Saturday, April 01, 2017

Kekalkan keikhlasan dalam perjuangan

Keadaan politik dalam negara berterus-terusan kelihatan gawat dan berkecamuk. Dalam pada itu tempuh penggal Parlimen ke 13 ini menghampiri ke penghujungnya dengan Pilihanraya Umum ke 14 mesti diadakan selewat-lewatnya pertenggahan tahun 2018. 

Berbagai spekluasi dicipta berhubung tarikh pilihanraya umum ini, ada seawal Jun atau Ogos yang pastinya ia wajib diadakan sebelum pertengahan 2018 nanti.

Barisan Nasional semakin cemas apabila pelbagai isu ketempangan dan kepincangan pentadbiran negara kelihatan seakan tidak berupaya dirawati dan rakyat pula semakin tertekan dengan kos hidup yang semakin membebankan dibawah pemerintahan mereka.

Keadaan ekonomi negara dengan menyusutnya harga minyak mentah dunia dan tidak pulih-pulih harga komoditi khususnya sawit dan getah terus tidak membantu kerajaan Persekutuan melegakan kehidupan rakyat.

Dalam pada itu rasuah dan salah-guna kuasa samada dari kalangan orang-orang politik mahupun kakitangan kerajaan tersingkap dan terdedah saban hari yang sudah tentu tambah mengecewakan rakyat dan menghilangkan keyakinan mereka pada kerajaan.

Dalam situasi cemas seumpama ini rakyat mula menimbang-nimbang, meninjau untuk mengenal-pasti samada wujud kah satu gagasan yang mampu memberikan alternatif buat mereka bagi menggantikan Barisan Nasional yang serba mendukacitakan di peringkat Persekutuan.

Jika BN yang serba gagah selama ini mahu digantikan maka penggantinya perlu lebih gagah demi mahu memenangi keyakinan rakyat.

Malangnya blok pembangkang pun hari ini nampak kacau dan tidak menentu. Meski Pakatan Harapan, yang menggabungkan PKR, DAP, PPBM dan Pan berusaha memaparkan diri mereka sebagai alternatif yang berwibawa menggantikan BN, namun rakyat kelihatan masih belum yakin.

Jika dahulunya blok pembangkang dicucuh semangat juangnya oleh kezaliman melampau yang dilakukan oleh pentadbiran ketika itu ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga beliau umpamanya, hari ini punca kezaliman itu yang telah membangkitkan kemarahan rakyat sebelum ini tiba-tiba duduk bersekongkol untuk mahu menjatuhkan pula kerajaan yang ia sendiri terlibat menaikkan.

Sementara itu blok yang ada ini terutamanya melalui DAP, kelihatan lebih cenderung bermain politik rasisma dan menolak sebarang usaha atau langkah menobat dan memperkasakan Islam. Bagi mereka, Malaysia ini sesungguhnya sebuah negara sekular, negara yang memisahkan agama dengan pentadbiran dan ia sewajarnya dibentuk dan ditadbir atas kepercayaan itu.

Sudah tentu sikap seumpama ini tidak dapat diterima oleh majoriti pengundi Melayu yang merupakan penyokong tegar BN sebelum ini.

Blok pembangkang ini juga belum selesai proses pembahagian kerusi sesama mereka, dan proses itu sahaja nanti dijangka mencetuskan perbalahan dan sengketa, terutama bagi memberi laluan pada parti baru seperti PPBM apalagi parti nyamuk umpama Pan.

Mahukah DAP dan PKR mentah-mentah berkompromi menyedekahkan kerusi mereka kepada PPBM dan Pan? Di Selangor contohnya DAP menguasai kesemua 15 kerusi yang ia tandingi, bersediakah DAP melepaskan beberapa kerusi buat PPBM ataupun Pan?

Begitu juga kerusi-kerusinya di Pulau Pinang, mahu dan sanggupkah DAP mengorbankannya buat kawan-kawan barunya itu? Apa yang nyata mereka masing-masing mahu memperalatkan antara satu sama lain.

Kesemua keadaan yang tidak menentu ini mendinginkan keinginan rakyat untuk bangkit membawa perubahan menukar BN walaupun mereka terbukti telah bosan dan semakin muak dengannya.

Atas kesedaran itulah PAS, yang disisihkan lantaran pembentukkan Pakatan Harapan, mengambil inisiatif membentuk kedudukannya sendiri dalam pentas politik negara.

Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang selaku Presiden bingkas membaca suasana dan berusaha tidak mengecawakan impian rakyat khususnya majoriti pengundi Melayu untuk melihat perubahan berlaku dalam PRU akan datang.

PAS melalui “Budaya Politik Matang dan Sejahtera” nya atau BPMS, berterusan membawa agenda Islam dan mengajak rakyat bersama menyelematkan negara dan masa depannya dengan Islam. Hanya Islam mampu menjadi kunci yang boleh membuka pintu penyelesaian ke atas kemelut yang melanda rakyat dan negara hari ini.

Jentera PAS mensasarkan memenagi sekurang-kurangya 40 kerusi Parlimen dan penguasaan ke atas lima buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan Selangor. Jika PAS mampu memperolehi sasarannya itu, PAS bakal muncul sebagai “kingmaker” pasca PRU ke 14 nanti kerana diketika itu adalah dijangkakan parti-parti kelompok BN dan PH bakal gagal memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan khasnya di peringkat pusat secara bersendirian.

Kerana itu jentera PAS disemua peringkat perlu istiqamah dan berkerja keras bagi memastikan PAS menyumbang dalam menyelamatkan rakyat dan negara melalui PRU ke 14 itu nanti sebagaimana disarankan Tuan Guru Presiden.

Wajarlah disaat-saat kritikal ini kita merenung dan menghayati wasiat bekas Timbalan Presiden PAS (dulu dikenali Timbalan Yang Dipertua Agung) Almarhum Prof Zulkifli Muhammad yang disampaikannya selang dua hari sebelum beliau diambil Allah swt hampir 53 tahun dahulu. Menurut Almarhum salah satu syarat kemenangan adalah “keikhlasan”.

“Keikhlasan” ini jika dapat dipupuk, ialah nanti yang akan membawa kejayaan buat PAS.
Ikhlas bererti menyucikan niat kepada sesuatu tujuan dengan mengenepikan apa yang lain dari itu. Kata Almarhum: “Kita ikhlas kepada Tuhan, kita sucikan niat pada Nya dan kita ketipkan yang lain dari itu. Kita ikhlas kepada perjuangan PAS, kita sucikan niat terhdap tujuannya dan kita ketepikan yang lain dari itu.”

Kata Almarhum lagi: “Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa-apa, mungkin tidak kuat. Tetapi kalau keikhlasan ada pada kita maka ada harapn cita-cita kita ini akan dapat kita laksanakan. Apa gunanya kita cerdik, cerdas, pandai dan kuat sekiranya kita tidak ikhlas kepada apa yang hendak kita perjuangkan.”

Jentera PAS perlu ikhlas, teguh dan istiqamah berpegang kepada prinsip dan dasar, inilah haluan kita kebelakangan ini dan jika kita berterusan memacu jentera dalam keadaan demikian tidak mustahil sokongan rakyat akan memihak pada kita.

Biarlah yang tidak ikhlas, yang punya agenda peribadi apatah lagi yang khianat pegi jauh dari kita.

Keikhlasan kata Almarhum lagi bukan hanya ditetapkan pada hati dan niat tetapi termasuk amal Amalanlah yang menunjukkan keikhlasan. Kekalkanlah keikhlasan dalam perjuangan, sehingga kita bersama memperolehi sasaran yang kita impikan.

No comments: