Wednesday, March 09, 2011

PAS pertahan haram judi Umno tolak

Keputusan kerajaan Kelantan mengharamkan lesen premis judi yang terletak di bawah kuasa PBT telah dilakukan sejak lebih 20 tahun lalu ketika menang dalam Pilihanraya Umum 1990. Lesen perjudian dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kewangan, dengan lesen berkenaan pengusaha terpaksa mendapatkan pula lesen premis perniagaan bagi menjalankan perniagaannya itu.

Kerajaan negeri Kelantan memperkenalkan pengharaman berkenaan selaras dengan hukum Islam.

Terbaru terdapat insiden dimana premis perniagaan didapati menjual tiket loteri “Bigsweep” iaitu suatu loteri perjudian di Kota Bharu. Pihak penguatkuasa MPKB-BI bertindak merampas loteri berkenaan dan mengeluarkan saman.

Insiden ini telah mencetuskan kontroversi khasnya dikalangan pimpinan MCA dan DAP. Bagi pemimpin yang bukan Islam memanglah lumrah bagi mereka membantah dan mempertahankan kegiatan haram itu walaupun ada juga dikalangan mereka yang menyokong.

Masalahnya apabila orang Melayu Islam, apalagi pemimpin kanan Negara bertindak menyokong aktiviti haram ini. Kenyataan Timbalan Presiden Umno yang juga TPM yang terbit dalam akhbar tempatan hari ini sangat malang buat Islam.

“We leave it to non-Muslims to evaluate PAS’ attitude on the matter but this reflects the party’s attitude towards non-Muslims,”

PAS berkuasa di Kelantan pada tahun 1990 dahulu dan Kelantan sebagaimana umum mengetahui majoriti penduduknya lebih 90% adalah Muslim. Menjadi tanggungjawab pemimpin Muslim menjaga maslahah dan kepentingan rakyat khasnya yang majoriti. Islam mengharamkan judi, dengan kuasa yang ada padanya kerajaan negeri mampu melaksanakan pengharaman ityu dan ia dilaksanakan.

Sepatutnya Muhyuddin menyojkong tindakan ini dan tidak mengeruhkan suasana. Sepatutnya negeri-negeri lain khasnya yang majoriti Melayu di bawah anungan Umno turut sama melaksanakan pengharaman ini kalaulah benar kita memperjuangkan Islam.

Rakyat bukan Islam di Kelantan telah pun diberikan penerangan lebih 20 tahun lalu ketika pengharaman ini dibuat. Judi ini merosakkan masyarakat dan institusi keluarga, bukan hanya orang Islam tetapi semua rakyat. Sesuatu yang merosakkan tidak harus mempunyai nilai hak, sebagaimana dadah yang merosakkan tidak diberikan hak kepada sesiapa untuk menuntutnya.

PAS perlu tegas mempertahankan perkara ini. Biar Islam nampak konsisten dan teguh dalam hal ini, biar kita dihormati kerana berpegang pada prinsip walaupun pemimpin Umno curang dan sesat.

Monday, March 07, 2011

PAS tak kan musnah angkara Merlimau dan Kerdau

Kekalahan PAS di Merlimau dan Kerdau terus menjadi isu hangat dihangatkan oleh mereka yang mahu curi kesempatan menyerang PAS dan Pakatan Rakyat. Inilah peluang untuk menjatuhkan PAS. Inilah peluang untuk membuktikan perjuangan PAS sudah tidak relevan. Bahawa Pakatan Rakyat sudah sampai kesaat kehancurannya.

Media arus perdana tersohor ke hadapan dalam usaha-usaha jahat ini

Saya sendiri dihubungi oleh wartawan sebuah akhbar harian berhubung keputusan ini. Adat pertandingan ada menang dan ada kalah. Jangankan calon PAS, Lim Kit Siang dan Karpal Singh pun pernah tewas dalam pilihanraya begitu juga Tuan Guru Nik Abd Aziz di parlimen Bachok satu ketika dahulu.

PAS sendiri kalah teruk dalam pilihanraya umum Persekutuan yang pertama pada tahun 1955. Cuma menang satu kerusi di Kerian, sehingga Almarhum Prof Zulkifli Mohamad sendiri tewas di Selangor dan hilang wang pertaruhan. Ketika itu usia PAS setahun jagung. Kalau disebabkan kekalahan itu maka PAS perlu dibubar atau pemimpinnya ditukar niscaya tidak adalah PAS hari ini.

Saya beritahu wartawan berkenaan sesungguhnya kalau kita lihat dari rekod pilihanraya-pilihanraya kecil selepas PRU 2008, antara PAS dan Umno sebenarnya baru seri 1-1. Ukuran perlu dibuat berdasarkan kerusi yang gagal dipertahankan. PAS betanding dan mencabar BN-Umno di parlimen Kuala Terengganu. Keputusannya PAS menang bermakna PAS punya satu markah merampas kerusi BN. Di Galas, Kelantan, BN-Umno berjaya merampas kerusi PAS apabila calon mereka mengalahkan calon PAS. Bermakna Umno juga punya satu markah merampas kerusi PAS.

Lantas muktamadnya setakat ini baru seri 1-1.

Kerusi-kerusi lain termasuklah terbaru Merlimau dan Kerdau, Umno-BN berjaya mempertahankan kerusi mereka, oleh itu tiadalah berlaku perampasan kerusi. Demikian juga ketika PAS berjaya mempertahankan kerusi parlimen Bukit Gantang.

Saya tidak nampak PAS mengalami “setback” yang teruk ekoran kekalahan ini kerana ianya sesuatu yang lumrah dan biasa dihadapi. Malah menurut rekod PAS pernah kalah dalam pilihanraya kecil namun menang kembali semasa pilihanraya umum contohnya DUN pengkalan Pasir di Kelantan dimana PAS tewas kepada Umno dalam satu pilihanraya kecil pada tahun 2005, calon Umno menang dengan majoriti 134 undi. Walaubagaimanapun dalam PRU 2008 lalu calon PAS berjaya merampas kembali kerusi berkenaan dengan menewaskan calon Umno dengan majoriti 2,348 undi!

Memang keputusan di Merlimau dan Kerdau menunjukkan PAS tewas dengan gagal mempertahankan undi lama. Tetapi kalah dalam pilihanraya kecil bagi PAS dalam sejarah pilihanraya di Malaysia adalah sesuatu yang biasa. Menang adalah luar biasa.

Jangan ditolak ketepi PAS semata-mata kerana kekalahan ini. PAS masih relevan dan kuat. Masih punya dua MB di Kelantan dan Kedah, masih ada wakil dalam kerajaan Selangor, masih punya 23 ahli Dewan Rakyat dan 3 wakil di Dewan Negara.

Presiden dan Timbalan Presiden serta pimpinan PAS tak perlu dipersalahkan kerana kekalahan ini, ia suatu ujian. PAS mencatat prestasi buruk di bawah Presiden ini pada PRU 2004, namun berjaya melantun ke atas kembali dengan rekod pencapaian terbaik di bawah pimpinan Presiden yang sama pada PRU 2008 baru-baru ini.

PAS adalah sebuah gerakan Islam yang mengamalkan kepimpinan berjemaah. Ianya keputusan kolektif dan jika kalah atau menang ia pertanggungjawaban bersama. Bila kalah di Uhud Rasulullah tidak diperasalahkan, ia ujian dari Allah, dan umat Islam bangkit kembali selepas itu.

Insyallah PAS akan berjaya mengatasi kekecewaan di Merlimau dan Kerdau ini. Yang penting perjuangan ini perlu diteruskan dengan penuh iltizam dan istiqomah. Jangan biarkan musuh mengeksplotasi kita dikala murung, nyahkan musuh dalam selimut.

Sunday, March 06, 2011

Teruskan perjuangan sehingga nyata benarnya janji RABBI

Sebagaimana diduga PAS tewas dalam dua pilihanraya kecil yang diadakan serentak iaitu Kerdau di Pahang dan Merlimau di Melaka. Dan sebagaimana jangkaan juga majoriti calon BN dikedua-dua kerusi ini bertambah berbanding dengan PRU yang lalu.

Memang kalau mahu dikaji punca kekalahan berganda PAS ini maka berbagai analisa dapat dibuat. Apapun PAS dan Pakatan Rakyat berhadapan dengan jentera BN yang tersusun lengkap dengan bekalan wang ringgit yang teguh tidak tertanding oleh PAS walau ditahap 10 peratus. Barang diingat juga kedua-dua kerusi ini memang merupakan kubu BN dan PAS tidak ada sejarah pernah memenangi kerusi berkenaan.

Membaca komen yang diberikan oleh laman web dan portal berita berbahasa Inggeris, saya agak kurang bersetuju apabila ada yang mengulas bahawa kekalahan PAS ini adalah berpunca dari sikap parti berkenaan yang agresif mengenengahkan idea dan dasar Islam. Kononnya langkah Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BI) mengambil tindakan terhadap premis yang menjual loteri “bigsweep” baru-baru ini menyumbang kepada kekalahan PAS.

Mereka ini mungkin baru mengenali PAS. PAS bukan baru lahir 2 atau 3 tahun lalu. PAS sebagai sebuah parti Islam telah wujud dan bertarung dalam gelanggang politik Negara sejak lebih 50 tahun lalu. Islam tidak pernah berubah sejak di bawa oleh Rasulullah saw. PAS sekadar menyambung mata rantai dari rantai perjuangan Islam yang panjang lebar itu.

PAS bawa Islamlah maka PAS menang dan berkuasa kembali di Kelantan pada tahun 1990 dan bertahan sehingga kini.

Kerana Islam lah maka PAS dapat menzahirkan kepimpinan yang telus, bersih dan bertaqwa. Samada calon PAS itu menjadi MB, atau EXCO atau ADUN pegangan Islam nya membezakan ia dengan pimpinan parti lain, kerana Islam lah mereka dihormati dan disegani.

Kalau mahu PAS ikut selera mereka yang kritikal ini lebih baik PAS gugur sahaja dasar perjuangan Islamnya itu. Jadi sebagaimana parti lain, kalau perlu peluk Islam kalau tidak campak sahaja ketepi.

Saya yakin selagi iltizam ahli dan pimpinan PAS kuat pada prinsip dan dasar perjuangannya yang telah berjaya dipertahankan berdekad-dekad lamanya itu, maka selama itulah Islam akan terus dijunjung dan disanjung. PAS mungkin tewas di Merlimau dan Kerdau, tapi takkanlah kerana kekalahan itu maka Islam mahu dipersalahkan?

Bergeraklah ke gerbang jasa

Kalah menang bukan alasannya

Sucikanlah niat di hati

Hingga nyata benarnya janji Rabbi..............

Syabas para petugas PAS, syabas calon-calon PAS, walaupun kita tewas hari ini, ganjaran lebih besar menunggu kita di Akhirat nanti insyallah. Teruskan perjuangan, hingga nyata benarnya janji Rabbi. TAKBIR!

Saturday, March 05, 2011

Tak perlu ikut rentak Najib

Tan Sri Khalid Ibrahim, MB Selangor menyebut bahawa kerajaan negeri Selangor hanya bersedia untuk membubarkan dewan negeri selepas 2012. Beliau berkata demikian mengulas kenyataan PM Najib Tun Razak bahawa kemungkinan beliau akan menimbang memanggil pilihanraya umum awal setelah melihat keputusan dari pilihanraya dewan negeri Sarawak yang dijangka ta berapa lama lagi.

Saya bersetuju dengan pendirian Tan SDri Khalid itu, jika benar sangat Najib mahu mendapatkan mandate baru ekoran menjadi PM menggantikan Dollah badawi selepas PRU lalu, mengapa pula negeri-negeri lain perlu menjadi mangsa. Penggal yang ada baru masuk penggal ketiga, kalu benar Najib tergiur sangat mahu mengukur popularity beliau, bubar sahaja Dewan Rakyat, negeri-negeri tak perlulah mengikut rentak dan tari beliau.

