Bersatu memperteguhkan PR Selangor
Semalam Badan Perhubungan PAS Selangor telah mengadakan mesyuarat bulanannya. Saya tidak berhasrat menyatakan apa yang dibincangkan di dalamnya kerana ia rahsia parti. Tetapi apa yang menarik adalah selepas bersurai, masing-masing ahli perhubungan yang sempat saya jumpa menyatakan komitmen masing-masing untuk terus melihat ke hadapan dan bekerja untuk parti. Kita tidak seharusnya membuang masa tetapi sebaliknya memberi tumpuan ke arah meneguhkan jemaah dan memperkasakan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.
Saya yakin dengan komitmen penuh semua peringkat pimpinan dalam parti, PAS akan mampu memperteguhkan kerusi-kerusi miliknya selain menjangkau jauh untuk menawan lebih banyak kerusi-kerusi yang ia tewas sebelum ini.
Yang pentingnya jemaah ini perlu berpadu, sokong-menyokong sesama kita dan bersatu menghadapi musuh bersama.
Siang tadi saya dan rakan-rakan mewakili jentera penerangan PAS, bertemu dengan jentera penerangan PKR dan DAP negeri. Persidangan julung-julung kali jentera penerangan PR Selangor berjaya diadakan. Kami bersepakat menubuhkan secretariat Penerangan PR Selangor yang akan bergerak menyelaras dan mengurus urusan penerangan PR peringkat negeri Selangor.
Sekarang bukan masanya untuk mencari perbezaan, sekarang masanya untuk mengenal-pasti persamaan, dan bergerak atas dasar persamaan itu untuk meyakinkan rakyat khasnya di Selangor ini bahawa kerajaan PR Selangor perlu kekal memerintah dan dipekasakan lagi pada PRU yang mendatang.
Gerak kerja telah disusun dan secretariat yang ditubuhkan insyallah akan dilancarkan secara rasmi oleh ketiga-tiga pimpinan negeri pada hujung tahun ini.
Kesimpulannya kami mahu beri isyarat pada BN, bahawa PR Selangor sudah bersedia bersatu menghadapi mereka. Awas, kersui milik anda bakal kami tawan termasuklah Pelabuhan Kelang yang dicuri secara kotor dari kami itu.
No comments:
Post a Comment