Monday, March 22, 2010

Bersatu membentuk masyarakat bertaqwa

Jumaat lepas saya sempat mengikuti satu program ibadah yang diaturkan oleh Pejabat EXCO Agama Selangor buat kakitangan Islam di salah sebuah PBT di Selangor. Para pegawai PBT berkenaan berhimpun dari Maghrib untuk solat berjemaah bersama EXCO Agama Dato’ Dr Hasan Mohd Ali. Kemudiannya mereka mengikuti tazkirah ringkas oleh Dr Hasan dan disambung dengan kuliah maghrib oleh pensyarah jemputan Ustaz Othman Ibrahim.

Selepas Isyak mereka bersurain dan berhimpun semula jam 4.00pagi keesokkan hari di sebuah masjid berhampiran untuk mengikuti program Qiyamullail yang dipimpin oleh Ustaz Othman Ibrahim. Pimpinan dan pegawai PBT berkenaan hadir dari jam 4.00pagi itu ditemani Dr Hasan.

Saya lihat ramai yang teresak-esak sebak dan hiba mengikuti program pimpinan Ustaz Othman itu. Kemudian selepas solat Subuh Dr Hasan telah memberikan kuliah subuh dan majlis berakhir sekitar jam 7.00 pagi.

Apa yang mahu saya tonjolkan disini adalah kelainan yang dirasai oleh kakitangan PBT itu. Sebelum ini tidak pernah pun mereka terfikir akan ada pimpinan kerajaan negeri yang akan turun memimpin program ibadah bersama mereka sehari suntuk.

Salah seorang pegawai kanan PBT itu menyatakan pada saya inilah kali pertama beliau menghadiri program seumpama ini dan beliau akan berpencen tahun ini. Pada beliau program ini sungguh berkesan dan beliau gembira berpeluang mengikutinya.

Saya difahamkan program ini akan diaturkan disemua PBT secara bergilir-gilir, matlamatnya untuk melatih kakitangan PBT agar berjinak dengan amalan yang baik mudah-mudahan mereka terbentuk menjadi kakitangan kerajaan yang bertaqwa.

Inilah peranan yang perlu dimainkan oleh semua pihak khasnya pimpinan dan ahli PAS di Selangor agar program-program keagamaan dapat diserapkan kepada semua dengan harapan akan melahirkan rakyat yang bertaqwa dan bersih di Selangor ini. Tanggungjawab ini bukan terletak pada mana-mana satu EXCO tetapi pada kita semua yang sedia ditarbiyah untuk memanjangkan kerja-kerja Islam ini.

Selangor bawah Pakatan Rakyat akan kekal stabil kiranya rakyatnya berdisiplin dan bertaqwa. Kalau umat Islam di Selangor ini cemburu pada agamanya, maka Islam akan terpelihara. Jika Islam terpelihara seluruh negeri termasuklah rakyat bukan Islam akan turut merasa selamat. Yang payahnya jika umat Islam hanyut dan lalai, ketika itu semua orang, Islam dan bukan Islam akan terdedah kepada ketidak-stabilan, kacau-bilau dan porak-peranda.

Ayuh jalankan tugas kita, kurangkan bercakap lebihkan bekerja.

1 comment:

PELEKAT PENYERAP TOKSIN said...

Perkembangan yg sangat baik di selangor. Saya kira tidakan yg cepat dan pantas bg memberikan satu kelainan pd rakyat