Sunday, November 18, 2007

Rashid SPR bagaikan kera sumbang

Apabila Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman baru-baru ini mengeluarkan kenyataan mendakwa bahawa beliau kononnya telah tahu bila tarikh pilihanraya umum ke 12 akan diadakan, saya tergelak seorang diri. Inilah karekter dan gelagat Rashid yang ramai telah masak melihatnya. Ada kawan-kawan yang minta reaksi saya, saya katakan malas nak mengulas kerana Rashidnya memang pelik dan kadangkala buruk perangainya.

Sebenarnya hanya PM sahaja yang tahu bila beliau mahu membubarkan parlimen dan memanggil pilihanraya. Kalau pun telah ada tarikhnya, logikkah dengan Rashid orang yang sepatutnya beliau berkongsi maklumat itu? Siapakah Rashid jika tidak sekadar pihak yang diberikan tanggungjawab menegandalikan pilihanraya. Rashid bukan TPM atau Timbalan Presiden Umno untuk diberikan keutamaan bagi dikongsikan tarikh pilihanraya walaupun bidangtugas beliau berkaitan pilihanraya.

Terbukti sehari kemudian TPM dan Timbalan Presiden Umno Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan hairan bagaimana Rashid boleh tahu akan tarikh tersebut. Malah Naib Presiden MCA, Chua Soi Lek juga mengeluarkan kenyataan menyebut:

Itu bukan tanggungjawab dia. Tanggungjawab dia adalah untuk memastikan jentera pilihan raya dan pentadbiran yang diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihanraya itu berjalan lancar dan tidak dipertikai oleh sesiapa. Hanya Perdana Menteri mempunyai hak dan tanggungjawab untuk mengumumkan tarikh pilihan raya.

Tidakkah reaksi ini memberikan aib kepada beliau dan SPR. Tetapi adakah Rashid jenis orang yang mudah merasa dirinya aib dan diaibkan?

Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Disaat rakyat jelata mempertikaikan ketelusan dan kemampuan SPR mengendalikan pilihanraya yang bersih dan adil, tiba-tiba Rashid sibuk mahu jadi PM dengan mempolitikkan tarikh pilihanraya. Akhirnya hari ini beliau menjadi bahan gelak ketawa, dan pasti terjejas dan tercemar maruahnya. Saya dapat tahu tempoh ataupun penggal perkhidmatan Rashid dijangka tamat hujung tahun ini, kalau begitu cepat-cepatlah menyediakan diri untuk melalui zaman persaraan, tak perlulah nak meraih publisit murah dengan nak menjual tarikh pilihanraya pula. Selamat jalan Rashid, anda akan dikenang sebagai Pengerusi SPR yang paling buruk rekod perkhidmatannya.

Saturday, November 17, 2007

Memorandum telah pun diserahkan kepada Agong, apa lagi?

Salah seorang sahabat kita menurunkan komen tersebut dalam ruangan komen di BLOG ini:

Bro Roslan,

KEcoh di TV3 dan Utusan, Sultan Mizan tidak memperkenan perhimpunan BERSIH.Apa dah jadi Bro Roslan? Saya bermatian-matian berdebat dengan rakan2 saya bahawa Sultan Mizan berkenan membuka pintu istana untuk wakil bersih ... sekarang saya dah malu sendiri ... apa yg saya nak jawab kepada kawan2 saya tuh?

rizal 11.17.07 - 11:59 am

Terima kasih saya ucapkan atas keprihatinan Sdr Rizal dan saya percaya ramai lagi yang seperti saudara.

BERSIH tidak pernah sekali-kali mengeluarkan kenyataan bahawa SPB YDP Agong merestui PERHIMPUNAN AMAN RAKYAT pada 10 November lalu. Ianya perhimpunan rakyat, suatu perhimpunan masyarakat sivil yang bersepakat mahu menyerahkan memorandum tuntutan berkenaan kepincangan sistem pilihanraya.

Soalnya kepada siapa mahu mereka menyerahkan memorandum itu, kepada SPR? Atau kepada PM? Sesungguhnya banyak usaha telah dibuat oleh BERSIH dan pertubuhan-pertubuhan yang bernaung di bawahnya untuk mengenengahkan perkara serius ini, namun tidak ada pihak yang mahu melayan dan sebaliknya tuntutan itu ditolak mentah-mentah.

SPB YDP Agong adalah payung rakyat. Institusi SPB YDP membentuk sebahagian dari Parlimen selain Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Dan lebih penting lagi Pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) dilantik atas perkenanan Baginda.

Lalu rakyat terdesak dan tiada pilihan selain menyerahkan memorandum bantahan tersbut kepada Raja mereka iaitu SPB YDP Agong.

Soal Tuanku merestui atau memperkenankan perhimpunan tersebut tidak berbangkit kerana ia tidak perlu membabitkan Baginda, ianya himpunan rakyat bagi menunjukkan betapa bersungguhnya dan komitednya rakyat dalam perjuangan ini.

Lalu mengapa himpunan tersebut berarak menuju ke Istana Negara?

Istana Negara menjadi tumpuan kerana Tuanku telah memberikan perkenan untuk menerima sembah memo tersebut dari BERSIH. Jika tiada perkenan Tuanku masakan memo tersebut dapat diserahkan, dan masakan pihak polis akan mengizinkan rakyat jelata menghampiri Istana. Isu samada Tuanku bersetuju atau tidak dengan kandungannya adalah perkara kedua, yang penting Tuanku berkenan menerimanya.

BERSIH tidak perlu berlagak jantan melayangkan perkenan Tuanku itu untuk tontonan ramai. Cuma perkembangan ini jelas membuktikan yang pihak-pihak tertentu mula merasa cemas, dan kini berusaha melaga-lagakan Baginda, Raja-raja Melayu dengan rakyat jelata.

Bagi mereka yang maklum akan isu ini dan hadir di perkarangan Istana pada petang hari Sabtu yang bersejarah itu, akan tahu bahawa SPB YDP telah pun memperkenankan penyerahan memo itu kepada wakil Baginda dan memo itu telahpun diserah dan diterima. Yang lainnya biarlah wakil, ejen dan juak-juak mereka yang tidak berpuas hati, putarkan mengikut nafsu dan kemahuan serakah mereka.

Begitulah sepatutnya respon kita, Sdr Rizal dan sahabat-sahabat lain, berani kerana benar, insyallah.

Friday, November 16, 2007

Nazri dan Khairy kecundang di al Jazeera

Al Jazeera diserang kerana kononnya memberikan laporan berat sebelah dan tidak mencerminkan keadaan sebenar terhadap apa yang berlaku pada hari Sabtu lepas 10 November bersempena Perhimpunan Aman BERSIH di Kuala Lumpur. Al Jazeera yang ketika itu membuat laporan terus dari perkarangan Masjid Jamek dikatakan kononnya berhasrat memberikan gambaran buruk terhadap kerajaan Malaysia.




Sebagai sebuah rangkaian berita berstatus antarabangsa yang bebas dan berwibawa (dan mempunyai pengkalan pula di KL), Al Jazeera cuba menangkis serangan kerjaan itu dengan mengadakan sebuah majlis forum bagi membincangkan secara terbuka perhimpunan tersebut dan tuntutan yang dibuat oleh BERSIH. Dengan beraninya Al Jazeera telah mengundang Nazri Aziz, Menteri di JPM dan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin yang juga menantu PM Dollah Badawi. Turut diundang adalah Malik Imtiaz, seorang peguam hak asasi tempatan. Pengacara tekenal, Teymnoor Nabil telah bertindak sebagai moderator.

(Menurut Jeff Ooi, Zaniuddin Maidin pada awalnya diundang, tapi menolak. Takut?)

Kepada mereka yang sempat menonton rancangan ini akan dapat memerhatikan betapa Nazri dan Khairy terutamanya cuba seolah mahu merampas forum tersebut untuk kepentingan mereka (mungkin mereka terlupa yang ini bukan rancangan RTM, dan moderatornya bukan Johan Jaafar), tetapi ternyata pengalaman Teymnoor berjaya menangani keghairahan dan ego kedua pemimpin Umno itu.

