meter individu dengan kerjasama agensi yang berkenaan telah pun bermula secara berperingkat-peringkat.
Dalam Konvensyen PR Selangor baru-baru ini selaku pembahas, saya ada menyentuh isu ini apabila saya menyebut:
“Kita yakin program MES ini mendapat sambutan luar biasa dari rakyat Antara kandungan program ini adalah 20 meter padu pertama air percuma kepada rakyat yang memiliki meter individu. Ini bagi sesetengah pihak mungkin kecil, tetapi kesannya sangat dirasai oleh rakyat di bawah. Saya menyeru agar usaha merobah meter-meter pukal kepada meter individu khasnya di rumah-rumah pangsa dan apartmen, lubuk penyokong-penyokong kita disegerakan supaya pemberian kerajaan PR ini dapat dirasai oleh semua.”
Sehingga kini menurut rekod kerajaan negeri telah berbelanja lebih RM166.7juta dalam memberi air percuma ini yang dirasai oleh lebih 1.5juta pemilik meter individu.
Ahli Parlimen BN itu harus sedar bahawa 1.5juta pemilik yang dimaksudkan itu bukan hanya dari PAS, PKR dan DAP malah termasuk penyokong dan pengundi BN di Selangor!
Rakyat Selangor sedar walaupun sumbangan kerajaan negeri ini mungkin kecil tetapi ia bermakna dan yang lebih penting lagi kerajaan dahulu yang kononnya mempunyai tradisi membela rakyat tidak pernah pun terfikir mahu memberi air percuma pada rakyatnya malah Selangor merupakan negeri pertama di Malaysia yang berbuat demikian.
Saya yakin kiranya kerja-kerja memindahkan meter pukal ke meter individu yang sedang dilaksana berperingkat-peringkat itu dapat selesai sebelum hujung penggal ini, rakyat akan terus bersama PR di Selangor dan BN akan terus menggigit jari entah sampai bila.
Itu baru satu dari program MES, dan MES merupakan satu dari banyak lagi program, projek dan aktiviti yang kerajaan PR Selangor atur dan sediakan buat rakyatnya.
Kerajaan maju, bersih dan berkebajikan ini terbukti adalah pilihan terbaik rakyat di Selangor dan insyallah akan dituruti oleh rakyat negeri-negeri lain yang terus sengsara bawah BN.
1 comment:
"Kerajaan maju, bersih dan berkebajikan ini terbukti adalah pilihan terbaik rakyat di Selangor dan insyallah akan dituruti oleh rakyat negeri-negeri lain yang terus sengsara bawah BN."
Bang..kilang arak kat selangor tu bila nak tutup? dah 2 tahun dah ni..
Post a Comment