DAP berkerja kuat bagi memastikan gagasan Pakatan Harapan
yang mereka lahirkan bersama PKR dan Pan akan segera dapat menggantikan gagasan
Pakatan Rakyat yang telah mereka matikan dan lontar jauh ke longkang.
Merekalah akitek sebenar PH dan malah merekalah juga akitek
yang memberi nyawa dan melahirkan Pan yang cuba digambarkan sebagai pengganti
PAS.
Keputusan konvensyen PH di Shah Alam baru-baru ini jelas
memperlengkapkan lagi agenda dan kehendak politik DAP. Tiada lagi prinsip “bersetuju
untuk tidak bersetuju” dalam PH tidak sebagaimana PR dahulu.
Dalam PH hari ini segalanya mesti diputuskan secara konsensus
oleh ketiga-tiga parti dan tiada parti yang punya ruang atau opsyen
berpendirian “bersetuju untuk tidak bersetuju” melainkan semua kena sepakat dan
bersetuju atas semua perkara.
Perkara ini penting buat DAP kerana dengan cara itu tiada lagi
mana parti boleh membawa isu yang tidak selari atau bertentangan dengan prinsip
dan dasar sekular, “Malaysian Malaysia” DAP itu.
Jika dahulu contohnya dalam isu hudud, cadangan PAS itu
menjadi pertikaian sehingga akhirnya PAS boleh berpegang pada prinsip “bersetuju
untuk tidak bersetuju” apabila DAP khasnya menolak cadangan PAS itu. PR
menghormati perbezaan pandangan dan pendekatan PAS.
Akan tetapi dalam PH hari ini tiada lagi ruang untuk itu.
Ini bermakna kiranya Pan, mahu bawa idea dan pendekatan
Islam, termasuklah isu-isu perundangan Islam yang hanya terkena atas penduduk
Islam contohnya, apabila sahaja DAP menentang, dan pasti DAP akan tentang, maka
gugurlah idea itu dari PH.
Bolehkah Pan berjuang untuk Islam jika begitu?
Sesungguhnya prinsip baru ini hanya memudahkan rakyat
khasnya orang Melayu Islam untuk mengenali wajah DAP yang sebenar.
Barulah mereka semakin sedar betapa DAP bersungguh dalam
perjuangannya untuk mempertahankan negara ini sebagai negara sekular yang
memisahkan sama-sekali antara agama dan politik. Mahukah rakyat Malaysia
khasnya mereka yang beragama Islam dekat pada DAP lagi jika begitu?
Bagi mereka Islam ini sekadar satu “religion”, dan Islam
sebagai agama resmi bermakna Islam yang berkaitan adat-istiadat, tetapi tidak
lebih dari itu. Sebarang usaha mahu memartabatkan undang-undang dan peraturan Islam
akan ditentang, kerana ianya nanti akan mengelirukan rakyat dan mewujudkan dualisma
dalam undang-undang negara mengikut fahaman mereka.
Bagi DAP mahkamah syariah
sepatutnya diuruskan sebagimana mahkamah anak negeri di Borneo, serendah-rendah mahkamah yang sekadar
membicara dan mendengar kes-kes berkaitan nikah kahwin dan harta pusaka.
Ini bukan kenyataan adu-domba tetapi realitinya begitulah
kemahuan DAP, kerana itu menolak konsep “ bersetuju untuk tidak bersetuju” itu
sangat penting buat DAP dalam PH.
Kerana itu jugalah PAS ditolak, kerana PAS dilihat terlalu
bersungguh mahu kembali pada Islam, walaupun usahanya sekadar mahu melibatkan
penduduk Islam semata-mata.
DAP sendiri menyatakan secara terbuka mereka menentang
perlaksanaan Hudud, walaupun Hudud yang mahu dilaksanakan oleh PAS di Kelantan
itu sekadar terkena ke atas rakyatnya yang beragama Islam.
Rakyat Malaysia khasnya yang beragama Islam perlu tahu,
sikap, pendirian dan agenda DAP ini.
Semoga rakan kita PKR tidak mudah terperangkap dengan gerak-kerja
DAP ini. Biarlah Pan terhoyong-hayang menjulang dan menjaja DAP, akitek mereka, PKR jangan terjerumus sekali.
Malah jika Kit Siang dan DAP mahu tahu, reaksi pengundi
Melayu terhadap kajian Institut Darul Ehsan yang meletakkan 64% dari mereka
setuju bahawa DAP adalah sebuah parti anti Melayu dan anti Islam semuanya
berpunca dari sikap angkuh DAP ini yang tidak menghormati kuatnya pegangngan
umat Islam pada aqidah dan kepercayaan mereka.
Bukan hanya orang PAS begitu, malah orang Umno, orang PKR yang Muslim, orang tidak
berparti, orang Islam yang berpendidikan dan tidak berpendidikan, yang faham
agama dan kurang kefahaman, semuanya sensitif dan tidak sekali-kali akan
membiarkan agama mereka dipermainkan. Dan apabila ini berlaku seluruh umat
Islam dengan mudah boleh bangkit bersatu menentang mana-mana sahaja anasir yang
mengancam mereka.
Jangan sentuh Islam, jangan pertikaikan dan mencabarnya.
Islam tidak pernah dipaksa ke atas bukan Muslim dalam negara kita. Apa yang
kita mahukan adalah pengiktirafan dan penghormatan.
Tetapi dengan agenda negara sekular dan “Malaysian Malaysia”
DAP ini rakyat Malaysia khasnya yang beragama Islam akan semakin terpanggil
untuk meminggirkan DAP dan jangan terperanjat jika angka 64% itu boleh meningkat
mencecah ke 80 dan malah juga 90% satu ketika nanti.
Jika dahulu ketika bersahabat dengan PAS, umat Islam
menerima DAP dengan hati terbuka kerana di sana ada PAS yang memang kuat
berpegang pada prinsip zaman berzaman. Tetapi apabila PAS diberi layanan buruk
oleh DAP, dicerca, dihina, tidak dihormati dan akhirnya ditendang keluar, maka
lupus dan hilanglah sekali keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap DAP.
Pergilah DAP dengan keangkuhan mereka dan dengan keghairahan
mereka bahawa hanya mereka yang menguasai dan memegang kuasa politik penentu
yakni sokongan masyarakat Cina.
Percayalah masyarakat Cina itupun yang telah hidup duduk
sama rendah berdiri sama tinggi dengan masyarakat yang lain termasuklah
orang-orang Melayu zaman berzaman, hanya menghargai DAP apabila mereka membuktikan
mereka boleh berkerjasama dengan PAS yang menguasai pengundi teras yakni Melayu
Islam selain Umno.
Apabila PAS mereka terajang keluar, masyarakat Cina pun cemas
dan melihat DAP seakan bersendirian, tiada lagi dibayangi parti yang mampu
membawa sokongan pengundi teras.
PKR bukan PAS, apatah lagi Pan yang hidup segan mati tak
mahu itu.
Pengundi Cina pun apabila mereka sedar PAS tiada lagi
bersama akan berfikir dua tiga kali sebelum memberi sokongan mutlak pada DAP sebagaimana
sebelum ini.
Semoga DAP sedar akan kesilapan dan cacatnya bacaan politik
mereka.
Sesal dahulu
pendapatan sesal kemudian tidak berguna. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment