Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2122 Edisi Isnin muka F17
Tahun Baru Cina merupakan
perayaan ketiga terbesar dalam negara selain Hari Raya Puasa dan Hari Raya
Haji. Rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan kaum merayakan perayaan-perayaan
ini dalam menggambarkan betapa uniknya hubungan dan perpaduan masyarakat
berbilang kaum di Malaysia. Kita boleh berbeza pandangan dan fahaman tetapi
bersatu dalam menghormati dan meraikan hari-hari kebesaran sesama warga
Malaysia.
Keunikkan ini tidak didapati
dalam mana-mana negara lain hari ini.
Masyarakat keturunan Cina
merayakan Tahun Baru ini sebagai satu perayaan budaya turun-temurun. Bukan
sahaja yang bukan Islam meraikannya, malahan kerana ianya bukan acara keagamaan,
maka hari kebesaran ini turut diraikan oleh masyarakat Cina yang beragama Islam
apatah lagi kaum-kaum lain.
Walaubagaimanapun di sana
terdapat beberapa amalan yang tidak semestinya diikuti atau dipercayai khasnya
oleh masyarakat Cina yang beragama Islam dalam meraikan sambutan Tahun Baru
ini.
Salah satu kepercayaan itu adalah
tahun-tahun zodiak yang mengkelaskan 12 haiwan secara pusingan turutan bagi
setiap tahun baru. Haiwan-haiwan itu tidaklah mendatangkan masalah kecuali ia
turut dikaitkan dengan nasib dan rezeki tertentu yang sudah pasti bertentangan
dengan amalan dan kepercayaan Islam.
Tahun 2016 ini dikaitkan dengan
haiwan monyet lalu jadilah ia “Tahun Monyet”
Seorang pakar “fengshui”
dilaporkan berkata bahawa tahun monyet ini menjanjikan tahun yang suram buat
Malaysia. Ringgit Malaysia dijangka terus menguncup manakala harga minyak dunia
pula dikatakan akan terus menggelungsur, dan akibatnya banyak para pekerja
diramalkan akan kehilangan pekerjaaan tahun monyet ini.
Itu ramalan pengamal “fengshui”
yang bagi kita bukanlah sesuatu yang boleh dipercayai atau dijadikan pedoman.
Walaubagaimanapun samada diramal
oleh pakar “fengshui” ataupun tidak kita sendiri sedia maklum bahawa menurut
kajian dan jangkaan para penganalisa ekonomi dan pasaran dunia, memang
berdasarkan angka-angka yang sedia ada, matawang kita dan harga minyak dunia
terus dijangka tidak akan melihatkan satu pertumbuhan yang positif dan ini
sudah pasti bakal menjejaskan ekonomi negara.
Belanjawan 2016 sendiri sudah
disemak semula baru-baru ini apabila unjuran harga minyak AS$48 setong yang
menjadi asas pembentangan Belanjawan pada 23 Oktober 2015 lalu terpaksa diubah
berikutan harga minyak mentah semasa yang jatuh di bawah paras AS$30 setong.
Sementara itu Presiden MCA Datuk
Seri Liow Tiong Lai dalam ucapan Tahun Baru Cinanya mengharapkan agar Tahun
Monyet ini akan bergayut membawa masuk esok yang lebih baik buat semua. Beliau
dipetik sebagai berkata bahawa rakyat Malaysia dijangka akan dihujani dengan
tuah, keriangan dan kekayaan di tahun 2016 ini.
Saya tidak pasti “fengshui” mana
yang digunakan oleh Liow, mahupun pakar mana yang telah berbisik ke telinga
beliau, yang mana kenyataan beliau di atas itu sangat disangsi. Barangkali
beliau sengaja mahu memberikan semangat kepada warga Malaysia khasnya
masyarakat Cina agar terus berikan kepercayaan pada partinya dan BN walaupun
keadaan ekonomi hakikatnya telah gagal dikawal dan diurus secara baik oleh
mereka.
Atas faktor global selain
kepincangan pengurusan dalaman, Malaysia hari ini berhadapan dengan satu
suasana ekonomi yang buruk yang malah kesannya sedang mencengkam kehidupan
rakyat jelata, khasnya dengan kenaikkan kos hidup yang sangat membebankan.
Bagaimana pula agaknya keadaan
politik negara bagi tahun “monyet” ini? Tiada pula ada pakar “fengshui” yang
memberi ramalan atau bacaan.
Namun yang pastinya karekter
monyet yang melompat-lompat memang turut dikongsi tabiatnya oleh sesetengah
pengamal politik dalam negara. Jika monyet melompat dari dahan ke dahan,
orang-orang politik melompat dari parti ke parti, sekurang-kurangnya bagi
mereka yang tiada berpendirian atau berprinsip. Itu telah pun dilihat sebelum
tahun “monyet” lagi, tapi baiknya monyet ia tidak mencuri atau merampas dahan
dari pohon-pohon yang ditinggalkannya setelah melompat, berlainan sekali dengan
orang politik.
Sempena Tahun Baru Cina ini kita
mendoakan agar politik Malaysia akan menjadi matang, bilamana rakyat nanti akan
merai dan bersama parti-parti yang serius dan ikhlas, teguh mempertahankan
prinsip dan dasar perjuangan mereka. Bukannya parti-parti ekstrim mahupun
mereka yang punya agenda dan kepentingan peribadi yang sanggup bersekongkol
dengan siapa sahaja demi meraih kuasa.
Parti-parti yang pincang dan
gagal perlulah dirihatkan, dan rakyat sewajarnya memberi peluang dan
pengharapan khasnya pada parti-parti yang konsisten memperjuangkan hak dan
kepentingan mereka tanpa agenda tersorok atau tersembunyi.
Apa pun yang bakal terjadi dalam
tahun “monyet” 2016 ini, kita serahkan pada Allah swt untuk menentukan. Kerana
Allah swt berfirman dalam Surah An Naml ayat 65 yang bermaksud:
“Katakanlah lagi: Tiada
sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan
Allah!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan
dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).”
Rakyat Malaysia sewajarnya
bekerja kuat dan menyediakan bekalan dan simpanan untuk menghadapi tahun-tahun
yang lebih mencabar berdasarkan suasana ekonomi negara yang tidak menentu ini,
bukannya berdasarkan bacaan mana-mana pakar “fengshui”. Kerajaan BN ternyata
tiada perancangan dan persediaan yang komprehensif untuk mendepani suasana
mencabar ini, dan rakyat teruk memikul beban kealpaan mereka.
Bagi orang-orang PAS usaha perlu
digembelingkan bagi meyakinkan rakyat khasnya masyarakat Melayu dan Islam untuk
kembali memberikan keyakinan kepada Islam untuk menyelamatkan keadaan negara
kita setelah Umno dan BN terus gagal. Kita umat Islam dan malah rakyat Malaysia
jangan berpecah-belah tetapi sewajarnya bersatu dalam menongkah gelombang yang
penuh mencabar ini.
Biarkan monyet-monyet bergayut
pergi tetapi kemuliaan dan harga diri jangan kita korbankan. Keyakinan untuk
melihat Islam berjaya seharusnya mendominasi agenda dan sasaran kita di tahun
2016 ini.
Selamat Tahun Baru Cina kepada
seluruh masyarakat Cina di Malaysia. Gong Xi Fa Cai. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment