Sebagai seorang ahli PAS kalau diajukan persoalan pada saya,
pasti saya akan menjawab bahawa saya akan menyokong 100% perlaksanaan Hukum
Hudud di Kelantan sebagaimana sedang diusahakan oleh PAS melalui “Private Bill”
di Parlimen. Itu sudah pasti. Kalau ada ahli PAS yang memiliki pendirian atau
pandangan selain itu, sewajarnya individu itu dipecat.
Tetapi Hukum Hudud ini bukan idea PAS. Ianya bukan bikinan
PAS. Ianya suatu kanun yang di turunkan Allah swt sebagaimana termaktub di
dalam al Quran dan dilaksanakan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.
Ia sesuatu yang diwajibkan ke atas umat Islam, dan sekiranya umat Islam
memegang kuasa di dalam sesebuah pemerintahan atau kerajaan, maka wajib
pemimpin Islam tadi melaksanakan hukum berkenaan.
Oleh itu saya yang menyokong PAS, sebuah parti berteraskan
Islam di Malaysia yang bercita-cita memperjuangan perlaksanaan Islam, memanglah
akan menyokong perlaksanaan hukum ini, bagaimana dengan yang lain?
Rakyat Malaysia yang bukan Islam tidak kira fahaman politik,
samada DAP, Gerakan, MCA, MIC, PKR atau apa sahaja atau tidak berparti,
mungkin menolak hukum ini kerana ianya bukan dari agama mereka.
Walaubagaimanapun mungkin ada segelintir yang faham dan terbuka boleh menerima.
Bagaimana pula dengan rakyat Malaysia yang beragama Islam khasnya
berbangsa Melayu yang merupakan penganut Islam majoriti dalam negara?
Sewajarnya usaha PAS ini dianggap sebagai sesuatu yang
murni, walaupun berasal dari inisiatif PAS, tetapi ia bermaksud untuk
memartabatkan Islam, ia wajib disokong. Kerana itu samada ia bermotif politik
atau tidak kita lihat Umno awal-awal lagi melalui kenyataan beberapa pimpinan
mereka menyatakan akan menyokong “Private Bill” ini dan perlaksanaan Hudud di
Kelantan.
Kalau Umno parti Melayu, maka memang kenalah mereka
menyokongnya memandangkan Hudud adalah tuntutan ke atas penganut Islam, dan
Umno mewakili orang Melayu yang beragama Islam.
Begitu juga sewajarnya semua ahli Parlimen Melayu dan Islam
tidak kira samada dari BN mahupun Pakatan Rakyat termasuklah dua orang ahli
parlimen DAP yang berbangsa Melayu beragama Islam!
Kesungguhan perlaksanaan Islam bergantung atas kesatuan
ummah. Kesatuan ummah bermula di atas kesatuan pimpinan ummah, yakni pemimpin
yang beragama Islam yang mewakili rakyat.
Hari ini selain PAS yang “solid” menyokong, dan Umno yang
mengatakan akan sokong, parti-parti politik lain terutama MCA, DAP, Gerakan dan
MIC secara terbuka menyatakan tentangan. Ini termasuklah beberapa parti
komponan BN di Sabah dan Sarawak. PKR pula berbelah bahagi, ada pemimpinnya yang
menyatakan akan menyokong sebagai seorang Muslim, ada juga yang menyatakan akan
tentang.
Sehingga hari ini saya tidak nampak ada sekelumit pun logik di
atas penentangan pimpinan politik bukan Islam ini memandangkan Enakmen Jenayah
Syariah di Kelantan itu hanya terkena ke atas orang-orang Islam sahaja.
Dimanakah hak dan kepentingan bukan Islam yang terjejas dan terganggu akibat
operlaksanaan Hudud di Kelantan ini?
Bagi saya “devoid of logic” atau dalam ketiadaan logik, maka
yang nyata hanyalah penetangan ini kerana tidak mahu kepada Islam. Saya bukan
bermaksud mahu membakar semangat atau mencetus ketegangan antara agama, tetapi saya sekadar
mahu meniti di atas hak dan kuasa politik di bawah sistem demokrasi yang kita anuti dan amalkan sekian lama.
Baik kiranya kumpulan yang “devoid of logic” ini menentang
semata-mata kerana tidak mahu melihat perlaksanaan Islam sesama umat Islam,
walaupun pelbagai seminar dan dailog diadakan, maka perlulah suatu pengajaran politik dikenakan ke atas mereka.
Tidak lama lagi akan ada dua pilihanraya kecil Parlimen, satu
di Bukit Gelugor Pulau Pinang dan satu di Teluk Intan Perak.
Oleh kerana kesemua penentang Hudud ini seakan tidak peduli
di atas sensitiviti umat Islam, kehendak umat Islam untuk mengamalkan agama
mereka. Mereka hanya pentingkan kuasa politik mereka, apa kata kita pula beri
pengajaran politik kepada mereka.
Dalam kerangka sistem demokrasi kita mahu bertindak secara
berakhlak dan terhormat, bukan melalui keganasan atau kacau-bilau. Apa kata
umat Islam khasnya orang Melayu di Bukit Gelugor dan Teluk Intan tak kiralah
PAS, atau Umno, atau PKR atau DAP Melayu atau NGO atau yang tidak berparti,
kesemuanya, boikot kedua-dua PRK ini.
Jangan keluar mengundi kerana yang akan bertanding di Bukit
Gelugor nanti adalah DAP dan MCA kedua-duanya menentang Hudud. Demikian juga di
Teluk Intan iaitu antara DAP dan Gerakan kedua-duanya menentang Hudud. Demi
maruah dan harga diri kita apa kata kita pulaukan kedua-dua PRK ini biar mereka
dengan jelas membaca betapa bengkaknya hati umat Islam lantaran komen dan
protes mereka terhadap Hudud kebelakangan ini.
Biar ini menjadi mesej bahawa kuasa politik Melayu dan Islam
boleh juga digunakan di kawasan-kawasan lain seluruh Malaysia kiranya
penentangan ini berterusan.
Gesaan ini terbit dari hati dan fikiran saya sendiri, lama
sangat orang Islam bersabar dengan karenah dan sikap enggan bertoleransi dan
tolak-ansur kawan-kawan kita ini.
No comments:
Post a Comment