Wednesday, January 27, 2016

Umno bersedia atau tidak rakyat tetap mahu Islam



 Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2117 Edisi Isnin muka F17

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membentangkan laporan penuh indeks syariah bagi mengukur tahap pelaksanaan agenda Islam di Malaysia pada 28 Mac ini. Indeks syariah yang dimaksudkan telah pun dilancarkan Februari tahun lalu dan ianya merupakan usaha untuk melihat sejauh mana kerajaan dapat mengisi agenda memartabatkan Islam di dalam program dan perlaksanaan dasarnya.

Adalah difahamkan sebanyak lapan bidang utama akan diukur menggunakan Indeks Syariah Malaysia. Lapan bidang utama berkenaan meliputi bidang-bidang perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, pasaran dan persekitaran serta sosial.

Piawaian syariah yang digunakan untuk mengukur indeks ini dikenali dengan istilah syaraknya Dharuriyah al Khamsah yakni berpandukan kepada lima aspek atau matlamat syariah yang disebut sebagai Maqasid al-Syariah. Ini termasuklah dalam aspek pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Umpamanya kalaupun ada undang-undang dalam negara yang tidak berlabel Islam tetapi memenuhi tuntutan syariat di atas maka ia tetap dianggap patuh syariah.
Sejauh manakah kesungguhan pihak kerajaan dalam mahu memartabatkan Islam yang diukurnya melalui indeks syariah ini tidaklah diketahui.

Rakyat Malaysia maklum bahawa Perdana Menteri yang juga Presiden Umno semasa menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno 2015 awal Disember lalu telah berikrar dan berjanji akan komited sepenuhnya untuk memperkembang dan mempertinggikan syiar Islam di Malaysia.

Kata beliau dengan cara itu: “ Barulah, sebuah negara Islam yang digelar “Baldatun Toy-yi-batun wa Rob-bun Ghofur” akan terbangun dan terwujud jua di Malaysia”.

Dan bergerak ke arah itu beliau sendiri menyatakan dalam majlis yang sama yang disaksikan oleh para perwakilan Umno dan jutaan rakyat Malaysia: “ Dengan hati yang terbuka dan nubari yang merdeka, kita hulurkan tali silaturrahim,… kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariat Nya” yang ditujukan kepada PAS.

Dan sebagaimana kita ketahui Presiden PAS memberikan respon bahawa PAS bersikap terbuka kepada apa-apa niat untuk menggalakkan perpaduan berteraskan Islam dengan mana-mana pihak. Malah PAS akan berlapang dada kepada mana-mana suara positif yang membawa kepentingan kepada Islam, negara, dan rakyat tidak kira orang Islam atau bukan Islam.

Mungkinkah pembentangan laporan penuh indeks syariah yang dijanjikan itu sebahagian dari bukti kesungguhan Najib dan kerajaannya dalam mahu membina sebuan negara berteraskan syariat Allah swt?

Sejak dari perhimpunan Umno sehinggalah program Multaqa Serantau Alumni al Azhar Malaysia di Hotel Grand Season Kuala Lumpur 17 Disember lalu rakyat Malaysia menunggu-nunggu sesuatu yang positif yang boleh membuktikan betapa komited dan seriusnya Najib khasnya dalam mahu memartabatkan Islam selain melibatkan PAS dalam usaha-usaha ini.

Perpaduan seluruh kelompok Islam dalam berkerja ke arah perlaksanaan sebuah negara Islam sudah pastilah akan disambut baik oleh semua pihak khasnya dikalangan masyarakat majoriti Islam dalam negara.

Jika pembentangan laporan penuh indeks syariah Mac nanti merupakan salah satu usaha Najib, maka ianya wajar dialu-alukkan. Namun demikian pembinaan sebuah negara yang bercirikan “Baldatun Toy-yi-batun wa Rob-bun Ghofur” sudah pastilah tidak boleh berhenti setakat itu malah ia lebih luas lagi.

Banyak usaha-usaha lain sudah perlu diterokai dan digerakkan bagi meyakinkan seluruh masyarakat dan negara bahawa apa yang telah diutarakan oleh Najib sebelum ini bukan sekadar retorik politik atau propaganda meraih simpati semata-mata tetapi ia serius.

Umum mengetahui bahawa disaat dan ketika ini Najib dan kerajaannya sedang teruk dilanda krisis keyakinan akibat dari pelbagai isu dan permasalahan yang tidak selesai termasuklah skandal 1MDB, kenaikkan kos hidup rakyat, GST dan kini TPPA.

Kerana itu dalam berhdapan dengan realiti ini Presiden PAS pernah menegaskan: "Pas juga ingin membuat seruan, betapa kini masa yang sangat sesuai untuk Umno kembali kepada Islam dan mengamalkan cara hidup Islam dalam segenap sendi perjuangannya, samada politik, sosial mahu pun ekonomi,".

Inilah masa dan ketikanya semua ruang dan “platform” dibuka demi agenda memartabatkan Islam. Islam dan perlaksanaannya perlu dihebah dan diterangkan secara meluas kepada seluruh rakyat dalam negara supaya ia dapat diterima dan difahami kerana ianya punya roh penyelesaian yang mampu membawa negara keluar dari kemelut yang sedang melandanya hari ini angkara BN.

PAS dan para ulamaknya harus dilibatkan dalam siri-siri penerangan dan majlis-majlis forum dari ceruk dan rantau kampung dan desa sehinggalah ke pekan-pekan dan bandaraya termasuklah serambi istana. TV dan radio adalah media terbaik bagi tujuan ini, jangan lagi ada yang di gam atau disenarai hitam.

Langkah melibatkan lebih 133 penyelidik dari lima IPTA bagi menyediakan laporan indeks syariah ini dialu-alukan. PAS sendiri punya ramai bekas ahli-ahli akademik dari IPTA selain Tuan-tuan Guru yang berwibawa yang pasti bersedia memberikan input dan pandangan yang lebih komprehensif dalam menzahirkan sebuah negara berteraskan landasan yang menepati syariat Islam.

Dato Dr Harun Din (UKM), Dato Dr Mahfodz Mohamad (UM), Dato Tuan Ibrahim Tuan Man (UITM), Ustaz Idris Ahmad (UITM), Ustaz Dato Mohammad Amar Nik Abdullah (UIA), Dato Dr Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali (UKM), Dato Dr Mohd Fadhli Dato Hassan (UIA), Dato Dr Johari Mat (UM) adalah antara contoh nama-nama bekas pensyarah IPTA yang dimaksudkan.

Pokoknya di sini adalah sejauh manakah Najib dan kerajaan serius dalam usaha ini. PAS samada dilibatkan ataupun tidak memang berjuang untuk agenda Islam kerana itulah matlamat perjuangannya sejak ia ditubuhkan. Sebagaimana ditegaskan Presiden PAS dalam ucaptamanya di Hotel Grand Season di hadapan Najib Disember lepas, dalam apa keadaan pun “Islam dan penganutnya mesti berkuasa”.

PAS konsisten ke arah itu dan ternyata dalam suasana pancaroba ini rakyat Malaysia khasnya yang beragama Islam sudah bersedia untuk memberikan komitmen yang sama tidak kira samada Najib dan Umno sudah bersedia ataupun tidak. roslansms@gmail.com

No comments: