Wednesday, August 09, 2017

Pendekatan BPMS tarik pengundi bukan Melayu


(Menerjang badai: Harakah Bil. 2271)

Sejak PAS tiada lagi ikatan atau persefahaman politik dengan DAP dan PKR, dan kini bersendirian dalam gerak-kerjanya, ramai yang beranggapan bahawa PAS bakal hilang undi masyarakat bukan Melayu khususnya masyarakat Cina dalam Pilihanraya Umum ke 14 nanti.


Ini sudah pasti akan mengakibatkan PAS hilang sebahagian besar kerusinya di Pantai Barat terutama di Selangor dan beberapa negeri lain yang dimenangi hasil dari sokongan para pengundi bukan Melayu.


Andaian ini dibuat kerana selama di dalam Pakatan Rakyat dahulu, masyarakat bukan Melayu telah menerima PAS dengan hati yang terbuka. Satu undi buat PAS seakan-akan satu undi buat DAP.


Memenangkan PAS samalah dengan memenangkan DAP dan mungkin juga PKR lantas masyarakat bukan Melayu tiada berhalangan mengundi dan memenangkan calon-calon PAS dalam PRU 2008 dan 2013.


Sejauh manakah benar andaian ini? 

Benarkah PAS akan hilang terus undi dan sokongan masyarakat bukan Melayu lalu mengakibatkan ia kalah besar khasnya di Pantai Barat dalam PRU ke 14 nanti?


Isunya di sini adalah DAP. Adakah parti berkenaan hari ini benar-benar secara mutlak menguasai sentimen pengundi Cina khasnya sehingga mampu mempengaruhi keputusan mereka dalam menyebelahi dan mengundi satu-satu parti termasuklah partinya sendiri.


Kalau kita lihatkan dalam PRU 2008 dan 2013 contohnya di Selangor, DAP ternyata telah mencatatkan pencapaian terbaik. Dalam PRU 2008 ia bertanding 15 kerusi DUN di Selangor dan berjaya menang 13. Manakala dalam PRU ke 2013, ia kekal bertanding di 15 kerusi berkenaan dan menang kesemua 15 kerusi.


Bolehkah kita andaikan DAP mengawal mutlak kuasa pengundi Cina lantaran pencapaian di atas?


Memang ia kelihatan begitu dan malah kemenangan calon-calon PKR dan PAS pada PRU 2008 dan 2013 itu turut dibantu dengan lonjakkan sokongan pengundi Cina khasnya di kerusi-kerusi campuran dimana kehadiran minoriti pengundi Cina banyak mempengaruhi keputusan.


Tetapi sejauh manakah pengundi Cina benar-benar kekal setia dan akan terus ikut telunjuk DAP setelah sekarang tiada lagi Pakatan Rakyat, setelah DAP menyingkir dan kini menyerang PAS dan PAS kini memilih bersendirian?


Jangan lupa jika dilihat PAS meraih untung dengan memperolehi undi Cina hasil dari kerjasama dengan DAP, DAP juga sesungguhnya berjaya menerobosi segmen pengundi Melayu yang sebelum ini sukar buatnya setelah berkawan dengan PAS. Di kerusi-kerusi campuran dan malah majoriti Cina sekalipun, kalangan pengundi Melayu ada membantu dan memangkah DAP hasil dari inisiatif dan pengaruh PAS setelah ia berkawan dengan DAP.


Ini bermakna hari ini, jika PAS bakal rugi maka DAP juga sebenarnya bakal rugi.


Menurut sebuah firma pengkaji, Politweet, 138 dari 184 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia menyaksikan pertambahan ketara peratusan pengundi Melayu antara 2008 dan 2013 merobah beberapa kerusi majoriti Cina sebelumnya, umpama Serdang, Rasah, Kluang dan Taiping kini menjadi kerusi campuran.


Mahukah pengundi Melayu yang sebelum ini lunak kepada DAP lantaran melihat ada kerjasama antara PAS dan DAP kini kembali mengundi DAP lagi setelah kedua parti berpisah?


Berbalik kepada penguasaan undi bukan Melayu khasnya pengundi Cina, apakah faktor sebenar yang mendorong mereka mengundi pembangkang khasnya DAP dalam jumlah yang begitu besar pada PRU 2008 dan 2013 lalu.


Besar kemungkinan kerana mereka hilang kepercayaan pada Umno lantas menolak calon-calon MCA dan Gerakan serta MIC yang “bersyarikat” dengan Umno melalui BN. Dan kemarahan ini lebih tepat lagi disokong oleh kemampuan DAP berkerjasama dengan PAS yang boleh menggantikan Umno dalam mengimbangi kuasa majoriti masyarakat Melayu.


Masyarakat Cina di Malaysia adalah segmen masyarakat yang cerdik dan berilmu. Mereka berjaya dalam perniagaan dan bidang yang mereka terokai, sebagaimana bijak di bidang perniagaan demikian juga dalam politik, mereka bukan buta. Mereka sedar dengan hanya 29 kerusi yang punya pengundi Cina melebihi 50% di Malaysia dari 222 kerusi Parlimen, maka masyarakat minoriti Cina sesungguhnya tidak mampu memerintah negara bersendirian. Mereka perlukan bantuan masyarakat majoriti Melayu.


Justeru langkah DAP sebelum ini berkerjasama dengan PAS selain PKR adalah kerana mahukan sokongan blok Melayu untuk memungkinkan mereka dapat berperanan diperingkat Federal. Demikian juga di Selangor, bantuan dan sokongan kuasa politik Melayu mereka perlukan untuk berkuasa diperingkat negeri.


Saya yakin masyarakat Cina yang dambakan keamanan dan stabiliti terutama di bidang ekonomi tidak mahu negara kita terjerumus ke kancah ketegangan dan huru-hara. Mereka sedar kepentingan kuasa politik, tetapi DAP menang besar semata-mata tanpa “backing” sebuah parti Melayu yang sama kuat hanya akan mencetuskan ketidakstabilan dan akhirnya memudaratkan kehidupan mereka.


Peristiwa 13 Mei, 1969 adalah satu contoh bilamana negara menjadi porak-peranda apabila kuasa minoriti hampir mengatasi yang majoriti. 


Tiada mana satu bangsa dalam negara ini mahu mengulangi peristiwa hitam yang lampau itu.


Saya yakin juga masyarakat Cina terkesan dengan tindakan ektrim dan agresif DAP dalam memusuhi dan menyerang PAS serta mencabar status quo Islam dalam negara. Mereka kenal PAS, kerana mereka sudah lama melihat dan berkawan dengan parti Islam ini.


PAS istiqamah dalam memperjuangkan Islam, dan mereka tahu Islam yang mahu PAS perjuangkan itu sesungguhnya tidak menganggu kehidupan mereka. Malah masyarakat Melayu Islam yang bertaqwa yang mahu dilahirkan PAS itu bakal menjadi pemangkin keamanan dan kestabilan negara yang nanti akan dinikmati juga oleh mereka.


DAP yang rasis, ekstrim dan menyerang Islam sesungguhnya bukan mendekatkan masyarakat bukan Melayu dengan mereka tetapi bakal mengakibatkan masyarakat ini lari dan menjauhkan diri dari mereka.


Malah bukan hanya masyarakat bukan Melayu, masyarakat majoriti Melayu lebih-lebih lagi juga akan bangkit besar-besaran menolak DAP kerana sikapnya yang melampau dan keterlaluan itu.


DAP sebelum ini dilihat parti yang boleh memberi keadilan kepada semua dan menghormati status quo dan amalan kita di Malaysia turun-temurun, tetapi apabila ia memisahkan diri dari PAS, ia mula menjadi bongkak dan agresif tanpa menyedari mereka bukannya mula disenangi tetapi mula ditakuti dan dibenci.


PAS tidak akan rugi memisahkan diri dari DAP. PAS masih akan dapat meraih undi bukan Melayu walau berpisah dengan DAP kerana segmen pengundi ini bukannya taksub pada DAP pun sebagaimana cuba digambarkan.


Teruslah PAS mendekati masyarakat bukan Melayu dengan khidmat yang baik dan budaya politik yang matang dan sejahtera kerana itulah ukuran penting buat mereka nanti bukannya DAP yang rasis dan menolak status quo itu. roslansms@gmail.com




Thursday, August 03, 2017

Ramainya KLEPTOKRAT dalam politik Malaysia



Penggunaan istilah dan slogan untuk memburuk dan menjatuhkan sesuatu pentadbiran atau kerajaan terutama oleh parti-parti politik yang tidak sehaluan adalah suatu amalan biasa dalam pencak demokrasi.

Dalam hal ini di Malaysia sendiri pelbagai isitilah pernah dan sedang dilontarkan dalam konflik politiknya antara yang popular diambang zaman reformasi dahulu adalah “KKN” atau korupsi, kronisma dan nepotisma.

Kerajaan pentadbiran Dr Mahathir Mohammad dahulu diserang oleh parti-parti pembangkang dengan slogan KKN ini bermula dari langkah yang diambil oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran pemecatan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Dr Mahathir didakwa telah menggunakan kuasa dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri ketika itu untuk mengamalkan KKN demi mempertahankan kuasa dan kedudukannya serta juak-juaknya selain memperkayakan diri masing-masing.

Datuk Seri Anwar dan para penyokongnya telah membuat pendedahan demi pendedahan yang mengaitkan amalan tidak bermoral ini dengan Dr Mahathir dan mereka yang di sekelilingnya.

Itu semua tinggal sejarah hari ini.

Hari ini slogan lain pula yang dijaja. Kelompok pembangkang tertentu hari ini mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaannya merupakan kerajaan “kleptokrasi”. Iaitu kerajaan yang menyalahgunakan kedudukan dan kuasa masing-masing untuk mencuri dan memunggah kekayaan negara buat kepentingan diri peribadi masing-masing.

Skandal 1MDB umpamanya didakwa sebagai satu bukti benarnya slogan “kleptokrasi” ini terhadap Najib dan pimpinan BN selain banyak isu dan skandal yang lain.

Sejauh manakah Najib seorang pencuri bertaraf kleptokrat masih belum dibuktikan dimana-mana mahkamah terbuka setakat ini namun itulah isitilah yang dijaja dewasa ini dan dipalitkan dengan beliau.

Mengkategorikan pengamal rasuah kleptokrat ini sesuatu yang menarik terutama dalam suasana politik dewasa ini. Namun mereka yang menjuarai slogan ini perlu juga berhati-hati jangan sampai slogan yang sama memakan diri pula.

Bagi PAS sendiri ekoran krisis dalamannya sejurus selepas Muktamarnya di Kuala Selangor pada tahun 2015 dahulu bangkit juga isitilah “pencuri” ini tetapi tidaklah slogan “kleptokrat yang digunakan. Kalangan mereka yang kecewa dalam pemilihan muktamar berkenaan telah bertindak keluar parti dan kemudiannya menubuhkan parti baru, masalahnya dengan membawa sekali ataupun “mencuri” kerusi-kerusi Parlimen dan DUN PAS yang mereka menangi pada PRU lalu atas tiket PAS untuk didakwa sebagai kerusi parti baru mereka.

Tidakkah mereka ini juga “kleptokarat”?

Tindakan bermoral sepatutunya mengosongkan kerusi masing-masing kerana ia semua milik PAS lantaran dimenangi atas tiket PAS. Bertindak membawa kerusi-kerusi itu terjun bersama mereka dan mendakwanya sebagai kerusi Pan hari ini samalah menjadikan mereka juga “kleparisantokrat”.

Jika menggunakan kedudukan dan kuasa untuk menguntungkan diri adalah “kleptokrat”, maka bekas MB Barisan Nasional Selangor dulu, Khir Toyo adalah seorang kleptokrat. Mahkamah telah mendapati beliau bersalah dan dikenakan hukuman 12 bulan penjara kerana mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, hartanah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta.

Jika Khir kleptokrat dan kerajaan BN Selangor semasanya adalah kerajaan kleptokrasi, bagaimana pula dengan Ketua Menteri Pulau Pinang hari ini, Lim Guan Eng?

Guan Eng bakal dibicarakan di bawah Akta SPRM kerana dituduh mendapatkan untuk dirinya satu lot tanah dan banglo di alamat No 25, Jalan Pinhorn pada harga yang dia tahu tidak sepadan dengan nilainya, daripada seorang bernama Phang Li Koon iaitu RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran ketika itu ialah RM4.27 juta.

Bezanya Khir telah disabit kesalahannya manakala perbicaraan Guan Eng belum bermula. Jika sabit seperti Khir sudah pasti Guan Eng juga nanti boleh dilabel seorang kleptokrat.

Seorang lagi bekas MB Selangor yang hari ini berada dalam kelompok pembangkang juga pernah ditangkap di Australia kerana menyeludup masuk ke negara itu wang tunai asing seberat 19 kilogram bernilai RM2.8 juta. Beliau akhirnya dibebaskan, tetapi adakah wang tunai yang dibawanya sebanyak itu juga menjadikannya seorang kleptorat, atau bagaimana?

Apa pun yang dilabel dan dituduh hari ini sebagai kerajaan kleptokrasi adalah kerajaan Najib Tun Razak. Namun tidak seperti Khir Toyo, Najib belum pernah disabit lagi atas tuduhan berat itu sebagaimana Guan Eng yang masih berpeluang membela diri.

Jika sabit dan terbukti bersalah, Najib juga seorang kleptokrat, tetapi setakat hari ini ia kekal sebagai dakwaan semata-mata kerana belum dibukti dan disabitkan dimana-mana mahkamah lagi sebagaimana Guan Eng.

Menariknya bagaimana pula dengan kerajaan Dr Mahathir dulu? Beliau PM Malaysia dari tahun 1981 sehingga 2003, dan beliau dulu pernah didakwa mengamalkan korupsi, kronisma dan nepotisma. Dakwaan ini dijuarai bukan oleh orang lain tetapi oleh Datuk Seri Anwar sendiri. Lalu bagaimana statusnya?

Terbaru kerajaan dilaporkan telah menubuhkan Suruhanjaya Di Raja bagi menyiasat dan membincangkan kerugian pelaburan FOREX atau matawang asing di zaman Dr Mahathir yang didakwa telah mengakibatkan Bank Negara Malaysia kerugian lebih RM30 bilion.
Jika sabit kesalahannya nanti adakah boleh kita label Dr Mahahtir juga seorang kleptokrat atau bagaimana?

Jangan nanti kleptokrat yang mahu dijatuhkan tetapi yang naik berkuasa rupa-rupanya si kleptokrat juga?

Demikianlah kalutnya label dan slogan politik hari ini.  Ia menjadi tambah serabut kerana ada kemungkinan yang mendakwa dan didakwa kedua-duanya sama kleptokrat belaka. Mampu selamatkah negara kita Malaysia jika begini kedudukannya?

Lantas sesungguhnya tiada pilihan lain buat kita dalam PRU ke 14 nanti kecuali semua bertekad untuk bersatu, “Sejahtera Bersama Islam.” roslansms@gmail.com