Tidak.
Tiada pertembungan antara ulamak dan professional dalam PAS
pada Muktamarnya kali ini.
Kerana PAS adalah sebuah gerakan Islam yang terkandung di
dalamnya ahli dari berbagai disiplin dan latarbelakang. Ulamak khasnya yang
berpendidikan agama samada dari luar Negara atau tempatan, mereka yang lulusan pendidikan
tinggi dari dalam atau luar Negara yang tidak berlatarbelakangkan pengajian
Islam, mereka yang memiliki kominasi keduanya, mereka yang berpendidikan
sederhana, orang kebanyakkan, peniaga kecil dan besar, petani, peneroka,
nelayan, kakitangan kerajaan dan swasta,
mereka semua ini mewakili ahli-ahli PAS di semua peringkat.
PAS adalah sebuah gerakan Islam lantas cenderung dan
mendukung Kepimpinan Ulamak adalah sesuatu yang “natural” atau lumrah dalam
parti. Kerana itu bagi saya semua dalam PAS seadanya selesa dengan “Kepimpinan
Ulamak”, lebih-lebih lagi rata-rata ahli-ahli PAS melalui proses tarbiyah dari
peringkat akar umbi, kesemuanya di bawah tangan ulamak.
Isunya di sini adalah pertandingan jawatan tertinggi
peringkat parti.
Amalan membenarkan pertandingan dari kalangan ahli-ahli yang
kawasan-kawasan fikirkan layak. Lalu apabila berlaku tahun pemilihan maka
tercetuslah pertandingan menurut kehendak kawasan-kawasan.
Bagi jawatan Presiden contohnya, rata-rata kawasan menerima
dan mengiktiraf sekali lagi Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang yang kebetulan dari
kelompok ulamak sebagai pemimpin nombor satu parti.
Kali ini bagi jawatan nombor dua dan nombor tiga serta
ahli-ahli jawatankuasa Agung akan berlaku pertandingan. Maka biarlah
bertanding, pokoknya kita mahu cari yang terbaik antara yang baik-baik.
Semuanya mahu kepada Islam, semuanya punya cita-cita menegakkan Negara Islam,
jika tidak bukan tempatnya mereka berada dalam PAS.
Mungkin kelihatan samada secara terancang ataupun tidak
kewujudan dua kelompok dalam pertandingan kali ini. Bagi saya dua tiga atau
berapa puluh sekalipun ianya tidak menjadi masalah asalkan proses kempen dan
pemilihan berjalan menurut tertib yang telah diputuskan paling penting akhlak
dan syaksiyah Islam terpelihara.
Lalu dilontarkanlah kononnya dalam pemilihan kali ini berlaku
pertandingan antara golongan Ulamak vs Profesional.
Betulkah begitu?
Adakah kerana calon-calon bagi jawatan nombor dua seorang
ulamak dan seorang bukan ulamak lalu kita label ia pertandingan Ulamak vs
Profesional? Memang yang berlawan kebetulan seorang ulamak dan seorang bukan
ulamak, lantas kalau mahu dilabel begitu, begitulah. Anehnya dalam pemilihan
sebelum ini apabila dua ulamak bertanding melawan seorang bukan ulamak, tidak
pula dipanggil Ulamak vs Profesional.
Apa pun kali ini secara jujur memang kelihatan wujud dua
kumpulan tetapi ia bukan Ulamak vs Profesional sebab masing-masing kumpulan
kelihatan mempunyai calon campuran dari kedua-duanya, mungkin satu lebih dari
yang lain tetapi untuk menyatakan ia mutlak Ulamak vs Profesional adalah tidak
benar.
Dalam blog ini sebelumnya saya sudah pun menyatakan
kecenderungan saya.Saya senang jika Ustaz Dato Nik Amar diangkat sebagai
Timbalan Presiden begitu juga Dato Tuan Ibrahim serta Salahuddin Ayub sebagai
Naib-naib. Jika sebelum ini saya tiada pilihan untuk ketiga, setelah
diamat-amati saya memilih Ustaz Dato Abu Bakar Chik sebagai Naib ketiga,
bukankah itu campuran Ulamak dan Profesional?
Bagi AJK Pusat pula saya cenderung dengan: YB Ustaz Nasruddin
Hassan, YB Ustaz Nik Abduh, YB Tuan Hj Iskandar Samad, YB Dato Ir Amiruddin, YB
Dr Khairuddin Takiri, YB Ustaz Idris Ahmad, Mazlan Aliman, Dr Rosni Adam, Ustaz
Zaharuddin Mohamad, Dr Riduan Mohd Nor, Dr Muhaimin Sulam, YB Ustaz Abdullah
Hussin, Ustaz Nik Zawawi, Ustaz Mokhtar Senik, Hj Razman Zakaria, Ustazah
Nuridah Salleh, Mohd Suhaimi Embong dan Ustaz Norazli Musa.
Kecenderungan saya jelas kombinasi mantap Ulamak dan
Profesional, masing-masing teguh mendukung Kepimpinan Ulamak dan sedia membawa
arus perubahan dalam PAS menurut cita-cita perjuangannya yang ada. Siapa yang
berkongsi cenderung boleh terima yang tidak boleh “Kekal” terpulanglah.
Saya yakin apa pun kesudahan pemilihan ini kelak, keputusan
akhirnya nanti akan diterima oleh semua dengan hati yang lapang dan terbuka
khasnya oleh yang menang dan kalah. PAS kita doa siapa pun menang kekal sebagai
sebuah parti Islam tidak berganjak dan terus kukuh berada di atas landasan
mengejar cita-cita dan matlamat perjuangan yang jelas termaktub dalam
perlembagaannya.
Takbir.
No comments:
Post a Comment