Sesungguhnya bagi kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, ia baru sahaja diperingkat memperbetulkan kepincangan pengurusan kerajaan Umno terdahulu. Perancangan yang ada sedang dalam peringlat perlaksanaan, “result” atau pencapaiannya belum menyeluruh.

Contohnya bagi proram Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) umpama pemberian air percuma, masih ramai lagi belum merasainya khasnya yang tinggal dipangsapuri dan rumah pangsa. Ini kerana masih banyak bil tertunggak diperingkat badan pengurusan masing-masing dan meter-meter pukal belum dialihkan ke meter individu. Adalah dijangkakan penyelesaian ini akan memakan masa setahun dua lagi.

Rata-rata rakyat negeri Selangor telah mula merasai perubahan yang dibawa oleh pentadbiran yang baru. Kepincangan dan ketempangan, kronisma, nepotisma dan salah guna kuasa, amalan biasa kerajaan terdahulu sudah semakin hilang dan dihapuskan.

Biarlah Najib berpilihantaya diperingkat parlimen jika benar beliau terlalu ghairah mendapatkan mandate baru. Kerajaan negeri PR samada di Selangor mahupun Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan tidak seharusnya melayan nafsu serakah beliau itu.

Namun jentera kita sudah bersedia untuk mempertahankan kerusi parlimen yang ada dan jika boleh mahu menyumbang kea rah pertambahan bagi mengukuhkan hasrat PR mengambil-alioh Putrajaya.

Teruslah Tan Sri pertahankan Selangor, kita besilat dengan Najib digelanggang parlimen.

Roslan SMS Corner kembali dikemaskini........

Maaf sudah lama tidak kemaskini blog ini. Saya ditegur baru-baru ini dalam sebuah program tamrin di Shah Alam oleh seorang Muslimat, mengapa lama tak update? Dan pagi tadi saya menerima panggilan dari seorang pengunjung setia, bertanyakan adakah apa-apa masalah yang menimpa diri saya sehingga tidak mengemaskini blog ini. Saya terharu dan malah nyatakan pada beliau kebetulan memang saya berniat mahu melakukannya mulai hari ini.

Terima kasihlah kepada para pengunjung yang prihatin, samada yang saya kenali mahupun tidak.

Tiada alasan yang kukuh dapat saya berikan selain terlalu tertumpu kepada kerja-kerja lain sehingga tidak terbangkit selera untuk mengemaskini. Mungkin perkembangan sejak kebelakangan ini juga turut menyumbang dalam membunuh keinginan menulis, namun sebenarnya saya mencuri masa juga menulis dan tulisan itu saya sumbangkan kepada sahabat saya Sdr MSO untuk dimuatkan dalam akhbar mingguannya SIASAH. Itupun minggu baru ini saya terlepas “dateline”.

Apa pun hari ini kerajaan Pakatan Rakyat Selangor melancakan Karnival Sambutan Tiga Tahun kerajaan PR Selangor bertempat di Stadium Melawati Shah Alam.

Telah tiga tahun kerajaan baru Selangor yang dianggotai PAS, PKR dan DAP diberikan amanah memerintah negeri bertuah ini sejak berjaya menumbangkan kerajaan BN diterajui Umno pada 8 Mac 2008 lalu.

Lantas perayaan ini membuatkan saya terpanggil untuk terus menghidupkan kembali blog ini mudah-mudahan apa sahaja sumbangan dapat diberikan dengan harapan kerajaan pilihan rakyat ini akan terus kekal memerintah untuk penggal-penggal seterusnya. Jangan lagi BN dan Umno yang pincang dan tempang itu kembali berkuasa memunahkan negeri ini sebagaimana sebelumnya.

Sekali lagi terima kasih kepada semua pengunjung yang setia insyallah blog ini akan hidup seperti biasa mulai hari ini.

Insyallah saya akan turut memuatkan artikel-artikel saya dalam SIASAH di sini bagi mereka yang tidak dapat memperolehi naskha akhbar berkeaan.