Tuesday, June 30, 2009

Mari berfikir untuk Islam

Baru-baru ini saya sempat mengikuti satu pasukan penguatkuasa yang terdiri dari Jabatan Penguatkuasa MPSJ dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang telah menyerbu dua buah kedai tikam nombor di USJ1 Subang Jaya. Kedua-dua premis judi ini dilesenkan oleh kerajaan Pusat dan memperolehi lessen niaga (premise license) dari MPSJ.

Serbuan bukannya ke atas premis tetapi ke atas para pembelinya yang beragama Islam.Menurut Enakmen Jenayah Syariah Selangor, orang Islam yang didapati berjudi adalah melakukan kesalahan dibawah peruntukkan ini dan boleh dijatuhkan hukuman. Apabila kami tiba pada hari tersebut memanglah ramai pembeli yang sedang beratur untuk membeli nombor dan ada yang baru mahu keluar dengan nombor tikaman masing-masing.

Apa yang saya mahu tonjolkan di sini adalah gelagat salah seorang yang telah ditangkap. Si pemuda Melayu ini marah-marah apabila ditahan oleh para pegawai pengutakuasa, menjerit-jeritmahu tahu apa kesalahannya. Lalu seorang pegawai JAIS memaklumkan beliau ditangkap kerana berjudi.

Dan pemuda tersebut dengan selamba tetapi penuh yakin berkata lebih kurang bahawa jika ini dosa maka ianya antara beliau dengan Tuhan, mengapa pihak berkuasa mahu sibuk-sibuk. Malah beliau mengaku bahawa beliau berjudi untuk mendapatkan wang tambahan, katanya kalau beliau susah apakah JAIS bersedia membantunya!

Inilah realiti masyarakat kita hari ini. Belasan orang yang beragama Islam telah ditahan pada hari itu dan jumlah yang sama berjaya membolos diri.

Siapakah yang bersalah dalam hal ini? Dimanakah kelemahan kita?

Memang jika ditanya mereka yang kuat mengkritik saya percaya soalan pertama yang akan dihamburkan adalah mengapa PBT terus memberi lessen perniagaan kepada kedai-kedai judi ini, mengapa tidak ditutup terus deperti di Kelantan.

Hakikatnya kedudukan politik di Kelantan berbeza dengan di Selangor, walaupun PAS (8 kerusi) bersama membentuk kerajaan di Selangor, namun ianya kerajaan campuran bersama rakan-rakan lain iaitu PKR (15 kerusi) dan DAP (13 kerusi). Tetapi itu bukan alasan untuk kita tidak berfikir bagaimana mahu melaksanakan amr makruf nahi mungkar.

Kita menghormati kehendak dan sensitiviti politik kawan-kawan kita, namun ini tidak bermakna kita tidak boleh melakukan tugas dan kerja kita. Cumanya kita perlu memperkasakan jabatan-jabatan tertentu agar penguatkuasaan khasnya terhadap umat Islam dapat dipertingkatkan.

Umno BN telah mewariskan kita Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang mereka luluskan tetapi tidak berdaya menguatkuasakan. Umno jangan cabar-cabar PAS kenapa tidak buat Islam sedangkan mereka juga Islam mengapa judi, arak dan maksiat lain terus kekal semasa mereka memerintah dahulu.
Demi menghormati kawan-kawan kita dalam Pakatan Rakyat kita beri tumpuan terhadap rakyat yang beragama Islam. Matlamatnya bukan menghukum atau mengambil tindakan tetapi memelihara masyarakat dan ummah agar menjadi baik dan selamat dunia dan akhirat. Lalu semua pihak perlu gembeling tenaga ke arah itu. Dalam ruangkecil yang diberikan kita guna-pakai sepenuhnya undang-undang negeri ini agar berkuatkuasa sepenuhnya.

Dalam waktu yang sama para pendakwah kita terus perlu berperanan bukan sekadar di masjid-masjid dan surau-surau tetapi dimana sahaja tempat yang memungkinkah dakwah Islam disampaikan. Saya percaya si pemuda Melayu yang ditangakpdi USJ1 itu sudah berpuluh tahun tidak mendengar mesej Islam, kerja kita untuk memperbaiki “area” itu.

Begitu juga tindakan bersepadu antara Jabatan Agama dan PBT perlu terus dipertingkatkan. Jabatan Agama mungkin kekurangan pegawai, kita buat tindakan bersepadu dengan PBT agar kekurangan itu dapat disokong oleh pihak PBT.

Dalam pada itu pimpinan kita diperingkat wakil-wakil rakyat, ahli-ahli majlis, ketua-ketua kampung dan JKKK, JKP semuanya perlu menggunapakai kuasa dan ruang yang diberikan oleh jawatan masing-masing untuk menekankan aspek amar makruf nahi mungkar ini. Dalam isu pengharaman arak saya perhatikan sudah ada PBT-PBT tertentu yang telah bertindak proaktif menggunapakai enakmen yang sedia ada.

Di MPSJ contohnya semalam pihak majlis baru meluluskan garispanduan baru terhadap kelulusan lessen premis hiburan dan rumah-rumah urut. Antaranya mengambil dari semangat enakmen ini, semua premis hiburan yang dilesenkan menjual arak selepas daripada ini tidak lagi dibenarkan mengambil pekerja yang beragama Islam. Begitu juga rumah-rumah urut yang dilesenkan yang “unisex” (perempuan mengurut lelaki) tidak lagi dibenarkan mengabil pekerja yang beragama Islam. Lesen-lesen baru yang bakal dikelaurkan semuanya akan mengenakan larangan ini,

Inilah perkara-perkara yang perlu kita fikirkan sebagai sumbangan kita semua terhadap membawa perjuangan Islam di negeri ini setelah kita punya saham berkuasa. Memang idealnya kita mahukan semua premis ini ditutup, judi diharamkan dan lain-lain, tetapi kita perlu mendakap reality yang ada. Apa pun kita jangan berpeluk tubuh tetapi terus bekerja mencari ruang dan peluang yang ada untuk mempertahan dan memelihara Islam.

Mudah-mudahan kebaikan Islam nanti disedari dan mahi dokongsi bersama oleh semua, insyallah.

Monday, June 29, 2009

Camputangan Raja-raja Melayu dalam isu pertukaran agama

Pada 22 April lepas kabinet baru Najib Tun Razak memutuskan bahawa mana-mana satu pasangan samada suami atau isteri yang bukan Islam yang memeluk Islam dan jika punya anak, maka si anak atau anak-anak kekal menganut agama asal siibu atau bapa sehinggalah mencapai usia dewasa bila mana ia boleh memutuskan sendiri agama pilihannya.

Keputusan ini ternyata sungguh kontroversial, kerana selama ini ia tidak pernah begitu. Selama ini aqidah anak-anak akan turut dengan siibu atau sibapa yang Islam.

Akan tetapi keputusan kabinet ini menunjukkan seolah kerajaan tidak berminat membela atau mempertahankan Islam dan sebaliknya menyerahkan kepada pasangan yang bertikai untuk menyelesaikan sendiri masalah rumahtangga mereka. Benar dari satu sudut kita mahu memberikan keadilan kepada semua dan tidak mahu anak-anak menjadi mangsa krisis ibu-bapa, namun dari satu sudut lain, melalui keputsan ini kita seolah berlepas tangan, kita perjudikan aqidah anak-anak tadi kepada siibu atau sibapa yang tidak Islam.

Bagaimana jika apabila dewasa si anak tadi enggan memeluk Islam dan lebih selesa dengan kepercayaan siibu atau bapanya yang bukan Islam. Siapakah yang bertanggungjawab nanti?

Saya yakin ramai yang bimbang dengan keputusan ini dan ramai yang tidak dapat menerimanya. Kini hairan kenapa kabinet tiba-tiba tergiur ghairah untuk meluluskannya.

Alhamudulillah siang tadi, setelah harapan terhadap Islam terdampar di persimpangan jalan akibat keputusan kabinet itu. Apabila semua kelihatan terbantut dan dunggu dalam mahu menyelesaikannya tiba-tiba pihak istana terpaksa campurtangan.

Persidangan Khas Majlis Raja-raja Melayu yang berlangsung tadi di Istana Negara memutuskan bahawa pandangan Majlis Agama Islam Negeri perlu diperoleh terlebih dahulu berhubung cadangan pindaan undang-undang yang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan). Dengan camputangan Raja-raja Melayu ini juga bermakna apa yang diputsukan oleh kabinet itu tertangguh sehinggalah satu keputusan yang lebiih praktikal dan boleh diterima semua.

Selamatlah Islam dibawah pengawasan Duli-duli Tuanku.

Wednesday, June 24, 2009

Apa itu blog? (Bahagian 2)

Satu perkara yang penting yang perlu diinsafi oleh setiap penulis blog bahawa apa sahaja yang terkandung dalam blog mereka akan mencerminkan keperibadian, akhlak dan pendirian serta jatuh condongnya minat dan sokongan mereka berhubung satu-satu perkara atau isu.

Melalui blognya sipenulis atau pemilik blog akan menyuarakan isi hatinya berhubung satu-satu perkara. Disitulah ia bergelut dan bertarung menjelaskan sikapnya. Ada yang menulis dengan penuh adab dan cermat, idea dimajukan dalam bentuk yang sangat cantik dan senang dibaca. Manakala ada pula yang selesa mengemukakan hujah dengan bahasa yang pekat retoriknya, kasar, padat dengan maki hamun dan fitnah. Bahasa jiwa bangsa, jika comel dan sejuk bahasanya begitulah bangsanya jika hodoh begitulah juga ia.

Dalam dunia blog sebagaimana yang saya maksudkan sebelum ini andalah raja dunia anda. Tulislah berkenaan apa sahaja yang anda minat,ulaslah berkenaan apa sahaja, suarakanlah sesuka anda. Tetapi awas, kebebasan ada hadnya. Jika karya anda menyinggung, menyentuh peribadi sesiapa, fitnah dan seumpamanya, anda menanggung risiko pertanggungjawaban. Berani buat berani tanggung. Jika ada yang berasa tersinggung atau tidak senang hati, maka walaupun anda raja tetapi anda juga tidak terlepas dari tindakan mahkamah.

Tajamnya mesej blog ini, ia mampu mempengaruhi pandangan dan sikap pembaca. Yang suka dan minat akan terus mengunjungi blog anda manakala yang menyampah akan meninggalkannya, ada juga akan tembak melalui komentar yang terpulanglah kepada pemiliknya samada mahu membenar atau menolak. Malah silap-silap anda semakin dibenci dan tidak lagi dipercayai jika karya anda memanjang menabur fitnah dan mengadu-domba.

Dari pengalaman, blog anda jika padat bermaklumat, sentiasa dikemaskini, tajam analisa dan ulasannya,anda akan mencatat kunjungan yang ramai, kerana sesungguhnya blog ini bagai media alternatif. Mampu mengemukakan maklumat alternatif kepada sesiapa yang berminat.

Tetapi awas lain padang lain belalang, kadangkala walaupun niat dan tujuan kita ikhlas, jasa dan sumbangan anda besar, tetapi jika ada yang benci, tambah pula yang benci itu berkedudukan dan berpengaruh, anda mudah menjadi mangsa. Tetapi jika blogger tadi padat blognya dengan fitnah, pembohongan, maki hamun dan nista, namun ia punya rakan yang berkedudukan dan berpengaruh, ia tetap selamat. Maka dipinggirlah yang benar dan dijulang dan dilambunglah yang mungkar.

Rupanya dunia blog pun tidak sunyi dari pengaruh nafsu dan kelemahan manusia. Kerana itulah bagi saya apa pun halnya biarlah kita ikhlas, jika kita berblog untuk menyampaikan mesej perjuangan, berjuang untuk amar makruf nahi mungkar, terus begitu. Dalam hal ini teringat saya wasiat Almarhum Prof Zulkiflee Muhammad:

“Saya perlu memberitahu kepada saudara-saudara bahawa satu daripada syarat kejayaan bagi sesuatu turunan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa-apa, mungkin tidak kuat. Tetapi kalau keikhlasan ada pada kita, maka akan ada harapan cita-cita kita ini dapat kita laksanakan. Tetapi tidak ada gunanya jika kita cerdik, cerdas, pandai dan kuat sekiranya kita tidak ikhlas kepada apa yang hendak kita perjuangkan.”

Kota Bharu, 4 Mei 1964

Tuesday, June 23, 2009

Apa itu blog?

Ringkasan dari perkataan weblog. Menurut wikipedia ianya satu laman web yang dikawal dan dimiliki oleh seorang individu yang kerap mengemaskinikan lamannya dan dimuatkan juga komentar pengunjung. Ia biasa dalam bentuk karya tulisan dan boleh juga dimuatkan video atau grafik atau kesemuanya sekali.

Ringkasnya blog adalah sebuah laman web milik individu yang berupa dairi atau buku catitan harian peribadinya. Memuatkan apa sahaja yang diminati atau mahu diutara dan diketengahkan oleh pemiliknya tadi. Pemilik boleh memuatkan hal-hal politik, sastera, seni, hobi, fesyen, hiburan, kritik, masalah sosial dan apa sahaja yang terlintas difikirannya.

Oleh kerana blog adalah buku catitan peribadi di alam maya, maka terpulanglah pada pemiliknya untuk memuatkan apa sahaja yang mahu diisi ke dalam blognya itu. Ia tidak bermatlamatkan keuntungan oleh itu tidak terkawal dan boleh dikawal oleh sesiapa pun melainkan pemiliknya sendiri.

Kehadiran laman-laman blog ini adalah bukti kebebasan bersuara di alam maya walaupun kadangkala kandungannya ada yang terlalu ekstrim, melampau, panas dan sebagainya namun kebebasan terus terjamin dimana penulis bebas menulis dan pembaca punya pilihan samada mahu membaca atau tidak.

Blog adalah ledakkan besar dari kemajuan ICT mutakhir, sesiapa yang menolak atau memusuhinya ternayata melawan arus dan mungkin takut akan bayang-bayangnya sendiri. Lawan blog adalah blog sebagaimana lawan bersilat adalah dengan bersilat juga, kalau lebih dari itu melampau kalau kurang tidak cerdik!

Negara-negara dunia samada demokrasi penuh atau separuh penuh malah kerajaan diktator dan kominis sekalipun ada yang membenarkan blog. Namun ada juga 10 negara yang tersenarai sebagai samada megharamkan blog atau mengawalnya, menurut "Committee to Protect Journalist" yang berpusat di New York 10 buah negara itu adalah:

1) Myanmar – dimana talian internet pernah dipotong sama sekali
2) Iran
3) Syria
4) Cuba
5) Arab Saudi
6) Vietnam
7) Tunisia
8) Cina
9) Turkmenistan
10) Mesir

Jangan kita ME-MYANMAR-KAN penulis blog. Atau memang ada mentaliti junta Myanmar dikalangan kita khasnya terhadap penulis blog.

Saya sendiri sudah menyumbang tulisan di alam maya sejak pra pilihanraya umum 1999 lagi dan saya tahu bahawa tulisan saya dan rakan-rakan lain antara yang terawal ketika itu menyumbang ke arah kejayaan perjuangan hari ini. Kemudian apabila lahirnya trend memblog, saya turut serta dan kini sudah berblog sejak 5 tahun lalu.

Insyallah demi menyongsong perjuangan yang suci ini saya akan terus begini dan sentiasa berdoa semoga saya terus diberikan kekuatan untuk berkarya demi kebaikan ummah tidak kiralah samada digemari atau dibenci. Namun kerja-kerja bodoh seperti memaki-hamun, adu-domba dan fitnah bukan kerja saya.

Wallahualam.

Sunday, June 21, 2009

Selamat Hari Bapa

"Hari Bapa" atau "Fathers Day" berlalu hari ini.

Berbanding Hari Ibu yangs sering diraikan secara meriah oleh anak-anak dan cucu, Hari Bapa selalunya berlalu begitu sahaja. Kebetulan ketika saya berada di sebuah pasaraya siang tadi, siarayanya memainkan siaran radio dari rangkaian radio swasta bahasa Inggeris. Perbualan antara seorang gadis Cina dengan DJ radio sedang dimainkan. Tanya DJ radio itu apakah yang ingin diucapkan oleh sipemanggil kepada bapanya sempena Hari bapa hari ini.

Sipemanggil berkata beliau tidak pasti. Lalu kata DJ kenapa tidak ucapkan “I love you” pada bapanya. Si gadis Cina itu ketawa sambil berkata beliau tidak pernah ucapkan perkataan itu kepada bapanya dan malu untuk berkata demikian.

Akhirnya beliau berkata baiklah : “Daddy I L-O-V-E you”……..

Memang menghiburkan perbualan tersebut tetapi hakikatnya berapa orang diantara kita yang pernah mengungkapkan kasih atau sayang kepada bapanya. Kalau ibu mungkin tetapi bapa?

Kasihan insan yang bernama bapa, walaupun pengorbanannya kepada anak-anaknya tidaklah seberat ibu yang melahirkan, tetapi bapa sebagai ketua keluarga lazimnya bertungkus-lumus berkorban jiwa dan raga untuk membesarkan anaknya. Kecuali beberapa kerat yang tidak bertanggungjawab (ibu pun ada beberapa kerat yang demikian) lazimnya kasih seorang bapa begitu besar terhadap anak-anaknya tetapi sering pergi tanpa disebut atau dikenang.

Saya sendiri hari ini seorang bapa dan sempena hari ini saya melihat kembali jasa dan pengorbanan bapa yang telrlalu besar dan agung itu terhadap saya anaknya yang sering menyusahkan, meluka dan mengecewakannya. Betapa besar jasanya tidak akan dapat saya lupakan. Walaupun berbeza mesra antara ibu berbanding dengan bapa, tetapi bapa saya merupakan ikon hidup yang sentiasa saya kagum dan banggakan hinggalah ke hari ini.

Alhamdulillah siang tadi kami anak-anak beserta cucu-cucunya sempat juga meraikan hari ni dengan beliau yang akan mencecah usia 80 tahun itu tahun ini.

Ampunkanlah dosa ku, doakanlah kami anak-isteri selamat dan berkekalan dalam iman. I love you Abah and thank for all the love, understanding, guidance and kindness that you have showered me, your son.

Ya Allah ampunkanlah dosa bapa ku. Kurniakanlah ia rahmat dan kekal dalam naungan petunjuk dan kasihmu. Dialah bapa contoh yang telah mendorong kami mendekati Mu Ya Allah.

Selamat Hari Bapa: Datuk Hj. Mohd Shahir bin Abd Majid

Monday, June 15, 2009

Jika terbukti SIS bermasalah terhadap Islam, ambil tindakan.
Apa masalahnya?

Gerakan Islam di Malaysia bukan tak kenal “Sisters in Islam”. NGO ini rata-rata tidak membela dan mempertahankan Islam sebaliknya lebih ghairah membawa pendekatan yang disadur dengan fahama liberal yang melampau sehingga Islam dipadankan menurut selera dan kemahuan zaman.

Pada bulan Jun 2005 saya membuat posting berikut di blog ini:


APABILA SI JAHIL TURUT BERBICARA TENTANG ISLAM

Sebaik sahaja Mahkamah Tinggi Syariah di Kuantan menjatuhkan hukuman sebat 6 kali dan denda RM5000 tiap-tiap seorang ke atas 2 orang peminum arak yang didapati bersalah, seluruh akhbar media perdana sebagaimana biasa mensasikan keputusan tersebut.Ada yang mempertikaikannya dan tidak kurang juga yang menyokong.

Blog Jeff Ooi umpamanya secara berseloroh mengulas dengan tajuk:

No it neednt be in Kelantan/ Ia tidak semestinya berlaku di Kelantan

Menurut Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Dr Ismail Ibrahim pihak akhbar tidak sepatutnya mensasikan hukuman ini kerana ianya seolah-olah memberikan gambaran bahawa perundangan Islam itu zalim.Yang paling menarik adalah ulasan Sisters in Islam. Menurut pengurus programnya Masjaliza Hamzah sebagaimana yang dilaporkan di dalam THE STAR:

The Quran did not spell out a punishment for the consumption of intoxicants either in private or in public. By making public consumption of alcohol an offence under the Syariah Criminal Offences Act, the government has criminalized what is deemed a personal sin.

Quran tidak menjelaskan darihal hukuman ke atas peminum arak samada dalam majlis tertutup ataupun terbuka. Dengan meletakkan perbuatan meminum arak di khalayak sebagai satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah kerajaan sebenarnya telah meletakkan sebagai jenayah satu yang sebenarnya sekadar kesalahan (dosa) peribadi.

Apabila mereka yang jahil darihal Islam turut mahu berbahas dan memperkatakan darihal Islam, ketika itulah sebenarnya Islam akan dihina dan dipandang rendah Islam tidak pernah melarang kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat namun apabila yang mahu kita ulas itu adalah soal hukum dan perundangan kita seharusnya memiliki atapun menguasai ilmu berkenaannya.Dalam ilmu dan bidang apa sekalipun demikianlah baisanya disiplinnya.

Sumber hukum di dalam Islam adalah berpandukan al Quran, Hadis, Qias dan Ijmak. Memahami hukum dan perundangan Islam menuntut penguasaan terhadap kempat-empat sumber ini, itullah disiplinnya.Apabila Masjaliza berhujah yang Quran tidak menjelaskan darihal hukuman yang sepatutnya dikenakan terhadap peminum arak, beliau seolah-olah menolak sumber hukum Islam yang lain. Disinilah bukti kurangnya penguasaan ilmu Masjaliza sedangkan beliau mewakili NGO yang acapkali mahu sahaja mengeluarkan ulasan berkenaan Islam.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah berkata:

Barangsiapa melakukan suatu pekerjaan tanpa ilmu pengetahuan tentang itu maka apa yang dia rusak lebih banyak daripada apa yang dia perbaiki.

