Pengumuman rasmi telah dibuat.
Himpunan penyokong dan pendukung Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah atau
Akta 355 sebagaimana dibayangkan oleh Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang
selepas sidang Parlimen yang lepas kini sudah hampir pasti diadakan.
Menurut Pengerusi himpunan Ustaz
Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Himpunan 355 atau H355 itu akan diadakan pada hari
Sabtu 18 Febuari nanti bertempat di Dataran Merdeka bermula jam 3 petang. Ianya
anjuran bersama PAS dan beberapa NGO Islam dan pihak-pihak yang berkepentingan.
Sesungguhnya jarang-jarang sekali
umat Islam khasnya orang Melayu pernah atau dapat berhimpun dalam skala yang
besar demi mempertahan atau memperjuangkan sesuatu isu.
Antara yang terekod dalam lipatan
sejarah adalah penentangan terhadap Malaysan Union sekitar 1946 dan dikuti
dengan protes dan hartal peristiwa Natrah pada tahun 1950 di Singapura yang
berakhir dengan rusuhan yang telah mengorbankan 18 orang dan ratusan lagi
tercedera.
Itu semua sejarah dan berlaku
sebelum Merdeka.
Kini kita sudah Merdeka dan
berdaulat. H355 bukannya suatu protes apatah lagi bukan demonstrasi jalanan
yang boleh berakhir dengan rusuhan.
H355 adalah sebuah himpunan aman.
Ia meraikan suatu proses demokrasi yang dimulakan menurut lunas undang-undang
yang diambil melalui inisiatif perundangan dam bakal dibentang dan dibahaskan
di Parlimen bermula sesi bulan Mac nanti.
H355 merai, menegas dan
mengukuhkan sokongan rakyat khususnya umat Islam terhadap satu pindaan
undang-undang yang melibatkan hak dan kepentingan mereka.
Himpunan ini mahu membuktikan
betapa umat Islam iaitu penduduk majoriti dalam negara begitu sensitif dan
berpegang teguh pada agama mereka. Perlembagaan Negara menjamin bahawa Islam
adalah agama Persekutuan dan setiap penganut agama berhak mengamalkan agama
masing-masing.
Himpunan ini bukannya mahu
mencabar atau menyerang amalan penganut agama lain, tetapi sesungguhnya mahu
menegaskan betapa umat Islam keseluruhannya bersatu dalam isu-isu melibatkan
agama dan kepercayaan mereka.
RUU355 adalah usaha untuk
memperkasa undang-undang syariah dan mahkamah syariah di Malaysia. Lalu H355
ini mahu membangkitkan kesedaran seluruh rakyat Malaysia khasnya umat Islam
akan betapa pentingnya bersatu dalam menjayakan usaha-usaha seumpama ini.
Melalui H355 ini diharapkan
rakyat Malaysia khasnya umat Islam akan terdedah dan dapat difahamkan betapa
penting dan wajarnya RUU355 ini disokong dan diluluskan oleh Parlimen.
Sekiranya rakyat Malaysia khasnya
umat Islam dapat bersatu dan keluar berhimpun
beramai-ramai pada 18 Febuari ini membanjiri Kuala Lumpur, dengan
mengenepikan fahaman dan kecenderungan politik masing-masing, sudah pasti mesej
yang berjaya disampaikan nanti adalah bahawa jangan sesiapa campurtangan dan
menganggu hak umat Islam mengamalkan agama mereka sebagaimana umat Islam di
Malaysia juga tidak sekali-kali akan menganggu kepercayaan dan amalan penganut
agama-agama lain.
Malaysia diakui kekal berdaulat
dan merdeka lantaran rakyatnya yang berbilang agama dan kaum sangat menghormati
agama dan kepercayaan mereka antara satu sama lain. Urusan agama adalah hak dan
urusan masing-masing penganut. Inilah fahaman dan amalan kita sejak berpuluh
tahun yang lalu.
Oleh itu apabila ada usaha
seumpama RUU355 ini, mengapa tiba-tiba pihak yang tiada berkepentingan mahu bangkit
dan protes sekaligus mencetuskan kekeruhan dalam hubungan baik antara pelbagai
agama dan kaum dalam negara yang telah dibina sekian lama.
Dalam hal melibatkan agama dan
kepercayaan khasnya dalam kes H355 ini, saya yakin dan percaya rakyat Malaysia khasnya
majoriti orang-orang Melayu dan mereka yang lain yang beragama Islam akan
segera bangkit dan bersatu menyokong dan menyertai H355 ini.
Biarlah kita semua tanpa mengira
apa sahaja ideologi, kelas dan kedudukan, samada para pegawai dan kakitangan kerajaan,
pemimpin dan penyokong politik, nelayan, petani, peneroka, guru-guru dan
pendidik, para peniaga kecil atau besar, pelajar, buruh atau majikan, keluar
beramai-ramai secara aman atas nama menyuarakan sokongan kita kea rah
memartabat dan mendaultkan Islam, agama kita 18 Febuari nanti.
Biar H355 ini membuka mata
ahli-ahli Parlimen Malaysia khasnya bahawa umat Islam yakni yang mewakili
majoriti penduduk dalam negara bertegas mahukan RUU355 ini diluluskan dengan
baik.
Ini bukan ancaman, tetapi kiranya
selepas H355 nanti, jika masih ada ahli Parlimen dari mana parti sekalipun
bertegas mahu menentangnya, maka mereka perlu bersedia ditolak oleh para
pengundi khasnya pengundi Islam dikawasan mereka masing-masing.
Itulah demokrasi dan kebebasan.
Rakyat menyokong parti dan wakil
yang faham dan sensitif akan isu dan permasalahan mereka. Jika ada parti atau
wakil yang menolak kemhauan rakyat, dalam kes ini RUU355, maka mereka memberi
isyarat pada para pengundi bahawa dalam isu-isu melibatkan usaha memartabatkan
amalan agama Islam mereka akan tentang, maka bersedialah menerima risiko
ditolak oleh para pengundi Islam.
Sebagai warganegara Malaysia kita
berhak memilih dan mengundi sesiapa sahaja dan demikian juga kita berhak untuk
menolak dan tidak mengundi sesiapa sahaja.
Tidaklah keterlaluan dalam hal
ini jika umat Islam nanti memutuskan mana-mana wakil atau parti yang tidak
“Islamic friendly” wajar ditolak dalam Pilihanraya Umum nanti, itu pengundi
bijak namanya.
Bagi saya lamgkah menganjurkan
H355 ini mencerminkan kematangan berfikir dan kematangan berpolitik semua pihak
yang terlibat. Ini bukan himpunan untuk mengibarkan bendera dan menjuarai
ideologi mana-mana pihak. Ini himpunan untuk menyokong usaha memperkasakan
Islam yang bakal berlaku di Parlimen bulan Mac nanti.
Siapa yang tidak mahu melihat
kesatuan dan kesepakatan umat Islam secara sivil dan berdisiplin, berhimpun
menyatakan persetujuan terhadap rang undang-undang yang bakal mendekatkan lagi
mereka dengan Yang Maha Pencipta mereka.
Sesungguhnya H355 nanti bakal
melakar sejarah kesatuan umat Islam dan rakyat Malaysia yang tidak pernah
berlaku sebelum ini kecuali sebelum Merdeka dahulu.
Pastikan anda antara yang hadir
dan mencipta sejarah menyumbang ke arah memperkasakan amalan Islam dalam
negara. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment