Insiden anak Raja dipukul anak Raja: Dimanakah Tun Perak?
Saya ingat kerja-kerja memukul orang ini hanya berlaku dikalangan samseng, pihak berkuasa pun ada dilaporkan memukul, membelasah dan menerajang orang. Di Batu Buruk, Terengganu sampai menembak orang. Tetapi rupa-rupanya golongan bangsawan pun ada juga begitu dan tidak terkecuali.
Berita terkini di MStar dan The Star Online melaporkan darihal aduan Tunku Nadzimuddin cucu kepada almarhum Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Jaafar, bahawa beliau pernah dipukul oleh seorang kerabat di Raja Johor sehingga berdarah. Laporan polis telah dibuat dan insiden berlaku kira-kira setahun lalu namun samapi kini tiada tindakan diambil terhadap anak Raja berkenaan.
Dalam laporan yang diberikan itu disebut bahawa anak Raja Johor itu adalah Raja Muda Johor Tunku Ismail Idris Abdul Majid atau Tunku Majid.
Memanglah perkara ini perlu disiasat dan seseorang itu dianggap tidak bersalah sehinggalah didapati bersalah. Cumanya kalau ditinjau kedudukan anak Raja berkenaan iaitu Raja Muda Johor, bermakna beliau ada hak untuk mewarisi takhta Johor. Tidakkah itu menakutkan?
Teringat saya kisah sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Kisah anak Bendahara Seri Paduka Raja Tun Perak iaitu Tun Besar yang mati ditikam oleh anakanda Sultan Mansur Shah iaitu Raja Muhammad. Tun Besar mati ditikam angkara marahnya Raja Muhammad apabila secara tidak sengaja bola raga yang disepak oleh Tun Besar terkena kepala Raja Muhammad lalu terjatuh dastarnya. Raja Muhammad kebetulan menunggang kuda ditempat kejadian.
Apa kata Bendehara Tun Perak apabila anak-anak muda Melaka mahu bangkit menuntut bela kematian Tun Besar:
Hai!Hai! Hendak derhakakah kamu sekalian? Hendak derhakakah? Ceh! Kamu sekalian! Ceh! Kerana tiada adat; hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi janganlah kita bertuankan anak Raja seorang ini
Walaupun Raja Muhammad tidak dihukum balas namun dari kenyataan Bendahara Tun Perak itu segera Sultan Mansur menitahkan agar anakandanya keluar dari bumi Melaka dan tidaklah Raja Muhammad layak mewarisi takhta kesultanan Melaka. Kerana insiden itu Tun Perak diberikan gelaran Pelantik Raja.
Mungkin dalam kes Johor tentang Negeri Sembilan ini kita perlukan seorang Tun Perak. Dimanakah Tun Perak?
1 comment:
Tun Perak sekarang masih hidup, namanya " Perlembagaan Malaysia " ..
Post a Comment