Wednesday, May 07, 2014

Antara lobi menolak dan menerima Hudud (7/5/14)

Dalam sebuah sidang akhbar selepas majlis forum berkenaan Hudud anjuran akhbar Sinar Harian siang tadi, salah seorang ahli panel iaitu Datuk Wee Ka Siong yang juga Timbalan Presiden MCA dilaporkan oleh The Star sebagai berkata kiranya ahli-ahli Parlimen Umno bertindak menyokong “Private Bill” PAS berkenaan Hudud di Parlimen maka MCA akan pertimbangkan semula kedudukan mereka dalam Barisan Nasional.

Nada ini mirip kenyataan seorang pemimpin DAP sebelum ini yang menggesa PAS agar keluar dari Pakatan Rakyat kiranya mahu meneruskan cita-citanya membentangkan “Private Bill” berkenaan di Parlimen.
Jelas dalam isu ini masing-masing parti politik tidak kiralah samada dari BN mahupun PR sedang bertindak melobi pendirian politik masing-masing bagi mempengaruhi  usaha PAS melaksanakan Hudud di Kelantan. Masing-masing parti memiliki bilangan kerusi tertentu di Dewan Rakyat, melalui lobi ini masing-masing mahu menonjolkan kekuatan politik masing-masing.

Lobi-melobi ini adalah sebahagian dari amalan demokrasi. Suara satu-satu kelompok atau golongan mempengaruhi lobi berkenaan. PAS mahu membawa “Private Bill” ini. Dengan bilangan kerusinya yang ada di Dewan tidak cukup untuk meluluskan bill ini. Tiba-tiba Umno menyatakan bahawa akan memberi sokongan kepada bill itu, maka harapan untuk ia diluluskan cerah oleh kerana jumlah bilangan kerusi Umno dan PAS hampir mencecah “simple majority” dalam Dewan.
Bagi memastikan bill ini gagal, MCA contohnya melalui kenyataan Wee di atas sedang cuba menggunakan kedudukannya dalam BN dengan mengancam akan keluar jika Umno setuju dengan Bill ini, bermakna MCA sedang lobi secara ancaman. Begitu juga DAP terhadap PAS.

Sekali lagi menerusi amalan demokrasi tindakan ini “normal”.
Sentimen apakah yang digunakan oleh MCA, DAP dan beberapa parti kecil lain? Sentimennya bahawa Hudud bertentangan dengan Perlembagaan Negara yang menurut mereka menjamin sebuah kerajaan yang sekular. Sekular bermakna memisahkan antara kerajaan dan agama.

Sentimen apakah pula terpakai atas PAS dan Umno dan diharapkan beberapa ahli Parlimen Muslim dari parti-parti lain? Sentimen di sini adalah bahawa Hudud sebahagian dari ajaran Islam dan termaktub di dalam al Quran serta dlaksanakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu Hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan ini wajib disokong.
Malaysia telah mengamalkan dwi sistem perundangan sejak sebelum Merdeka lagi iaitu dengan wujudnya sistem keadilan Islam melalui Mahkamah Syariah. Kehadiran Mahkamah Syariah sesungguhnya adalah bukti bahawa Malaysia bukanlah Negara sekular, malah Islam sebagai agama rasmi Persekutuan (Artikel 3 (1) Islam is the religion of the Federation) dengan sendirinya membutikan Malaysia mengiktiraf kewujudan Islam dan amalannya dalam masyarakat.

Hudud dalam hal ini adalah “expansion” atau perluasan dari sistem perundangan Islam yang ada. Kelantan mahu “expansion” ini dilaksanakan.
Orang Islam tidak boleh melawan al Quran. Orang Islam dididik menjunjung al Quran. Oleh itu kalau ada lobi yang mahu menolak “Private Bill” ini oleh ahli-ahli Parlimen bukan Islam, (sedangkan Hudud yang mahu dilaksana tidak terkena pun ke atas mereka) maka ahli-ahli Parlimen Islam perlulah bangkit menyokongnya atas sentiment Islam.

Ini bukan hasut-menghasut. Ini bukan seruan memecah-belah perpaduan dan keharmonian rakyat. Tetapi ini “lobi” yang merupakan amalan demokrasi yang dipakai oleh semua Negara demokratik. Di Amerika Syarikat juga ada lobi, lobi paling kuat di sana adalah lobi “Yahudi” sehingga boleh mempengaruhi kepimpinan Negara berkenaan dan bill serta peraturan yang mahu dilulus di sana. Begitu juga di UK dan Eropah. Malah di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga begitu!
Kesimpulannya semoga semua ahli Parlimen Muslim sedar akan tugas dan tanggungjawab mereka masing-masing pertama terhadap Allah swt dan kedua pada Negara dan rakyat. Pertahankanlah maruah dan harga diri Islam. Ini bukan hal PAS atau Umno, tetapi ini berkenaan status Islam dan letak duduknya pada mata rakyat dan Negara.

Semoga Malaysia kekal aman dan Islam sebagai agama rasmi Negara dipertahankan.

2 comments:

Anonymous said...

udah lama pun orang Islam duk berhukum dengan hukum rekaan manusia di bumi sendiri.dalam hati terasa benar terhina.
persiapkan segala kemudahan untuk pelaksanaan hukum hukum Allah bukan mencari alasan tak mau
biar mati dalam usaha nak berhukum dengan hukum Allah daripada mati dalam keadaan menyanggah hukum Allah
tak kan nak tunggu 30 tahun lagi jangan sampai Allah timpakan kehinaan seperti di bosnia

Unknown said...

Dengan Nama Allah SWT
Di mana silapnya perihal HUKUM ALLAH ( Hudud) ??? Adakah Al Quran ( Kata Kata Allah ) dan Hadith Nabi SAW ( kata kata Nabi SAW ) masih blurr atau payah nak mengerti undang undang yang di wajibkan kepada keatas orang Islam ??? Silap Allah kah atau silap Nabi SAW kah sehingga payah atau susah untuk melaksanakan hukum Allah ???
Hukuman yang di reka oleh Lord Reid begitu mudah di ikuti dan di fahami berbanding Hukuman Allah SWT . Adakah Lord Reid lebih bijak dari Allah SWT perihal menghukum orang yang bersalah ???
Tiada siapa yang mempersoalkan Hukum yang di reka oleh Lord Reid tapi perihal Hukum Hudud berbagai alasan kepayahan di utara kan termaksud empunya N3 ini.