Muktamar PAS ke 63 di Alor Setar baru-baru ini dijangkakan
adalah muktamar PAS yang terakhir sebelum Pilihanraya Umum ke 14.
Saya melihat PAS telah melalui beberapa fasa penting dan
kritikal dari muktamarnya ke 61 di Kuala Selangor, kemudiannya ke 62 di Kota
Bharu dan kini terbaru di Alor Setar.
Fasa-fasa ini sesungguhnya mencerminkan kemampuan dan
keupayaan PAS sebagai sebuah parti politik dan Gerakan Islam. Ia melibatkan
proses penyaringan dalam kepimpinan dan keahlian parti sehinggalah ke proses penyatuan
dan kesatuan dalaman dan berakhir baru-baru ini di Alor Setar dengan kemantapan
dan kebersediaan untuk menempuh serta merempuh PRU mendatang dengan penuh gagah
dan semangat yang berkobar-kobar.
Ketiga-tiga fasa ini membuktikan kematangan dan kedewasaan
PAS dipersada politik tanahair sepanjang lebih 60 tahun usianya, melalui satu
proses sebahagiannya dirancang dan sebahagian lain tidak dirancang tetapi
berlaku dengan izin Allah swt.
Tidak dapat dinafikan yang PAS menghadapi konflik yang besar
menjelang Muktamar ke 61 nya di Kuala Selangor. Ketika itu beberapa kalangan
pimpinan pelbagai peringkat dalam parti merancang untuk mengambil-alih
kepimpinan parti dan merobah haluan serta halu tuju parti berdasarkan agenda
dan kepentingan peribadi mereka.
PAS perlu lebih lunak, PAS perlu merobah cara dan kaedah
pendekatannya, mengendurkan dasar demi merintis jalan kerjasama walaupun
terpaksa menggadaikan prinsip buat sementara. Demikinalah propaganda mereka
kerana bagi mereka jika ianya berjaya maka PAS boleh mudah menang dan melangkah
ke Putrajaya.
Mereka rupanya “underestimate” dan tersalah baca jatadiri
ahli-ahli dan perwakilan PAS.
Benar kesemua yang dalam Jemaah PAS mahu melihat dan
menjulang kemenangan. Namun warga PAS berpegang teguh kepada keyakinan bahawa
kemenangan ini perlu dirintis atas jalan berpegang teguh dan mempertahankan
dasar dan prinsip. Jika Islam ini ditakdirkan menang ia perlu menang tanpa
sedikit pun dasar dan prinsipnya dikendur apatah lagi digadaikan, jika tidak
biarlah kalah asal maruah dan harga diri Islam tidak tercalar dan sentiasa
terpelihara.
Dalam muktamar di Kuala Selangor PAS memilih membersihkan
kepimpinannya dari mereka yang tidak berkongsi matlamat yang sama. Keputusan
ini dianggap oleh mereka yang dirihatkan itu sebagai usaha untuk menyingkirkan
mereka, sedangkan sebelum ini ramai yang pernah bertanding dan tewas tanpa
banyak masalah.
Akibatnya berlakulah pengkhianatan dalam parti apabila
mereka yang berkenaan bertindak keluar parti, “mencuri” kerusi-kerusi Parlimen
dan DUN millik PAS dan akhirnya atas dorongan DAP, menubuhkan parti sendiri.
Apa yang mahu saya bawa di sini adalah hasrat jahat mereka
ini. Mereka menjangkakan PAS boleh sendeng dan akhrinya roboh angkara
pengkhianatan mereka.
Rupanya tidak. Pengkhianatan mereka hanya dituruti beberapa
kerat kecil yang taksub pada mereka dan termakan mimpi kosong mereka. Majoriti
ahli-ahli PAS memilih untuk istiqamah dan kekal duduk atas bahtera perjuangan
PAS.
