Tuesday, May 23, 2017

Bila Trump tunduk pada Saudi



Islam dijanjikan oleh Allah swt dan diperakui oleh Rasulullah s.a.w sebagai agama yang tinggi. Walaupun menghadapi pelbagai tohmahan, tekanan dan serangan, kemuliaan dan darjat Islam tidak sedikit pun berkurangan malah ia ditempatkan sentiasa di kedudukan yang mulia.

Mereka yang memperjuangkan Islam akan sentiasa dipelihara dan dipertingkatkan kedudukannya oleh Allah swt.

Allah swt berfirman dalam al Quran yang maksudnya:

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan jangalah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (al Imran:139)

Menurut Almarhum Prof. Dr Hamka di dalam Tafsir al Azharnya, ayat di atas bermaksud:

“Suatu hal masih ada padamu, modal tunggal yang tidak pernah dapat dirampas oleh musuhmu, iaitu iman. Jikalau kamu benar-benar masih mempunyai iman dalam dadamu, kamulah yang tinggi dan akan tetap tinggi.”

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Islam itu tinggi dan tidak ada apa yang lebih tinggi darinya”.

Samada kebetulan, dirancang atau tidak dirancang, muslihat politik atau apa sahaja, hakikatnya setelah mengambil pendirian melihat Islam dengan penuh prejudis, kacamata “Islamo phobic”, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memilih Arab Saudi sebagai destinasi pertama lawatannya ke luar negara sekaligu membingung dan mengejutkan dunia.

Menurut CNN tindakan Trump ini menjadikan beliau Presiden AS yang pertama memilih negara Timur Tengah sebagai destinasi luarnya yang pertama. Lazimnya Presiden-presiden yang sebelum ini akan memilih untuk melawat negara-negara jiran umpama Mexico atau Kanada, ataupun negara-negara sekutu kuat mereka di Eropah.

Mengapa Trump memilih Arab Saudi?

Bukankah sebelum ini beliau zahirkan kebenciannya pada Islam?

Mungkinkah beliau terpaksa akui bahawa negara umat Islam yang terkaya ini adalah yang paling penting untuk dijalin hubungan baik setelah Islam teruk dilanyaknya semasa berkempen dahulu.

Mungkinkah juga kerana sebagai seorang tokoh korporat yang lebih mementingkan keuntungan fizikal, Trump mengenepikan “Islamic bashing” dan agenda anti Islamnya sebelum ini dan melutut pada Arab Saudi kerana mahu mengejar USD110 billion dalam bentuk perjanjian pembelian senjata yang ditawarkan Saudi?

Walau Islam teruk menjadi sasaran serangannya, akhirnya kepada Islam juga perlu beliau berbaik dan melutut.

Beliau bukan tidak tahu tindakannya itu tambah mencalurukan dasar antarabangsanysa, tetapi sebagai seorang pemimpin dunia ternyata beliau akur dengan realiti semasa.

Dalam satu klip video kita dapat melihat di mana Raja Salman semasa menjamu kopi kepada Trump dalam acara meminum kopi Arab, menegur dan mengingatkan Trump agar menggunakan tangan kanannya untuk memegang cawan kopi, dan Trump serta merta menukar tangan dengan berkata:

“….always the right hand, right …. always the right hand.” 

Begitulah sebenarnya mereka yang memusuhi Islam, permusuhan sekuat dan sekeras mana sekalipun akhirnya akan tunduk dan tewas juga dengan syarat para pejuang dan pendukung Islam istiqamah dan sungguh-sungguh beriman.

Ini sebenarnya satu iktibar dan pengajaran besar buat semua yang mencintai agama Allah swt.

Musuh-musuh Islam memang mahu menyerang dan memusnahkan kita, tetapi jangan sekali-kali mudah menyerah apalagi menggadaikan prinsip dan dasar perjuangan yakni Islam. Islam perlu di bawa dalam bentuk asalnya tanpa dipinda dan dilentur demi memuaskan agenda mana-mana pihak lain.

Bangkit dan bersungguhlah kita dalam lapangan masing-masing, Islam bukan duduknya di bawah tetapi di atas. Allah pasti akan menyusun kemenangan buat agamanya dengan syarat kita jangan mudah berputus asa.   

Ramai lagi “Trump” di Malaysia yang perlu ditunjuk dan diajar mengikut kaedah dan budaya kita sehingga akhirnya mengakui memang Islam letaknya di atas.

No comments: