Wednesday, October 15, 2014

Rugikah PAS tanpa Tamrin? (15/10/14)


Anak bekas TPM Malaysia, Tamrin Ghaffar dilaporkan telah mengemukakan surat menarik diri dari menjadi ahli PAS hari ini. Beliau yang dahulunya Umno, menyertai PAS pada bulan Ogos 2012 dahulu dan kini dilaporkan akan bergerak melali sebuah NGO.
Tamrin dilaporkan tidak senang dengan keputusan kepimpinan PAS kebelakangan ini terutama dalam isu yang melibatkan krisis MB Selangor.

PAS mungkin tidak sesuai buat beliau, 2 tahun sebagai ahli barangkali tidak membangkitkan kepuasana di dalam hatinya.
Sesungguhnya jangankan beliau yang tidak berjawatan pun dalam parti, mengikut sejarah PAS Presidennya, Setiausaha Agungnya, pun pernah memilih untuk keluar PAS apabila merasakan gerakan Islam ini sudah tidak sesuai buat mereka. Alhamdulillah PAS kekal meneruskan agenda perjuangan menegakkan Islam walau siapapun datang dan pergi.

Dalam sebuah portal berita dilaporkan yang pemergian Tamrin bagaikan satu kehilangan besar buat PAS, benarkah begitu? Saya kira Tamrin keluar Umno, Umno tak rugi, lantas keluar PAS pun rasanya tidak terjejas apa-apa pun.
Kita yakin dan percaya selagi mana PAS istiqomah memperjuangkan Islam, ia akan kekal relevan sampai bila-bila. Terima kasih Tamrin, dan selamat maju jaya.

Monday, October 13, 2014

PASMA duri dalam daging PAS (13/10/14)


Majlis Syura Ulamak PAS dilaporkan telah bersidang semalam.
Selaras dengan tanggungjawabnya sebagai badan tertinggi dalam PAS yang memastikan setiap gerakan dalam PAS menepati hukum dan perlembagaan serta dasar parti, MSU yang bermesyuarat semalam telah memutuskan bahawa:

Selaras dengan peringatan Presiden Pas dalam penggulungan Muktamar PAS 2014 yang lalu supaya tidak berlaku adanya jamaah dalam jamaah, parti dalam parti, maka MSU memberi nasihat kepada ahli-ahli PAS supaya tidak melbatkan diri dalam sebarang aktiviti PASMA
Apakah PASMA?

Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia yang didakwa di pengerusikan oleh bekas EXCO PAS Kedah yang juga ADUN PAS Pengkalan Kundor, Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi kononnya mempunyai matlamat untuk menyelamatkan PAS agar PAS terus berada dalam PR.
Dengan keputusan terbaru MSU ini bermakna tidak ada seorang pun ahli PAS dibenarkan menyertai, menyokong apalagi mengetuai NGO ini. Sekiranya berdegil MSU menasihatkan agar PAS Kawasan atau Badan Perhubungan Negeri membuat laporan agar tindakan dapat diambil.

Sebelum ini PASMA kelihatan ghairah menganjurkan forum dan program-rpogram pelancarannya ke seluruh negeri-negeri. Forum-forum ini turut disertai oleh pimpinan kanan PAS termasuklah kalangan YDP Kawasan.
Jika PASMA sudah dikenal-pasti oleh MSU sebagai anasir yang mencetuskan jamaah dalam jamaah, parti dalam pati maka seharusnya ahli-ahli PAS menjauhkan diri darinya. Dan mana-mana yang enggan, yang masih terus mahu bersama merancakkan agenda gelap PASMA ini sewajarnya dilaporkan aktiviti mereka, tak kiralah mereka itu pimpinan kanan PAS atau ahli biasa.

Lebih baik mereka yang yakin dan percaya dengan agenda PASMA ini memilih lantaran keputusan MSU itu samada mahu terus bersama PAS, atau jika sayang sangat pada PASMA, elok terus menyertainya dan putuskan sahaja hubungan dengan PAS.
PAS tidak perlu pada jamaah dalam jamaah apalagi parti dalam parti.

Samada kamu bersama kami atau kamu memilih menentang kami.

Akibat curang dalam perjuangan (131/0/14)


Dalam apa juga kes, seseorang samada didapati tidak bersalah dan dibebeaskan dari pertuduhan ataupun didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman.” Guilty or not guilty” .
Semalam kita dimaklumkan bahawa PAS Pusat telah menggantung keahlian dua orang ADUN nya di Selangor iaitu Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) selama setahun sebagaimana dilaporkan Harakahdaily:

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memberitahu keputusan tersebut diambil mengikut Fasal 82(6) Perlembagaan PAS.
"Hari kita bermesyuarat dan dipengerusikan oleh Presiden PAS telah membincangkan mengenai dua Adun PAS mengenai krisis di Selangor tempoh hari.

‎"‎Laporan telah kita bentangkan dan Jawatankuasa PAS Pusat memutuskan mengenakan tindakan tatatertib dengan menggantung keahlian kedua-dua mereka selama setahun bermula hari ini,"
Ini bermakna tindakan kedua-dua ADUN berkenaan memutuskan hubungan dengan blok ADUN-ADUN PAS Selangor dengan menandatangani akuan bersumpah dengan menyokong Dr Wan Azizah sebagai calon MB Selangor, mendahalui keputusan parti dan Majlis Syura , adalah merupakan satu kesalahan tatatertib lantas mereka dijatuhkan hukum kerananya.

Inilah akibat kita mendahului pemimpin dan ketua. Gerakan Islam ini bukan kita yang punya secara peribadi, ia dimiliki oleh jemaah dan keputusan jemaah bersandar kepada kebijaksaan kepimpinan. Apa pun, setelah kita duduk dan berada dalam gerakan ini maka kita perlu akur dan taat pada nakhoda yang satu selagi mana nakhoda tadi tidak membawa kita ke jurang api neraka.
Ternyata kedua mereka dalam mebuat keputusan telah mengikut naluri dan nafsu peribadi, bacaan politik dilakukan membelakangkan jemaah, hasilnya jadilah ia bukan sekadar sumbang malah akibatnya merugikan perjuangan.

Siapakah MB Selangor hari ini? Wan Azizahkah? Tidakkah gelagat mereka akhirnya dilihat bagai kera sumbang, menang sorak, hangus begitu sahaja.
Jika tidak kerana tindakan curang mereka, PAS akan tetap memiliki suara besar iaitu melalui 15 kerusi dalam PR. Akan tetapi akibat gelojoh mereka, PAS kini dikira rakan kongsi terkecil dan lantaran itu dari 4 kerusi EXCO, PAS hilang satu tinggal 3 semuanya gara-gara kedua-dua mereka ini.

Orang yang melanggar disiplin dan pendirian parti memang wajar dihukum. Padanlah mereka digantung, malah jika terpacul lagi suara-suara sumbang dari mereka selepas ini sehingga terus merugikan jemaah dan perjuangan maka lebih baik mereka dipecat sahaja.
Semoga insiden ini menjadi iktibar buat semua. PAS Kawasan Gombak dan Kuala Langat perlu mengenal pasti calon-calon baru bagi menggantikan mereka ini yang kira-kiranya sudah tidak layak lagi mewakili gerakan Islam dimasa yang akan datang. Biarlah wakil-wakil rakyat PAS selepas ini terdiri dari kalangan mereka yang taat dan patuh pada parti, pemimpin dan perjuangan.

Wednesday, October 08, 2014

DAP terus menyerang dan menghukum PAS (8/10/14)


Saya telah sebutkan sebelum ini dan hari ini terbukti serangan DAP ke atas PAS masih berterusan.
The Star Online melaporkan bahawa Iszuree Ibrahim, Bendahari PAS Pulau Pinang masih lagi ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) namun beliau telah dikeluarkan dari menganggotai beberapa jawatankuasa dalam MPPP iaitu Jawatankuasa Pembangunan dan Perancangan, Jawatankuasa Kewangan dan Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Pelesenan.

Ahli EXCO Kerajaan Pulau Pinang Dr Afif Bahardin turut menjelaskan bahawa peruntukkan kewangan Iszuree turut dibekukan dan disalurkan ke ahli majlis PAS yang lain.
Sementara itu portal senget sebelah, TMI melaporkan Ketua Menteri PP Lim Guan Eng sebagai berkata bahawa:

“He had made that lie against the Pakatan Rakyat state government. He had made the attack and he had made a lie.”
Kononnya Iszuree berbhong berkenaan kerajaan PR pulau Pinang ketika berucap dalam Muktamar PAS baru-baru ini dan bahawa Lim menganggap kritikkan Iszuree itu sebagai satu serangan dan pembohongan.

Setiausaha Agung DAP menghukum seorang pemimpin negeri PAS yang mengkritik kerajaan pimpinannya dalam satu forum, mesyuarat agung tahunan parti. Kerana menyentuh dan mengkritik kerajaannya, Lim begitu tersinggung dan menggunakan kuasanya menyentap apa saja kuasa yang ada pada Iszuree selaku ahli majlis, tinggallah beliau berjawatan tetapi tiada kuasa.
Dulu ketika Pairin Kitingan menang sebagai calon Bebas di Tambunan, tahuan 1980an  (sebelum kemudiannya menubuhkan PBS), Datuk Haris Salleh yang ketika itu Ketua Menteri BN Sabah telah bertindak menarik balik status Tambunan sebagai sebuah pentadbiran daerah menjadi sebuah daerah kecil (sub district). Menghukum rakyat kerana mengundi Pairin.

Jahat sungguh Harris ketika itu. Itulah perangai BN, malah di Kelantan, di Terengganu hingga kini dan hari ini kita lihat perangai jahat BN menghukukm seumpama itu turut ditauladani oleh Guan Eng.
Sudahkah Iszuree diberi hak untuk didengar (right to be heard), saya difahamkan perwakilan di muktamar turut mempertikaikan tentang tiadanya perbincangan tertinggi peringkat PR di Pulau Pinang yang kerap dan berjadual.

Sepatutnya Lim berjiwa besar, jika Iszuree benar seperti makna dakwaan beliau telah berbohong berkenaan kerajaannya, mengapa Lim sebagai ketua pentadbir negeri tidak memberikan penjelasan, penerangan dimana Iszuree silap.
Sebagaimana ketika beliau ditegur oleh ahli Parlimen Temerloh dan AJK PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan, berkenaan pemberian projek terowong Pulau Pinang. Mengapa tidak berjiwa besar dengan menjelaskan dimana Nasaruddin silap, mengapa perlu saman?

Sejak bila DAP lebih mengambil pendirian melenting dan menyerang balas bila ditegur. Kalau ia pun ianya datang dari kawan-kawan, kalau silap sila betulkan, mengapa mesti menghukum? Atau barangkali di sana ada sekelumit kebenaran atau bagaimana?
Dalam laporan TMI itu Lim terus menyerang PAS dengan mendakwa terdapat dua aliran dalam PAS, satu yang mahu terus bekerjasama dengan PR manakala satu lagi mahu bekerjasama dengan Umno, kata beliau:

“You want to work with Umno, you go and work with Umno. You want to work with PR, you come out and show your sincerity you are working with PR.”
Bagi saya ini satu kenyataan yang jahat yang cuba menggambarkan bahawa PAS sudah mahu keluar PR bahawa PAS sudah mahu berbaik dengan Umno.

Benarlah bahawa DAP memang sedang merancang untuk menendang PAS keluar dari PR. DAP mahu dilihat “champion”, DAP mahu menang besar dalam PRN Sarawak. Bagi mereka PAS ini liabiliti, PAS ini satu bebanan. Lupa sudah PAS lah yang dahulu bekerja kuat membawa PR disenangi dan diterima rakyat. Tenaga dan kudrat ahli-ahli PAS dignakan sepenuh-penuhnya untuk memperkenalkan PR, hari ini bila habis madu, maka PAS lebih baik disepak keluar sahaja.
Sekurang-kurangnya begitulah yang kita lihat DAP hari ini atau bagaimana?

Tuesday, October 07, 2014

Lagi-lagi Oktoberfest (7/10/14)

Posting saya berkenaan “Oktoberfest” bukanlah bermaksud saya rela ia  dianjurkan.

Sebenarnya posting berkenaan lebih kepada mahu mematahkan persepsi yang terbentuk hasil dari kenyataan seorang ahli Parlimen PAS Selangor berhubung “Oktoberfest” itu.

Mesej saya dari beliau sibuk “menghalalkan” pesta arak itu kerana kononnya memenuhi hak dan kehendak bukan Islam di Selangor, lebih baik beliau tumpu masa pada membela dan menjaga nasib anak-anak Islam yang bekerja cari makan dala industri haram, arak, berkenaan.
Sebagai seorang Islam, sudah pasti kita tidak akan senang dengan penganjuran apa sahaja majlis yang berbentuk maksiat dan ditegah oleh Allah swt. Jika dahulu di Selangor, PAS tidak punya kuasa politik, lantas pertanggungjawaban moral berkenaannya cukup sekadar teguran dan protes. Hari ini PAS sebahagian dari kerajaan, dengan panji-panji Islam di tangan, sudah pasti PAS akan dipertanggungjawabkan atas apa sahaja yang berkenaan hal pengurusan negeri yang turut diberi amanah kepadanya.

Kita punya ahli Parlimen, maka ahli-ahli Parlimen PAS wajib bawa mesej Islam dan dalam hal ini wajib menunjukkan ketidak –senangannya atas penganjuran pesta ini. Kita punya EXCO yang duduk dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri, maka EXCO tadi perlu bersuara menyatakan sensitiviti dan ketidak senangan terhadap pesta itu. Kita punya ADUN-ADUN, maka mereka juga perlu bersuara, kita punya ahli-ahli majlis PBT termasuk dalam kawasan PBT pesta berkenaan akan dianjurkan, mereka wajib bersuara, diam bermakna redha.
Benar pesta ini hanya diraikan oleh bukan Islam tetapi sejauh manakah penganjurannya tidak sama-sekali menganggu kepentingan masyarakat Islam dan tidak sama-sekali melibatkan masyarakat atau individu dan kumpulan Islam?

Pada 26 September lalu ia diadakan RP Saujana Hotel (kalau tak silap dalam Parlimen Subang), siapa dapat mengesahkan tidak ada seorang pun Muslim yang terlibat? Pekerja, pelayan, petugas semua bukan Islam kah? Tarikh sama ia juga dianjurkan di Setia Walk dalam Parlimen Puchong, benarkah tiada kepentingan Islam yang terlibat? Tidak terganggukah orang Islam yang hadir lalu-lalang?

3 Oktober lalu di Sunway Giza, Petaling Jaya, bagaimana?
Dan 10 hingga 12 ini, Grand Finale nya di One Utama Petaling Jaya, bolehkah ahli Parlimen PASyang berkenaan turun memastikan tidak ada seorang pun orang Islam terlibat?

Memamg meminum arak dibenarkan oleh agama dan kepercayaan selain Islam, tetapi apabila ia dipestakan sedemikian rupa, tambah di negeri Selangor ini suka atau tidak pasti akan melibatkan kepentingan masyarakat Islam, sekurang-kurangnya akan ada juga orang Islam yang nanti terlibat .
Melainkan penganjur menganjurkannya di pusat komuniti bukan Islam, di tokong, di gereja, kuil atau seumpamanya. Namun saya pasti gereja dan kuil pun tidak akan sanggup menjadi tuan rumah.

Kerana itulah apabila ada suara mengizinkan penganjuran ini, tambah ianya datang dari parti yang memerintah, apa lagi mewakili PAS pula, sudah pasti ramai khususnya masyarakat Islam akan beri reaksi negatif dan mengkritik. Adalah mungkin sekerat dua yang memuji, itu pasti datangnya dari yang bukan Islam yang akan memuji apa sahaja yang terpacul dari mulut wakil rakyat parti Islam yang menguntungkan mereka.
PAS perlu menerapkan Islam, lantaran ia sebahagian kerajaan pada tahap kemampuannya. Di Selangor dimana PAS merupakan anggota kerajaan campuran, maka sekurang-kurangnya wakil-wakil PAS disetiap peringkat perlu bersuara dan menyatakan perubahan yang mahu PAS bawa khasnya dalam aspek melibatkan masyarakat Islam di sini.

Jika dahulu masyarakat boleh terima jika PAS sekadar melaungkan teguran dalam bentuk protes dan kenyataan media, tetapi hari ini ia sebahagian kerajaan. Sudah pasti masyarakat yang mendukung PAS khasnya masyarakat Islam mengharapkan sesuatu yang lebih efektif dan bermakna dari PAS dalam aspek Islam ini berbanding dengan Umno.
Lantas apabila tercetus kontroversi “Oktoberfest” ini, maka kuasa politik kecil manapun yang ada pada PAS perlu digembelingkan bagi mendidik dan memahamkan masyarakat akan kedudukan Islam dalam bab pesta arak ini. Masyarakat Islam tidak boleh didedahkan apalagi terlibat dengan aktiviti ini secara langsung atau tidak langsung.

PAS perlu melindungi kakitangan kerajaan, penduduk Islam dan rakyat Selangor beragama Islam dari sebarang aktiviti dan kerja-kerja maksiat serta kesan daripadanya. Jika masyarakat bukan Islam memikirkan mahu dan perlu menganjurkan apa juga majlis atau pesta seumpama ini, demi menghormati masyarakat Islam, maka pastikan ia dianjurkan atas sepenuh pertanggungjawaban mereka tanpa menjejaskan sedikit pun masyarakat dan komuniti Islam.
Semua peringkat dan proses aktiviti berkenaan perlulah hanya melibatkan yang bukan Islam.

PAS perlu pertegaskan perkara ini kerana kegagalan bertahan dan mendesak sedemikian akan mengakibatkan PAS dipandang serong dan malah lari dari prinsip dan dasar perjuangannya.
Ringkasnya PAS perlu tegas menolak sebarang penganjuran majlis maksiat di atas bumi yang ia diberi amanah untuk perintah, tetapi jika mahu dianjurkan juga oleh masyarakat bukan Islam maka PAS perlu tegas mengenakan syarat dan peraturan.

Hak orang bukan Islam dihormati dan pada waktu yang sama hak serta kepentingan Islam terpelihara.

PAS liabiliti buat DAP (7/10/14)


Orang kuat DAP, bapa kepada Setiausaha Agung parti berkenaan, Lim Kit Siang hari ini dilaporkan oleh media sebagai mempersoalkan, masih relevankah Pakatan Rakyat? Beliau mendesak agar diadakan suatu mesyuarat tergempar pimpinan tertinggi PR bagi menilai semual sejauh manakah PR relevan dalam kontek politik di Malaysia.
Saya menerima satu “signal” dari seorang rakan dari media bahawa DAP sedang merancang sesuatu demi menghadapi Pilihanraya Umum Negeri di Sarawak.

PRN Sarawak dijangka diadakan samada penghujung tahun ini atau awal 2015. DAP yang sebelum ini memenangi 12 dari 71 kerusi DUN di Sarawak (PKR menang 3) bercita-cita besar mahu melonjakkan lagi kedudukannya di negeri tersebut malah begitu ghairah mahu menawannya dengan bantuan rakan-rakannya di sana setelah mencapai kemenangan besar di Semenanjung dalam PRU ke 13 baru-baru ini (DAP punya 5 kerusi Parlimen dari Sarawak).
Apakah rancangan itu?

Kalau kita perhatikan desakkan Kit Siang di atas ternyata DAP telah merancang sesuatu.
Sejak kebelakangan ini serangan DAP bukan hanya kepada musuh tradisinya BN termasuklah MCA dan Gerakan. Akan tetapi kalau dilihat secara teliti DAP lebih banyak menghala dan menghabiskan pelurunya dalam menyerang rakannya sendiri iaitu PAS kebelakangan ini.

Dalam isu pemecatan Tan Sri Khalid sahaja, DAP antara yang menonjol menyerang dan membelasah PAS. Tidak cukup dengan melabel 4 EXCO PAS yang kekal dalam kabinet Tan Sri Khalid sebagai pengkhianat, DAP melalui Setiausaha Agungnya turut mahu menyaman AJK PAS Pusat yang juga AP Temerloh, Ustaz Nasaruddin Hassan kerana menegurnya berhubung projek terowong di Pulau Pinang.
Tidak berhenti disitu, DAP turut menuntut agar 2 EXCO PAS iaitu Dr Halimah dan Ustaz Sallehen tidak dilantik semula sebagai EXCO. Dr Halimah kononnya dikatakan lewat mengagihkan bantuan sekolah Cina manakala Ustaz Sallehen dikritik dalam kes “Bible”.

DAP turut mengangkat dua ADUN PAS Selangor yang dilabel “pengkhianat” oleh PAS sebagai “wira” dalam majlis terbukanya. DAP enggan menghantar pimpinan tertingginya dalam majlis perasmian Muktamar PAS di Johor dan juga enggan membantu PAS dalam PRK Pengkalan Kubur di Kelantan.
Terbaru DAP turut memecat ahli majlis PAS di Pulau Pinang.

Apakah yang dapat dibaca dari semua ini?
Sesungguhnya ia berkait rapat dengan PRN Sarawak. DAP begitu yakin bahawa ia mampu membawa kejutan di sana. Ia akan berhabis-habisan di sana tambahan pula ia percaya sentimen anti Malaysia yang terpendam dalam jiwa sebahagian rakyat Sarawak boleh dibakar dan dieksplotasi ke arah kepentingannya.

Jika DAP mampu tumbangkan BN di Sarawak laluan buatnya ke Putrajaya bakal terbentang luas, sekurang-kurangnya itulah kepercayaannya buat masa ini.
Apa kena mengena dengan PAS?

Kit Siang sendiri menyebut bahawa krisis MB  Selangor telah menghakis kepercayaan rakyat pada PR dan malah ia merupakan krisis paling pahit buat PR dalam tempoh  6 tahun penubuhannya. Sesungguhnya Kit Siang walaupun tidak “direct” tetapi mahu menuding jari pada PAS. Dan persitiwa-persitiwa di atas adalah bukti betapa pada mata DAP, mengambil kira harapannya di Sarawak, PAS adalah satu liabiliti besar.
DAP melihat ia tidak perlu bantuan PAS untuk menang di Sarawak. Malah PAS pada perkiraannya tidak punya harapan pun di Sarawak. Mendukung PAS dalam PRN Sarawak baginya bagaikan mendukung biawak hidup.

PAS dengan agenda Islam pada perkiraan DAP sangat tidak sesuai untuk mahu menang Sarawak.
Lantas sesuatu perlu dilakukan agar PAS tidak duduk dalam satu bakul dengan DAP apabila ia melancarkan serangannya ke Sarawak.

Bayangkan PAS dengan isu Hudud dan Negara Islam, dengan isu kalimah “Allah”, semuanya ini bagi DAP tidak disenangi pengundi Sarawak yang pelbagai, lebih-lebih lagi pengundi bukan Islam yang merupakan sasaran DAP.
Atas itu, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan cita-cita bernafsu DAP di Sarawak akan terkabul. Tidak mustahil dengan senario yang ada,mengambil kira  tahap kebencian DAP terhadap PAS, besar kemungkinan DAP akan mendesak agar PAS dikeluarkan dari PR. Mungkin ada rakan-rakan baru dari Sarawak yang berminat menyertai PR, mungkin DAP sudah terima lampu hijau dari kawan-kawannya dalam PASMa (yang kononnya boleh ganti PAS dengan iemj liberal islamis)  yang mahu menyertai PR.

Kit Siang sudah berkokok. Mungkinkah fajar baru sedang mahu menyingsing, PR tanpa PAS atas kehendak DAP?

 

 

 

 

Monday, October 06, 2014

Oktoberfest dan kepentingan Islam (6/10/14)


Pesta Arak “Oktoberfest” yang berasal dari Wilayah Bavaria di Munich, Jerman memang telah diraikan di Malaysia khasnya di Lembah Kelang sejak zaman berzaman. Syarikat-syarikat arak, khasnya bir, samada dari jenama antarabangsa termasuklah yang punya kilang di sini sering ke hadapan menjadi penaja pesta berkenaan.
Ia diraikan di kelab-kelab dan pusat-pusat hiburan (pub) yang menyajikan arak termasuklah di restoran dan hotel tertentu. Malah pusat-pusat mebeli-belah juga ada yang terlibat menganjurkannya.

Ia tidaklah kedengaran di Pantai Timur, samada di Kelantan atau Terengganu, barangkali kerana negeri-negeri ini majoriti penduduknya orang Melayu beragama Islam, akan tetapi di Lembah Kelang, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bharu, Sabah dan Sarawak ianya popular dan sering mendapat sambutan para peminum arak.
Jika dahulu pesta ini berlalu begitu sahaja, tetapi hari ini dengan perubahan lanskap politik dalam Negara, suka atau tidak ia telah diangkat sebagai isu politik sehingga mencetuskan satu kontroversi hangat.

PAS, satu-satunya parti Islam dalam Negara sesungguhnya bukan baru tetapi telah sejak dari zaman penubuhannya ke hadapan dalam isu-isu melibatkan pencegahan perkara-perkara mungkar yang melibatkan masyarakat. Jika dahulu mungkin suara PAS sayu-sayu sahaja terdengar, tambahan dengan liputan media yang kurang, tetapi hari ini dengan media yang terbuka suaranya semakin menonjol, tambahan memerintah Kelantan dan bersama memerintah Selangor selain punya 21 wakil di Dewan Rakyat dan 85 kerusi DUN di 10 negeri
Sebagai sebuah parti Islam sudah pastilah kerja-kerja amar makruf nahi mungkar menjadi agenda perjuangan PAS.

Kerana itu tidak mustahil jika PAS menentang sebarang rancangan atau promosi berunsur maksiat dan bertentangan dengan Islam.
Walaubagaimanapun, oleh kerana Malaysia merupakan sebuah Negara berbilang agama dan kaum, maka perkara-perkara yang melibatkan hak orang-orang bukan Islam, khasnya dalam amalan dan tabiat yang dibenarkan oleh agama, kepercayaan dan budaya mereka, perlulah dihormati PAS.

Di Kelantan contohnya, arak lantaran merupakan minuman yang tidak diharamkan oleh agama dan kepercayaan bukan Islam, maka ia dibenarkan tetapi dengan beberapa syarat dan peraturan yang memelihara kepentingan masyarakat majoriti yang beragama Islam.
Judi pula diharamkan, oleh kerana ia membawa mudarat sosial bukan hanya ke atas umat Islam tetapi juga yang bukan Islam.

Berbalik kepada isu Pesta Octoberfest, di Selangor beberapa kenyataan politik terbit dari pelbagai parti khasnya dari PAS dan juga Umno. Seorang ahli Parlimen PAS yang seringkali laju dan ringan mulut mengeluarkan kenyataan antara lain menyebut bahawa pesta berkenaan tidak boleh dihalang kerana Malaysia sebuah Negara majmuk dan ia dianjurkan oleh orang bukan Islam. Beliau dipetik menyebut:
“Islam mengiktiraf yang arak bukan sesuatu yang haram mengiktu ajaran agama mereka (bukan Islam). Tambahan pula pesta kemuncak yang akan diadakan di Petaling Jaya itu di kawasan majoriti bukan Islam”

Dari segi permukaannya mungkin ada kebenaran kenyataan ahli Parlimen PAS dari Selangor ini, memang Malaysia Negara majmuk dan memang arak ini tidak haram buat yang bukan Islam. Walaubagaimanapun wajarkah kita ambil secara borong begitu? Adakah kerana Malaysia Negara majmuk maka Kelantan contohnya yang duduk dalam Malaysia walaupun majoriti rakyatnya lebih 90 peratus Melayu Islam juga perlu berikan kebenaran? Terengganu bagaimana? Perlis? Kedah?
Bagaimana pula dengan Sabak Bernam, Gombak dan Shah Alam sendiri contohnya yang pengundi Islamnya jauh lebih besar dari yang bukan Islam? Adakah bermakna Petaling Jaya boleh tapi Gombak Shah Alam haram atau bagaimana?

Oleh kerana PAS ini parti Islam, disitulah pentingnya isu-isu berkenaan hukum dan pentafsirannya khasnya yang melibatkan Islam dan kepentingan bukan Islam ini dirujuk dan mendapat pandangan para ulamak. Bukan bermakna mentang-mentang kita ini ahli Parlimen atau EXCO atau MB PAS kita punya lesen besar dan boleh ikut sedap hati dan mulut kita untuk keluarkan kenyataan khasnya yang melibatkan Islam dan kepentingannya.
Benar orang bukan Islam punya hak minum arak dan anjur pesta seumpamanya, tetapi syaratkanlah pada mereka agar menghormati juga orang Islam. Jangan libatkan orang Islam. Ahli Parlimen PAS Selangor itu benar dalam menghalakan orang bukan Islam ber “Octoberfest” tetapi sudahkah ia ambil prihatin tentang masyarakat Islam? Sudahkah ia guna kuasa politik dan pengaruhnya memastikan yang tiada orang Islam terlibat, bukan hanya sebagai perserta, tetapi sebagai pekerja, penghidang, penganjur.

Kilang arak terletak dalam kawssan Parlimen Shah Alam yang diwakili PAS, memang kerana suasana politik semasa, tiada pengaruh politik yang berkuasa menutup kilang tersebut, samada semasa BN memerintah dulu termasulah kini zaman PR, sekurang-kurangnya pada waktu ini. Tetapi sudahkah ahli Parlimen berkenaan mengambil berat dan inisiatif menyelamatkan pekerja-pekerja Islam di kilang berkenaan? Itu belum lagi sebuah kilang lain di Parlimen PJ Selatan di Selangor.
Memang susah tanggungjawab dan kerja ini tetapi itulah tugas pemimpin Islam yang diberi kuasa dan amanah, bukan sekadar keluar kenyataan demi menyedapkan hati pihak-pihak tertentu sahaja.

Dari kita ringan sangat mulut menyedapkan hati bukan Islam demi kerana “Octoberfest”, ringan-ringankanlah juga mulut dan tangan memelihara dan menjaga kepentingan Islam.
Bagaimana pula dengan anak-anak Melayu yang bekerja di pusat-pusat hiburan yang menghidangkan arak di seluruh Selangor? Sudahkah beliau ambil inisiatif dan prihatin akan nasib mereka?

Memang “Octoberfest” itu hak yang bukan Islam, tetapi jangan sampai lupa akan hak dan kepentingan Islam pula. Biarkanlah mereka berpesta sampai “pecah perut” sekalipun, meminjam kata-kata Tok Guru Nik Abdul Aziz (semasa beliau MB Kelantan) ketika satu pesta yang hampir sama mahu dianjurkan oleh masyarakat bukan Islam di Kelantan satu ketika dahulu, tetapi pastikan tiada orang Islam yang terlibat.
Hak orang bukan Islam kita pelihara dan pada waktu yang sama orang-orang Islam dijaga hak mereka dengan melarang mereka terlibat samasekali samada sebagai promoter, penganjur, penghidang, pelayan, penghibur atau apa sahaja kerana pesta itu “haram” dari segi Islam.

Kalau kita gagal, apa beza kita dengan Umno? Umno dulupun sekadar beri “lip service” terhadap Islam dan kepentingannya. Bab-bab pencegahan kemungkaran ini tidak masuk dalam agenda dan keutamaan mereka. Noh Omar mungkin berkokok bising dalam hal “Octoberfest” di Selangor, tetapi di zaman ia memerintah bagaimana?
Kerana itu PAS biarlah dilihat berbeza dan sepatutnya pun wajib berbeza.

Biarlah nampak di Selangor ini melalui usaha PAS, setelah ada kuasa ini, anak-anak Islam dapat diselematkan dari industri maksiat, suatu tugas yang berat dan besar, tetapi wajar digerak dan dimulakan. Itu lebih baik pada pengamatan saya dari kita sibuk berbahas bab “Octoberfest” yang memang “halal” pun buat mereka yang menolak Islam, asalkan jangan menjejaskan kepentingan Islam dan masyarakatnya dan tidak melibatkan walau seorang warga Islam