Banyak point yang menarik yang telah dibangkit dan dibahaskan. Saya kagum melihat betapa dengan penuh terkawal dan profesionalisma yang menyerlah, Malik Imtiaz berjaya memberikan input dan ulasan yang menarik selain mematahkan tohmahan, fitnah dan serangan kedua-dua Nazri dan Khairy itu.

Apabila Teymnoor menyatakan yang media arus perdana seakan cuba menggelap dan memutar-belitkan perhimpunan terbesar dan bersejarah rakyat Malaysia itu, Nazri melompat mempertahankan media arus perdana tempatan. Kata beliau mereka berhak melaporkan apa yang mahu dan sesungguhnya tidak ada masalah dengan kebebsan media di Malaysia. Malik menafikan kenyataan Menteri itu dengan menegaskan bahwa hakikatnya media tempatan di Malaysia dikongkong menurut kemahuan kerajaan yang memerintah.

Kedua-dua Nazri dan Khairy cuba menggambarkan yang perhimpunan BERSIH itu sia-sia dan tidak mencerminkan hasrat rakyat Malaysia yang sebenarnya. Kata Nazri amalan biasa di Malaysia bagi menuntutu perubahan adalah melalui peti undi dan pilihan raya diadakan secara regular di Malaysia. Khairy pula mempertahankan bahawa SPR sendiri telah banyak memperkenalkan perubahan atas nama reformasi pilihan raya, himpunan BERSIH ini kata Khairy lagi adalah didalangi pihak pembangkang.

Manakala Malik pula menyatakan bahawa perhimpunan BERSIH yang besar itu sesungguhnya adalah manifestasi kuatnya tuntutan untuk reformasi pilihan raya itu sendiri yang datangnya dari masyarakat sivil (civil society). Malah tambah Malik jika pihak polis tidak mengadakan sekatan jalanraya di sekitar KL dan menganggu mereka yang mahu hadir, sudah pasti lebih ramai lagi akan hadir.

Apa yang menarik adalah pengakuan Nazri apabila dikuit oleh Teymnoor, yang bertanya:

Is there a need for electoral reform (in Malaysia)?
Apakah perlu reformasi terhadap (sistem) pilihanraya (di Malaysia)?


Dengan style biasanya yang bongkak dan sombong itu Nazri menjawab:

No!

Kemudian apabila terasa yang seolah dia terperangkap dengan jawapan yang separuh masak itu, Nazri terikut-ikut pula rentak Khairy yang mengatakan tidak perlu ELECTORAL REFORM tetapi apa yang mungkin perlu adalah A CHANGE IN ITS PROCESS (perubahan dalam prosesnya?) Tak tahulah apa beza antara keduanya?

Malik membuat kesimpulan bahawa:

The fact is there are serious flaws
Jelasnya terdapat banyak kelemahan besar

Kata Malik sebagai bukti, pilihlah mana-mana akhbar media perdana dan anda tidak akan dapat mendengar (membaca) langsung suara dari pihak pembangkang.

Begitulah realiti apa yang ada di Malaysia hari ini dan impak dari Perhimpunan Aman BERSIH tempoh hari. Kalau Nazri mencerminkan pandangan kerajaan dan Khairy pula membawa pandangan Umno, jelas kedua-duanya tertekan dan kelihatan sumbang dalam mahu menegakkan benang yang basah. Mereka lupa yang aksi, sikap dan jawapan mereka malam itu bukan hanya disaksikan oleh rakyat Malaysia tetapi seluruh dunia.

Bagi saya 101 East semalam telah berjaya menelanjangkan kelemahan sistem pilihanraya dan demokrasi di Malaysia dan yang membogelkannya untuk tontonan dunia bukan puluhan ribu mereka yang hadir dalam Perhimpunan Aman BERSIH itu Sabtu lalu, bukan Al Jazeera, bukan juga Teymnoor atau Malik Imtiaz, tetapi yang mengaibkan dan menconteng arang ke wajah kerajaan Malaysia pimpinan Dollah Badawi adalah Nazri dan Khairy, bayangkan kalau Zainuddin Maidin yang hadir.

Terima kasih Al Jazeera, syabas rakyat Malaysia, perjuangan kita baru bermula.

Thursday, November 15, 2007

Mungkin kabinet juga perlu dihadiahkan penyapu

Abdullah Badawi mengecewakan demikian pandangan Ahmad Mustapha Hassan bekas Setiausaha Akhbar kepada Tun Razak dan Tun Dr Mahathir. Dollah memulakan langkahnya dengan pelbagai slogan tetapi semuanya gagal, menurut Mustapha. Mustapha memberikan pandangan demikian dalam temuramah eksklusif beliau bersama Malaysiakini.

Hari ini kalau kita baca akhbar-akhbar tempatan, kita mungkin bersetuju dengan pandangan Mustapha itu. Kabinet telah membuat keputusan bahawa kes video kontroversi peguam VK Lingam, kini diserahkan pula kepada 3 orang Menteri untuk mengkaji laporan panel penyiasat diketuai bekas Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Haidar. Menurut laporan TV3 semalam, kabinet tidak dapat membuat keputusan kerana kertas laporan Panel Penyiasat itu baru sahaja diterima oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Mengapakah kerja yang berulang-ulang dilakukan? Apakah kabinet tidak berpuas hati dengan pandangan Panel Penyiasat atau syor panel itu tidak menepati selera PM dan kabinet? 3 orang menteri yang dilantik kabinet semalam adalah Nazri Aziz, Radzi Sheikh Ahmad dan Rais Yatim. Saya tidak pasti dengan yang lain, tetapi Nazri adalah antara yang telah pernah membuat ulasan dan komen terhadap isu ini, tidakkah mungkin berlaku BIAS atau berat sebelah apabila seseorang yang telah pun menunjukkan sikapnya disuruh pula membuat kajian?

Menurut laporan akhabr Cina, Sin Chiew, ketiga-tiga anggota Panel Penyiasat sebulat suara mengesyorkan agar sebuah Suruhanjaya Penyiasat Di Raja ditubuhkan untuk menyiasat secara rasmi kes video VK Lingam ini. Mengapakah kabinet enggan memberi laluan? Mungkinkah ada bangkai yang mahu ditutup dan dikatup disini?

Kalau Dollah duduk sebagai YDP di Hulu Selangor, pasti beliau dan anggota kabinetnya akan dihadiahkan dengan penyapu oleh Khir Toyo!
Pemimpin tekukur, beruk dan beruang

Yang paling menarik perhatian saya dalam akhbar tempatan hari ini adalah berita mengenai pelancaran buku THE UNMAKING OF MALAYSIA karangan Ahmad Mustapha Hassan bekas Setiausaha Akhbar kepada bekas PM Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr Mahathir. Buku tersebut telah dilancarkan oleh bekas TPM Tun Musa Hitam semalam.

Menurut THE STAR, Tun Musa berkata, syarat-syarat yang digunakan untuk memilih pemimpin hari ini berbeza dengan zaman dahulu. Dulu kata Musa, seseorang itu diuji samada ia layak atau tidak berkhidmat untuk rakyat. Tetapi hari ini syaratnya adalah, adakah sesorang itu boleh dipercayai ataupun tidak.

Semasa Allahyarham Tun Razak dulu kata Musa, bakal-bakal pemimpin dipilih berdasarkan kemampuan mereka bekerja keras dan sejauh manakah mereka mampu berkhidmat kepada rakyat. Soalan yang sering ditanya dahulu adalah adakah seseorang itu boleh bekerja, boleh berkhidmat dan boleh melaksanakan tugasnya?

Malangnya hari ini tambah Musa syarat-syarat itu telah lupus begitu sahaja. Hari ini yang ditanya adakah kita boleh percaya si anu dan dan si anu itu. Dan dari situlah menurut Musa, masalahnya bermula.Kejujuran dan integriti buaknnya aset tetapi menjadi penghalang kejayaan seseorang hari ini!

Musa Hitam seperti biasa adalah seorang pemimpin yang tajam tetapi sukar dibaca.
Bagi saya Musa memilih majlis pelancaran buku ini untuk melontarkan kritikkannya kerana kebetulan buku Ahmad Mustapha itu juga kritis dan tajam sehingga mendakwa bahawa dua orang tokoh korporat besar hari ini iaitu Ananda Krishnan dan Vincent Tan, kedua-duanya telah memungkiri janji, tidak mengenang jasa dan khidmat yang telah beliau taburkan kepada mereka sehingga mereka mampu berjaya.

Balik kepada kata-kata Musa di atas, bermakna pemimpin sekarang perlu menjadi YES MAN, mengamalkan budaya burung tekukur yang dibela, menyanyi dan mengangguk menurut perintah dan kemahuan tuannya. Lebih kasar lagi umpama beruk dan beruang sarkas. Jangan sekali-kali mengangkat suara atau berani menegur bimbang nanti tidak lagi dipercayai dan dicap durhaka. Tidak hairanlah pada hari ini yang ada di hadapan kita adalah tekukur, beruk dan beruang belaka.

Saya teringat semasa Marina Yusof (bekas ahli MT Umno) berada bersama barisan pembangkang satu ketika dahulu, beliau pernah berkata bahwa antara yang vokal dalam MT Umno semasa Tun Dr Mahathir menjadi Presiden adalah beliau, Tun Musa, Tengku Razaleigh dan Shahril Samad. Lalu mereka semua disenari hitamkan. Pernah kata Marina beliau menegur Tun M, lalu Tun M melenting dan berkata:

Marina why cant you be like the three monkeys

(Theree monkeys yang dimaksudkan: See no evil, hear no evil, speak no evil – membuta, memekak dan membisukan diri)

Zaman Dollah Badawi sekarang bagaimana? Kerana yang Musa Hitam maksudkan sebagai syarat-syarat baru itu adalah pemimpin hari ini! Soiapakah pemimpin hari ini jika tidak yang berkuasa dan memerintah hari ini. Dollah akan terima dan bela cuma yang boleh beliau percaya sahaja, yang tidak, pasti akan dicantas dan digugur lebih-lebih lagi dah dekat musim pilihan raya ini.

Pasti yang cemas dan menggigit jari hari ini termasuklah Tengku Razaleigh, Zaid Ibrahim, Aziz Samsuddin dan panjang lagi senarainya............

Wednesday, November 14, 2007

Jangan goyah jangan goncang

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri apabila mengulas Perhimpunan Aman BERSIH Sabtu lepas menyebut, jangan bermain dengan api perkauman. Saya tidak pasti siapakah yang bermain dengan api perkauman Sabtu lepas. Yang saya tahu perhimpunan tersebut disertai oleh parti-parti politik dan lebih 60 NGO dari pelbagai lapisan kaum dan agama. Tidak ada sesiapa pun yang membawa mesej perkauman selain menuntut pilihnaraya yang bersih dan adil.

Hari ini dalam akhbar tempatan Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin menyebut jangan terpengaruh dengan ekstrimis agama pula. Kononnya kata anak Maidin ini terdapat kumpulan ektrimis agama yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memenagi sokongan rakyat termasuklah dengan mencabar kerajaan dan menganjurkan perhimpunan haram.
Mula-mula ektrimis perkauman dan kini ekstrimis agama pula.

Bagi saya Perhimpunan Aman BERSIH hari Sabtu lepas yang menurut angka kerajaan dihadiri sekitar 4,000 ke 10,000 orang itu telah berjaya menggegar kedudukan Umno dan BN. Pihak kerajaan menjangkakan yang perhimpunan itu akan dapat digagalkan bermula dengan keenganan pihak polis mengeluarkan permit, diikuti dengan pelbagai ancaman dan terakhir amaran dari Presiden Umno dan PM sendiri bahawa jangan mencabar beliau.

Rupa-rupanya rakyat terus juga berhimpun atas keyakinan bahawa selaku warganegara Malaysia mereka berhak untuk berhimpun dan apa lagi untuk menyerahkan suara mereka kepada Raja mereka yang dikasihi.

Perhimpunan Aman BERSIH itu berjaya membuka mata rakyat dan dunia bahawa Malaysia walaupun sebuah negara demokrasi dan mengadakan pilihan raya setiap 5 tahun sekali, namun sistemnya pincang dan tempang. Sepatutnya jika Umno dan BN tidak mahu terperangkap dengan gelombang rakyat ini, akui sahaja keperluan untuk reformasi sistem pilihanraya ini. Yang perlu dirobah dan diperbaiki adalah sistem pilihnaraya. Memorandum bantahan itu bukannya membantah Umno dan BN tetapi SPR dan sistem pilihanraya.

Jadi tak perlulah goyah dan goncang. PAS, PKR dan DAP mahu menang pilihanraya. Bukannya merampas kuasa dengan kekerasan atau apa sahaja cara yang tidak demokratik. Yang penting sekarang adalah memastikan demokrasi itu benar-benar wujud dan beroperasi. Jika Umno dan Bn tidak senang malah berasa cemas dan terancam dengan Perhimpunan Aman BERSIH ini bermakna mereka sengaja tidak mahu kepada pilihanraya yang bersih dan adil.
Aksi Khir Toyo dipenyapukan

Poll di Buletin Utama TV3 semalam mengukur sejauh manakah reaksi orang-ramai terhadap hadiah PENYAPU yang diberikan oleh MB Selangor Khir Toyo kepada dua agensi kerajaan di Selangor kerana lemah dalam kutipan hasil dan tunggakan. Keputusan akhirnya 65% responden tidak setuju.

Rata-rata orang-ramai merasakan tindakan Khir itu sangat melampau dan malah menghina mereka yang berkenaan.

Di Parlimen semalam, isu penyapu ini turut dibangkitkan dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Azizah Mohd Dun sendiri menyebut bahawa beliau secara peribadi tidaks etuju dengan tindakan Khir itu. Ketua BBC BN Raja Ahmad Zainuddin menegaskan bahawa penyapu itu sesuatu yang dianggap sial dalam budaya Melayu dan menjadikan ianya hadiah tidak langsung mencerminkan budaya sebuah negara maju.

Dalam akhbar The Star, Presiden CUEPACS Omar Osman kesal dengan tindakan Khir itu dan merasakan terdapat banyak lagi cara dan kaedah untuk memeberi nasihat dan amaran kepada agensi yang tidak menepati sasaran, bukannya dengan tindakan penghinaan seumapam ini dikhalayak ramai.

Seorang pembaca akhbar The Star, Kay Arr (Petaling Jaya) dalam ruangan pandangan para pembaca menulis, bahawa tindakan Khir itu sangat memeranjatkan dan sungguh menghina. Memberi amaran secara umum sudah boleh dianggap memalukan tetapi menghadiahkan pula PENYAPU secara terbuka dihadapan khalayak ramai dengan dihadiri para wartawan adalah suatu penghinaan.

Jelas Khir kali ini terperangkap dengan keghairahannya mahu menonjolkan diri, rupa-rupanya aksi bodohnya terkena ke atas batang hidungnya sendiri (yang dulu kemek tetapi kini sudah di repair cantik). Beginikah cara seorang MB sebuah negeri yang kononnya maju? Kaedah pengurusan dengan cara memalu dan mengaibkan kakitangan secara terbuka seumpama ini tidak pernah dilakukan dimana-mana negeri maju pun.

Cuba kita lihat apa kata YDP Majlis Daerah Hulu Selangor yang menerima salah sebatang penyapu hadiah dari Khir itu:

Sesiapa pun memang sukar hendak menerima penyapu sebagai hadiah tetapi saya bersifat budiman, naik juga (ke pentas) dengan perasaan macam-macam.

Jangan kita mudah menghina dan menjatuhkan maruah orang dihadapan khalayak ramai,satu hari nanti ditakdirkan Tuhan, kita pula menerima padahnya. Inagt, MB Selangor, 3 orang bermula dari Harun Idris, Mat Taib dan kemudian Abu Hassan semuanya jatuh dalam keadaan yang sungguh mengaibkan. Mungkinkah selepas ini giliran Khir?