Wednesday, July 02, 2014

Benarkah "Merdeka Compromise" punca kemelut hari ini? (2/7/14)


Seorang penulis dan penganalisa sosial Wong Chun Huat Phd dalam sebuah artikelnya di Malaysian Insider bertajuk: “1946 when it went all wrong for us” cuba mencari punca berlakunya kemelut apa yang beliau nyatakan sebagai:

“….with sensational news from Muslim-only Allah, Hudud for all, body-snatching, wedding gate-crashing, police defying the Common Law Courts, to now Muslims buying only from Muslims? –

“,,,,dengan berita-berita sensasi Allah untuk orang Islam, Hudud untuk semua, rampas mayat, majlis perkahwinan yang dicerobohi, pihak polis yang mengenepikan Mahkamah Common Law, dan kini orang Islam hanya membeli dari orang Islam?”

Sebelum mengulasnya saya perhatikan  kemelut yang beliau gariskan di atas sudah ada cacatnya. Contohnya “Hudud for all”, rasa saya apa yang cuba diketengahkan oleh kerajaan Kelantan bukannya “Hudud for all” tetapi “Hudud for Muslims in Kelantan” ataupun Hudud buat masyarakat Islam Kelantan. Masakan Wong yang berkelulusan Phd tidak sedar, melainakn beliau punya agenda tertentu.
“Body snatching” atau “Merampas mayat” yang saya yakin beliau tujukan atas beberapa kes melibatkan tindakan Jabatan Agama menangguhkan pengkebumian mayat yang dipertikaikan agama terakhirnya juga tampak seakan berlaku rampas-merampas mayat sesuka hati sedangkan sebenarnya ianya berlaku mengikut prosedur atau peraturan undang-undang.

Semuanya berakhir dengan rujukan ke mahkamah, ada kes yang mayat itu disahkan Islam dan akhirnya dikebumikan mengikut cara-cara Islam dan ada juga yang diputuskan sebaliknya. Tidak ada kes dimana mayat itu dikebumikan tanpa merujuk mahkamah. Oleh itu sekali lagi kemelut yang Wong cuba cetuskan itu sebenarnya tidaklah sebagaimana yang mahu digambarkan, cacat juga.

Begitulah yang lain-lainnya, tetapi posting saya ini lebih tertumpu kepada ulasan Wong darihal tiga asas penting “Merdeka Compromise” atau “Tolak-ansur Kemerdekaan” yang cuba beliau berikan mengikut tafsirannya.
Kelemahan tolak-ansur inilah menurut beliau membawa kita kepada permasalahan semasa sebagaimana yang beliau gariskan diawal posting ini.

Saya menghormati pandangan beliau, tambah-tambah seorang intelek yang punya Phd sudah pastilah beliau punya ilmu yang tinggi. Namun dalam kes ini sejauh mana ianya tepat dan benar bolehlah kita kaji dan bahaskan.
Satu fakta yang membawa kepada “compromise” berkenaan yang menjadi perkara pokok yang tidak pula di “highlight” kan Wong adalah bahawa orang-orang Melayu yang merupakan penduduk asal Negara ini (ketika itu Persekutuan Tanah Melayu dan sebelumnya Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu selain Negeri-negeri Selat) demi mendapatkan kemerdekaan dari British telah sanggup duduk “bertolak ansur” dengan sahabat-sahabat “baru” mereka yang bolehlah dikategorikan sebagai kaum pendatang ketika itu iaitu orang-orang Cina dan India.

Orang Melayu yang merupakan penduduk asal Negara ini  ketika itu punya Raja-raja berdaulat, mengamalkan agama Islam dan punya adat budaya zaman berzaman, namun demi menebus maruah , memerintah sendiri tanahairnya telah sanggup duduk melakarkan apa yang Wong utarakan sebagai “Merdeka Compromise”.
Bagi saya lihat dari sudut mana pun, tanpa prejudis ke mana-mana pihak, orang Melayulah yang telah berbesar hati berkongsi tanah air ini dengan sahabat-sahabat “baru” mereka itu, orang Melayulah yang telah menerima kemasukkan sahabat-sahabat “baru” itu untuk diberikan sama taraf dan sama kedudukan sebagaimana mereka, iaitu warganegara tanahair ini demi mendapat perkenan British untuk mengecapi kemerdekaan.

Oleh itu “compromise” atau “tolak-ansur” itu sebenarnya dari pandangan saya adalah dari orang Melayu kepada sahabat-sahabat “baru” mereka. Yang berkorban, yang membuka ruang, yang bertolak ansur dalam hal ini sebenar dan sesungguhnya datang dari orang Melayu demi memberi ruang dan tempat kepada sahabat-sahabat “baru” itu. Jadi ianya bukanlah sangat “tolak ansur” dari “all sides” sebenarnya (sebagaimana Wong nyatakan), tetapi ia lebih pada kemurahan hati orang-orang Melayu ketika itu.
Tiga asas penting “Merdeka Compromise” yang Wong utarakan adalah:

1) berhubung kewarganegaraan: demi memberi hak kewarganegaraan kepada bukan Melayu ketika itu orang-orang Melayu diberikan beberapa Hak Keistimewaan, yang bagi Wong punca kepada permasalahan semasa.
Namun adakah Hak Keistimewaan itu sebenarnya suatu “compromise” yang ekstrim atau sesungguhnya sesuatu yang “natural” memandangkan jika tidak kerana kemurahan hati orang Melayu ketika itu tidak akan berlakulah Merdeka Compromise ini dan selama-lamanya kekal Tanah Melayu bumi ini dan bukannya Malaysia sebagaimana hari ini.

Wong dan saya tidak hadir untuk menyaksikan kemelut tahun 40an itu dan betapa besarnya jiwa pemimpin Melayu ketika itu yang tidak pula disanggah malah dirai dan diterima baik oleh masyarakat bukan Melayu yang kemudiannya menjadi warganegara.
Adilkah kita mempertkaikan isu ini hari ini sedangkan sebenarnya datuk dan nenek moyang Wong dan saya menerimanya dengan penuh kesyukuran.

2) Agama: kebebasan agama terjamin dengan dua syarat iaitu Islam yang ketika itu sudah pun agama rasmi negeri-negeri Melayu menjadi agama Persekutuan dan keduanya yang dijadikan peruntukkan dalam Perlembagaan bahawa  pertukaran agama hanya dibenarkan satu hala sahaja iaitu dari bukan Islam ke Islam dan bukan sebaliknya.
Sekali lagi Wong menjadikan isu ini sebagai punca perbalahan hari ini?!

Sedangkan beliau sendiri mengakui bahawa Islam sudah pun merupakan agama rasmi negeri-negeri Melayu ketika itu. Bermakna “Merdeka Compromise” ini seakan, “when in Rome do as the Romans do”, seadilnya sahabat-sahabat “baru” lah perlu meraikan apa yang telah ada, mereka masuk ke kandang “Tanah Melayu” maka wajar sangatlah apa yang dalam kandang berkenaan diterima secara terbuka.
Kita tidak nampak ada pertikaian atau perbalahan pun dari masyarakat bukan  Melayu ketika itu. Bukannya orang-orang Melayu minta supaya sahabat-sahabat “baru” mereka tukar agama dan jadi Islam semuanya sebagai prasyarat. Tetapi apa yang mereka minta sebagai balasan berkongsi kewarganegaraan, adalah Islam diberikan tempat dan dihormati.

Saya tidak boleh terima Wong menyalahkan datuk nenek kita sebagai punca kononnya perbalahan hari ini kerana “bertolak ansur” dalam isu agama ini.
3) Bahasa: kebebasan penggunaan bahasa masing-masing dijamin dengan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.  Diperingkat polisi menurut Wong sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dibenarkan namun dengan matlamat akhirnya menyatukan semua sekolah-sekolah dengan satu Bahasa iaiatu Bahasa Melayu.

Sehingga ke hari ini kita lihat sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan India kekal beroperasi dalam Negara kita dengan bantuan kerajaan malah sekolah-sekolah Cina dilihat antara yang termaju serba-serbi hasil sokongan kuat masyarakat Cina. Tidak ada pertikaian atas kehadiran sekolah-sekolah ini dikalangan masyarakat Melayu umumnya.

Malah menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sejak Merdeka sehingga ke hari ini juga diterima dan tanpa banyak masalah oleh rata-rata seluruh masyarakat.
Oleh itu dimanakah rasionalnya boleh Wong longgokkan masalah semasa yang beliau bayangkan di awal posting ini ke atas isu Bahasa?

Kalau benar “Merdeka Compromise” itu ada agenda untuk akhirnya me”Melayu”kan masyarakat bukan Melayu sebagaimana dinyatakan Wong terbukti ia gagal. Kita ada Menteri Melayu sebagaimana kita ada Menteri bukan Melayu hari ini, kita ada Ketua Menteri Melayu sebagaimana kita ada Ketua Menteri bukan Melayu. Kita ada CEO syarikat korporat berbangsa Melayu sebagaimana kita ada ramai CEO yang bukan Melayu. Jutawan pula malah lebih ramai yang bukan Melayu dari Melayu. Bila masa pula yang bukan Melayu ni mahu di “Melayu”kan?
Bagi saya kesimpulannya masyarakat Melayu dan bukan Melayu hari ini sudah jauh tersasar dari nilai-nilai “tolak-ansur” yang pernah dicapai oleh datu nenek moyang kita di awal kemerdekaan. Mereka telah harungi kesusahan dan keperitan zaman ketika itu, dan mereka berkorban menolak kepentingan mana-mana kaum dan akhirnya berseutju berkompromi atas kesedaran bahawa Negara Merdeka yang bakal dibina bersama nanti yang akan diwarisi oleh cucu cicit mereka akan menjadi yang terbaik di rantau ini.

Janganlah kita longgokkan masalah hari ini pada mereka, sebagaimana yang cuba didakyahkan oleh Wong. Kita yang telah dewasa yang lebih jauh maju ke hadapan dari zaman mereka sepatutnya lebih matang, menghargai perjuangan dan sumbangan yang lampau dan mengukuhkan apa yang telah dibina dengan lebih baik dan rapi.
Saya dan saya percaya rata-rata rakyat Malaysia hari ini sudah tidak lagi berbicara darihal siapa yang asal dan siapa yang pendatang. Yang penting bagi kita hari ini : “Dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung”.

 

 

 

 

 

 

 

1 comment:

Anonymous said...

phd jugak ada tapi kebijaksanaan belum tentu ada
kalau nak pertikai melayu lah yang patut pertikai memang silap tunduk dengan britis