Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2117 Edisi Isnin muka F17
Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak dijangka membentangkan laporan penuh indeks syariah bagi mengukur
tahap pelaksanaan agenda Islam di Malaysia pada 28 Mac ini. Indeks syariah yang
dimaksudkan telah pun dilancarkan Februari tahun lalu dan ianya merupakan usaha
untuk melihat sejauh mana kerajaan dapat mengisi agenda memartabatkan Islam di
dalam program dan perlaksanaan dasarnya.
Adalah difahamkan sebanyak lapan
bidang utama akan diukur menggunakan Indeks Syariah Malaysia. Lapan bidang utama
berkenaan meliputi bidang-bidang perundangan, politik, ekonomi, pendidikan,
kesihatan, budaya, pasaran dan persekitaran serta sosial.
Piawaian syariah yang digunakan
untuk mengukur indeks ini dikenali dengan istilah syaraknya Dharuriyah al
Khamsah yakni berpandukan kepada lima aspek atau matlamat syariah yang disebut
sebagai Maqasid al-Syariah. Ini termasuklah dalam aspek pemeliharaan agama,
nyawa, akal, keturunan dan harta.
Umpamanya kalaupun ada
undang-undang dalam negara yang tidak berlabel Islam tetapi memenuhi tuntutan
syariat di atas maka ia tetap dianggap patuh syariah.
Sejauh manakah kesungguhan pihak
kerajaan dalam mahu memartabatkan Islam yang diukurnya melalui indeks syariah
ini tidaklah diketahui.
Rakyat Malaysia maklum bahawa
Perdana Menteri yang juga Presiden Umno semasa menyampaikan ucapan dasar di
Perhimpunan Agung Umno 2015 awal Disember lalu telah berikrar dan berjanji akan
komited sepenuhnya untuk memperkembang dan mempertinggikan syiar Islam di
Malaysia.
Kata beliau dengan cara itu: “ Barulah,
sebuah negara Islam yang digelar “Baldatun Toy-yi-batun wa Rob-bun Ghofur” akan
terbangun dan terwujud jua di Malaysia”.
Dan bergerak ke arah itu beliau
sendiri menyatakan dalam majlis yang sama yang disaksikan oleh para perwakilan
Umno dan jutaan rakyat Malaysia: “ Dengan hati yang terbuka dan nubari yang
merdeka, kita hulurkan tali silaturrahim,… kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju
kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariat Nya” yang ditujukan kepada
PAS.
Dan sebagaimana kita ketahui Presiden
PAS memberikan respon bahawa PAS bersikap terbuka kepada apa-apa niat untuk
menggalakkan perpaduan berteraskan Islam dengan mana-mana pihak. Malah PAS akan
berlapang dada kepada mana-mana suara positif yang membawa kepentingan kepada
Islam, negara, dan rakyat tidak kira orang Islam atau bukan Islam.
Mungkinkah pembentangan laporan
penuh indeks syariah yang dijanjikan itu sebahagian dari bukti kesungguhan
Najib dan kerajaannya dalam mahu membina sebuan negara berteraskan syariat
Allah swt?
Sejak dari perhimpunan Umno
sehinggalah program Multaqa Serantau Alumni al Azhar Malaysia di Hotel Grand
Season Kuala Lumpur 17 Disember lalu rakyat Malaysia menunggu-nunggu sesuatu
yang positif yang boleh membuktikan betapa komited dan seriusnya Najib khasnya
dalam mahu memartabatkan Islam selain melibatkan PAS dalam usaha-usaha ini.
Perpaduan seluruh kelompok Islam
dalam berkerja ke arah perlaksanaan sebuah negara Islam sudah pastilah akan
disambut baik oleh semua pihak khasnya dikalangan masyarakat majoriti Islam dalam
negara.
Jika pembentangan laporan penuh
indeks syariah Mac nanti merupakan salah satu usaha Najib, maka ianya wajar
dialu-alukkan. Namun demikian pembinaan sebuah negara yang bercirikan “Baldatun
Toy-yi-batun wa Rob-bun Ghofur” sudah pastilah tidak boleh berhenti setakat itu
malah ia lebih luas lagi.
Banyak usaha-usaha lain sudah
perlu diterokai dan digerakkan bagi meyakinkan seluruh masyarakat dan negara
bahawa apa yang telah diutarakan oleh Najib sebelum ini bukan sekadar retorik
politik atau propaganda meraih simpati semata-mata tetapi ia serius.
Umum mengetahui bahawa disaat dan
ketika ini Najib dan kerajaannya sedang teruk dilanda krisis keyakinan akibat
dari pelbagai isu dan permasalahan yang tidak selesai termasuklah skandal 1MDB,
kenaikkan kos hidup rakyat, GST dan kini TPPA.
Kerana itu dalam berhdapan dengan
realiti ini Presiden PAS pernah menegaskan: "Pas juga ingin membuat
seruan, betapa kini masa yang sangat sesuai untuk Umno kembali kepada Islam dan
mengamalkan cara hidup Islam dalam segenap sendi perjuangannya, samada politik,
sosial mahu pun ekonomi,".
Inilah masa dan ketikanya semua
ruang dan “platform” dibuka demi agenda memartabatkan Islam. Islam dan
perlaksanaannya perlu dihebah dan diterangkan secara meluas kepada seluruh
rakyat dalam negara supaya ia dapat diterima dan difahami kerana ianya punya
roh penyelesaian yang mampu membawa negara keluar dari kemelut yang sedang
melandanya hari ini angkara BN.
PAS dan para ulamaknya harus
dilibatkan dalam siri-siri penerangan dan majlis-majlis forum dari ceruk dan
rantau kampung dan desa sehinggalah ke pekan-pekan dan bandaraya termasuklah
serambi istana. TV dan radio adalah media terbaik bagi tujuan ini, jangan lagi
ada yang di gam atau disenarai hitam.
Langkah melibatkan lebih 133
penyelidik dari lima IPTA bagi menyediakan laporan indeks syariah ini
dialu-alukan. PAS sendiri punya ramai bekas ahli-ahli akademik dari IPTA selain
Tuan-tuan Guru yang berwibawa yang pasti bersedia memberikan input dan
pandangan yang lebih komprehensif dalam menzahirkan sebuah negara berteraskan
landasan yang menepati syariat Islam.
Dato Dr Harun Din (UKM), Dato Dr
Mahfodz Mohamad (UM), Dato Tuan Ibrahim Tuan Man (UITM), Ustaz Idris Ahmad
(UITM), Ustaz Dato Mohammad Amar Nik Abdullah (UIA), Dato Dr Ustaz Mohd Khairuddin
Aman Razali (UKM), Dato Dr Mohd Fadhli Dato Hassan (UIA), Dato Dr Johari Mat
(UM) adalah antara contoh nama-nama bekas pensyarah IPTA yang dimaksudkan.
Pokoknya di sini adalah sejauh
manakah Najib dan kerajaan serius dalam usaha ini. PAS samada dilibatkan
ataupun tidak memang berjuang untuk agenda Islam kerana itulah matlamat
perjuangannya sejak ia ditubuhkan. Sebagaimana ditegaskan Presiden PAS dalam
ucaptamanya di Hotel Grand Season di hadapan Najib Disember lepas, dalam apa
keadaan pun “Islam dan penganutnya mesti berkuasa”.
PAS konsisten ke arah itu dan
ternyata dalam suasana pancaroba ini rakyat Malaysia khasnya yang beragama
Islam sudah bersedia untuk memberikan komitmen yang sama tidak kira samada Najib
dan Umno sudah bersedia ataupun tidak. roslansms@gmail.com