Saturday, February 04, 2017

Bertukar parti macam bertukar baju

Baru sebentar tadi SPR mengumumkan pertandingan tiga penjuru untuk PRK Dun Tanjong Datu, Calon BN iaitu balu bekas KM Sarawak, Puan Seri Jamilah Anu akan ditentang oleh dua calon lain iaitu Rapelson Richard Hamit dari parti PBDS Baru dan Johny Apu dari parti STAR.

Biarlah proses demokrasi mengambil tempat.

Apa yang saya mahu ketengahkan adalah dari hal salah seorang calon yang bertanding iaitu calon PBDS Baru, Rapelson Richard Hamit.

Khabarnya dalam PRN Mei 2016 yang lalu beliau bertanding atas tiket Pan di DUN Gedong 
menentang calon BN. Beliau hanya memperolehi 699 undi sedangkan calon BN Mohd Naroden Majais mendapat 4,064 undi.

Tidak sampai 10 bulan calon Pan itu hari ini menjadi calon PBDS Baru.

Isu lompat melompat parti kebelakangan ini menjadi semakin lazim seakan bertukar baju.

Sebelum ini kita dengar segerombolan bekas pemimpin PAS yang kalah dalam pemilihan parti telah keluar parti dan menubuhkan parti baru dengan menyeret sekali kerusi-kerusi yang mereka menangi atas tiket PAS dulu.

Seorang lagi bekas pemimpin PAS yang pernah diberikan amanah menjawat jawatan Setiausaha Agung pula lompat dengan kerusi-kerusinya ke PKR. Sebelum itu beliau Umno.
Minggu hadapan pula khabarnya seorang lagi bekas pemimpin, bekas Menteri, yang dulunya Umno, kemudian lompat PKR yang pernah kalah dalam pertandingan PKR dan menubuhkan parti sendiri, akan melompat pula ke DAP.

Begitu rapuh sekali pegangan dan prinsip perjuangan mereka ini.

Lainlah kalau dipecat dari satu-satu parti.

Kalau prinsip perjuangan pun boleh ditukar ganti apalah yang boleh diharapkan pada mereka sebagai pemimpin.

Berhati-hatilah dengan mereka yang sebegini.

Wednesday, February 01, 2017

Muslihat Kit Siang

Apabila penasihat dan tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang secara mendadak menghulurkan tangan persahabatan pada PAS setelah partinya berpatah arang berkerat rotan dengan Parti Islam ini sekian lama, sudah pasti ia menimbulkan seribu satu persoalan.

Ramai yang hampir terpedaya dengan langkah baru Kit Siang itu dengan menyangkakan inilah peluang terbaik kedua parti terbesar di barisan pembangkang ini mengenepikan perbezaan dan bersatu untuk memberi tumpuan menumbangkan BN. Jika PAS dan DAP boleh bersatu seperti sebelumnya, sudah pasti harapan pihak pembangkang semakin cerah dan kemungkinan pertandingan tiga atau lebih penjuru dalam PRU akan datang dapat dielakkan.

Langkah mengejutkan Kit Siang ini satu peluang baik buat kedua parti, dan ternyata Kit Siang seorang “negarawan” yang berjiwa besar.

Itu sekurang-kurangnya pandangan mereka yang kosong jiwa politiknya.

Namun hajat Kit Siang itu terbantut apabila Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang segera menolaknya.

Kemungkinan penolakkan ini dilihat sesetangah pihak sebagai satu langkah angkuh dan sombong oleh PAS, tetapi mereka yang beranggapan demikian ternyata tidak memahami sejarah dan situasi politik antara PAS dan DAP.

Menurut Tuan Guru, DAP punya agenda politiknya, begitu juga PAS dan kedua agenda itu sentiasa bercanggah mengakibatkan sebarang bentuk kerjasama diwaktu kini sesuatu yang hampir mustahil.

Jika Kit Siang dan DAP dengan mudah boleh menerajang PAS keluar dari Pakatan Rakyat satu ketika dahulu setelah gagal mempengaruhi perubahan kepimpinan dalam PAS, dan kemudiannya menjaja penubuhan sebuah parti kononnya untuk menggantikan PAS, kenapa hari ini Kit Siang mahu memadam semua episod getir itu dan membuka buku baru?

Ada yang mengatakan tindakan Kit Siang itu sebagai “melutut” kembali pada PAS.

Bagi saya seorang seumpama Kit Siang yang telah terjun dan berkecimpung dalam alam politik Malaysia sejak tahun 60an lagi tidak mudah “melutut” begitu apalagi pada PAS.

Sebenarnya Kit Siang seorang strategis yang licik, walaupun beliau pernah gagal dalam percaturannya sebelum itu, tetapi kali ini ia terlalu yakin kerana beranggapan sokongan pengundi Cina tetap berada dalam genggamannya sehingga membawa ke PRU akan datang.

Pada PRU lalu DAP menang 38 kerusi Parlimen (walaupun kalah 1 kemudiannya dalam PRK Teluk Intan). Kit Siang yakin DAP bukan sahaja boleh mengekalkan bilangan itu malah tidak mustahil menambah beberapa lagi.

Keputusan PRK Teluk Intan selain Sg Besar dan Kuala Kangsar gagal menggoncang keyakinannya.

Lalu kenapa perlu bantuan PAS?

DAP sesungguhnya telah hampir mencapai maksima kekuatannya. Dengan bersandarkan undi bukan Melayu, khasnya undi Cina itulah sekitar bilangan kerusi Dewan Rakyat yang boleh DAP menang kecuali pengundi Melayu di kawasan majoriti Melayu mengundinya, sesuatu yang sukar dicapainya.

Kit Siang hari ini bukan sekadar melihat untuk mengekalkan kuasa di Pulau Pinang dan kembali berkuasa dalam kerajaan campuran di Selangor. Nafsu politiknya melonjak sehingga mensasarkan Perak, Negeri Sembilan dan mungkin Johor, malah ianya kini sudah memuncak hingga ke Putrajaya.

Untuk menang dan berkuasa serta mungkin menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri, DAP perlu menang sekurang-kurangnya 112 dari 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Di sanalah bantuan sebuah parti Melayu yang mampu menggugat monopoli Umno di kerusi-kerusi majoriti Melayu sangat diperlukan. Mana satukah parti itu?

Parti yang berpengalaman dan sudah dikenali orang-orang Melayu, yang konsisten dalam perjuangannya, yang punya jentera yang berdisiplin dan bergerak malah disegani pula orang-orang Melayu jika tidak PAS.

PKR mungkin boleh juga membantu tetapi tidaklah sebesar PAS kerana konsepnya yang lebih ke arah berbilang kaum.

Pan pula serba tidak mengena buat DAP. Suatu eksperimen untuk menggantikan PAS yang terbukti gagal. Sedang PBBM atau Bersatu masih belum diuji.

Lantaran itu demi mencapai agenda politiknya Kit Siang sanggup mengenepikan segala perbezaannya dengan PAS dan menghulurkan tangan persahabatan kepada Tuan Guru Presiden PAS walaupun ia tahu cubaannya itu tidaklah mudah dicapai.

Harapan Kit Siang melalui pencapaian DAP antara 40 ke 50 kerusi ditambah dengan sumbangan besar PAS dari kalangan kerusi Melayu serta beberapa kerusi lagi dari PKR dan mungkin Bersatu, Putrajaya dapat ditundukkan.

Tetapi ternyata pengalaman pahit PAS dengan DAP terlalu sukar buat PAS untuk dilupakan. Dan sebagaimana berpengalamnnya Kit Siang dalam politik, Tuan Guru Presiden PAS tidak kurang juga pengalamannya yang menjangkau hampir 40 tahun, pernah menjadi Menteri Besar, Ketua Pembangkang dan tidak pernah terkeluar Dewan sebagaimana Kit Siang sejak tahun 1982 (Tuan Guru kekal di kerusi DUN nya sejak tahun 1982 manakala Kit Siang pernah hilang taraf YB nya dalam PRU 1999).

Menurut Tuan Guru malah DAP hingga kini menentang beberapa agenda utama PAS khususnya dalam meningkatkan hukum syariah di kalangan umat Islam.

Agenda ini merupakan asas perjuangan PAS. Jika DAP tidak boleh menerima sekalipun janganlah sampai menentang. Mana mungkin PAS boleh berkerjasama dengan parti yang tidak hormat malah menentang dasar dan prinsip perjuangannya. Jangankan PAS mana-mana parti lain pun tidak boleh menerima parti seumpama itu sebagai kawan.

PAS memang bercita-cita mahu menang PRU, tetapi kemenangan yang PAS mahu capai adalah dengan kebebasan dan kemampuan untuk melaksanakan perubahan. Mustahil PAS boleh mengenengahkan agendanya jika menang bersama dengan DAP.

Kalau mengikut percaturan Kit Siang, kiranya Putrajaya dirampas, dominasi DAP kelak terlalu besar dalam kerajaan sehinggakan mana-mana parti lain yang berada dalam pakatannya terpaksa akur dan tunduk padanya sebagaimana kerajaan campuran Perak pada tahun 2008 dulu.

Bayangkan kerajaan Persekutuan sedemikian rupa.

PAS mahu menang PRU tetapi matlamat kemenangan itu bukanlah dengan cara yang haram dan bertentangan dengan syarak. roslansms@gmail.com

Thursday, January 26, 2017

Tinjaun tidak mematahkan semangat PAS

Dari Perlis hingga ke Johor membawa ke Sabah dan Sarawak ahli-ahli PAS dipelbagai peringkat sedang giat menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan cawangan masing-masing diikuti dengan Mesyuarat Agung Kawasan-kawasan menjelang Muktamar PAS Pusat April nanti.

Begitu juga dengan Dewan-dewan Muslimat, Pemuda dan Ulamak.

Parti-parti lain ada yang menangguhkan proses pemilihan dalam parti kerana mahu tumpu pada Pilihanraya Umum namun PAS tabah menguruskan partinya berdasarkan Perlembagaannya. Inilah keunikkan PAS.

Selain itu program-program lain terus dianjurkan, umpamanya kempen “PAS Pilihanku” diketuai Naib Presiden Dato Iskandar Abd Samad yang setakat ini telah berjaya menerima 3,000 borang kehalian PAS baru.

Sempena Tahun Baru Cina, kawasan-kawasan PAS giat menganjurkan program berjumpa dan ziarah kaum Tionghua dimerata pelusuk. Program ceramah dan kursus-kursus dalaman parti juga berjalan lancar.

Berkebetulan dengan musim tengkujuh khasnya di Pantai Timur para pemimpin dan petugas PAS dibantu oleh Unit Amal sedang giat menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas, ahli-ahli PAS dengan rela terjun ke gelanggang membantu sesiapa sahaja yang memerlukan,

Dan dalam pada itu seluruh jentera PAS sedang beri tumpuan pada program besar tahun ini iaitu Himpunan 355 yang bakal diadakan pada 18 Febuari nanti di Dataran Merdeka yang dianjurkan oleh Sekretariat H355 yang turut dianggotai PAS dan beberapa NGO lain.
PAS Negeri-negeri mahu menggembeling seramai mungkin ahli dan penyokong untuk menjayakan himpunan aman berkenaan, Kelantan dan Terengganu sahaja dijangka menurunkan seramai 80,000 kekuatan.

Sasaran penganjur adalah lebih 300,000 kehadiran.

Segala ini meletak dan membuktikan bahawa PAS merupakan salah sebuah parti yang paling aktif dan dinamik kebelakangan ini. Kerana itu suka tak suka tumpuan masyarakat rata-rata adalah pada perkembangan dalam PAS.

Dalam kehangatan demikian tiba-tiba muncul seorang pemimpin pembangkang mengisytiharkan satu hasil kajian terbaru yang dikendalikan oleh sebuah badan bebas yang dikenali sebagai INVOKE Centre for Policy Initiatives (I-CPI). Menurut beliau kiranya Pilihanraya Umum diadakan, dan masyarakat bukan Melayu khasnya Cina terus menolak 

BN sebagaimana PRU yang lepas, tidak mustahil BN boleh tumbang.

Yang akan naik menggantikan BN menurut beliau lagi adalah Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Pan selain sekutunya PPBM atau Bersatu.

Menurut kajian tersebut kiranya berlaku pertandingan 3 penjuru iaitu antara BN, PAS dan PH, maka BN akan menerima sokongan yang paling rendah. Manakala PAS pula dakwa kajian itu berkemungkinan besar akan hilang semua kerusi DUN dan Parlimennya.

Anehnya kajian tersebut turut mengemukakan angka berikut, kiranya diadakan PRU, BN akan menerima 41% sokongan, PH 24%, PAS 21% manakala 14% tidak akan keluar mengundi.

Bagaimana kelompok yang menerima 24% sokongan boleh membentuk kerajaan tidaklah diketahui, kecuali ia membeli sokongan dari 41% dari kelompok BN.

Kenapa pula PAS yang memperolehi 21% sokongan walaupun bersendirian boleh tersisih?
Jelas kajian ini mahu memaksa PAS membuat keputusan, kiranya bersatu dengan PH boleh menang besar, kiranya berasingan akan kalah teruk sekurang-kurangnya itulah yang mahu diberi gambaran.

Sesungguhnya kita yang lama berpolitik tahu bahawa di sana ada beberapa bentuk kajian yang diusahakan oleh parti-parti politik. Yang jujur biasanya bersifat dalaman dan hanya dibincangkan di belakang tabir, ia mendedahkan kekuatan dan kelemahan masing-masing selain musuh. Ia membaca kekuatan sebenar satu-satu parti dan tidak menangkap muat semata-mata untuk menyeronokkan mana-mana pihak.

Namun ada juga kajian yang dibuat untuk memberi gambaran seakan parti berkenaanlah yang terbaik dan terbilang. Ini bagi mengasak dan menggelabahkan pihak lawan. Saya tidak pasti kajian INVOKE ini dalam kategori mana, tetapi ramai yang lain sudah boleh membuat andaian.

Yang paling menarik adalah ulasan dari Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Dato Seri Azmin Ali. Bagi beliau sandaran kekuatan sebenar adalah pada mana-mana pihak yang lebih terlibat dengan rakyat bukannya keputusan kaji selidik.
Azmin dipetik sebagai berkata: “Hanya kaji selidik, tetapi saya fikir keutamaan yang paling penting sekarang adalah semua parti-parti politik untuk turun, mendekati rakyat dan pengundi bagi menjelaskan dasar dan kedudukan kita. Kita mesti dilihat dan kita mesti bertindak bersama-sama sebagai kuasa yang kuat untuk menghadapi BN.”

Dan jika kajian di atas lebih mirip meminggirkan PAS, Azmin pula kelihatan lebih cenderung untuk mengekalkan hubungan dengan PAS bagi menghadapi BN.

Ternyata sebagaimana disebutkan awal tadi, bahawa disaat dan ketika ini satu-satunya parti yang paling giat berinteraksi dan bersama rakyat adalah PAS, bukannya di Kelantan atau di Selangor sahaja malah diseluruh negara, PAS bergerak bersama rakyat untuk memenangi sokongan mereka.
Bagi saya yang paling matang dan jauh bacaannya sahaja yang akan menyerlah dan berdiri tegak dalam suasana BN dan Umno sedang goyang akbiat hilangnya keyakinan rakyat terhadap mereka.
Hakikatnya jentera PAS sudah lama dihidupkan dan kini sedang bergerak lancar. Sesiapa sahaja yang akur, menghormati dan menerima dasar dan perjuangan PAS akan dapat menumpang jentera ini, manakala mereka yang khianat dan membenci PAS tiada tempat.
Biarlah yang ghairah dan terpaku dengan kajian, mabuk dan lemas dengan keseronokkan mereka, bagi PAS tugas dan tanggungjawab membawa mesej dakwah dan menyedarkan masyarakat tidak pernah berhenti. 

Samada satu lawan satu atau tiga penjuru, atau apa sahaja, biarlah rakyat yang menentukan. Yang pastinya PAS sudah bersedia. roslansms@gamil.com