Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Thursday, June 22, 2017



Umat Islam termasuklah di Malaysia bakal merayakan Hari Raya Aidil Fitri pada tanggal 1 Syawal tidak berapa hari lagi. Setelah satu bulan menjalani ibadah puasa, berlapar dan berdahaga serta menumpukan pada ibadah di malam hari maka tibalah waktu untuk bergembira, setelah berjaya menjalankan perintah Allah swt dengan penuh tekun dan berdisiplin sepanjang Ramadhan.

Umat Islam di Malaysia dijangka mengambil kesempatan bercuti ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing berhari raya dengan kaum keluarga dan sanak-saudara. Masing-masing bakal bertumpu di kampung halaman di Utara, Selatan, Pantai Timur dan Barat selain Sabah dan Sarawak.

Diharapkan semua kita berhati-hati apabila pulang ke kampung masing-masing. Pandu dengan cermat dan pastikan keselamatan masing-masing terutama apabila menggunakan jalan dan lebuhraya untuk bertemu yang dikasihi.

Sesungguhnya kita masing-masing punya misi besar apabila berkumpulnya kaum keluarga dan berkunjung-kunjung ke rumah kenalan dan sanak-saudara di Hari Raya nanti. Hari Raya ini kelak adalah yang terakhir sebelum Pilihanraya Umum ke 14 nanti.

Maka pergunakanlah kesempatan Hari Raya ini untuk meyakinkan semua pihak akan betapa perlunya PAS diberikan peluag, kepercayaan dan keyakinan dalam PRU kali ini, kerana masalah kronik dan tenat yang sedang melanda rakyat dan negara hari ini tidak kelihatan akan pulih atau berubah melainkan kita semua bangkit dan kembali kepada Islam.

Pada 1 Syawal nanti kita masing-masing akan menggemakan bumi dengan laungan takbir yang maksudnya termasuklah:

“Tiada Tuhan melainkan Allah, dan tidak ada lain yang kami sembah melainkan Dia, kami ikhlas kepadaNya (mengikuti ajaran agama Islam) sekalipun dibenci oleh orang-orang kafir”

Lantas melihatkan keadaan hidup kita pada hari ini wajarlah kita semua menjadikan maksud takbir itu sebagai pedoman hidup kita terutama apabila tiba PRU nanti. Dan kesempatan berkumpul Hari Raya inilah kesempatan terbaik untuk kita masing-masing menyedarkan selain ingat-mengingati sesama yang tersayang bahawa masa untuk berubah telah datang.

PAS terbukti telah berjaya menzahirkan ciri-ciri kepimpinan Islam yang sebenar. Wakil-wakil rakyat PAS samada di Kelantan, Selangor, Terengganu, Kedah mahupun negeri-negeri lain jelas telah menjiwai dan mempamirkan corak kepimpinan Islam yang sebenar dan kualiti inilah yang perlu kita ambil kira apabila menentukan saf kepimpinan negara dan negeri dalam PRU nanti.

Negara perlukan kepimpinan yang jujur dan bertaqwa, yang meletakkan kepentingan Islam mengatasi yang lain-lain. Bukannya pemimpin yang menggunakan kedudukan dan kuasa untuk kepentingan kaum keluarga, mengayakan diri atau menegakkan apa-apa agenda peribadi.

Kita sudah sekian lama mencuba, ternyata pemimpin yang telah kita berikan kepercayaan selama ini semuanya gagal sehingga mengakibatkan keadaan hidup kita pada hari ini menjadi terus sempit dan mendukacitakan. Negara dipalit dengan pelbagai skandal dan rasuah serta salahguna kuasa yang berleluasa.

Negara kita yang kaya hasil bumi selain pesat industrinya ini punya potensi untuk terus maju dan berjaya dengan melimpahkan kesejahteraan berpanjang pada rakyat jelata, tetapi syaratnya ia perlu diketuai dan ditadbir oleh pemimpin yang benar-benar adil dan bersih.

Di sinilah kita semua berperanan untuk membuka mata hati setiap yang kita temui sepanjang musim Hari Raya ini bahawa rakyat jangan lagi mengulangi kesilapan yang lampau sehingga memperjudikan kehidupan kita semua. Tetapi pergunakanlah kuasa yang diberikan nanti dengan mengambil kira nasib dan masa depan rakyat dan negara.

Gejala keganasan, buli, buang anak, zina dan keruntuhan akhlak semakin menjadi-jadi. Ada pihak lebih gemar mempolitikkan insiden malang ini dengan menyalahkan pihak lawan, sedangkan puncanya adalah pembetukan akhlak dan keperibadian yang lemah dan sambal lewa dalam jiwa kita masing-masing.

Jika pemimpin yang diberi amanah adalah’
 dikalangan mereka yang berakhlak dan bertaqwa, niscaya rakyat yang dipimpin juga akan terdorong untuk mengikuti keperibadian pemimpinnya itu. Pepatah Arab ada berkata: “ An-Naasu 'ala Diini Muluukihim" maksudnya “Rakyat itu mengikuti agama (keperibadiaan) pemimpin mereka” dalam erti kata lain rosaknya rakyat lantaran rosak dan pincang para pemimpin yang diberi amanah.

Sistemnya perlu diubah, dan Islamlah formulanya dan tiada yang lain.

Ini bukan masanya untuk kita mencuba-cuba dengan idea liberalis, atau puak-puak sekular dan rasis yang hanya mahu menggantikan kepincangan yang ada semata-mata kerana tamakkan kuasa. Akhirnya mereka juga akan turut pincang sebagaimana sipincang yang mereka gantikan.

Jangan kita hanyut jauh dari Islam yang Allah pelihara dan muliakan.

Mudah-mudahan berbaki semangat Ramadhan yang ada dan menjelang Aidil Fitri yang mulia, kita semua khususnya umat Islam akan insaf dan kembali mendambakan pertolongan Allah swt untuk membawa kita keluar dari kemelut yang ada ini.
Takbir Hari Raya yang bakal kita laungkan bersama jutaan umat Islam seluruh dunia tanggal 1 Syawal nanti jangan sekadar syahdu dan berlagu-lagu kerana ia sesungguhnya turut bermaksud:

“Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Esa, yang menepati janji Nya, yang menolong hamba Nya, dan yang memuliakan tentera Nya dalam mengalahkan tentera al-Ahzab dengan sendiri (KekuasaanNya)”

Semoga menjelang pilihanraya umum ke 14 nanti umat Islam di Malaysia kesemuanya bersedia untuk sederap kembali “Sejahtera Bersama Islam” dengan melonjak dan menaikkan calon-calon PAS demi masadepan yang baik buat Malaysia.

 Selamat Hari Raya Aidil Fitri. ,maaf zahir dan batin. roslansms@gmail.com

PAS melangkah gagah menuju PRU14

Thursday, June 15, 2017



Selepas Muktamar PAS ke 61 di Kuala Selangor pada tahun 2015 dulu, ramai penganalisa politik mengatakan yang PAS telah luput zaman kegemilangannya dan akan mula pudar, layu dan akhirnya pupus begitu sahaja dari persada politik tanahair.

Andaian tersebut dibuat kerana mereka melihat pertandingan dalam muktamar tahun berkenaan terlalu sengit sehingga seakan telah membelah dua PAS kepada dua kelompok, satu yang cenderung pada kepimpinan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dan satu yang sebaliknya.

Mereka semakin yakin dengan andaian berkenaan apabila kemudiannya kumpulan yang tewas, lantaran terlalu kecewa dengan keputusan telah bertindak mengkhianati PAS dengan keluar parti dan kemudiannya menubuhkan partu yang baru yang didakwa akan menggantikan peranan PAS.

Parti baru ini pula disuntik semangat oleh penentang PAS iaitu DAP dengan menubuhkan sebuah pakatan politik baru menggantikan Pakatan Rakyat yang menyatukan DAP, PKR dan parti baru ini Pan tanpa melibatkan PAS. PAS pun sebenarnya tidak berhajat dilibatkan.
PAS dikatakan akan mati kerana ahli-ahlinya bakal keluar beramai-ramai meninggalkannya dan menyertai bahtera baru yang kononnya lebih relevan dan kondusif dengan suasana politik semasa tambah pula sabgat tervuka dalam berkerjasama dengan DAP dan PKR.

Tetapi itu pada tahun 2015.

Hari ini PAS terus hidup malah ahli dan pimpinannya terus melakar pencapaian demi pencapaian sehingga dilihat sebagai satu-satunya parti Melayu Islam yang sangat ikhlas dan istiqamah dalam memperjuang dan menobatkan Islam di tanahair.

Dalam program Munaqasyah Rakyat 2017 yang diadakan di Dewan Bankuet MBSA di Shah Alam baru-baru ini seorang ahli akademik bertaraf Profesor yang diundang sebagai ahli panel telah menyatakan bahawa skil atau kemahirn diplomatik Tuan Guru Presiden PAS hari ini diiktiraf dan diterima diperingkat tempatan dan antarabangsa.

Beliau memberikan reaksi berkenaan apabila melihat dan mengkaji pencapaian PAS di bawah kepimpinan Tuan Guru.

Tetapi bukankah PAS yang didominasi Tuan Guru pasca Muktamar 2015 didakwa akan kecundang?

Profesor berkenaan menafikan PAS kekeringan tenaga profesional sebagaimana didkwa musuh-musuh PAS dan malah beliau mengakui BPMS atau “Budaya politik matang dan sejahtera” yang digagaskan Tuan Guru Presiden telah meletakkan PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang sangat moderat dan diplomatik.

Sudah pasti kenyataan tokoh profesional ini ditolak oleh para penentang PAS. Tetapi yang pentingnya pengiktirafan demi pengiktirafan terus diberikan pada parti Islam yang berusia lebih 60 tahun ini.

Kebetulan Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang telah menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini dan telah pun selamat dan kini keluar hospital dan berihat. Semasa tempuh rawatan beliau, keadaan kesihatannya terus menjadi perhatian rakyat Malaysia termasuklah pimpinan Islam diperingkat antarabangsa.

Bagaimana keadaan seorang personaliti yang didakwa memimpin parti yang bakal pupus kerana kelahiran Pan, boleh mendapat perhatian ramai begitu?

Bukan sekadar ahli-ahli dan penyokong PAS, malah pimpinan kerajaan dalam dan luar negara, kakitangan kerajaan, rakyat kebanyakkan termasuklah pihak Istana  begitu ambil berat dan prihatin akan kesihatan tokoh ini.

Kawan dan musuh semuanya ingin tahu.

Untuk rekod, pihak Utusan Malaysia yang berdekad-dekad menjadi instrumen menyerang PAS telah menyiarkan sepenuhnya catitan Tuan Guru berjudul “Dari jendela IJN” membutikan malah ahli-ahli dan penyokong Umno yang membaca akhbar berkenaan pun turut mahu tahu kesihatan dan perkembangan Tuan Guru.

Bagi saya perkembangan ini membuktikan segala tohmahan dan fitnah melalui serangan politik yang dilancarkan para pengkhianat dan musuh politik PAS khususnya pasca Muktamar 2015 itu semuanya terbukti tidak berasas dan meleset.

PAS dengan izin Allah kekal relevan, terus memerintah dengan stabil menabur jasa dan bakti berteraskan Islam di negeri Kelantan dan bersama memikul amanah rakyat memerintah Negeri Selangor bersama PKR dan DAP.

Wakil-wakil rakyat PAS seluruh negara dan semua lantikkan politik PAS dalam kerajaan Kelantan dan Selangor terus berkerja dengan istiqamah dan ikhlas memartabatkan Islam menepis dan menerjang segala fitnah dan politik kotor pihak lawan yang sesungguhnya gerun dan sengaja menafikan realiti kekuatan PAS itu.  

Dan dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat 10 Jun baru-baru ini kita dimaklumkan bahawa keahlian PAS terus meningkat. Mesyuarat berkenaan telah meluluskan 7,033 keahlian baru PAS seluruh negara bagi bulan Mei 2017.

Bagi tahun 2017 ini sahaja keahlian PAS yang telah diluluskan adalah Januari 1,952 orang, Febuari 5,341, Mac 5,227 dan April 7,206.

Bermakna untuk tempuh 5 bulan pertama tahun 2017 ini PAS telah mendaftarkan seramai 26,759 keahlian baru di seluruh negara.

Adakah ini parti yang bakal pudar, layu dan pupus? Adakah ini parti yang bakal kalah besar kerana ditolak rakyat dalam PRU ke 14 nanti?

Biarlah para penganalisa politik yang taksub pada musuh-musuh PAS itu terus terpesona dengan retorik kosong sumber dan penyampai maklumat mereka. PAS terus bergerak membina kekuatan berlandaskan politik sebenar dan tidak angan-angan kosong mereka yang saban hari disuapkan makan ke mulutnya.

Cita-cita perjuangan PAS jelas dan terbuka di depan mata semua., yang penting boleh diterima dan disenangi rakyat. roslansms@gmail.com

Azam perubahan menurut tuntutan Islam

Saturday, June 10, 2017



Setiap yang menjalani ibadah puasa pasti turut menunggukan ketibaan Hari Raya. Hari Raya Eidul Fitri dijangka dirayakan pada hujung bulan ini. Selepas dari Hari Raya rakyat Malaysia akan tertunggu-tunggu pula tarikh PIlihanraya Umum ke 14 .

Pelbagai tarikh dan jangkaan telah dan ada diberikan. Mungkinkah selepas Hari Raya nanti, atau mungkin juga selepas Sukan SEA hujung Ogos nanti,  atau mungkin juga selepas sidang Belanjawan 2018 sekitar Oktober nanti, jika tidak mungkin dalam musim Tahun Baru Cina bulan Febuari tahun hadapan dan selewat-lewatnya bulan Jun 2018 apabila tempoh Parlimen sampai ke penghujungnya.

Apa pun sebagaimana Hari Raya, tarikh Pilihanraya suka atau tidak akan tiba jua. Yang penting semua pihak perlu bekerja kuat bagi memastikan kejayaan terbaik.
Soalnya apakah kecenderungan rakyat Malaysia khasnya para pengundi pada PRU ke 14 itu nanti?

Apakah pertimbangan atau kriteria terpenting yang akan dijadikan garispenentu buat rakyat Malaysia dalam membuat keputusan pada PRU itu nanti. Apakah isu-isu besar yang akan membentuk selera para pengundi nanti?

Menurut akhbar harian The Star kebimbangan terbesar rakyat Malaysia adalah isu yang melibatkan kos hidup. Teraju akhbar berkenaan Datuk Seri Wong Chun Wai menulis bahawa walaupun terdapat pelbagai isu politik dan agama yang berligar sekitar rakyat Malaysia namun isu pokoknya tetap bagaimana mahu menejelaskan bil dan tanggungan bulanan.

Menurut beliau mana-mana pihak yang berjaya mengemukakan penyelesaian terbaik terhadap isu genting ini, maka ia lah yang akan meraih kemenangan besar dalam PRU ke 14.

Bagi PAS, kenaikkan kos hidup dan bebanan sara hidup memang memberi kesan besar kepada seluruh rakyat dalam negara. Kepincangan dan ketempangan pentadbiran kerajaan Persekutuan khasnya sejak dari zaman Tun Dr Mahathir sehinggalah Tun Abdullah dan kini Datuk Seri Najib terus menerus menghilangkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap BN.

Sejak dari pengenalan GST, yang telah mengakibatkan kenaikkan mendadak kos hidup, rakyat khususnya mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah terus terkesan dan terbelenggu dengan bebanan hidup yang sangat mengazabkan.

Walaupun rakyat digula-gulakan dengan BRIM namun sebagaimana sifat gula-gula ia sekadar penghibur sementara, dikemam, dikunyah kemudian hilang begitu sahaja. Tiada penyelesain yang berpanjangan dan meyakinkan.

Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS di dalam ucapan dasarnya bertema “Sejahtera Bersama Islam” dalam Muktamar PAS ke 63 baru-baru ini ada menyebut:

“PAS akan terus komited memperjuangkan Malaysia yang bebas rasuah dan pentadbiran yang telus dengan cara yang membina sebagaimana yang kita tunjukkan selama ini. Selama puluhan tahun ini jugalah PAS telah menentang penyelewengan sumber dan dana negara dalam isu BMF, skandal matawang asing BNM, PKFZ. Skandal MAMINCO, Perwaja Steel , IMDB dan lain-lainnya dengan cara kita sendiri.

Kekurangan integriti, akhlak dan kejujuran adalah antara masalah yang wujud berakar umbi di negara ini. Ianya menyebabkan indeks persepsi rasuah yang buruk sehingga menimbulkan krisis keyakinan ekonomi kepada persekitaran pelaburan dalam negara kita ini.”

PAS terlalu yakin bahawa rakyat kini sudah bersedia untuk membuat perubahan dari kawasan luar bandar sehinggalah ke bandar, mereka sudah tidak sabar mahu membawa diri keluar dari tekanan hidup angkara kelemahan kerajaan yang ada.

Masalahnya kemanakah arah tuju mereka?

Dauk Seri Wong menekankan isu kaum dan agama tidak relevan kerana tumpuan rakyat adalah pada masalah kos hidup mereka semata-mata.
Namun PAS percaya sebagaimana disebut oleh Tuan Guru Presiden dalam ucapan dasarnya:

“Punca masalahanya apabila manusia meninggalkan petunjuk Allah yang bernama Islam”.
Bagi PAS, umat Islam yang sedang perit menanggung kesan kenaikkan kos hidup ini akan insaf bahawa tiada jalan lain bagi mereka untuk keluar dari kemelut ini selain mengikuti petunjuk Allah swt iaitu Islam yang sekian lama ditinggalkan.

Sejak dari PAS mengambil pendekatan berpolitik secara matang dan sejahtera, mengambil pendekatan aman dan penuh hikmah, ramai yang sudah mula cenderung untuk berjinak dengan PAS dan jika kesan RUU355 tempoh hari dapat dijadikan ukuran, tidak mustahil umat Islam akan memberi keyakinan penuh pada PAS kali ini berbanding dengan parti politik sekular dan liberal yang lain.

Begitu juga masyakarat bukan Islam. Mereka dapat melihat betapa hanya tinggal PAS yang ikhlas berpegang pada prinsipnya, dan jujur mahu membela nasib rakyat pelbagai kaum dan agama sebagaimana sedang diperlihatkan di Kelantan dan di Terengganu pada tahun 1999.

Rakyat hari ini sudah bijak dan mempunyai kekuatan untuk berani membawa perubahan. Mereka sedar permasalahan yang membelenggu mereka hari ini bukan semata-mata berpunca dari ketempangan dan kepincangan pentadbiran tetapi lebih dari itu kerana mereka lupa dan lalai pada tuntutan Islam.

Hakikat ini sesungguhya dapat dikesan banyak pihak kerana itu ramai yang membenci dan memusuhi Islam cuba melahirkan pelbagai serangan dan persepsi buruk agar “Tsunami HIjau” yang bakal melanda negara dapat dielak dan digagalkan.

Rakyat dewasa ini tidak mahu mengulangi kesilapan mereka yang lampau. Mereka juga ternyata tidak tergiur dengan parti dan kelompok yang ekstrim dan rasis apalagi yang memperlekeh dan mencemuh Islam. Tiada tempat di hati mereka untuk mereka yang mengkhianati perjuangan, yang durhaka apalagi yang tidak hormat dan menerima Islam sebagai agama Persekutuan.

Isu periuk nasi dan kesempitan hidup memang menghantui rakyat. Sudah lebih 60 tahun PAS berkerja dan berdakwah untuk menyedarkan rakyat Malaysia. Dengan situasi yang ada dan kecelaruan di dalam blok pembangkang yang dilihat lebih mabuk kuasa dan membelakangkan status quo, PAS lah yang bakal muncul sebagai penyelamat melalui agenda “Sejahtera Bersama Islam” nya.

Masalah sudah ditangan dan melalui tangan itu jugalah kunci penyelesaiannya akan diputar. Putaran kali ini adalah mengikut Islam dan tidak yang lain. roslansms@gmail.com