Jadilah kerajaan yang bertaqwa (30/10/12)

Tuesday, October 30, 2012


Allah swt berfirman dalam al Quran:
…….dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (at Talaaq 2-3)

Saya teringat akan ayat ini apabila terbaca berita terkini dari The Star Online http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2012/10/30/nation/20121030135301&sec=nation        berkenaan penemuan telaga minyak terbaru di perairan Semenanjung Malaysia iaitu 160km dari Pantai Pahang iaitu di Bertam sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri.
Menurut PM telaga berkenaan dianggarkan mempunyai rizab pengeluaran sejumlah 64 juta tong minyak mentah. Iaitu bakal mempunyai pengeluaran sebanyak 17,500 – 20,000 tong sehari. Ini bermakna Negeri Pahang dijangka menerima royalti tunai sebanyak RM100 juta setahun dari kerajaan Persekutuan.

Kita bersyukur kehadrat Allah swt dengan hasil terbaru ini dan semoga Allah swt terus menerus melimpahkan rezeki Nya buat kita.
Cumanya kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Pahang juga wajarlah bersyukur dan wajarlah juga mengambil langkah menyekat dan membenteras hasil-hasil haram selama ini yang membantu menampung ekonomi Pahang. Sudah pastilah antara yang terbesar adalah kasino di Genting.

Sekiranya kita bersyukur dengan nikmat Allah ini wajib kita menunjukkan kesyukuran itu dengan menghentikan segala yang dilarang itulah tanda kerajaan yang bertaqwa. Jangan nanti segala yang ada ditarik balik oleh Allah swt.
Dan sesungguhnya menjadi pemimpin yang bertaqwa dan membentuk kerajaan yang bertaqwa bukan hanya tanggungjawab kerajaan-kerajaan ini tetapi semua pemimpin dan kerajaan. Tiada alasan yang boleh dipersembahkan kehadrat Allah swt nanti apabila setelah diberi kuasa kita berdolak-dalik.
Sebelum dapat kuasa kita menabur janji dan berbagai tetapi apabila dipinjamkan kuasa kita tabur pula alasan dan dalih.
Semoga Allah swt terus memimpin kita.

 

 

0 comments: