Apabila jenayah terutama pembunuhan menggunakan senjatapi
berlaku secara berleluasa kebelakangan ini, banyak pihak termasuklah kita semua
resah dan gelisah. Kita bimbangkan keselamatan kita dan kaum keluarga.
Masing-masing mengeluh bagaimana pembunuh-pembunuh ini dapat memperolehi
senjatapi dengan begitu mudah. Dan sudah psati sasaran utama kritikan adalah
pihak polis iaitu badan yang bertanggungjawab menjaga kemanan rakyat dan Negara.
Banyak pihak dari individu ke pimpinan masyarakat dan
politik mengeluarkan kenyataan mengutuk jenayah berkenaan. Dan pihak polis
terus menerus menjadi bahan sasaran.
Tokoh korporat dibunuh, begitu juga peniaga, pegawai dan
kakitangan awam termasuklah mereka yang memiliki latarbelakang yang
mencurigakan. Tembak, tembak, tembak, hari-hari kita mendengar dan membaca
laporannya.
Tiba-tiba apabila pihak polis bertindak. Terbaru menembak
mati 5 orang suspek di Pulau Pinang yang disyaki terlibat dengan jenayah ini,
lain pula ceritanya.Polis kejam, polis tidak beri peluang sedangkan mereka ketika itu tidur, mengapa polis tidak tahan mereka hidup-hidup, polis salah guna kuasa………
Sekejapan mereka yang sebelum ini mengkritik pihak polis
kerana gagal menjalankan tugas, hari ini tiba-tiba pusing kebelakang menyerang
pula pihak polis yang menjalankan tugas dan sekaligus seakan membela pula
penjenayah.
Orang politik yang paling kehadapan dari Timbalan Menteri,
pimpinan BN (tertentu), pimpinan Pakatan (tertentu), tiba-tiba bangkit
menyerang polis membela pula penjenayah???!!!
Kalau beginilah sikap kita sampai bila Negara akan aman? Ada
isu yang boleh dipolitkkan, ada yang sepatutnya tidak dan memerlukan sokongan
semua pihak.
Saya bukannya mahu membela membuta tuli pihak polis. Tetapi
bagi saya pada merekalah kita perlu tambatkan harapan, saya yakin mereka juga
berusaha sedaya upaya mahu menjenrnihkan suasana. Berilah dalam hal ini
keyakinan dan kepercayaan kepada mereka.
Namun dalam waktu yang sama tidak salah jika kita menuntut
agar pihak polis berhati-hati dan tidak pula nanti bertindak terhadap mereka
yang tidak bersalah.
Dalam kes kejadian di Pulau Pinang, pihak polis menyatakan
bahawa mereka telah bertindak ke atas ke lima-lima suspek yang ketika itu
berada dalam satu unit apartmen. Apabila dikepung mereka melepaskan tembakan
terhadap pihak polis dan akibatnya kelima-lima ditembak mati. Menurut laporan
pihak polis menemui 3 pucuk pistol di tempat kejadian.
Apa pun saya kira pihak lain, termasuklah pimpinan politik
perlu menunggu sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak polis. Malah
hari ini sahaja dalam akhbar The Star dilaporkan bahawa upacara pengkebumian
kelima-lima yang terbunuh telah melihatkan suasana istiadat yang biasanya
diberikan kepada gang-gang mafia dan samseng.
Dilaporkan kenderaan yang membawa mayat simati dihiasi
dengan “swastika” dan sebuah kenderaan menurut The Star mempamirkan bunga bunga
dengan tulisan :
“Gobi Butterworth” “King of the ring”.
Masing-masing penuh dengan angka 04 iaitu lambang kumpulan
samseng yang dikaitkan dengan simati.
Anehnya kita turut mendengar bahawa mereka yang mati
kononnya orang baik-baik. Tidak ada rekod dan lain-lain.
Biarlah pihak polis menyiasat dan keluarkan kenyataan. Isunya
di sini adalah bermaharajalela kumpulan samseng-samseng ini dan keselamatan
rakyat terancam akibatnya. Biarlah pihak polis bertindak dan sebagai orang awam
kita berikan keyakinan dan sokongan semoga aman kembali Negara kita.
(Mungkin kalau ada pimpinan politik yang bersungguh-sungguh
mempertikaikan tindakan pihak polis dan rasional mereka menembak mati
penjenayah ini, lain kali bila ada operasi seumpama ini angkut sekali pimpinan
politik ini, biar mereka hadir sekali dan menyaksikan. Letak mereka di barisan
hadapan…..)
2 comments:
siapa yang lindungi mereka?
dan saya masih tidak dengar pujian daripada pihak PAS terhadap operasi PDRM ini ... takut dengan DAP kah??
Post a Comment