Kerana itu Muktamar Kuala Selangor bagi saya adalah fasa
penyaringan dan proses pembersihan dalaman PAS. Ia sedikit mencederakan parti
tetapi tubuh yang sasa dan padu ini tetap berdiri teguh dan malah memberi
kekuatan dalam bentuk keyakinan kepada
kepimpinan Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dan “Team Istiqamah”nya.
Bergerak dari fasa itu Tuan Guru Presiden telah melancarkan
proses kesatuan dan penyatuan dalaman parti. Langkah-langkah segera memulihkan
kawasan-kawasan PAS yang terjejas akibat kerja-kerja pengkhianatan telah
dilakukan dan dalam tempoh masa yang singkat kecederaan ringan pada PAS telah
segera dirawat dan berjaya diubati.
Himpunan Fastaqim 2015 sejurus selepas Muktamar Kuala
Selangor telah diatur bagi membuktikan ratusan ribu ahli PAS setia, taat dan
istiqamah bersama parti dan kepimpinan Tuan Guru Presiden.
Fasa seterusnya adalah Muktamar di Kota Bharu 2016. PAS
telah pulih sepenuhnya dan mula menyusun gerakannya dengan lebih mantap
terutama setelah ditendang keluar oleh Dap dari Pakatan Rakyat.
BPMS atau “Budaya Politik Matang dan Sejahtera” telah diperkenalkan
dan disyarah serta diperterunkan keseluruh ahli akar umbi. PAS yang dewasa dan
matang tidak lagi mahu mengambil pendekatan “confrontational” atau bertegang
dengan semua pihak khasnya sasarannya. PAS mahu ambil pendekatan diplomasi,
rasional dan mengambi peranan penasihat berlandaskan nas.
PAS sedia berkerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu
menjaga dan memelihatra kepentingan Islam. PAS dilihat lunak dengan Umno dan
kerajaan tetapi sebenarnya melalui BPMS PAS bsersungguh mahu menambat hati
semua pihak agar bersama beri simpati dan sokongan pada perjuangan Islam.
Keseriusan PAS dalam bab mendaulatkan Islam ditegaskan
dengan membawa RUU355 diikuti dengan Himpunan 355.
Rakyat Malaysia khasnya umat Islam terpesona, malah sejuk
hati dan mula membuka diri pada PAS dan perjuangan Islamnya. Rakyat dari
pelbagai sektor dan kelas secara terbuka mempamirkan kesediaan mereka bersama
menobat dan mendaulatkan Islam. PAS meniti di bibir rakyat khasnya umat Islam
yang sangat sensitif dengan agama
mereka.
Lalu Muktamar PAS ke 63 di Alor Setar menghimpunkan segala
kekuatan PAS yang dibina sepanjang lebih 60 tahun dengan komitmen bahawa PAS
sudah sedia menjadi “player” utama dalam PRU mendatang ini.
Kemenangan tanpa bertanding Presiden dan Timbalannya
mengisyaratkan bahawa PAS penuh yakin dengan gandingan kedua ulamak ini yang
diberi mandat tidak berbelah bahagi oleh ahli-ahli untuk memimpin mereka dalam
PRU nanti.
Muktamar Alor Setar melakarkan kesediaan PAS untuk bangkit
sebagai “kingmaker” setelah berubahnya lanskap politik Malaysia hari ini. PAS
akan menghadapi PRU nanti bukan sebagaimana PRU 2008 dan 2013 ketika ada
kerjasama dengan DAP dan PKR serta atas platform Pakatan Rakyat.
Lanskap politik baru Malaysia sudah berubah, musuh semakin
lemah dan berpecah, rakyat semakin gelisah dan terbeban dengan pelbagai
permasalahan, dan PAS akan mencetuskan Tsunami Hijau yang bakal melonjakkan
negara dengan penyelesaian komprehensif dan efektif atas nama Islam.
PAS mahu menyelamatkan rakyat dan negara. Politik Malaysia
perlu berubah dan penyelesaiannya adalah melalui “Sejahtera bersama Islam”. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment