Dalam posting saya yang terakhir “Ustaz Nik Amar – Timbalan Presiden” saya
menggariskan beberapa kualiti yang ada pada beliau yang menjadikan beliau calon
terbaik untuk diangkat sebagai pemimpin nombor dua tertinggi di dalam PAS dalam
Muktamar PAS minggu hadapan.
Ramai bloggers dan penulis-penulis baru dan veteran samada
melalui blog dan facebook atau artikel dalam portal berita tertentu turut
memain peranan mempromosi calon masing-masing. Ada yang saya perhatikan
terang-terang melanggar etika parti apabila bersahaja menyinggung dan
merendah-rendahkan lawan, mempromosi Sdr Mat Sabu tetapi dalam waktu yang sama
mengkritik dan menyerang Ustaz Nik Amar.
Dalam hal itu biarlah badan yang bertanggungjawab dalam PAS
menyiasat.
Apa pun yang hak tetap hak.
Sebenarnya diperingkat ini apa yang penting adalah untuk
masing-masing menonjolkan kualiti calon masing-masing (saya percaya calon-calon
sendiri, lantaran mereka calon dalam pemilihan parti, tidak pun sibuk
mempromosi dan menaja diri sendiri).
Ada pula yang menangguk di air keroh, kononnya apabila
Zulkifli Bakar dari Utusan Malaysia mempromosi Ustaz Nik Amar maka mendakwa
Umno menyokong Ustaz Nik Amar. Saya kira itu satu tuduhan nakal, dan tidak
seharusnya diguna sebagai bahan kempen kecuali kerana ada maksud jahat.
Teringat saya semasa Tuan Guru Presiden menjadi Ketua
Pembangkang di DUN Terengganu dalam penggal pertama beliau sebagai ADUN di awal
tahun 80an. Pihak penyokong kerajaan BN membawa isu surau (kelab) PAS yang
disambar petir di Terengganu di dalam Dewan. Mereka menggunakan insiden itu
sebagai hujah kononnya Allah tidak merestui perjuangan PAS kerana itu
diturunkan petir untuk menyambar bangunan PAS.
Apa balas Tuan Guru? Kata Tuan Guru, kalau begitulah hujah
wakil BN maka sekaligus menandakan bahawa rumah-rumah ibadat bukan Islam,
direstui oleh Allas wt kerana tiada pun gereja yang disambar petir, adakah ini
bermakna Allah restu pada gereja?!
Apa pun Utusan Malaysia kita akui akhbar Umno. Kalau kita
tahu agenda mereka kita pun semacam mereka. Kalau kita termakan lantaran mereka
mempromosi Ustaz Nik Amar, lalu kita dakwa Umno bersetuju dengan Ustaz Nik
Amar, maka kita pun sama menjerat diri terkena jerat Umno.
Malaysiakini, Malaysia Insider banyak mempromosi artikel
anti Hudud, pro LBGT, pro murtad, lalu apabila ada calon-calon yang bertanding dalam
pemilihan PAS dipromosi oleh portal-portal berita ini adakah bermakna
calon-calon PAS itu juga anti Hudud, pro LBGT, pro murtad?
Marilah kita berbaik sangka, yang penting kedua-dua calon
adalah aktivis PAS. Tugas para perwakilan nanti adalah memilih satu antara dua
yang sememangnya baik sebagai pilihan yang terbaik. Ini bukan pilihanraya umum
tetapi pemilihan parti.
Setelah saya menyenaraikan kualiti yang ada pada Ustaz Nik
Amar dalam posting terakhir saya, seorang pengunjung blog ini yang juga seorang
wakil rakyat PAS telah meminta saya mengulas pula isu yang digunakan terhadap
Ustaz Nik Amar. Kononnya beliau tidak popular dikalangan ahli (tidak terkenal).
Kononnya beliau jarang turun padang seluruh Malaysia.
Bagi saya kerana itu kita perlu beri peluang pada beliau.
Kualitinya kita telah tahu, latarbelakang pendidikan dan akademiknya kita tahu,
penglibatannya dalam parti kita telah tahu, lantas berilah peluang untuk beliau
berkhidmat diperingkat yang lebih tinggi.
Dr Burhanuddin al Helmi pada tahun 50an dahulu boleh
diangkat sebagai Presiden parti sedang beliau baru sahaja menyertai PAS, belum
pun naik pentas PAS, belum pun berjumpa ahli-ahli PAS, tetapi diberi amanah
oleh para perwakilan ketika itu kerana kualitinya.
Terbukti di Kelantan Ustaz Nik Amar telah melaksanakan
tugasnya dengan baik. Dari ahli Parlimen ke EXCO dan kini Timbalan Menteri
Besar. Kelantan adalah aset terbesar uat PAS, sebuah “Universiti Terbuka” kata
Mursyidul Am kita satu ketika dahulu. Ustaz Nik Amar terbukti telah lulus
cemerlang dalam Universiti Terbuka ini, kini dengan kelulusan cemerlang itu berilah
peluang beliau berkhidmat di peringkat yang lebih kanan dalam parti.
Saya yakin dengan kemampuan beliau diganding dengan
kemampuan yang sedia ada dan terbukti pada Tuan Guru Presiden kita, PAS bersama
sokongan dan dokongan serta doa ahli-ahli dan pengikutnya akan terus cemerlang
memartabatkan Islam di bumi tercinta ini.
Selain daripada itu ada juga yang mendakwa kononnya Ustaz
Nik Amar tidak membantu dalam hubungan dengan PR, benarkah begitu?
Saya sendiri tidak tahu menahu, tetapi yang berkata begitu
perlu mendatangkan bukti bukankah kita diajar begitu dalam Jemaah? Tidak adil
untuk menembak curi kerana ia suatu perlakuan yang tidak bertanggungjawab. Kita promosilah calon
kita tetapi jangan tembak atau pukul curi calon lain, kerana perbuatan
sebegitulah yang bakal menyamakan kita dengan lawan politik kita.
Bagi saya kedua-dua calon baik, kedua-dua calon punya harapan
dan cita-cita yang baik untuk memajukan parti dan Islam . Masalahnya kita cuma
ada satu kerusi untuk jawatan ini. Dan kita perlu memilih satu antara dua
mereka. Lalu ukurlah dengan adil, ukurlah dengan jiwa yang kasih dan sayang
pada nasib dan masa depan parti dan Islam.
Semoga para perwakilan yang mewakili hati dan jiwa PAS itu
akan diberi kekuatan dan hidayah oleh Allah swt untuk memilih yang terbaik
antara dua mereka.
All the best buat Abang Mat dan Ustaz Nik Amar, saya sekadar
memberi pandangan.
No comments:
Post a Comment