Manakala Khalifah Abu Bakar ra pula pernah berkata:

Langit mana yang melindungi diriku dan bumi mana yang akan menjadi tempat pijakkanku, kalau aku mengatakan sesuatu yang tidak kuketahui.

Saya sendiri bukanlah pakar tentang hukum dan perundangan Islam namun tahu bahawa ayat-ayat yang mengharamkan arak memang jelas samada dalam al Quran maupun Hadis. Hukuman ke atas pesalah arak ini walaubagaimanapun tidak dihuraikan dalam al Quran kecuali dalam amalan Rasulullah saw sendiri.

Diriwayatkan daripada Husain bin al-Munzir bahawa ketika Saidina Ali ditugaskan oleh Saidina Uthman untuk menghukum sebat ke atas al-Walid bin Uqbah, beliau berkata yang maksudnya :

Rasulullah s.a.w. telah menghukum sebanyak 40 kali sebatan begitu juga Saidina Abu Bakar tetapi Saidina Umar menghukum sebanyak lapan puluh kali semuanya adalah sunnah yang ini aku lebih sukai.

Janganlah kita menyalahgunakan platform yang ada untuk memperlekeh dan menghina Islam yang dianuti oleh jutaan insan dalam dunia ini. Rujuklah pada yang pakar dan berhujahlah berdasarkan fakta, kalau perundangan dan hukum Islam yang mahu diulas maka kembalilah kepada sumbernya, jangan ikut akal dan emosi sendiri.

Kesimpulannya eloklah direnungi tulisan Dr Yusuf Qardawi yang berbunyi:

Sesungguhnya ilmu pengetahuan mesti didahulukan atas amal perbuatan, karena ilmu pengetahuanlah yang mampu membedakan antara yang haq dan yang bathil dalam keyakinan umat manusia, antara yang benar dan yang salah di dalam perkataan mereka, antara perbuatan-perbuatan yang disunatkan dan yang bid ah dalam ibadah, antara yang benar dan yang tidak benar di dalam melakukan muamalah, antara tindakan yang halal dan tindakan yang haram, antara yang terpuji dan yang hina di dalam akhlak manusia; antara ukuran yang diterima dan ukuran yang ditolak; antara perbuatan dan perkataan yang bisa diterima dan yang tidak dapat diterima.

Kemudian pada 17 November 2006 posting berikut:

Siapa dibelakang Sisters in Islam?

Siang tadi semasa sesi perbahasan Perhimpnan Agung Umno, seorang perwakilan dari Pulau Pinang, Shahbudin Yahya telah mendedahkan darihal komplot beberapa NGO yang bergerak sehingga mengancam kedudukan Islam dalam negara.Antara NGO yang didedahkan oleh wakil Umno Pulalu Pinang itu adalah:Pusat KOMAS, Sisters in Islam dan Penang Global Ethics Project

Menurut wakil Umno itu lagi NGO-NGO ini mendapat sokongan dari sebuah badan antarabangsa iaitu Konrad Adenauer Foundation yang mempunyai pejabat cawangan di sini.Shahbudin telah menunjukkan kepada para perwakilan beberapa produk badan ini termasuklah buku dan VCD yang katanya mempromosi konsep liberalisma dan pluralisma dalam beragama. Kata beliau ini bermakna Malaysia sekarang menerima ancaman terhadap kestabilan Islam bukan hanya dari dalam (iaitu kalangan orang-orang Melayu Islam sendiri) tetapi juga melalui kerjasama sistematik dari badan-badan luar.

Kata beliau lagi Sisters in Islam contohnya selama ini menumpukan kegiatannya kepada melemahkan system kehakiman mahkamah syariah bagi menimbulkan keraguan dikalangan masyrakat Islam agar menolak system kehakima syariah.Sesungguhnya protes terhadap tindak-tanduk Sisters in Islam ini telah lama disurakan oleh badan-badan dan gerakan Islam, tetapi tidak diberi perhatian oleh mana-mana pihak.

Malahan penubuhan apa yang dikatakan IFC itu pun menerima sokongan dan galakkan kuat dari SIS.Cumanya apa yang wakil Pulau Pinang itu tidak sedar adalah apabila beliau mendedahkan darihal kegiatan SIS ini beliau menyinggung dua orang besar dalam Dewan Merdeka PWTC itu iaitu Presiden partinya serta Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia.

Kenapa?

Kerana anak dan isteri mereka iaitu Nori Abdullah adalah seorang aktivis SIS. Beliau sering mengikuti program, anjuran SIS. Kalau benar SIS mengancam kestabilan Islam maka Menteri Keselamatan Dalam Negeri perlu menyiasat, barangkali SIS lebih merbahaya dari KMM dan Nori pula lebih merbahaya dari Nik Adli?!!

Sebagai bukti kuatnya hubungan antara Nori dan SIS terutama terajunya Zainah Anwar berikut saya perturunkan sedutan dari sebuah artikel yang terbit dalam THE NEW YORK TIMES pada 19 Febuari 2006 lalu:

A model progressive Muslim country, Ms. Zainah observed, cannot show the world that it makes laws that discriminate against women and that allows its religious authorities to snatch away the body of a dead man from his grieving Hindu family.As Ms. Zainah, a graduate of the Fletcher School of Law and Diplomacy at Tufts University, goes into battle, she holds some formidable cards. Chief among them are candor, not caring what others think and a refusal to be intimidated. She has not married, and said, I dont want to be a slave to a man.Another advantage: Ms. Zainah is close to two progressive women with powerful connections, Marina Mahathir, the daughter of the former prime minister, and Nori Abdullah, the daughter of the current prime minister. He gets an earful from her, Ms. Zainah said, referring to Mr. Abdullah and his daughter.

Zainah dilaporkan menyebut bahawa Abdullah (Perdana Menteri) akan mendengar cakap Nori dan Zainah mempunyai hubungan rapat dengan Nori!Saya tidak pasti tetapi semasa ucapan penggulungan Dollah lewat petang tadi saya tidak pula mendengar Abdullah menyentuh atau mengulas isu ini, bermakna luahan hati wakil Pulau Pinang itu yang lebih dari 10 minit tidak mendapat perhatian Presiden dan pimpinan parti.

Sementara itu memandangkan nama Konrad-Adenauer Foundation ini telah pun disebut saya fikir eloklah pihak Kementerian Keselamatan dalam Negeri dan mungkin JAKIM juga tinjau-tinjau sedikit aktivitinya. Untuk rekod, Timbalan Perdana Menteri pun pernah sebelum ini memberi ucap utama dalam sebuah forum anjuran badan yang berpusat di Jerman ini.

Kalau kita lihat badan ini turut menerbitkan beberapa buku berkenaan Islam dalam bahasa Melayu yang saya tidak pasti adakah JAKIM dan pihak yang berwajib maklum ataupun tidak, antaranya berjudul:Makalah Penentu Tentang Hubungan Antara Syariah Dengan Falsafah,Demokrasi dalam Al-Quran, Hadis, & Tradisi,Islam Tunduk Menyerah

Saya mengambil inisiatif untuk menulis berkenaan SIS dan KAF ini kerana ianya dibangkitkan oleh wakil Umno dalam Perhimpunan Agung Umno. Kiranya dibangkit oleh wakil NGO Islam atau PAS sudah pasti ianya tidak perlu diberi perhatian, tetapi ini dibongkar oleh forum tertinggi dalam Umno, takkanlah pihak berkuasa TUTUP SEBELAH MATA juga?!Kalau benar Umno serius dalam memelihara Islam, segeralah bertindak dengan menyiasat badan-badan ini tanpa prejudis.

Lantas apabila Mukatamar Tahunan PAS kali ke 55 meluluskan usul berikut tanpa bahas:

"(Muktamar) mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal."Dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya."

Saya secara peribadi tidak nampak apa masalahnya. Anda bagaimana?

Friday, June 12, 2009

Syabas pimpinan lantikkan Presiden

Tugas memilih para pembantunya yang bertanggungjawab memperkasa dan menyokongnya dalam menjalankan tugas dan amanahnya sebagai Presiden gerakan Islam terbesar dalam negara telah pun selesai. Begitu juga para perwakilan muktamar baru-baru ini telah pun memutuskan saf kepimpinan yang mereka yakini dapat memimpin jemaah ini, itu pun telah selesai. Kini tugas kita semua adalah bersama memacu jemaah ini agar mampu menyerlahkan Islam sebagai kuasa yang dapat memimpin perubahan di dalam negara tercinta ini.

Semalam Presiden PAS telah mengumumkan beberapa nama yang akan membantu beliau dalam memikul amanah ini. 4 nama akan duduk bersama beliau dan pimpinan lain dalam Dewan Harian PAS Pusat. 4 nama itu memenuhi jawatan-jawatan kritikal di bawah Presiden iaitu Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihanraya Pusat.

Veteran dan tokoh kanan PAS, Dato Mustapha Ali, telah dilantik sebagai Setiausaha Agung. Beliau sebelum ini adalah Pengarah Pilihanraya dan Pesuruhjaya PAS Terengganu. Seorang tokoh yang tajam bacaan politiknya dan cukup kaya dengan pengalaman. Sudah pasti pemilihan beliau sangat diyakini Presiden akan mampu membantu beliau dalam urusannya.

Ahli parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli, sekali lagi diberikan amanah untuk memegang jawatan Bendahari Agung. Dr Hatta adalah tokoh yang disenangi ramai, dan saya percaya Presiden mengekalkannya atas kepercayaan yang beliau telah melaksanakan tugasnya dengan baik dan perlu terus begitu demi jemaah.

Ustaz Idris Ahmad, seorang tokoh yang sangat komited pada perjuangan parti, seorang ulamak yang sentiasa berada dimana-mana sahaja demi perjuangan, merupakan pilihan terbaik Presiden sebagai Ketua Penerangan PAS yang baru. Saya yakin dengan latarbelakangnya yang berilmu, taat dan istiqomah dalam perjuangan, urusan penerangan dan dakwah parti Islam akan semakin lancar dan menyerlah.

Manakala Ustaz Dato Abd Halim Abd Rahman, bekas Timbalan MB Kelantan dan ahli parlimen Pengkalan Chepa sebagaimana Dato Pa adalah seorang yang tajam bacaan politiknya dan mahir sangat akan urusan pilihanraya yang diamanahkan kepada beliau itu.

Begitulah pasukan Presiden selain ahli-ahli jawatankuasa tambahan, yang nama-namanya turut diumumkan semalam.

Bagi saya biduk lalu kiambang bertaut. Yang pentingnya mereka yang dilantik membantu Presiden perlu menginsafi dan akur akan peranan mereka. Kita tidak mahu Brutus kita tidak mahu Tuah yang menikam Jebat. Kita mahu satu team pembantu yang akan duduk dan berdiri bersama Presiden. Teringat saya semasa hari terakhir muktamar apabila seorang AJK PAS Pusat bersalaman dan berpelukan dengan saya sambil menyatakan mari kita satukan saf kembali dan terus bekerja untuk Islam. Itulah sepatutnya semangat kita semua kini.
Tuan Guru Presiden berpesan dalam ucapan dasarnya “ Islam Memimpin Perubahan”:

“Marilah kita mengurus kemenangan dan kelemahan kita dengan Islam, supaya Islam yang kita perjuangkan itu mampu dilihat sebagai pemandu dalam segala bentuk amalan kita. Kita ingin memimpin perubahan dalam negara kita dengan Islam. Semua petugas parti perlulah mencari formula dan ruang yang ada untuk menonjolkan kepimpinan Islam dalam segenap segi kehidupan dengan cara yang penuh hikmah dalam menangani harapan rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya serta terus kekal dengan iltizam disiplin yang tinggi supaya tidak goyah oleh perancangan jahat musuh.”

Wednesday, June 10, 2009

Islam memimpin perubahan

Muktamar PAS ke 55 telah pun berlalu. Penuh dengan kenangan pahit dan manis tetapi yang pastinya secara keseluruhan ia telah berjaya berjalan dengan baik dalam semangat ukhuwah dan persaudaraan Islam. Kebetulan muktamar kali ini menyaksikan pemilihan diperingkat pucuk pimpinan, maka masing-masing memendam kenangan menurut calon yang masing-masing juarai.


Bagi yang menang tentulah gembira, namun bersedialah memikul amanah besar yang diberikan oleh jemaah. Yang kalah pula usah bersedih, jika kita ikhlas menawarkan diri untuk berkhidmat demi Allah dan Rasul Nya, maka jadilah umpama Khalid al Walid, walaupun tidak berpangkat, namun tidak sekali-kali menggugat semangat dan kesungguhannya untuk berjung menegak dan mempertahankan agama Allah ini. Jadilah pemimpin yang baik bagi yang menang dan jadilah pengikut yang taat dan setia bagi yang tewas.

Apa pun yang pentingnya dari muktamar ini adalah mesej ucapan dasar Presiden yang bakal menjadi dasar dan panduan parti selain dasarnya yang tetap yang sedia termaktub dalam perlembagaannya.

“Islam memimpin perubahan” itulah tema ucapan dasar Presiden. Kini bukan masanya untuk berbahas dan membicarakan darihal pemilihan yang lepas, muktamar telah pun bersuara, dan suaranya perlu dihormati. Marilah kita kini fokuskan pada perjuangan yang laluannya masih panjang dan luas di hadapan.

Bagaimana kita mahu memandu jemaah ini agar Islam terus menjadi teraju dan pimpinan yang membawa ummah dan negara ke arah perubahan. Kata Tuan Guru Presiden:

Kita memimpin untuk merubah masyarakat yang menyanjung tinggi materialistik dan semakin rosak ini kepada ma’aruf. Kita bukan sahaja mencegah kemungkaran, tetapi juga menyokong perubahan kea rah kesejahteraan rakyat dan kekuatan Islam. PAS ingin memimpin perubahan dengan membawa satu gagasan politik Islam yang akan menyatukan kaum di Malaysia ini dengan keadilan sejagat.

(Ucapan Dasar: Islam Memimpin Perubahan: point 12 ms 6)

Inilah sepatutunya fokus dan tumpuan kita kini. PAS sudah menjangkau usia melebihi setengah abad, jangan kita berpecah kerana merebut kedudukan sebagaimana pecahnya badan siasah yang lain. Ini gerakan Islam, ia akan kekal teguh dan padu kerana yang penting bukan individu dan kelompok, yang penting adalah nasib dan masa depan Islam yang tercinta.

Ayuh kita bersatu meneruskan perjuangan.

Saturday, June 06, 2009

Muktamar PAS telah bersuara

Alhmadulillah perwakilan PAS telah membuat keputusan. Pastinya tidak memuaskan hati semua tetapi yang pentingnya itulah keputusan jemaah. Dan sebagai anggota jemaah kita sewajarnya terima dan berikan wala’.

Tahniah kepada yang menang semoga anda semua terus bekerja bagi memartabatkan agenda dan dasar Islam yang sama-sama kita perjuangkan. Kepada yang tewas, terimalah dengan hati yang terbuka apa pun sebagaimana yang saya sebutkan sebelum ini kita bertanding bukannnya untuk membunuh sesama kita, kita bertanding dikalangan para sahabat untuk diputuskan juga oleh para sahabat belaka iaitu yang terbaik dikalangan yang baik-baik.

Semoga Allah swt membantu perjuangan kita dan meneguhkan pendirian dan kesatuan kita.

Allahuakbar.

Monday, June 01, 2009

Pemilihan PAS:
Pilihlah dengan iman dan taqwa

Ramai yang pinta saya komen, berilah ulasan walau sebutir dua. Saya sedar disaat inilah masing-masing mahu menunjukkan kecenderungan masing-masing, saya juga begitu. Walau ada tugas, jawatan ini dan itu, tetapi di sini saya seorang blogger, saya juga mahu menyumbang dan mahu didengar. Cumanya saya dan saya percaya semua yang seperti saya sesungguhnya terikat dengan disiplin, adab dan akhlak Islam, kita boleh mempromosi dan berkempen tetapi biarlah sentiasa dalam semangat disiplin, adab dan akhlak Islam, tidak sebaliknya.

Tidak dapat dinafikan setiap kali berulang pemilihan dalam parti, setiap itulah kita rasa tertekan, bukannya kerana kita bertanding dalam pucuk pimpinan tertinggi, tetapi kerana kita semua kasih dan sayangkan parti kerana hanya parti inilah satu-satunya badan siasah yang menjulang dan mendaulatkan Islam sebagai dasar dan matlamat perjuangan. Kerana itu kita bimbang dan tidak sekali-kali mahu melihat lantaran pertandingan dalam parti, parti yang kita cintai ini nanti jadi kacau, berpecah, bercerai-berai (sesuatu yang berjaya kita elakkan sejak lebih puluhan tahun yang lalu).

Kita pernah melihat banyak parti jadi begitu, malah seteru politik kita, Umno, dari hidup jadi mati kemudian hidup kembali dan kini terus retak seribu angkara perebutan jawatan dan tolak-menolak serta tikam-menikam yang tercetus akibatnya.

Kita bukan Umno, bukan PPP, MIC atau mana-mana pun. Kita PAS, gerakan Islam yang dibina atas dasar iman, aqidah dan taqwa, yang ditegakkan hasil dari keringat, darah dan airmata mereka yang terdahulu, yang ikhlas dan istiqomah, sambung-menyambung sehinggalah boleh pada kita kemenangan dan kekuatan sebagaimana pada hari ini.

Saya melihat barangkali kerana berada pada tahap selesa hari ini, ramai yang berminat untuk mencuba jawatan-jawatan tertinggi dalam parti. Bagi saya masing-masing mahu menawarkan idea dan tenaga, itu baik dan sihat. Malah pertandingan dalam parti bukanlah sesuatu yang baru pun. Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy ketika menyertai PAS telah pinta supaya tidak diberi jawatan Presiden (ketika itu Yang Dipertua Agung) secara percuma tetapi mahu dipertandingkan dan benar pun pada muktamar PAS ke 5 pada bulan Disember 1956 berlaku pertandingan bagi jawatan tertinggi parti.

Dalam muktamar itu Dr Burhanuddin, seorang ulamak profesional menjadi pilihan para perwakilan manakala Prof Zulkiflee Muhammad juga seorang ulamak diangkat sebagai Timbalan.

Saya difahamkan pertembungan itu tidak mencetuskan sebarang gelombang dalaman (al maklum tiada internet ketika itu, tiada sms, tiada blogger nakal, upahan dan sebagainya), malah PAS terus muncul kuat, bersatu dan teguh sehingga melalui gandingan kedua ulamak ini PAS mampu walau dalam pelbagai kekurangan mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya umum pertama tahun 1959 apabila memenangi dua buah negeri dan wakilnya berjaya menjejakkan kaki ke parlimen (termasuklah Presiden dan Timbalannya sekali).

Itu 40 tahun dahulu dan mereka pun sudah tiada lagi bersama kita pada hari ini. Hari ini bagaimana?

Alangkah baiknya jika kita terus dapat mengekalkan amalan dan tatacara itu juga. Kalau mampu disyurakan itulah sebaik-baiknya sebagaimana yang berlaku dalam Dewan Pemuda dan Dewan Ulamak, jika tidak, bertandinglah tetapi dalam semangat ukhuwah dan setiakawan yang baik.

Yang bertanding adalah kita sesama sahabat, kalau kalah yang kalah itu sahabat, kalau menang yang menang itupun sahabat juga. Tiada yang sepatutnya mati atau harus dibunuh untuk menang dalam pertandingan ini, kerana ini bukan peperangan tetapi kerja kebajikan, bukan persengketaan tetapi tawar-menawar yang paling mulia sesama sahabat sesama ahli jemaah.

Nyatakanlah apa yang mahu kita bawa, zahirkanlah pandangan kita, rancangan kita. Kita nanti bukan pinta diukur oleh musuh atau orang asing, tetapi yang akan mengukur dan menyukat kita adalah ahli sesama jemaah. Tidak perlulah kita menyerang lawan kerana lawan itu sahabat kita, apa lagi kita memfitnah, menokok-tambah dan mereka-reka.

Percayalah tiada siapa diantara kita mahu melihat PAS hancur dan musnah, tiada siapa mahu membawa parti ke jalan binasa. Dr Burhanuddin 40 tahun lalu dikatakan oleh musuh kononnya mahu membawa sosialisma dan komunisma dalam PAS kerana beliau kononnya condong kepada fahaman kiri, macam-macam tohmah dilontar kepada beliau, tetapi oleh musuh. Dan nyata musuh telah gagal.

Biarlah kita memilih yang terbaik antara yang baik-baik, termasuklah bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden serta AJK Pusat. Kita telah sepakat mengekalkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai Presiden yang kita semua iktiraf sebagai terbaik, kini atas kita pula memilih gandingannya, yang boleh bekerja dengan beliau, yang boleh menjadi ahli-ahli pasukan beliau, yang boleh memelihara dan mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan PAS yang kekal dipertahankan sehingga kini. Yang akan menjadi umpama Abu Bakar kepada Rasulullah, Omar kepada Abu Bakar , Othman kepada Omar dan Ali kepada Othman.

Tugas kita sukar dan serius, suatu amanah yang penting dan akan dipersoalkan bukan hanya di dunia lebih-lebih lagi di akhirat nanti. Para perwakilan sebagai hakim perlu mengambil kira semua perkara dan mendengar pesanan serta nasihat dan panduan dari orang yang baik-baik. Kekalkan al Quran dan Hadis sebagai rujukan dan pedoman kita bukannya khabar angin dan adu-domba.

Tuan Guru Presiden ketika berhadapan dengan keputusan untuk memilih calon terbaik antara yang baik-baik untuk pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu dahulu,telah mengerjakan istikharah, memohon panduan dari Allah swt. Oleh itu kita semua sewajarnya jangan perkecilkan senjata ini. Mudah-mudahan PAS kekal sebagai sebuah parti dan gerakan Islam yang kuat dan relevan setiap masa dan ketika dan terus diredhai Allah swt. Nasib dan masa depan Islam terletak ditangan anda.

Allah swt berfirman dalam surah Ali Imran ayat 103:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”