Monday, July 09, 2007

Apabila Pemuda Umno dirasuk

Kecoh satu Malaya apabila Tian Chua menerbitkan apa yang dikatakan gambar Najib, Razak Baginda dan mendiang Altantuya di blognya. Ini berlaku walaupun siapa sahaja yang melihat gambar itu akan akur bahawa ianya gambar yang direka-reka dan memang sebagaimana diterangkan oleh Tian Chua itulah pun maksudnya, satu bahan satira.

Tetapi kewujudan gambar sebenar trio itu bukannya satira. Seorang saksi dalam kes bunuh mendiang Altantuya iaitu Amy telah menyatakan bahawa beliau pernah melihat gambar itu dan mengecam Najib sebagai salah seorang dalam gambar tersebut. Malangnya mahkamah tidak minta supaya gambar itu (jika ada) dikemukakan sebagai bahan bukti.





Kerana itulah Tian Chua membawa gambar bikinannya ke tengah masyarakat, maksudnya kalau gambar beliau itu yang jelas direka-reka adalah palsu, maka manakah gambar sebenarnya?

(Teringat saya kerja-kerja Umno dan BN menyebarkan gambar Ku Li kononnya bertengolok salib semasa Pilihanraya Umum 1990 dahulu, terdapat satu risalah BN di kawasan saya ketika itu siap dengan dailognya (kononnya Tengku Razaleigh berkata): Ya Tuhan Jesus selamatkanlah Malaysia!)

Maka terpekik-terlolonglah para hulubalang Umno termasuklah Ketua Pemuda, Naib dan juak-juaknya, meminta supaya tindakan diambil terhadap Tian kerana menghina pemimpin negara. Baguslah tu kerana masing-masing mahu mempertahankan pemimpin mereka yang mereka kasihi, tidak kiralah samada wujud atau tidak gambar sebenarnya.

Tetapi yang paling malang adalah apabila Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Norza Zakaria, yang saya kira mahu menunjukkan yang kokoknya yang paling kuat (agakanya lagi kuat kokok lagi tebal poketnya nanti), mendesak supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA digunakan terhadap penulis blog yang kononnya biadap terhadap pemimpin negara!
Sejak bila pula berlaku biadap terhadap pemimpin negara, contohnya gambar trio Tian itu, merupakan ancaman kepada keselamatan negara?

Inilah akibatnya apabila Umno dah naik Sheih (bukan Sheih Kickdefella) habis dibolos dan diterajahnya. Beringat-ingatlah sikit, kita ni kan dah hampir 50 tahun Merdeka. Negarakan mendaulatakan undang-undang, siapa sahaja yang disyaki bersalah perlu di bawa ke mahkamah untuk diadili, atau kita sudah melupuskan semua amalan itu semata-mata kerana Najib disakiti oleh gambar trio ini?
Menteri korap, Dollah belum baca laporan

Dari Jumaat ke Jumaat, pada Jumaat 29 Jun lalu Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi atau GERAK Sdr Ezam M Nor telah menyerahkan memorandum 600 mukasurat ke Pejabat Perdana Menteri berkenaan rasuah dan salah-laku seorang Menteri Kabinet dari Umno. Ezam memaklumkan para pemberita ketika itu bahawa beliau memberi masa seminggu untuk Perdana Menteri menelaah memo tersebut dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Apabila pemberita bertanya beliau apakah tindakan sewajarnya yang perlu diambil, kata Ezam, tangkap dan siasat Menteri berkenaan.

Hari ini 9 Julai 2007, genap 10 hari memo tersebut diserahkan ke Pejabat Dollah. Akhbar THE SUN hari ini melaporkan bahawa Dollah semasa di Pulau Pinang semalam memaklumkan pemberita:

I have been told about it. I will read it. Whatever they gave I will read.

Saya telah dimaklumkan berkenaannya. Saya akan baca. Apa sahaja yang diserahkan saya akan baca.

Begitukah sikap Perdana Menteri yang telah mengisytiharkan perang terhadap rasuah?
Sebenarnya Dollah tak perlu pun membaca memo setebal 600 muka itu, sepatutnya pegawainya yang membaca dan menyerahkan ringkasan kepadanya, kenapa ini tidak dilakukan? Kalau nak tunggu Dollah baca kesemuanya, berapa lama pula masa yang akan diambil?

Mengapa dalam kes Ketua Pengarah BPR dahulu apabila Ezam mengemukakan laporannya, terus sahaja tindakan diambil? Mengapa dalam kes ini PM yang kononnya Pahlawan Anti Rasuah seolah tidak ambil peduli?

Rakyat yang prihatin menunggu-nunggu penafian atau tindakan dari Dollah. Yang dituduh terlibat adalah seorang yang bertaraf Menteri, bukannya calang-calang jawatan. Oleh itu tindakan segera perlu diambil. Dollah perlu berikan responnya, adakah benar atau sebaliknya. Jika tidak benar, ambil sahaja tindakan terhadap Sdr Ezam, tetapi jika berasas, apakah yang agaknya Dollah akan lakukan?

Saturday, July 07, 2007

Siapa yang kita mahu dengar?

Baru sehari lepas DYTM Raja Muda Perak semasa meresmikan Muzakarah Ulamak 2007 di Ipoh, Perak menitahkan agar Ulamak memainkan peranan yang lebih proaktif termasuklah menyata dan melaksanakan kebenaran tanpa prejudis atau bimbang pada tekanan mana-mana pihak.

Titah Raja Muda itu lagi:

Ulamak mestilah menghayati nilai-nilai Islam, iaitu bebas dari rasuah, sentiasa jujur. Menghormati cerdik pandai dan MENGHUKUM MEREKA YANG BERSALAH WALAUPUN SUKAR.

Pada hari yang sama berita itu terbit akhbar tempatan melaporkan pihak Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) telah menahan seorang penghibur Siti Noor Idayu Abd Moin, 22 kerana mendedahkan tubuh ketika membuat satu persembahan dan menggalakkan aktiviti tidak bermoral di tempat kerjanya di Pusat Hiburan di Sunway City.

Dalam laporan itu Siti mendakwa bahawa dia hanya memakai baju tidak berlengan dan seluar panjang ketika pegawai-pegawai JAIP membuat serbuan itu. Beliau turut mendakwa dikasari oleh pihak penguatkuasa JAIP tersebut.


Pada hari ini akhbar THE STAR melaporkan yang Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria (yang barangkali mengambil semangat titah DYTM Raja Muda itu) telah menegaskan bahawa adalah HARAM (dan berdosa) bagi mana-mana orang Islam samada lelaki atau wanita bekerja di tempay yang menghidangkan arak kerana mereka dianggap bersubahat dalam aktiviti HARAM itu. Ini melibatkan semua jawatan termasuklah kerani atau juruwang.



Siti Noor Idayu dan pakaiannya



Dan dalam kes Siti ini kata Mufti tersebut lagi walaupun jika ibu-bapanya memberikan kebenaran untuk beliau bekerja di premis seumpama ini ianya tetap HARAM (dan berdosa). Tambahnya:

Jika ibu-bapa anda mengizinkan anda memandu 120kmj di lebuhraya, adakah anda berhak melakukan itu?

Kalau kita benar mahu memberikan peranan kepada para Ulamak, memartabatkan agama yang kita cintai ini maka sewajarnyalah pandangan Ulamak seumpama ini yang bersandarkan nas dituruti dan dipatuhi.Kalau Mufti sudah mengesahkan yang bekerja samada sebagai penghibur, pelayan, juruwang atau apa sahaja dalam premis yang seumpama ini HARAM maka terimalah hakikat itu tanpa sebarang alasan (kebetulan Nash, Timbalan Presiden KARYAWANA dan Sisters in Islam mengeluarkan kenyataan yang ternyata tidak seiring dengan kenyataan Mufti Perak ini).

Saya kira Mufti Perak juga perlu menyentuh mereka yang mencari rezeki dan bekerja di premis dan syarikat judi, yang juga menggajikan ramai kakitangan beragama Islam. Begitu juga pemegang saham dan pengarah syarikat arak dan judi ini. Kebetulan juga seorang anak Perak yang bergelar TUN merupakan Pengarah Kanan sebuah syarikat gergasi judi di Malaysia, beliau juga perlu dinasihati sebagaimana Siti ini.
Masih adakah yang mahu mempertahankan Islam?

Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam menolak permohonan V.Suresh untuk mendapatkan perintah HABEAS CORPUS bagi membebaskan isterinya Siti Fatimah Abdul Karim (yang nama Hindunya adalah M. Revathi) dari tahanan di Pusat Pemurnian Akidah, Baitul Aman di Batang Kali, Selangor. Hakim Datuk Su Giok Yam menolak permohonan itu yang dikemukakan oleh peguam Karpal Singh atas alasan Siti Fatimah telah pun dibebaskan dari Pusat tersebut.

Pada 23 Jun 2006 Siti Fatimah telah mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka untuk keluar dari Islam dan menukar namanya dari nama Islam ke nama Hindunya atas alasan beliau tidak lagi menganut Islam, telah berkahwin dengan V. Suresh menurut agama Hindu dan kini mempunyai seorang anak Diviya Dharhini hasil dari perkahwinan itu.

Mahkamah walaubagaimanapun telah mengeluarkan perintah menahan Siti Fatimah untuk 100 hari mulai 8 Januari tahun ini (dan kemudiannya dilanjutkan ke 80 hari lagi) di Pusat berkenaan dan perintah tersebut disahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor yang diberi kuasa ke atas responden memandangkan Pusat tersebut berada di Selangor.

gambar terkini Fatimah dan anak
dari laman web Malaysiakini

Perintah tahanan ini telah mendapat liputan hangat media bukan Melayu termasuklah media antarabangsa.

Menurut turutan kesnya Siti Fatimah lahir dalam sebuah keluarga Muslim dan dibesarkan mengikut ajaran Islam oleh ibu-bapa kandungnya. Pada tahun 2004 beliau telah lari dari rumah dan berkahwin dengan Suresh.

Semalam juga Siti Fatimah telah dibawa ke Mahkamah Syariah Melaka yang telah membebaskan beliau dengan syarat beliau dan anaknya mestilah tinggal bersama ibu-bapa kandungnya dan tidak boleh lagi tinggal dengan suaminya yang beragama Hindu.

Akhbar Utusan Malaysia meletakkan berita ini di muka 13 tanpa menyebut perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariha Melaka sedangkan saya merasakan kes ini sangat besar khasnya terhadap umat Islam dan sepatutnya akhbar tersebut meletakkan berita ini di muka hadapan dan melaporkan dengan secara terperinci perkembangan ini agar menjadi iktibar dan pengajaran kepada umat Islam.

Saya katakan demikian kerana laman web Malaysiakini bukan sekadar melaporkan kes ini, malah menonjolkan bahawa Siti Fatimah jelas terus menantang usaha untuk mengembalikannya kepada Islam. Beliau kelihatan dalam beberapa gambar yang dipaparkan oleh laman web ini, mengenakan pottu (tanda merah di dahi) dan demikian juga anak kecilnya, saya kira bagi membuktikan yang beliau masih penganut Hindu!

Jika sesiapa berkesempatan menonton klip video yang disertakan oleh laman web ini jelas walaupun telah lebih 180 hari berada di pusat pemulihan akidah itu, ternyata kakitangan di pusat berkenaan gagal menyelamatkan akidah Siti Fatimah. Dalam video berkenaan, antara dailog yang boleh saya ketengahkan di sini:

Wartawan: Tiap-tiap hari buat apa di sana?
Fatimah: Hari-hari kalau nak katakan ikut agama Islam, memang dia orang buat ajaran agama Islam, tapi saya tidak pernah ikut, tidak pernah ikut langsung satu pun

Wartawan: Punca masalah ditahan, siapa yang buat aduan?
Fatimah: Tidak ada orang buat aduan, saya minta permohonan menukar nama saya dan agama saya dekat mahkamah syariah. Saya buat permohonan.

Wartawan: sekarang dalam IC nama Ravathi nama Islam?
Fatimah: Saya nak gugurkan nama itu

(Untuk makluman Fatimah fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia)

Di Mahkamah Tinggi semalam wakil dari Majlis Perundingan Agama Hindu, Sikh, Buddha dan Kristian turut berada di mahkamah.

Perkembangan ini sudah pasti mencetuskan kebimbangan dihati sebahagian besar umat Islam, sejauh manakah kemampuan pihak berkuasa agama kita dalam membela dan mempertahankan aqidah umat Islam? Apa yang berlaku di Shah Alam semalam sudha pasti dianggap oleh masyarakat bukan Islam sebagai menyekat kebebasan mereka dan menggambarkan seolah Islam itu zalim dan memporak-perandakan rumahtangga orang.

Saya menyeru para ulamak, pihak berkuasa agama agar melihat balik keberkesanan program pemurnian aqidahnya. Jika perlu ditukar dan digantikan para pegawai dan kaunselor dengan yang lebih baik dan terlatih, amka segeralah lakukan. Jangan kerana kelemahan dan kekurangan kita kelak Islam dilihat sebagai agama yang boleh dipermainkan.

Perkembangan kes Siti Fatimah atau Ravathi ini menuntut semua pihak khususnya pemimpin-pemimpin masyarakat Islam agar lebih peka dan memikirkan bagaimana usaha yang paling berkesan untuk bertindak dalam suasana seumpama ini. Kita mahu mempertahankan aqidah penganut Islam tetapi dalam waktu yang sama kita perlu memikirkan bagaimana mengelakkan tindakan kita itu dianggap dan dieksploitasi sebagai usaha untuk menyekat kebebasan rakyat.

Kalau dalam hal mempertahankan nasib dan masadepan sekolah dan bahasa Cina, para pimpinan masyarakat Cina dari MCA, Gerakan dan DAP boleh duduk berunding semeja dan bersetuju serta membuat tuntutan bersama saya tidak nampak mengapa dalam hal sebesar dan sepenting ini pimpinan politik Melayu dari PAS dan Umno tidak boleh duduk bersama dan dilibatkan sekali Raja-raja Melayu dan para Mufti serta NGO Islam.

Kalau dalam hal Malayan Union tahun 1946 dahulu orang-orang Melayu boleh bangun memberikan tekanan mengapa dalam hal akidah seumpama ini kita lesu dan membisu?

Friday, July 06, 2007

Kertas songsang dari Pengerusi Bernama

Semasa menaiki komuter dalam perjalanan ke tempat kerja pagi tadi saya tersenyum keseorangan apabila membaca satu berita kecil dalam akhbar The Sun hari ini. Tajuk beritanya:

BERNAMA Head: Truthful reporting necessary

Ianya melaporkan kenyataan Pengerusi agensi berita nasional BERNAMA Datuk Mohd Annuar Zaini ketika membentangkan kertasnya dalam Muzakarh Ulamak 2007 di Ipoh semalam. Kertasnya bertajuk: Peranan Media Sejak Kemerdekaan, Sejarah dan Strategi Masadepan.

Yang membuatkan saya tersenyum dan ketawa kecil dalam hati apabila akhbar tersebut memetik Annuar sebagai berkata bahawa laporan berdasarkan prinsip kebenaran, keadilan dan ketepatan tanpa buruk sangka adalah penting bagi menjamin integriti pihak media. Kata beliau lagi media merupakan alat penting dalam mempertahankan prinsip keadilan dan sebagai juruodit ketelusan, oleh itu peranannya tidak septut disekat tetapi terus diberi galakkan
Dan tambah beliau lagi rasuah, penyalahgunaan kuasa, amalan yang tidak telus, perlaksanaan undang-undang yang lemah kesemuanya mesti didedahkan agar tidak ada lagi kezaliman dan penindasan.

Saya tidak pasti apakah reaksi para peserta muzakarah di Ipoh itu terhadap kenyataan Zaini, tetapi saya membaca rasa terhibur. Mengapa? Kerana apa yang diperkatakan oleh Pengerusi agensi berita tersohor dalam negara itu sebenarnya cantik sekadar di atas kertas dan tidak lebih dari itu. Di luar sini apa yang kita lihat sebenarnya menyongsang dari apa yang diutarakan Annuar itu. Lantas saya terhibur kerana rupanya ada juga insan yang bersedia berlakon hatta di hadapan para ulamak dan ahli fikir agama!

Realitinya di luar sini semuanya tersekat, semuanya terkekang dan semuanya terhimpit. Saya ambil contoh terdekat, isu tuntutan gaji minima MTUC. Sepatutnya media yang bermaruah akan memberi ruang kepada pihak MTUC yang mewakili ratusan ribu dari jutaan tenaga kerja swasta itu. Tanpa prejudis mereka sepatutnya berani memberi ruang kepada para pekerja untuk bersuara, menyatakan mengapa tuntutan ini padan dan kena pada waktunya. Tetapi, bagaimana reaksi media saluran perdana kita?

Serangan dari Menteri Sumber Manusia dan Timbalannya terhadap MTUC diberi ruang. Individu tertentu yang kononnya tidak berpuasa hati dengan tuntutan MTUC diberikan tempat. MTUC berpiket dikatakan mengugut kerajaan, anti keamanan dan sebagainya. Inikah media yang sebagaimana Annuar perkatakan itu?

Jumaat lepas, kini masuk seminggu, Pengerusi GERAK (Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi) Sdr Ezam M Nor menyerahkan laporan beratus muka tebalnya kepada Pejabat PM berhubung seorang Menteri Kabinet yang dikatakan telah menyonglap wang untuk kepentingan peribadinya. Laporan terhadap seorang Menteri Kabinet! Tetapi apa reaksi media, senyap. Saya difahamkan satu GAG ORDER dikeluarkan oleh pihak atasan (mungkin dari Tingkat 4, bukan Pejabat PAS tetapi Tingkat 4 Putrajaya)agar media arus perdana membisu terhadap isu ini. Langsung songsang dari apa yang Annuar hujahkan itu.

Banyak lagi contoh yang boleh mengakibatkan tergeliat jari saya jika terus menaip, tetapi demikianlah realitinya. Kerana itu rakyat beralih kemedia alternatif. Rakyat beralih ke laman web dan blog, beralih ke web tv dan seumpamanya, semuanya kerana apa yang Annuar perkatakan itu tidak wujud di negara kita.

Saya mungkin tersenyum anda bagaimana?

Thursday, July 05, 2007

Keng Yaik mahu kita semua bersikap terbuka

Baru semalam kita membincangkan topik Dasar Ekonomi Baru dalam blog ini. Betapa DEB yang bermatlamat membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat itu dari segi asasnya penting dan perlu tetapi dari segi perlaksanaannya kelihatan tempang dan banyak berlaku kepincangan.

Dasar ini merupakan BIKINAN Barisan Nasional, dan sudah pastilah BN perlu bertanggungjawab terhadap bentuk dan perlaksanaannya. Jika dasar ini melihat yang masyarakat Bumiputera perlu dibantu sehingga mencapai pemilikan ekuiti sebanyak 30% umpamanya maka seharusnya pembikin dasar tadi setuju dan menerimanya sebulat suara.

Parti-parti pembangkang PAS, DAP dan PKR mungkin mempunyai pendekatan berbeza mengenai DEB ini. Ada yang mungkin tidak bersetuju sama-sekali, ada yang mahu ianya dilaksanakan dalam bentuk baru dan berbagai lagi. Itu nada parti pembangkang, dan layaklah mereka berpendirian demikian memandangkan DEB ini bukan bikinan mereka.

Tetapi apabila terdapat komponan BN sendiri yang ragu, yang sangsi malah mengkritiknya, maka jelaslah perpaduan yang BN bangga-banggakan itu mula diragui.


Semalam semasa merasmikan ulang tahun pertama Gerakan White Coffee Talk dan Forum Awam di KL Penasihat Parti Gerakan Dr Lim Keng Yaik telah mengesyorkan agar isu-isu sensitif yang membabitkan agama, budaya dan politik termasuk DEB dibincangkan secara terbuka. Ini membuktikan Gerakan dan saya percaya MCA dan MIC juga tidak senang dengan DEB.

Bagaimana Umno selaku tunggak BN mahu mempertahankan DEB ini sekiranya sesama komponannya sendiri mengkritik dan menolaknya?

Mungkin Umno perlu mengkaji semula sikap dan pendirian rakan-rakanya yang sejak akhir-akhir ini menjadi semakin bongkak dan besar kepala.

Sehubungan ini cuba kita lihat yang Keng Yaik juga mahu agar isu agama dibincang secara terbuka. Bukankah Keng Yaik salah seorang Menteri bukan Islam dalam komponan BN yang telah mengirim memo bantahan kepada PM berkenaan isu Artikel 11satu ketika dahulu yang menyokong penubuhan IFC?

Saya secara peribadi mengalu-alukan perbahasan dan perbincangan terbuka rakyat Malaysia berkenaan isu-isu budaya dan politik serta ekonomi termasuklah DEB, tetapi isu agama adalah terlalu sensitif dalam negara kita ini. Biarlah contohnya masyarakat Islam sesama masyarakat Islam membincang isu agama mereka, sebagaimana juga penganut Krisitian, Hindu, Buddha dan lain-lain pada agama mereka masing-masing.

Saya yakin orang-orang Melayu/Islam tidak redha dan bersedia untuk berbincang secara terbuka hal-ehwal dan amalan agama mereka sebagaimana yang disyorkan itu. Kalau mahu mengenali Islam, memang terdapat forum-forum sedemikian, tetapi jika mahu memotong dan menghiris-hiris Islam untuk diselongkar dan disesuaikan dengan tuntutan masyarakat bukan Islam, supaya ia selaras kononnya denga hak asasi dan seumpamanya, saya kira ianya suatu yang melampau yang tidak akan dapat diterima.

Wednesday, July 04, 2007

Saksi yang teruk diburu jurugambar

Semalam semasa menonton Buletin Utama di TV3 saya terpaku melihat bagaimana Lans Koperal Rohaniza Roslan diperlakukan oleh jurugambar semasa beliau keluar dan masuk ke mahkamah Tinggi di Shah Alam termasuklah oleh jurukamera TV3.






Beliau diburu, diterkam sedekat mungkin seolah negara kita ini bagaikan sebuah negara yang tidak ada hormat dan adab pada seseorang. Rohaniza bukannya yang dituduh, beliau adalah saksi pendakwa, tetapi cara bagaimana beliau diperlakukan semalam (sehingga terdengar perkataan Ya Allah terbit dari mulutnya) seolah beliaulah yang dituduh membunuh Altantuya, sungguh biadap dan tidak professional sekali!

Saya tidak pasti adakah semacam satu arahan telah dikeluarkan untuk memburu dan menyerang Rohaniza sedemikian rupa kerana apabila kita melihat keluar-masuk saksi-saksi lain, tidak pula mereka dikerumun dan diperlakukan sebagaimana Rohaniza.

Saya merasakan sudah tiba masanya pihak yang berwajib memperkenalkan peraturan terutama kepada jurugambar dan jurukamera di perkarangan mahkamah. Mungkin mereka boleh diarahkan berkumpul disatu tempat untuk menjalankan tugas mereka dan tidak terkejar-kejar mengerumun saksi sehingga menganggu dan menakutkan saksi itu.

Apakah yang cuba kita ajar kepada masyarakat berikutan insiden ini? Apakah agaknya yang tergambar dalam benak fikiran anak-anak kita apabila menyaksikan insiden ini? Kalau beginilah saksi diperlakukan siapa yang mahu ke hadapan menjadi saksi lagi?

Malah semalam sebagaimana dilaporkan oleh TV3 dan akhbar-akhbar hari ini terdapat kekeocohan dan tolak-menolak antara pihak polis yang mengawal ketiga-tiga tertuduh dan jurugambar apabila tertuduh di bawa keluar dari mahkamah.

Yang dituduh pun sepatutnya dihormati kerana mereka pada dasarnya belum lagi dianggap bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Saya mengharapkan pihak berwajib memandang serius perkara ini khasnya dalam kes Altantuya ini kerana ianya bukan sekadar mendapat perhatian rakyat tempatan malah seluruh dunia menyaksikannya kerana melibatkan personality yang high profile.

Lahirkan masyrakat minda kelas pertama, dan mulakan dari perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam.