Wednesday, November 13, 2013

Tuan Ibrahim, Salahuddin dan ........Naib Presiden PAS (13/11/13)

Selain jawatan Timbalan Presiden yang menyaksikan pertandingan sengit, 3 jawatan Naib Presiden PAS juga bakal menyaksikan saingan yang sengit.

5 calon bertanding merebut 3 jawatan dan kelima-lima merupakan calon yang memiliki keistimewaan dan kelebihan masing-masing. 3 Naib Presiden ini merupakan tiang-tiang seri kepada Presiden kiranya mereka memain peranan membantu dan menyokong Presiden dan Timbalannya maka akan semakin mantap dan teguhlah parti . Apabila parti mantap dan teguh maka cita-cita Islam semakin mudah terlaksana dengan izin Allah swt.


Walaubagaimanapun kiranya Naib-naib Presiden itu punya agenda tersendiri, bertindak sendirian tanpa tunduk pada pemimpin (dalam hal ini Presiden dan Timbalannya) maka bercelarulah bahtera PAS. Kerana itu para perwakilan perlu barhati-hati memilih pasukan yang merupakan pimpinan tertinggi parti ini. Kalau satu bahtera punya dua atau tiga nahkoda maka yang akan rugi adalah parti dan jamaah.
Saya sebelum ini menjangkakan salah seorang aktivis PAS, YB Ustaz Idris Ahmad akan menerima pencalonan dan bertanding jawatan ini. Beliau saya lihat seorang yang sangat konsisten dan istiqomah dalam perjuangan. Sejak dari berhenti jawatan pensyarah untuk bertanding PRK DUN Changkat Jering di Perak pada tahun 1997 (pada usia 37 tahun) beliau terus komited dalam parti, bertanding dan kalah beberapa pilihanraya lagi sehinggalah ditakdirkan Allah menang akhirnya di Parlimen Bukit Gantang.

Tidak ramai yang sangup berkorban dan berhabis-habisan untuk parti dan jamaah sebagaimana beliau. Beliau tidak pernah mencetuskan masalah malah tidak jemu-jemu menjelajah merata Negara memperkukuhkan jamaah demi kepentingan Islam dan perjuangan. Beliau yang saya tahu seorang yang tiada agenda peribadi.
Walaubagaimanapun beliau membuat keputusan menolak pencalonan Naib Presiden, dan sebaliknya menawarkan diri untuk jawatan AJK Pusat. Saya yakin dan mendoakan beliau akan beroleh antara undi terbanyak untuk jawatan itu nanti insyallah.

Jika Ustaz Idris bertanding saya jangkakan PAS bakal menyaksikan dua Naib Presiden baru, tetapi kerana penarikkan diri beliau saya kini tidak pasti tetapi sekadar meletakkan harapan pada dua calon yang saya lihat punya potensi untuk memain peranan sebagai Naib Presiden yang efektif  dan membantu memperkuatkan kedudukan Presiden.
Mereka adalah Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dan Sdr Salahuddin Ayob.

Tuan Ibrahim sebagaimana diketahui telah memperolehi pencalonan terbanyak untuk jawatan Timbalan Presiden, tetapi telah menarik diri dan sebaliknya menawarkan diri untuk jawatan nombor tiga ini. Saya membaca penarikkan diri beliau itu sebagai untuk memberi laluan kepada Ustaz Dato Nik Amar yang memilik latarbelakang yang sama dengan beliau dari segi akademik dan pendidikan.
Tuan Ibrahim sebelum ini adalah Ketua Penerangan PAS dan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau sebagaimana Ustaz Idris adalah bekas pensyarah UITM yang komited dan konsisten dalam perjuangan. Dengan latarbelakang dan pengalamnnya yang luas sudah pasti mampu memberi input dan manfaat yang banyak buat PAS selain membantu Presiden dalam menjalankan tugasnya.
Selain itu Tuan Ibrahim memiliki personaliti yang baik disegani dan disenangi ramai bukan hanya orang PAS tetapi juga rakyat kebanyakkan sehinggalah ke serambi Istana. PAS akan beroleh banyak manfaat apabila tokoh yang berwibawa dan disegani ini ditempatkan di kerusi Naib Presiden parti.

Sementara itu Sdr Salahuddin Ayob merupakan seorang lagi tokoh yang bermanfaat buat PAS. Saya bertuah kerana pernah duduk semeja dengan Almarhim Ustaz Yahya Othman dan Ustaz Hassan Shukri semasa hidup mereka dan mendengar kisah panjang lebar berkenaan Sdr Salahuddin, bagaimana beliau dikenal-pasti untuk menjadi pemimpin pemuda oleh tokoh-tokoh ulamak besar PAS ini sejak diusia mudanya.
Tak perlulah saya huraikan, cuma cukup sekadar menyatakan betapa dari pandangan mereka Salahuddin memiliki kualiti yang melayakkan beliau duduk sebagai pemimpin dalam PAS.

Dan terbukti dari jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat sehinggalah kini Naib Presiden Salahuddin dilihat sebagai “balanced” tidak condong dan cenderung pada mana-mana pihak atau puak tetapi istiqomah memartabatkan Islam dalam perjuangan.
Salahuddin yang saya kenali seorang yang sangat peramah, mudah mesra dengan yang tua atau muda. Beliau seorang yang baik akhlaknya, bersedia mendengar dan meraikan pandangan lain tidak emosi, tidak lantang tak bertempat, tidak mudah mencari musuh. Kerana itu barangkali Joceline Tan dalam ruangannya di akhbar The Star melabelkan beliau sebagai “Mr Koffi Anan” dalam PAS.

Beliau juga seorang yang tidak jemu menimba ilmu. Rajin membaca demi mempelbagaikan pengetahuan kerana itu apabila berbincang atau berbual dengan beliau, banyak pengetahuan yang boleh kita perolehi.
PAS perlukan seorang pemimpin yang seperti ini bagi membantu Presiden. Dalam perjuangan Islam mesti ada yang boleh diharapkan untuk berunding demi manfaat perjuangan, dan Salahuddinlah antara calon-calon Naib Presiden yang saya tahu paling layak memenuhi peranan itu.

Oleh itu bagi jawatan Naib Presiden PAS yang 3 ini, dengan pengunduran Ustaz Idris, saya cuma dapat mengharapkan agar Ustaz Dato Tuan Ibrahim dan Salahuddin Ayob dapat mengisi 2 antara 3 kekosongan itu.
Satu lagi terserahlah antara baki yang bertanding.

Semoga para perwakilan dapat membuat perhitungan terbaik dan menyusun satu saf kepimpinan yang mantap bernaungkan “Kepimpinan Ulamak” demi memartabatkan Islam di tanah air tercinta ini.

 

 

1 comment:

PP Greenclub said...

Tuan Man akan menang untuk mengimbangi tiga jawatan Naib Presiden.
Salahuddn Ayub dilihat sebagai salah seorang pemimpin yang disenangi semua pihak. Beliau akan dikekalkan.
Mahfoz Omar dapat mengekalkan jawatan, kekuatan beliau bertambah mantap setelah dilantik memimpin Pas Kedah.
Husam Musa mungkin dikenali umum sebagai pemimpin muda PAS, namun tidak disenangi oleh orang lama PAS. Bahkan pemilihan kali ini beliau akan kehilangan sokongan daripada perwakilan dari negerinya sendiri Kelantan. Kalah.
Abu Bakar Chik, mencuba nasib setelah Trengganu gagal menghantar wakil yang mengancam untuk jawatan tertinggi parti. walaupun tiada kelebihan, namun sokongan dari perwakilan boleh dibanggakan. Kalah.