Wednesday, November 16, 2016

LASAK 1311 titik mula kebangkitan PAS Selangor

Disaat parti-parti lain tertumpu untuk turun ke jalanraya, berdemonstrasi dan menjayakan Bersih 5 pada 19 November nanti, PAS di Selangor mengerahkan tenaga menganjurkan majlis yang berbeza.

Menggembeling rakyat turun ke jalanraya berdemonstrasi sebagaimana agenda Bersih 5, atas alasan menuntut pilihanraya yang bersih dan adil berbeza dengan LASAK 1311 yang dianjurkan oleh PAS Selangor baru-baru ini.

Politik yang bertenaga adalah politik yang berani meneroka lapangan baru. Politik yang berani menyentap perhatian rakyat sehingga menggegarkan minat dan tumpuan mereka. Mengulang-ulang pendekatan politik yang sama boleh dianggap politik yang ketandusan idea, basi malah berkemungkian mencetuskan kebosanan dikalangan ahli dan penyokong.
Lebih parah lagi apabila pemerhati yang tidak memihak kemana-mana mula muak dan benci.

LASAK 1311 diectuskan untuk membawa kelainan dan ternyata ia telah berjaya menciptanya.

Mursyidul Am PAS Tuan Guru Hj Hashim Jasin yang hadir untuk menutup majlis berkenaan mengakui bahawa inisiatif PAS Selangor itu sesuatu yang unik dan positif malah perlu dicontohi dan diikuti oleh pihak lain.

LASAK 1311 atau “Ledakkan suara rakyat” anjuran PAS Selangor bermaksud menghimpun rakyat dan pemimpin dalam satu himpunan dimana suara rakyat diperdengarkan untuk perhatian pemimpin. LASAK menyediakan gelanggang bagi rakyat jelata menyuarakan pandangan, krtikkan, teguran dan cadangan mereka.

PAS Selangor menyertai kerajaan campuran Selangor apabila menang dalam Pilihanraya Umum 2008, dan ianya diteruskan dengan mandat yang lebih bear dalam Pilihanraya Umum 2013.

Duduk memegang kerajaan adalah merupakan amanah yang besar, yang perlukan perhatian serius dan komitmen maksima kerana bagi PAS sebagai sebuah gerakan Islam amanah ini bukan hanya bermakna ia bertanggungjawab pada rakyat yang dipimpinnya tetapi lebih besar lagi amanah tadi akan dipertanggungjawabkan ke atasnya di hadapan Allah swt nanti.

PAS insaf dan sedar bahawa amanah kepimpinan seumpama ini bukannya peluang untuk mengayakan diri atau keluarga, bukan juga peluang untuk menyalahguna-kuasa dan menzalimi rakyat, tetapi ia sebagai peluang yang diberikan oleh Allah swt untuk melaksanakan kepimpinan bersandarkan ajaran dan ketentuan Nya.

Keadilan dan kesaksamaan Islam wajib ditonjolkan dalam pemerintahan.

Rakyat yang dipimpin perlu dibela dan dijaga kebajikan mereka. Kekayan dan hasil mahsul negeri perlu diurus dengan penuh telus dengan membawa pembangunan dan kemajuan yang tidak membelakangkan kepentingan rakyat sebaliknya kesejahteraan disusun untuk manfaat rakyat dan negeri seluruhnya.

Atas dasar itu isi hati rakyat perlu difahami dan diketahui agar perancangan dan penambahbaikan boleh dilaksanakan dengan bijak dan teratur.

LASAK bermatlamat membuka gelanggang bagi PAS Selangor untuk mendengar secara langsung keluhan dan tuntutan rakyat. Ia menyediakan saluran buat rakyat menyuarakan nasib dan pengharapan mereka, agar wakil PAS dalam kerajaan dapat mengambil maklum dan segera merancang dan melaksanakan sesuatu bagi memenuhi hasrat rakyat itu.

Dalam majlis ini rakyat bebas memberikan teguran, mengkritik dan mengemukakan cadangan untuk diangkat oleh para pemimpin yang hadir.

Sesungguhnya peluang seperti ini tidak pernah diusahakan dan LASAK merupakan permulaan yang berani yang diambil PAS Selangor bagi membuktikan komitmen mereka dalam menjalankan tugas sebagai pemerintah yang baik dan adil.

Dalam LASAK 1311 baru-baru ini wakil-wakil pelbagai sektor dalam masyarakat telah bangkit menyata dan meluahkan tuntutan dan pandangan masing-masing tanpa sebarang sekatan atau larangan.

Wakil-wakil anak muda, mahasiswa, wakil penduduk, pendidik, petani, peniaga kecil, wanita, bekas anggota keselamatan, pemandu teksi dan wakil penggiat seni telah masing-masing naik ke pentas dalam LASAK 1311 mengambil kesempatan menyuarakan isi hati masing-masing. Ada yang beremosi, ada yang lantang, ada yang bersahaja dan berjenaka malah ada juga yang sebak dan mengalirkan air mata, begitulah cerminan penghidupan rakyat yang sebenarnya.

Pengalaman hidup mereka khasnya dalam suasana ekonomi negara yang tidak menentu, dengan kenaikkan kos hidup, harga barangan dan perkhidmatan yang mencacak naik, telah berjaya diluahkan kepada pimpinan yang hadir.

Demokrasi dan pilihanraya satu hal, tetapi pembelaan kehidupan dan nasib rakyat lebih utama khasnya dikalangan mereka yang punya kuasa.

Rakyat sudah penat dan bosan berdemonstrasi di jalanan, hari ini mereka mahu pembelaan dari kalangan pemimpin yang jujur dan ikhlas,

LASAK 1311 mendedahkan betapa rakyat bukan hanya di Selangor tetapi saya percaya di seluruh negara, menanti-nantikan pembelaan yang lebih bermakna khasnya buat nasib dan masa depan mereka.

Disinilah PAS berperanan, sebagai sebuah gerakan Islam, ahli dan pimpinannya dilatih dan ditarbiyah sepanjang masa untuk menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar terutama apabila memikul amanah kepimpinan dan pemerintahan. Pemimpin Islam tidak korap, memelihara akhlak dan sentiasa bertaqwa.

PAS perlu membuktikan keberkesanan kepimpinan dan kerajaan Islam, lantas LASAK 1311 adalah platform yang paling sesuai bagi memandu mereka untuk menyelami isi hati rakyat untuk dijadikan agenda perjuangan.

Adalah diyakini apabila rakyat nanti dipanggil untuk menilai kepimpinan PAS tidak mustahil dimasa depan, rakyat tidak akan teragak-agak memberikan mandat yang lebih besar kepada Parti Islam ini, satu-satunya parti yang bersungguh isitqamah dengan prinsip dan tututan perjuangannya.

Syabas PAS Selangor.

Saturday, November 12, 2016

Obama pun boleh terima kekalahan



Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat telah pun berakhir. Donal Trump telah pun berjaya memperolehi bilangan perwakilan “electoral college” yang mencukupi untuk diisytiharkan sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke 45.

Seluruh dunia memberi tumpuan kepada pilihanraya ini, kerana AS merupakan negara maju yang paling berpengaruh di dunia. Apa sahaja berkenaan pilihanraya ini dan keputusannya pasti memberi kesan kepada dunia keseluruhannya.

Antara banyak-banyak episod pilihanraya bersejarah itu, saya tertarik mengikuti ucapan Presiden Obama di laman White House sehari selepas keputusan itu diketahui.

Kata beliau:

“We try really hard to persuade people that we are right. And then people vote

And then if we lose, we learn from our mistakes, we do some reflection. We lick our wounds, we brush ourselves off, we get back in the arena.

We go at it. We try even harder the next time.

The point though is that we all go forward with a presumption of good faith in our fellow citizens. Because the presumption of good faith is essential to a vibrant and functioning democracy.”

Kita cuba sedaya upaya untuk mempengaruhi rakyat bahawa kita dipihak benar. Dan selepas itu rakyat mengundi.

Dan jika kita tewas, kita belajar dari kesilapan kita, dan kita kaji kembali (kelemahan kita). Kita merawat luka kita, dan kita mengangkat kembali diri kita masuk semula ke gelanggang.

Kita pergi lagi. Kita cuba lebih kuat selepas itu.

Yang pentingnya kita bergerak ke hadapan dengan sentiasa bersangka baik terhadap sesama warganegara kita. Kerana sikap bersangka baik ini perlu untuk sebuah demokrasi yang berfungsi dan bertenaga.

Hebat sikap Obama dalam menerima kekalahan calonnya Hillary Clinton. 

Bagi saya sepatutunya mereka yang kagum dan cenderung dengan kepimpinan Barat, kagum dengan sistem Barat, yang kononnya sederhana dan liberal itu sepatutunya meniru bulat-bulat sikap dan pendirian ikon mereka, Obama.

Ini mengingatkan saya ada satu golongan yang bukannya bertanding dalam pilihanraya umum pun, tetapi bertanding dalam pilihanraya parti yang sepatutunya lebih ikatan ukhuwah dan kemesraannya kerana bertanding sesama rakan, tetapi apabila kalah atas keputusan para perwakilan, tidak pula boleh menerima kekalahan dan bermuhasabah diri

(And then if we lose, we learn from our mistakes, we do some reflection. We lick our wounds, we brush ourselves off, we get back in the arena.)

Sebaliknya mereka meracau. Membakar kelambu sendiri yang selama ini melindungi mereka. Mereka bertindak keluar parti, mereka tubuhkan parti baru dan kemudiannya mendakwa parti mereka itu bakal menggantikan perjuangan parti asal yang telah menolak mereka.

Mereka kagum dengan Obama, tetapi dalam  hal ini mereka ingkar.

Aduhai siapalah mereka itu?

Tuesday, November 08, 2016

Memilih berkecuali itu hak PAS

Bajet 2017 ataupun Rang Undang-undang Perbekalan telah diluluskan diperingkat dasar di Dewan Rakyat pada jam 10.15 malam tadi setelah berlaku undi belah bahagi.

Speaker Dewan mengumumkan seramai 117 ahli telah menyokong, 70 menolak dan 11 tidak mengundi.

Dan sekali lagi sebagaimana buat Bajet 2016 yang lalu, ahli-ahli Parlimen PAS telah mengambil sikap berkecuali. Ini bukan kali pertama PAS berbuat demikian.

Mengapa berkecuali?

Sebelum itu kita kena faham amalan demokrasi dan kebebasan bersuara.

Sebagai sebuah parti politik PAS berhak mengarahkan wakilnya samada menyokong, menolak atau bersikap berkecuali bukan sahaja terhadap Bajet ini tetapi terhadap apa perkara sekalipun di Parlimen.

Pastinya sikap itu mencerminkan pendirian dan sikap parti dan pastinya PAS punya alasannya tersendiri.

Apa pun mendakapi amalan demokrasi dan kebebasan bersuara, apa sahaja sikap dan pendirian PAS itu sewajarnya dihormati. Itu hak PAS.

Sikap berkecuali PAS ini menunjukkan bahawa PAS tidak menyokong BN dan begitu juga tidak bersama pakatan pembangkang yang menolak Bajet berkenaan.

Sesungguhnya PAS memilih untuk berkecuali kerana ada perkara yang dicadangkan di dalam Bajet berkenaan pada pandangan PAS perlu sampai ke rakyat umpamanya belanja pengurusan selain peruntukkan pembangunan yang asas. Namun demikian ada perkara-perkara yang PAS bantah, dan ini telah dilakukan melalui perbahasan wakil-wakilnya dengan mengemukakan cadangan balas.

PAS mahu memain pernanan sebagai pembangkang yang konstruktif bersesuaian dengan konsep amar makruf nahi mungkar yang ditegakkan oleh Islam dan PAS akan terus menekankan kosnep ini semasa Bajet ini diperingkat Jawatankuasa nanti.

Pada dasarnya sikap PAS ini adalah berasas, bukan bermakna PAS menyokong BN kerana jika menyokong PAS sepatutnya mengundi menyokong, tidak juga sebagaimana sikap blok pembangkang yang lain yang menentang tetapi di dalam perbahasan memohon itu dan ini.
PAS merasakan rakyat Malaysia dahaga pada politik yang matang dan sejahtera kerana itulah PAS memilih untuk berkecuali.

PAS bukan lagi anggota Pakatan Rakyat yang telah pun terkubur. PAS tidak menyertai Pakatan Harapan, yang memilih untuk menolak Bajet 2017 ini. Lalu tiada pihak yang boleh memaksa atau menuntut PAS agar ikut sikap dan jejak mereka. PAS bebas dan berhak bertindak lantaran ia tidak terikat dengan mana-mana pihak.

Tindakan PAS adalah memilih untuk berkecuali, lalu hormatilah pilihan PAS, itu hak PAS.