Salam Idul Fitri buat semua
Masuk bersinar bulan Syawal bersamanya terpancar kegembiraan dan kejayaan. Bersuka-sukalah insan yang bertaqwa, hari ini adalah hari kemenangan, hari ini adalah hari kejayaan. Lantas berkumandanglah segenap pelusuk dunia lafaz kesyukuran, lafaz keinsafan, hamba-hamba yang soleh menzahirkan ikrar dan kepatuhan, bertakbir, bertahlil dan bertahmid:
Allahuakbar walillah hil hamd
Dalam kegembiraan ini kita melihat penuh sayu melangkah keluar Ramadhan, yang telah menguji dan melatih kita sepanjang bulan. Berjayalah mereka yang telah memuliakan, memartabatkan dan memanfaatkannya. Mungkinkah kita ketemu Ramadhan lagi pada tahun yang mendatang?
Saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan sempena Idul Fitri yang mulia ini untuk menyampaikan salam Idul Fitri kepada semua sahabat-sahabat, rakan dan taulan. Saya menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf di atas sebarang kesalahan, kesilapan dan kekurangan sepanjang tahun yang lalu. Semoga Allah swt mengurniakan kita semua kekuatan untuk menempuh hari-hari seterusnya sebagai insan mukmin yang bertaqwa yang memberi manfaat kepada ummah dan perjuangan.
Terima kasih kepada semua kad-kad Hari Raya, email dan sms dari Tuan-tuan semua. Salah satu yang ingin saya perturunkan di sini berbunyi:
“Ya Allah Ya Tuhan ku, sempurna Syawal ini, aku berdoa agar Engkau muliakanlah saudaraku ini, terimalah segala amalannya, jadikanlah saudaraku ini dari golongan orang-orang yang dirahmati oleh Mu dan selamatkanlah ia di dunia dan di akhirat, Amin.”
Selamat berhari raya, jangan lupa kedua orang ibu-bapa kita samada yang masih hidup mahu pun yang telah pergi, jangan lupa isteri kita yang telah berbakti sepanjang Ramadhan dan sepanjang hidupnya bersama kita, doakanlah kejayaan buat Islam dan perjuangannya. Berhati-hati ketika pulang ke kampung semoga selamat sampai dan selamat kembali nanti.
Selamat Hari Raya Idul Fitri Maaf Zahir dan Batin.
1 comment:
Salam aidil fitri !
Allah huakbar allah huakbar 7x .
Kemenangan sebulan dibulan ramadhan melawan nafsu dengan menahan diri dari lapar dan dahaga disamping menjauhkan diri daripada perkara perkara yang bolih merosakkan amalan berpuasa telah pun disempurnakan secara cukup olih para muslimin dan muslimat makanya hari ini kita sama sama menyambutnya dengan penuh bangga dan girang akan kemenangan tersebut.
Bagi yang berkemampuan akan menyambutnya dengan memakai pakaian serba baru dan bagi yang berkeluarga besar sudah tentu banyak belanja yang perlu dikeluarkan termasuklah juadah serta kuih muih hari raya. Alhamdulillah dibulan ini juga ramai insan insan yang sudi menyumbang untuk keluarga keluarga yang kurang bernasib baik tersebut,terima kasih kita ucapkan!inilah satu kelebihan pada orang islam kerana mereka percaya setiap amalan kebajikan yang dicurahkan pasti akan dibalas olih Allah S.W.T,itulah seruan agama kepada orang islam sebenarnya bagi mereka mereka yang mengtahui lagi beriman dengannya.
walau bagaimana pun kepada mereka yang kehilangnan ahli keluarga akibat kemalangan jalan raya dan lain lain musibah kita mengucapkan tahziah kepada keluarga mereka, yang pergi tetap pergi yang tinggal tetap mesti mahu merempuh liku liku kehidupan seperti biasa, jesteru itu kita mengharapkan mereka ini banyak banyak bersabar dengan apa yang telah ditakdirkan itu dan cuba kita hindari dari terus berlaku untuk masa masa yang mendatang.sesungguhnya setiap sesuatu kejadian itu ada hikmah yang tersendiri dimana kita sendiri tidak tahu apa yang tersembunyi disebaliknya.Olih yang demikian marilah kita sama sama berdoa agar kita dijauhkan dari sekian mala petaka yang tidak mampu kita hadapi.....amim ya rabbal aalamim!
Tok ayah su-mengucapkan selamat hari lebaran aidil fitri kepada sesiapa yang mengenali diri ini,maaf zahir dan batin...!
Post a Comment