Thursday, August 04, 2005

Poligami: Nasihat Tok Guru

Akhbar NST hari ini memuatkan kunjungan MB Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat ke Hospital Kota Bharu bagi menziarahi beberapa orang pesakit termasuklah seorang Lans Kopral dari Kem Pengkalan Chepa yang telah disiram dengan asid kerana dikatakan berhasrat berkahwin seorang lagi.

Semasa ditemui pemberita Tok Guru menyatakan sebagaimana dilaporkan oleh NST:

Those who wanted to practise polygamy must first obtain their wives permission before taking another spouse, he said. A wife cannot be likened to a domestic helper whom he can just leave in the lurch,

Mereka yang mahu mengamalkan poligami seharusnya mendapatkan keizinan dari isteri masing-masing terlebih dahulu. Seorang isteri tidak boleh diumpamakan bagai pembantu rumah yang boleh ditinggalkan sewenang-wenangnya.

A man who wants to take a second wife for whatever reason must be sensitive to his first wifes feelings about his decision. Nik Aziz also said men who wanted to lead a polygamous life must be fair to their wives. They must also be financially able.


He said, more importantly, they must understand that women could be emotional on certain matters. A womans heart is like a glass, very fragile and easily shattered. Husbands must learn how to take care of them.


Tok Guru, Husam & Ustaz Hassan di Hospital KB


Seseorang suami untuk apa sahaja sebab, yang inginkan isteri kedua perlulah sensitif terhadap perasaan isteri pertama tadi. Kata Nik Aziz lagi seseorang yang mahukan hidup berpoligami wajib berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Dan mereka perlulah mampu dari segi kewangan.

Dan yang lebih penting lagi kata beliau, mereka mestilah memahami yang seorang wanita itu pasti emosional dalam hal-hal tertentu. Hati seorang wanita ibarat kaca, perlu berhati-hati dan mudah berkecai. Suamilah yang perlu belajar bagaimana memeliharanya.

Demikianlah pandangan ikhlas dan jujur dari seorang ulamak dan pemimpin. Ulasan yang sungguh padat dan penuh pengajaran ini perlulah mendapat perhatian semua pihak termasuklah badan-badan NGO wanita.

Inilah Tok Guru Nik Aziz yang dikatakan sering prejudis dan merendahkan martabat wanita itu. Berdasarkan kenyataan di atas jelaslah bagaimana pendirian dan sikap sebenar beliau yang sering dipandang negatif oleh banyak pihak.

Dalam erti kata lain sungguhpun Islam membenarkan poligami namun syarat-syarat yang perlu dipatuhi serta kelayakan yang perlu dipenuhi adalah berat dan bukan mudah. Dan yang lebih penting lagi sebagaimana disarankan oleh Tok Guru lebih baiklah pihak suami memahami dan menyelami terlebih dahulu perasaan isterinya sebelum bertindak membuat sesuatu keputusan yang melibatkan amalan berpoligami.

Kalau Tok Guru pun beristeri satu........




Ketua Putera Umno bukan samseng jalanan tetapi .......

Pada 21 Jun lalu saya ada memuatkan dalam blog saya (http://n32.blogspot.com/) ulasan berkenaan temuramah Ketua Putera Umno Azeez Abdul Rahim dalam Agendadaily (http://www.agendadaily.com/). Dalam ulasan saya itu saya mengenengahkan maklumat yang diterima dari sumber yang boleh dipercayai berkenaan jawapan dan ulasan Azeez dalam temuramah itu.



Menurut sumber tadi kebanyakan maklumat yang diberikan Azeez dalam temuramah itu samada telah diselewengkan atau palsu ataupun pembohongan.

Saya terbitkan kembali ulasan saya itu:

Menurut seorang sumber yang menghubungi kami sebahagian besar dari jawapan Azeez terhadap wawancara ini adalah bohong dan palsu belaka. Menurut sumber tadi sesiapa yang tidak mempercayainya bolehlah melakukan siasatan sendiri samada melalui pendaftar syarikat ataupun mana-mana pihak yang berkaitan.

Satu lagi pembohongan yang lebih serius (dalam wawancara itu) adalah:Kemudian saya beli syarikat Almarhum Sultan Selangor iaitu syarikat Wilayah Arm, setelah maju dalam berniaga, saya mula memberi bantuan kepada mereka yang tidak bernasib baik, pada rumah anak yatim, badan kebajikan, sekolah agama, sekolah anak yatim, Belia 4B, Pandu Puteri.


Menurut sumber syarikat tersebut bukannya milik Almarhum Sultan Selangor, tidak masuk akal Almarhum Tuanku memiliki sebuah syarikat sedemikian rupa. Barangkali pemilik lesennya adalah kerabat di raja Selangor tetapi BUKAN Almarhum Sultan, mengapa Azeez menjual nama Almarhum dalam hal ini? Dan Azeez tidak pula memberitahu yang syarikat itu kemudiannya telah beliau jual dan kini pemiliknya bukan lagi beliau!

Dan lebih serius lagi Azeez mendakwa:sejak dulu lagi saya memberi sumbangan dan bantuan, kemudian saya sambung belajar, saya buat Masters di sebuah Universiti di AmerikaMenurut sumber Azeez tidak pernah memasuki mana-mana universiti di Amerika apalagi berjaya mendapatkan ijazah sarjana di sana.

Pihak Agendadaily telah membuat temuramah susulan dengan Azeez barangkali ekoran perkembangan ini (atau barangkali agendadaily pun menerima maklumat yang sama). Jelas kenyataan Azeez kali ini semakin mengeruhkan keadaan malah hampir mengesahkan maklumat yang diperolehi dari sumber itu dan banyak lagi yang masuk setelah berita Azeez ini dibawa kepengetahuan umum.

Azeez tidak menafikan yang beliau banyak terlibat dengan kes-kes di mahkamah yang ada diantaranya masih belum diputuskan apabila beliau berkata dalam temuramah kali ini:

Dalam bab ada orang dakwa saya ada kes mahkamah …memang betul.
Siapa saja yang berminat nak tahu sangat betul tak betul boleh pergi check kat mahkamah..memang dulu waktu zaman saya mula berniaga.. memang ada unsur-unsur dalam perniagaan… kata saya nak tembak orang dan sebagainya.


Selain itu dalam penjelasan beliau kepada Agendadaily Azeez tidak menyentuh langsung berkenaan syarikat Wilayah Arms yang didakwanya dibeli dari Almarhum Sultan Selangor (dalam temuramah pertama). Berdasarkan rekod Almarhum Tuanku memang TIDAK PERNAH memiliki mana-mana lessen mengedar ataupun menjual senjatapi!

Manakala berkenaan ijazah Masters yang didakwanya diperolehi beliau di Amerika Syarikat (yang dinafikan oleh kenalan-kenalan rapat beliau) Azeez berkata dalam temuramah baru ini:

Pasal ada orang bawa mulut kata saya tak ada kelulusan universiti luar negara kata saya temberang dan sebagainya.

Itu terpulanglah..kalau saya tak ada mana mungkin saya berani nak bubuh kelulusan itu dalam biodata saya.

Universiti saya belajar bukan universiti yang kolot..itu antara universiti tertua di Amerika iaitu Preston University di Wyoming,Amerika Syarikat.

Tak kan saya masuk universiti balik kosong, mustahi, lainlah kalau universiti negara-negara kita tak percaya kesahihhannya, ini semua ada rekod.

Tak mungkin saya nak bohong, apa tujuan saya nak bohong.

Akan tetapi penjelasan ini sahaja sudah merupakan satu pembohongan baru!

Jeff Ooi pemilik blog SCREENSHOTS (http://www.jeffooi.com/) telah membuat kajian berkenaan Preston University ini sebagaimana yang didakwa Azeez dan Jeff mendapati:

Preston University of Wyoming - which was established in 1994, and held its first graduation ceremony in 1997 - is ONE OF THE OLDEST UNIVERSITIES IN THE US?

Bagaimana Universiti yang ditubuhkan pada tahun 1994 (baru 11 tahun) itu boleh dikatakan oleh Azeez sebagai ANTARA UNIVERSITI TERTUA DI AMERIKA SYARIKAT!

Apa pun penjelasan Azeez ini makin menimbulkan pelbagai lagi kecelaruan dan kesangsian terhadap kewibawaan dan status beliau sebagai seorang pemimpin yang sepatutnya memimpin golongan muda, genarasi pelapis dalam Umno. Kemungkinan Azeez bukan lah samseng jalanan (sebagaimana tajuk temuramah susulan beliau dalam agendadaily), kerana hanya seorang samseng profesional sahaja sebenarnya yang mampu melakukan semua yang diatas! Selamatkanlah anak-anak anda dari terjebak di dalam Putera Umno ini.

Wednesday, August 03, 2005

SIAP: SISTERS IN AYAH PIN

Pada 14 Julai yang lalu saya menulis berkenaan artikel Marina Mahathir dalam ruangan minggunannya dalam akhbar THE STAR yang telah mempertahankan hak Ayah Pin dan para pengikutnya untk mengamalkan amalan dan kepercayaan mereka.

Dalam artikelnya itu Marina menulis:

Terdapat kecenderungan banyak pihak untuk mendakwa sesiapa yang berfikiran berbeza dari mereka, lebih dari sebelum ini. Yang anehnya mereka ini lebih minat memberkas dari kalangan sesama akidah. Ianya umpama menyertai sebuah kelab, dan kemudian anda tidak dibenarkan sekali-kali meninggalkannya walaupun anda sudah tidak menyenangi peraturan-peraturannya.

Marina sesungguhnya terkapar-kapar dan lemas apabila membicarakan bab murtad seolah beranggapan dalam Islam seseorang Muslim mempunyai pilihan untuk keluar agama sesuka hati. Bab kufur setelah beriman ini adalah satu kesalahan yang serius dalam Islam sebagaimana difirmankan Allah swt dalam Surah an Nahl:106 (maksudnya)

Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.

Dan seperti yang saya jangkakan aliran fikiran yang berbahaya (bagi Islam) seperti Marina ini akan pasti ada pengikut dan penyokongnya. Terbukti dalam akhbar THE SUN hari ini fikiran seumpama Marina ini dalam zaman Islam Hadhari yang penuh fitnah memang ada pun peyokongnya.


Masjaliza & logo SIS

Masjaliza Hamzah dari Sisters in Islam telah sebagaimana Marina turut menyokong dan mempertahankan hak Ayah Pin dan para pengikutnya. Beliau mempertikaikan mengapa orang yang telah Islam tidak boleh diberi hak untuk menggugurkan aqidahnya, beliau menulis:

How can religious authorities and Muslims demand that those wishing to convert to Islam should have all the freedom to do so, and at the same time, deny this freedom to Muslims who wish to leave their faith or believe otherwise?

Bagaimana boleh pihak berkuasa agama dan umat Islam menuntut agar sesiapa yang berhasrat memeluk Islam diberikan kebebasan berbuat deminian, akan tetapi dalam waktu yang sama menafikan hak ini kepada orang Islam yang berhasrat meninggalkan agamaya atau menganut kepercayaan lain?

Tulisan di atas pasti memual dan menjijikkan untuk dibaca, malah lebih biadap lagi apabila penulis ini mewakili sebuah NGO Muslim! Penulis yang sungguh keliru dan serabut ini terus menulis:

Freedom of religion must recognise the right to practise one's religion, however unorthodox the beliefs may be. This right includes the freedom to change one's religion or belief, either alone or in community with others, in public or private.

Kebebasan agama perlulah mengiktiraf kebebasan seseorang untuk mengamalkan kepercayaannya, walau bagaimana pelik sekalipun amalannya. Hak ini perlulah termasuk hak mengubah kepercayaan atau agama seseorang, samada secara individu maupun satu-satu masyarakat di dalamnya, samada secara terbuka ataupun sebaliknya.

Sampai bilakah pihak berkuasa agama akan membenarkan Sisters in Islam ini berterusan mengeluarkan kenyataan dan pendirian yang sesat dan menyesatkan ini? Ianya bukan kali pertama mereka berbuat demikian.

Kita berada dalam satu zaman dimana Islam diserang hebat oleh pihak luar dari berbagai penjuru. Umat Islam sendiri pula terlalu lesu, semakin jauh meminggirkan agama, dan tiba-tiba dalam keadaan tenat ini kita mengizinkan pula malapetaka besar seumapama Sisters in Islam ini untuk bebas mengeluarkan pandangan kononnya sebagai sebuah NGO Muslim.

Segala hujah dan logik yang dikemukakan oleh SIS melalui tulisan Masjaliza ini sungguh kabur, songsang dan dengan sewenang-wenangnya telah memutarkan ayat-ayat Allah.

Kalau sayang dan cintakan sangat SIS ini kepada Ayah Pin (dan mereka yang seumpamanya) maka SIS sepatutnya ikut saja jejak langkah beliau menguasai kerajaan langit. Tukar saja akronim SIS kepada SIAP iaitu Sisters in Ayah Pin, kan jelas dan cantik bunyinya itu. Jangan lupa lantik Marina Mahathir sebagai penaungnya.

Tuesday, August 02, 2005

Selangor: Rakyat sengsara wakil rakyat naik gaji

Baru masuk dua hari harga petrol naik lagi ke 10 sen, dan dalam keadaan rakyat menderita dalam jangkaan harga barangan lain turut akan naik hasil dari kenaikan bahan utama ini, tiba-tiba naik lagi satu perkara.

Bukan harga barangan, bukan harga rumah ataupun harga air, letrik atau lain-lain, tetapi kali ini yang naik adalah sesuatu yang sedap dan menyenangkan hati mereka yang menerimannya. Cumanya tidak seperti kenaikan harga petrol yang membebankan hampir seluruh rakyat jelata, kenaikan ini cuma melibatkan sekitar 56 orang sahaja, itupun di Selangor sahaja.



Kenaikan yang dimaksudkan adalah kenaikan elaun Menteri Besar, ahli-ahli EXCO dan ADUN Selangor yang diluluskan oleh dewan undangan negeri Selangor semalam.

Kenaikan 10 peratus itu pula dikebelakangkan penguatkuasaannya iaitu bermula tahun 2004! Bermakna tunggakan elaun untuk MB sahaja selama 19 bulan mencecah RM25,000. Boleh beli sebuah rumah kos murah!

Bermakan berkuatkuasa serta merta elaun Menteri Besar adalah RM14,175.15, Timbalan MB RM7,440.29, EXCO RM6,109.29 dan ADUN RM4,112.79.

Kakitangan kerajaan dibebankan dengan kenaikan harga petrol dan kesan sampingan yang dijangka terhadap barangan-barangan lain, sedangkan gaji mereka terus berad aditakuk lama. Demikian juga halnya mereka yang bekerja di kilang, kakitangan biasa di sektor swasta dan para buruh. Bagaimana pula dengan para petani dan nelayan? Tiba-tiba wakil-wakil rakyat yang sepatutnya membela rakyat tersenyum simpul, mengangkat tangan setinggi langit, mengundi dan meluluskan sendiri kenaikan gaji masing-masing.

Sementara itu MB Selangor Khir Toyo turut membayangkan kemungkinan peruntukkan tambahan diberikan kepada para ADUN (BN sahaja, pembangkang tak masuk senarai) untuk memudahkan mereka memberikan hadiah ketika menghadiri jemputan kenduri ataupun apa sahaja majlis persendirian.

Mengapa MB Selangor yang kononnya seorang MB disatu-satunya Negeri Maju beranggapan jawatan wakil rakyat ini laksana Santa Claus, yang kerjanya tidak ada lain selain mengagih dan memberikan hadiah semata-mata! Wakil rakyat ini sepatutnya menjadi pengantara diantara rakyat dan pihak atasan, bukannya Santa Claus.

Wakil rakyat sepatutnya satu institusi yang menjadi jurucakap rakyat yang diwakilinya. Masalah rakyat, cadangan rakyat, sikap rakyat, pendirian rakyat akan ia suarakan melalui sidang dewan. Itulah sepatutnya tugas dan tanggungjawab wakil rakyat sebagaimana yang terdapat di negeri-negeri maju yang Khir ghairah mahu contohi itu.

Ini tidak, kalau rakyat nak kahwin, ada kenduri-kendara dan berbagai lagi maka wakil rakyatlah dituju untuk mendapatkan wang dan pampasan! Trend ini sebenarnya telah direka sendiri oleh BN dan dulunya Perikatan. Lalu kini Khir kononnya bersikap proaktif memerah khazanah negeri bagi tujuan kerja-kerja Santa Claus ini.

Jadilah rakyat umpama peminta sedekah, dan jadilah wakil rakyat laksana Raja di kawasannya.

Memang tidak dapat dinafikan dalam satu-satu kawasan itu pasti ada mereka yang miskin dan kurang berada khususnya di kawasan-kawasan luar bandar. Dalam hal ini wakil rakyat sepatutnya menjadi pegawai yang membantu mereka yang seumpama ini untuk memperolehi bantuan kerajaan samada melalui jabatan kebajikan, pusat zakat atau seumpamanya. Bukan wakil rakyat yang sendiri keluar duit. Kalau ini mahu dibenarkan, tidakkah ianya kelak akan membuka kepada poltik wang dan salah guna kuasa yang sememangnya amat sinonim dengan Umno itu?

Berbalik kepada kenaikan elaun MB, EXCO dan ADUN Selangor ini, dalam keadaan kegawatan kenaikan harga barangan yang menjejaskan kehidupan rakyat ini, maka sedarlah kita dimana letaknya kepentingan mereka yang berkuasa. Mengapa perlu diluluskan kenaikan ini dalam keadaan yang gawat ini, kakitangan kerajaan disuruh menjimatkan pengunaan alat hawa dingin kerana kononnya kerajaan perlu berjimat, tetapi wang rakyat diguna untuk menampung elaun wakil rakyat, tidak mengapa!

OK sungguhlah nampaknya Khir OK ini.

Monday, August 01, 2005

TENG menjadi mangsa DUN Selangor

Akhbar THE SUNDAY STAR semalam melaporkan bahawa ADUN DAP Kawasan Sg. Pinang yang juga Ketua Pembangkang DUN Selangor Teng Chang Khim dijangka digantung sehingga tahun 2007.



Pada 25 haribulan April lalu semasa persidangan dewan Teng telah cuba mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap MB Selangor Khir Toyo. Antara isu yang cuba dibabitkan dalam uasul tersebut adalah kegagalan Khir dalam menguruskan negeri dengan baik sehingga timbul berbagai skandal termasuklah isu penyelewengan tanah di Kg Perepat, isu taman pertanian Bukit Cahaya dan rumah mewah Exco di Seksyen 7 Shah Alam yang menelan belanja RM21juta.

Speaker Dewan Onn Ismail (yang juga Pengerusi Tetap Umno) ketikas itu telah menghalang Teng dari mengemukakan usulnya dan melarang pula Teng memohon penjelasan terhadap tindakan beliau itu.

Teng memang dikenali sebagai ADUN yang berani yang sering membangkitkan hal-hal rakyat dan penyelewengan kerajaan Selangor di dewan. Apabila Speaker dewan yang memang dikenali memusuhi ADUN-ADUN pembangkang itu dengan sewenang-wenangnya menolak hak beliau maka telah berlaku pertiman lidah antara kedua-dua pihak yang turut dicampuri oleh ADUN-ADUN BN, Exco dan MB sendiri. Akibatnya Teng menyedari bahawa puak-puak BN menggunakan kekuatan mereka di dewan untuk menyekat beliau dari menyampaikan isu-isu yang melibatkan rakyat dan negeri, tanpa memperdulikan peraturan dan perintah-perintah dewan, maka tindakan spontan beliau, sebagai satu respon simbolik, melontar buku peraturan dewan ke dalam bakul sampah.

Tindakan beliau ini terus dibawa keperhatian dewan dan akibatnya beliau digantung dari tersu menghadiri sessi dewan ketika itu dan dirujuk ke jawatankuasa kuasa-kuasa khas untuk mencadangkan tindakan seterusnya terhadap Theng yang kononnya telah mencemarkan nama baik dewan.

Menurut akhbar ini berkemungkinan dewan yang bersidang hari ini akan mencadangkan agar Teng terus digantung sehingga tamat tempoh dewan ini iaitu sehingga ke tahun 2007 sekiranya beliau gagal memohon maaf kepada dewan. Jika memohon maaf sekalipun beliau tetap akan digantung selama 6 bulan dengan segala hak dan kelayaknnya sebagai ADUN turut dinafikan.

Tidakkah ini satu langkah ataupun tindakan yang terlalu drastik dan keterlaluan. Menafikan beliau menjalankan tugasnya sebagai ADUN bermakna merampas mandat yang telah diberikan oleh rakyat terhadapnya. Ini akan meletakkan DUN Selangor lebih berkuasa dari suara rakyat!

Mungkin tindakan Teng melontar peraturan dewan itu dikira keterlaluan, namun kita juga perlu menimbangkan scenario dan suasana dewan ketika itu sehingga mengakibatkan Teng berbuat demikian.

Onn Ismail semasa dewan penggal 1999-2004 dahulu, ketika bilangan ADUN pembangkang Selangor seramai 6 orang memang tidak pernah dilihat adil dan saksama dalam menjalankan tugas beliau. Beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dewan negeri tersebut akan lebih selesa tanpa pembangkang ketika ADUN-ADUN pembangkang ketika itu yang diketuai Dr Hassan Ali (PAS – Sg. Burung) bertindak keluar dewan kerana tidak puas hati dengan keputusan beliau.

Demikianlah halnya Dewan Undangan Negeri Selangor, sebuah negeri yang didakwa MB nya bertaraf negeri maju, namun sikap, keperibadian dan mentaliti anggota dewan tertingginya khasnya Speaker dewan setaraf atau barangkali lebih rendah dari mereka yang berada di dunia ketiga!
UMNO tidak peduli PAS lagi:
Menyanggah pandangan Subky Latif

Ramai yang menyedari bahawa Pak Lah langsung tidak menyentuh darihal PAS semasa menyampaikan ucapan dasarnya di perhimpunan agung umno di PWTC baru-baru ini, sedangkan PAS adalah musuh politik tradisi Umno.

Malahan semasa menggulung perbahasan juga Pak Lah tidak sedikit pun menyebut samada berkenaan PAS maupun pemimpin-pemimpinnya. Ini sudah pasti berbeza sama-sekali dengan ucapan-ucapan Dr Mahathir sebelum ini yang tidak pernah melepaskan peluang menyerang PAS setiap kali berucap dalam perhimpunan itu ketika beliau Presidennya dahulu.


Subky: Umno dah tak peduli PAS

Mengapa berlaku demikian?

Ramai yang berangapan Pak Lah berhadapan dengan terlalu banyak isu dalaman sehingga tidak memikirkan perlu memperuntukkan ruang untuk berbicara darihal isu politik luaran. Ada pula yang beranggapan Pak Lah mahu meredekan buat seketika konfrontasi Umno-PAS untuk memberikan tumpuan terhadap isu perpaduan dan pembersihan Umno.

Demikianlah rata-rata pandangan yang diterima, namun pandangan ini tidak pula dikongsi ataupun diterima oleh seorang penulis veteran, bekas AJK Pas Pusat iaitu Pak Subky Latif.

Bagi beliau sebagaimana yang dimuatkan dalam BLOGnya http://subkylatif.blogspot.com/ :

Yang dirasakan perubahan yang dibuat dua bulan sebelum Perhimpunan Agung UMNO itu langsung tidak dirasaskan apa-apa oleh UMNO. UMNO menghadapi pertukaran itu dengan tidak mempedulikan langsung kewujudan PAS.

Pak Subky beranggapan PAS tidak disebut dalam ucapan dasar Umno kerana PAS pada hari ini walaupun telah melalui proses perubahan pucuk pimpinan berdasarkan kehendak para perwakilan muktamar, namun pada hakikatnya tidak menyengat. Perubahan pucuk pimpinan PAS yang dikatakan berlaku dalam PAS sebenarnya bagi Pak Subky sekadar pertukaran beberapa jawatan penting sesama lingkungan itu juga.

Kata beliau:

Tetapi yang dinamakan pasukan pimpinan baru itu satu pertukaran tokoh-tokoh dalam beberapa jawatan penting di bawah Presiden yang sama. Pertukaran itu adalah antara orang-orang yang di dalamnya juga. Yang dikatakan perubahan itu adalah pertukaran.

Dalam pecubaan PAS melakukan lonjakan paradigma, ia mencari tokoh baru barang seorang dua, tetapi tokoh iu tidak diperolehi. Justeru itu yang tidak tokoh pun dijadikan tokoh.

Semua pihak baik dalam PAS mahu pun di luar PAS mahukan PAS yang dinamik. Mana yang keruh diganti dengan jernih. Bukan mengeruhkan yang jernih.

Benarkah demikian?

Saya selama ini sungguh menghormati Pak Subky sebagai seorang tokoh yang telah memberikan banyak sumbangan kepada perjuangan Islam khususnya dalam bentuk tulisan yang tidak putus-putus menyuntik ilmu dan kesedaran Islam kepada para pembacanya. Walaubagaimanapun dalam hal ini saya kira saya terpaksa memilih untuk tidak bersetuju dengan beliau.

Janganlah lantaran kealpaan dan kegelabahan Pak Lah tidak memuatkan sindiran, serangan terhadap PAS dalam ucapannya maka kita menganggap PAS sudah tidak relevan sudah tumpul, tidak bertaring lagi bagi Umno. Takkanlah semudah itu jadinya!

Memang PAS perlu membuka dirinya bersedia menerima teguran dan kritikan, akan tetapi dalam hal yang dibangkitkan Pak Subky ini saya kira ianya penuh bersulam emosi dan tidak bertongkat pada kebenaran.

Teguran Pak Subky menolak sama-sekali inisiatif ikhlas yang diambil oleh para perwakilan muktamar yang mewakili aspirasi para ahli dari peringkat akar umbi. Ianya turut menafikan sama-sekali bacaan politik semasa Presiden dalam menyusun safnya berdasarkan bayangan yang diberikan oleh muktamar.

Tidak cukup dengan itu Pak Subky turut mendendangkan lau-lagu yang kurang enak didengar apabila menyatakan:

Tetapi apabila kepimpinan dan intitusi ulama itu diserang oleh penyokong dan pendokong PAS, barakahnya hilang.

Apabila PAS mengenepikan pentingnya ulama dalam jawatan-jawatan tertentu dalam parti, seperti tiadanya ulama dalam jawatan Naib Presiden, maka rasa gerun dihati UMNO pun hilang.

Dan UMNO pun tidak lagi mempedulikan PAS.

Benarkah apabila muktamar memberikan mandat kepada Hj Husam Musa, Dr Hasan Ali dan Hj Muhammad Sabu sebagai Naib-naib Presiden maka membuktikan yang PAS telah menolak ulamak? Benarkah Umno hanya takut kalau ketia-tiga Naib Presiden PAS adalah ulamak belaka?

Saya kira tanggapan ini tidak berasas dan malah kalau tidak berhati-hati akan memberi mudarat yang lebih dari sudut tanggapan orang ramai terhadap kedudukan Pak Subky sendiri sebagai seorang veteran yang disegani.

Ketiga-tiga Naib Presiden ini jika bekerja bersungguh-sungguh untuk Islam, meletakkan kepentingan perjuangan mengatasi kepentingan yang lain, insyallah jangankan Umno dunia pun akan gerund dan kagum. Dan muktamar PAS yakin bahawa mereka ini mampu berbuat demikian, Pak Subky harus berlapang dada dan memberikan mereka peluang sebagaimana ahli-ahli PAS lain memberikan mereka peluang.

Mengapa Pak Subky tidak pula mengulas kedudukan Tuan Guru Hj Abd Hadi dan Ustaz Nasharuddin, kedua-duanya ulamak, sebagai Presiden dan Timbalan Presiden PAS? Kalau mengikut irama Pak Subky tidakkah kemenangan mereka berdua ini membuktikan yang PAS tetap memartabatkan ulamak. Mengapa terus melompat ke jawatan Naib-naib Presiden?

Kesimpulannya kekalahan besar PAS dalam PRU ke 11 lalu adalah merupakan suatu pengajaran pahit yang Alhamdulillah telah diterima hakikatnya oleh ahli-ahlinya. Ahli-ahli menginsafi bahawa suatu anjakan paradigma perlu dilakukan bukan hanya terhadap barisan pimpinan malahan strategi dan pendekatan PAS itu sendiri. Bagi PAS matlamat perjuangan lebih penting dari individu dan yang lain-lain.

Kini mereka sendiri telah melakar dan sedang menghidupkan perubahan ini. Telitilah mana-mana ulasan samada dalam akhbar mahupun majalah dan laman-laman web politik berkenaan langkah pertama, iaitu perubahan dalam saf pimpinan PAS. Rata-rata ulasan yang diterima begitu positif dan memberangsangkan, adalah satu dua yang tidak menaruh keyakinan, namun tidaklah negatif dan tertutup langsung sebagaimana ulasan Pak Subky.

PAS membuktikan mereka berani membuat perubahan, dan Presiden PAS sendiri turut menyambut keberanian ini dengan melakukan rombakan yang dikira besar juga dalam saf kepimpinan parti serta membuka ruang terhadap pendekatan dan strategi baru. Dalam hal ini biarlah Umno tidak memperduilikan lagi PAS, biarlah mereka tidak lagi takut sebaaimana anggapan Pak Subky, yang penting adalah penerimaan rakyat, biarlah Umno tidur lena, PAS bekerja.

(Nota: Kalau Umno dah tak pedulikan PAS, tak robohlah Masjid di Kg Bujal, dan tidak diganggulah lagi ceramah PAS serta ditembak gas dan ditangkap para pemimpin parti.)

Friday, July 29, 2005

PENGGANAS IRA DIAMPUNAKAN OLEH BARAT

IRA ataupun Irish Republican Army (Tentera Republik Ireland) diasakan oleh Michael Collins pada tahun 1916. Matlamat utamanya adalah bagi menamatkan penjajahan British ke atas Ireland Utara dan membawanya keluar dari Untited Kingdom dengan cara mengangkat senjata. Disamping itu ia juga berhasrat menyatukan Ireland sebagai satu Republik.

Ia bermula dengan sengketa antara mazhab Katolik dan Protestan yang berbeza sehinggalah menjangkau kepada perjuangan politik dan tuntutan pembebasan dan kemerdekaan.


Petikan kata-kata seorang bekas pejuang IRA yang mati dalam tahanan British

Pada tahun 1949 pergerakan ini diharamkan oleh kerajaan. Ia bergerak secara gerila dan telah mencetuskan banyak kemusnahan sehingga mengorbankan lebih 3000 nyawa dan mencederakan puluhan ribu lagi sepanjang sejarahnya.

Antara serangan-serangan ganas yang melibatkan IRA adalah:

- Pengeboman serentak ke atas dua buah pub di Birmingham, England yang telah membunuh 21 orang serta mencederakn 160 yang lain pada bulan November 1974

- Membunuh sepupu kepada Queen Elizabeth II iaitu Lord Louis Mountbatten dan tiga yang lain dengan cara meletupkan bot beliau dan pada hari yang sama turut membunuh 19 orang anggota tentera elit British dari Regimen Payung Terjun melalui kaedah bom remote controlled. Kedua-duanya pada bulan Ogos 1979.

- Mengebom sebuah hotel di kawasan pantai Selatan England yang menjadi tuan rumah kepada perhimpunan agung parti konservatif pimpinan PM Margaret Thatcher ketika itu. Ianya nyaris mengorbankan PM tersebut namun 5 orang telah terbunuh iaitu pada bulan Oktober 1984.

Dan sejak akhir-akhir ini ia juga turut terlibat dalam kegiatan jenayag terancang termasuklah merompak bank, memeras ugut, menyeludup dan sindiket wang palsu. Pada bulan Disember lalu IRA terlibat dalam romapakan bank yang terbesar di England iaitu melibatkan jumlah USD50 juta!

Sebelum itu IRA telah mengasaskan sayap politknya Sein Feinn sebagai satu persediaan bagi golongan ini untuk mengambil bahagian dalam politik dan proses pilihanraya. Ianya diketuai oleh Gerry Adams dan pernah memenangi beberapa kerusi dalam pilihanraya umum.

Dan kini pada hari ini IRA mengumumkan secara rasmi bahawa ia akan meletakkan senjata dan menggugurkan gerakan militannya untuk beralih menggerakkan perjuangan melalui kaedah berpolitik yang lebih aman.

Apa yang menarik dalam isu ini adalah betapa barat memandang ringan terhadap ancaman IRA ini kalau nak dibandingkan dengan kumpulan militan yang dianggotai oleh orang Islam contohnya Al Qaeda dan lain-lain. Perjuangan IRA dianggap sebagai perjuangan menuntut kemerdekaan manakala perjuangan PULO ataupun Patani United Liberation Organization (Persatuan Pembebasan Patani di Selatan Thai) dikira sebagai pengganas dan terroris.

Sedangkan kalau mahu dibandingkan dengan PULO rasanya kemusanahan dan porak-peranda yang telah dicetuskan oleh IRA lebih besar dan mengorbankan lebih banyak mangsa.

Bagi kita apa sahaja gerakan teroris da pengganas yang membunuh dan mencederakan mangsa yang tidak berdosa bagi maksud menggerakkan perjuangannya adalah salah tidak kira samada ia IRA atau Al Qaeda atau apa sahaja.

Mengapa ada double standard ini?

Demikianlah mahalnya warna kulit seseorang dalam dunia bertamaddun, maju dan membangun hari ini. Kalau seseorang itu berkulit putih, tak kiralah sejahat mana sekalipun ia namun demi kehebatan kulitnya itu maka ia akan diberi penghormatan dan pengiktirafan.

Kita lihat dalam kes pengganas biadap Serb Bosnia iaitu Radovan Karadzic yang telah membunuh ratusan ribu umat Islam Bosnia yang tidak bersalah, tiada pun tentera Amerika yang turun menjejak melakukan kepungan atau seumpamanya, tiada pun gereja yang dicerobohi tiada pun sekolah-sekolah agama Kristian diselongkar, tiada pun pendita Kristian ditangkap akan tetapi apabila pengganas itu beragama Islam maka habis masjid, madrasah, mudir dan ustaz akan diperlakukan bagai orang salah belaka.



Berbalik kepada kes IRA ini, begitu mudah, hanya dengan satu pengisytiharan, bahawa mereka mahu meletakkan senjata dan kembali kepangkuan masyarakat meneruskan perjuangan melalui lunas demokrasi maka seluruh dosa mereka diampunkan oleh kepala-kepala yang berkuasa di Barat.

Bagi umat Islam, tidak kira samada PULO atau MILF atau rakyat Palestin atau GAM atau sesiapa sahaja, janganlah sekali-kali diharapkan pengiktirafan sebegini akan diberikan. Lihatlah nasib saudara-saudara kita di Guantanamo Bay.

Sempena hari Jumaat yang penuh barakah dan mulia ini, elok sangatlah kita merenung sejenak hakikat ini, ingat dan sedarlah wahai saudara-saudara ku.