Tuesday, February 23, 2016

Guan Eng pungut gelaran baru

Tidak matang (immature), tidak adil (unfair) dan otokratik itulah 3 perkataan yang digunakan oleh Ketua Penerangan AMK PKR Pulau Pinang, Haidhar Auni Dzolkapli terhadap Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagaimana dilaporkan dalam akhbar NST hari ini.

Sebelum itu Guang Eng telah menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi 3 syarikat GLC di Pulau Pinang untuk memecat dua ADUN PKR selaku Pengarah dalam syarikat-syarikat berkenaan.

ADUN Bukit Tengah Ong Chin Wah dipecat selaku Pengarah Invest Penang dan Island Golf Properties manakala ADUN Kebun Bunga Cheah Kah Peng pula dipecat dari Penang Hill Corporation.

Guan Eng secara terbuka menyatakan bahawa pemecatan itu dibuat berikutan tindakan ADUN-ADUN berkenaan yang bersikap berkecuali terhadap usul wakil BN berhubung projek tambak tanah kerajaan negeri di Dewan Negeri Disember lalu.

Kononnya menurut Guan Eng:

“…. the decision was made after they had angered fellow Pakatan assemblymen.”

(….keputusan itu diambil berikutan tindak-tanduk mereka yang telah mencetus kemarahan ADUN-ADUN Pakatan)

Apakah kesalahan Ong dan Cheah?

Mereka mengundi berkecuali semata-mata kerana merasakan isu yang dikemukakan adalah isu rakyat bukannya mereka menentang atau mencela kerajaan negeri. Adakah bertindak demikian merupakan satu kesalahan dan dosa besar di mata Guan Eng?
MB Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR turut mempertahankan tindakan kedua-dua ADUN PKR itu dan merasakan tindakan terbaru Guan Eng sebagai keterlaluan.

Itulah Guan Eng yang sebenar.

Bukankah sebelum ini seorang pemimpin PKR pernah diambil tindakan kerana menuduh Guan Eng “cocky and arrogant” (sombong dan angkuh) dan seorang “tokong” yang dipuja dan tidak dianggap melakukan apa-apa kesalahan.

Guan Eng juga bertindak memutuskan hubungan dengan PAS kerana kononnya PAS beria-ia mahu melaksanakan hukum Islam tanpa persetujuan DAP dan consensus dalam Pakatan Rakyat ketika itu.

Sebelum itu Guan Eng turut bertindak terhadap seorang ahli majlis MPPP PAS di Pulau Pinang, Sdr Iszuree Ibrahim kerana menegur kerajaan negeri Pulau Pinang dalam ucapannya di Muktamar PAS tahun 2014.

Ucapan serupa itu bagi Guan Eng adalah satu sabotaj lalu Iszuree dipecat walaupun PAS ketika itu duduk dalam kerajaan negeri.

Sebelum itu apabila Ketua Penerangan PAS membuat perbandingan antara kerajaan Selangor dan Pulau Pinang dalam isu pemberian kontrak, Guan Eng bukannya memberikan penjelasan sebaliknya melenting dan bertindak menyaman malu Ustaz Nasaruddin Hassan, sedangkan ketika itu PAS dan DAP sama-sama duduk dalam PR.

Dan pada Januari lalu apabila penduduk di Chew Jetty di Pulau Pinang membantah tindakan kerajaan negeri mengadakan perayaan bertindih dengan mereka sempena ulangtahun “Jade Emperor”, Guan Eng telah melenting dengan mengeluarkan kenyataan:

“This is not your fathers land”

(Ini bukan tanah bapa kamu)

Itulah Guan Eng yang sebenar, “cocky, arrogant””tokong” dan hari ini ditambah gelarannya oleh Haidhar:

“Immature, unfair and autocratic”.

Mujurlah PAS tiada hubungan lagi dengan orang ini dan partinya.

“Say NO to Guan Eng” “Say NO to DAP”


Sunday, February 14, 2016

Tahun "monyet" dan masa depan kita

  Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2122 Edisi Isnin muka F17

Tahun Baru Cina merupakan perayaan ketiga terbesar dalam negara selain Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji. Rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan kaum merayakan perayaan-perayaan ini dalam menggambarkan betapa uniknya hubungan dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Kita boleh berbeza pandangan dan fahaman tetapi bersatu dalam menghormati dan meraikan hari-hari kebesaran sesama warga Malaysia.

Keunikkan ini tidak didapati dalam mana-mana negara lain hari ini.

Masyarakat keturunan Cina merayakan Tahun Baru ini sebagai satu perayaan budaya turun-temurun. Bukan sahaja yang bukan Islam meraikannya, malahan kerana ianya bukan acara keagamaan, maka hari kebesaran ini turut diraikan oleh masyarakat Cina yang beragama Islam apatah lagi kaum-kaum lain.

Walaubagaimanapun di sana terdapat beberapa amalan yang tidak semestinya diikuti atau dipercayai khasnya oleh masyarakat Cina yang beragama Islam dalam meraikan sambutan Tahun Baru ini.

Salah satu kepercayaan itu adalah tahun-tahun zodiak yang mengkelaskan 12 haiwan secara pusingan turutan bagi setiap tahun baru. Haiwan-haiwan itu tidaklah mendatangkan masalah kecuali ia turut dikaitkan dengan nasib dan rezeki tertentu yang sudah pasti bertentangan dengan amalan dan kepercayaan Islam.

Tahun 2016 ini dikaitkan dengan haiwan monyet lalu jadilah ia “Tahun Monyet”

Seorang pakar “fengshui” dilaporkan berkata bahawa tahun monyet ini menjanjikan tahun yang suram buat Malaysia. Ringgit Malaysia dijangka terus menguncup manakala harga minyak dunia pula dikatakan akan terus menggelungsur, dan akibatnya banyak para pekerja diramalkan akan kehilangan pekerjaaan tahun monyet ini.

Itu ramalan pengamal “fengshui” yang bagi kita bukanlah sesuatu yang boleh dipercayai atau dijadikan pedoman.

Walaubagaimanapun samada diramal oleh pakar “fengshui” ataupun tidak kita sendiri sedia maklum bahawa menurut kajian dan jangkaan para penganalisa ekonomi dan pasaran dunia, memang berdasarkan angka-angka yang sedia ada, matawang kita dan harga minyak dunia terus dijangka tidak akan melihatkan satu pertumbuhan yang positif dan ini sudah pasti bakal menjejaskan ekonomi negara.

Belanjawan 2016 sendiri sudah disemak semula baru-baru ini apabila unjuran harga minyak AS$48 setong yang menjadi asas pembentangan Belanjawan pada 23 Oktober 2015 lalu terpaksa diubah berikutan harga minyak mentah semasa yang jatuh di bawah paras AS$30 setong.

Sementara itu Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam ucapan Tahun Baru Cinanya mengharapkan agar Tahun Monyet ini akan bergayut membawa masuk esok yang lebih baik buat semua. Beliau dipetik sebagai berkata bahawa rakyat Malaysia dijangka akan dihujani dengan tuah, keriangan dan kekayaan di tahun 2016 ini.

Saya tidak pasti “fengshui” mana yang digunakan oleh Liow, mahupun pakar mana yang telah berbisik ke telinga beliau, yang mana kenyataan beliau di atas itu sangat disangsi. Barangkali beliau sengaja mahu memberikan semangat kepada warga Malaysia khasnya masyarakat Cina agar terus berikan kepercayaan pada partinya dan BN walaupun keadaan ekonomi hakikatnya telah gagal dikawal dan diurus secara baik oleh mereka.

Atas faktor global selain kepincangan pengurusan dalaman, Malaysia hari ini berhadapan dengan satu suasana ekonomi yang buruk yang malah kesannya sedang mencengkam kehidupan rakyat jelata, khasnya dengan kenaikkan kos hidup yang sangat membebankan.
Bagaimana pula agaknya keadaan politik negara bagi tahun “monyet” ini? Tiada pula ada pakar “fengshui” yang memberi ramalan atau bacaan.

Namun yang pastinya karekter monyet yang melompat-lompat memang turut dikongsi tabiatnya oleh sesetengah pengamal politik dalam negara. Jika monyet melompat dari dahan ke dahan, orang-orang politik melompat dari parti ke parti, sekurang-kurangnya bagi mereka yang tiada berpendirian atau berprinsip. Itu telah pun dilihat sebelum tahun “monyet” lagi, tapi baiknya monyet ia tidak mencuri atau merampas dahan dari pohon-pohon yang ditinggalkannya setelah melompat, berlainan sekali dengan orang politik.

Sempena Tahun Baru Cina ini kita mendoakan agar politik Malaysia akan menjadi matang, bilamana rakyat nanti akan merai dan bersama parti-parti yang serius dan ikhlas, teguh mempertahankan prinsip dan dasar perjuangan mereka. Bukannya parti-parti ekstrim mahupun mereka yang punya agenda dan kepentingan peribadi yang sanggup bersekongkol dengan siapa sahaja demi meraih kuasa.

Parti-parti yang pincang dan gagal perlulah dirihatkan, dan rakyat sewajarnya memberi peluang dan pengharapan khasnya pada parti-parti yang konsisten memperjuangkan hak dan kepentingan mereka tanpa agenda tersorok atau tersembunyi.

Apa pun yang bakal terjadi dalam tahun “monyet” 2016 ini, kita serahkan pada Allah swt untuk menentukan. Kerana Allah swt berfirman dalam Surah An Naml ayat 65 yang bermaksud:

“Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).”

Rakyat Malaysia sewajarnya bekerja kuat dan menyediakan bekalan dan simpanan untuk menghadapi tahun-tahun yang lebih mencabar berdasarkan suasana ekonomi negara yang tidak menentu ini, bukannya berdasarkan bacaan mana-mana pakar “fengshui”. Kerajaan BN ternyata tiada perancangan dan persediaan yang komprehensif untuk mendepani suasana mencabar ini, dan rakyat teruk memikul beban kealpaan mereka.

Bagi orang-orang PAS usaha perlu digembelingkan bagi meyakinkan rakyat khasnya masyarakat Melayu dan Islam untuk kembali memberikan keyakinan kepada Islam untuk menyelamatkan keadaan negara kita setelah Umno dan BN terus gagal. Kita umat Islam dan malah rakyat Malaysia jangan berpecah-belah tetapi sewajarnya bersatu dalam menongkah gelombang yang penuh mencabar ini.

Biarkan monyet-monyet bergayut pergi tetapi kemuliaan dan harga diri jangan kita korbankan. Keyakinan untuk melihat Islam berjaya seharusnya mendominasi agenda dan sasaran kita di tahun 2016 ini.

Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh masyarakat Cina di Malaysia. Gong Xi Fa Cai. roslansms@gmail.com

Wednesday, February 10, 2016

Jangan kecewa lempar mikrofon....

Kemana-mana kita pergi hari ini rakyat jelata dari semua lapisan masyarakat akan mengeluh berkenaan kenaikkan kos hidup yang semakin menekan dan menghimpit kehidupan mereka masing-masing. Bebanan ini berbeza-beza mengikut kelas masyarakat namun umumnya ia diakui sebagai satu malapetaka.

TV3 umpamanya sedang satu dua hari ini menyiarkan tentang harga minuman di restoran nasi kandar yang hari ini ada yang caj milo ais sehingga RM3.50 segelas.

Inilah realiti kehidupan kita hari ini. Harga barangan dinaikkan oleh para peniaga, GST dikenakan, namun gaji dan upah tidak berubah malah ramai yang sudah mula dihentikan perkhidmatan oleh kerana syarikat gulung tikar atau mengurangkan “overhead”.

Akhbar The Star hari ini telah memetik kenyataan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong sempena rumah terbuka sambutan Tahun Baru Cina anjuran Gerakan. Kata Mah:

“Everywhere I go everyone is talking about the rising cost of living”

(Kemana sahaja saya pergi orang akan mengatakan berkenaan kenaikkan kos hidup)

Sekaligus membuktikan perkara ini bukan mainan parti pembangkang sahaja tetapi ia satu kenyataan.

“They don’t talk to me about politics but they ask me for solutions”

(Mereka tidak bercakapa kepada saya berkenaan politik tetapi mereka meminta jalan penyelesaian (masalah ini))

Kerana itu PAS khususnya perlu bijak dalam membawa isu rakyat ini. Rakyat terbeban dan ada di antara mereka sudah begitu terdesak.

PAS perlu datang dengan kaedah dan jalan penyelesaian agar terubat mereka dari hambatan hidup yang menyeksa ini.

Kongres Rakyat yang dianjurkan PAS bersama rakan-rakan NGO adalah satu permulaan yang baik betapa PAS bersama rakyat dalam hal ini. Ia perlu terus dilanjutkan dan disusuli dengan tindakan-tindakan yang positif dan proaktif.

Desakkan dan tekanan terhadap kerajaan perlu diteruskan selain mengemukakan cadangan dan jalan penyelesaian terbaik.

Dengan suasana ekonomi global yang masih belum pulih, kejatuhan harga ringgit dan kemerosotan harga minyak mentah dunia, himpitan kehidupan rakyat ini tidak nampak boleh dirawat melainkan langkah-langkah drastik dan berani terpaksa diambil khasnya oleh pihak kerajaan sendiri.

Dalam keadaan ini sudah pasti rakyat menunggu-nunggu bila akan kebah demam mereka, dan PAS yang berpotensi menjadi galang-ganti buat Umno dalam senario sebegini perlu ke hadapan berama rakyat untuk memastikan suara mereka diketengahkan selain meyakinkan mereka untuk menggunakan suara itu juga untuk menggantikan oengurus negara yang sudah terbukti gagal.

Jangan kecewa lempar mikrofon!!!

Rakyat bukan perlukan anarkis tetapi rakyat mahu penyelamat. Bangkit bekerja dan beri harapan kerana rakyat insyallah akan bersama kita. Islam penyelamat ummah.