Kekal ilmu dan hikmah merajai dunia dakwah (21/8/13)

Wednesday, August 21, 2013


Saya sentiasa kagum dengan style, keperibadian dan pendekatan pemimpin/ulamak muda ini. Saya mendoakan semoga PAS terus subur dengan pemimpin-pemimpin seumpama beliau agar parti Islam ini terus relevan dan kekal istiqomah atas prnsip dan dasar perjuangannnya, biar datang ribut dan taufan sebesar mana sekalipun.
Beliau yang saya maksudkan adalah ahli Parlimen Pasir Mas YB Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz. Berikut adalah coretan terbarunya yang saya baca:

Metallica..
Adakah kita terpaksa akur, demi sokongan dan undi, untuk memenuhi kemahuan sejumlah anak muda yang minat gila dengan Metallica dengan mencari-cari atau mereka cipta satu fatwa ugama yang mengharuskan seni hiburan barat tanpa ugama itu untuk membentuk benak fikir dan budaya mereka?

Atau kita akur saja, kita bantah terus konsert hiburan yang melalaikan itu, kita kehilangan sokongan dan PAS menjadi tidak popular di kalangan segelintir anak muda?
Atau, kita usahakan cantuman antara keduanya, dengan memperelokkan bantahan, dengan mendidik mereka agar mengenali diri sebagai anak muda muslim yang mempunyai pelbagai kelebihan anugerahNya yang tidak melayakkan mereka untuk mudah kalah dan melayani gaya hidup barat yang syaitani itu yang akan meruntuhkan segala kelebihan yang telah mereka miliki?

Umno telah memilih yang pertama, walaupun tanpa lapik fatwa pun. Mereka telah mendapat apa yang mereka mahu.
Sebahagian pendakwah memilih yang kedua. Mereka berkata, Allah mahu tahu untuk memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya.

Pemuda PAS cuba memperhalusi dan menekuni agar ilmu dan hikmah itu merajai dunia dakwah. Jalan ketiga adalah pilihan dalam setiap hati yang budiman yang mencintai anak-anak muda muslim yang mencari-cari..
Dakwah itu kadang-kadang kelihatan mudah. Tetapi apabila kita 'terjun' sungguh di medannya, ia adalah satu seni halus menuju Allah yang memerlukan ilmu yang luas dan hikmat yang tinggi.

Mari menekuni..

Nik Mohamad Abduh

20 Ogos 2013

Memang sebagai sebuah gerakan Islam PAS akan sentiasa berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Bagaimana mendekati dan menangani sesuatu suasana dan isu itu dalam waktu yang sama tidak menggadaikan sedikit pun prinsip dan matlamat perjuangan akan terus menjadi ujian buat PAS.
Ambil jalan mudah, matlamat menghalakan cara. Asal sahaja menang kita terjah apa sahaja, esok lusa baru cerita isu prinsip…..itu setahu saya bukan PAS. PAS terus kekal dari 1951 sehingga hari ini lantaran kuatnya komitemen dan pegangannya terhadap Islam yang diperjuangkan. Itulah yang di didik dan diindoktrinasikan kepada ahli-ahlinya.

Orang menyertai PAS kerana itu dan orang berkawan dengan PAS kerana PAS bercirikan itu yakni Islam.

PAS pernah naik pernah jatuh dan naik kembali, dalam semua suasana ini ia tidak sekali-kali kompromikan dasarnya, kerana itu barakah turun sehingga ke saat ini. Jika PAS cuai, jika PAS kendur, jika PAS longgar, percayalah segalanya akan dilucutkan dari kita dan jadilah kita sebagaimana parti-parti Islam lain yang timbul tenggelam di bumi lain.
Kekallah insyallah ILMU dan HIKMAH merajai dunia dakwah!

0 comments: