Rakyat Singapura baru sahaja selesai melangsungkan pilihanraya umumnya. Walaupun parti pemerintah PAP kekal memerintah dengan majoriti duapertiga di Parlimen namun demikian undi popularnya mencatat kemerosotan yang paling besar dalam sejarah republik berkenaan. Jika pada pilihanraya umum terakhir pada tahun 2006 parti PAP memperolehi 67 peratus dari undi popular kali ini ia merosot ke 60 peratus.
Parti PAP pimpinan Perdana Menteri Lee Hsien Loong iaitu anak kepada pengasas Singapura Lee Kuan Yew (yang menang tanpa bertanding dalam pilihanraya kali ini), memperolehi 81 kerusi parlimen dan tewas 6 kerusi kepada pembangkang. Ini berbanding dengan 82 kerusi pada pilihanraya 2006 sedangkan ketika itu pembangkang sekadar memeprolehi 2 kerusi (bilangan kerusi Parlimen bertambah dari 84 ke 87 pada pilihanraya umum kali ini).
Parti Buruh atau Workers Party memperolehi kemenangannya yang terbesar apabila membolot kesemua 6 kerusi yang dimenangi pembangkang. Merkea menag satu kerusi SMC (kerusi yang ditandingi satu calon dari satu parti) di kerusi parlimen Hougang dan lima kerusi GRC (kerusi yang ditandingi secara berkelompok) di kerusi parlimen Aljunied.
Beberapa kerusi lain menyaksikan kekalahan tipis pembangkang khasnya di kerusi Joo Chiat dimana calon PAP memperolehi 9630 undi berbanding calon parti Buruh 9248, di kersui Potong Pasir calon PAP memperolehi 7973 undi berbanding calon SPP 7859 undi.
Rata-rata lonjakkan sokongan kepada pembangkang dikaitkan dengan beberapa isu sosio-ekonomi yang melanda rakyat Negara maju berkenaan. Walaupun pertumbuhan ekonomi Negara berkenaan mencatat kenaikkan mendadak sehingga KDNK (keluaran dalam Negara kasar) nya bagi tahun 2010 naik 14.5% namun kemewahan Negara berkenaan tidak diceminkan pada keadaan hidup sebenar rakyat kebanyakkan.
Menurut statistik rakyat dari kelas terendah Negara berkenaan yang mewakili 10 peratus dari jumlah penduduknya sekadar memperolehi pendapatan bulanan sebanyak RM3,400 berbanding RM57,450 bagi kelas tertinggi. Malah semasa kempen pilihanrayanya rakyat didedahkan oleh kempen pembangkang bahawa para menteri keabinet Singapura dibayar gaji sehingga RM2.4 juta setahun iaitu lebih tinggi dari gaji Presiden Amerika Syarikat yang memperolehi RM968,220 setahun.
Dengan kos hidup yang tinggi akibat dari kemajuannya yang pesat, ramai rakyat dari kelas bawahan hdiup dalam keadaan sengsara termasuklah mereka yang telah bersara dan tiada pekerjaan. Ternyata keghairahan kerajaan Singapura memaju dan membangunkan negaranya telah meminggir samasekali nasib rakyat kebanyakannya. Kerajaan Singapura turut dipersalahkan atas kebanjiran penduduk asing dalam Negara berkenaan yang dikatakan merampas peluang penduduk tempatan oleh kerana kelonggaran dasar kerajaan Republik itu.
Sesungguhnya perkembangan di seberang Tambak Johor ini wajar diambil iktibar oleh kerajaan di Negara kita. Walaupun kita tidaklah berada pada tahap maju sebagiaman Singapura, ironisnya kos hidup rakyat dalam Negara kita turut tetap melonjak naik sehingga mendatangkan kesan kepada rakyat kebanyakkan.
Harga barangan makanan selain petrol terus-menerus naik mencacak dalam Negara sedangkan pendapatan dan upah rakyat tidak berubah. Harga rumah dan sewa rumah turut naik. Akibatnya rakyat dari kelas menengah dan bawahan mula merasa keperitan hidup yang sudah pasti menyumbang kepada masalah sosial dan jenayah.
Baru-baru ini Presiden kesatuan sekerja awam CUEPACS, Datuk Omar Osman mededahkan bahawa akibat dari kenaikan kos barangan dan kos hidup telah memaksa kakitangan kerajaan peringkat bawahan mengambil kerja sambilan untuk menampung kehidupan masing-masing. Ini sudah pasti akan menjejaskan produktiviti dan prestasi kerja masing-masing malah tidak mustahil akan menyumbang kepada penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Kakitangan disektor swasta juga tidak kurang terjejas kehidupan mereka akibat kos barangan dan penghidupan yang diluar kawalan ini. Semasa perayaan Hari Pekerja baru-baru ini terdapat tuntutan agar umur wajib persaraan disektor swasta dilanjutkan dari 55 tahun tahun ke 58 tahun. Ini juga dikaitkan dengan masalah bebanan hidup yang sudah pasti akan menggigit kehidupan warga emas ini apabila mereka berada di alam persaraan.
Sekiranya kesengsaraan hidup ini berpanjangan tidak mustahil keresahan rakyat itu akan diterjemahkan dalam bentuk undi dalam pilihanraya umum kelak. Sekiranya Singapura yang mewah dan makmur itu turut melihat rakyatnya bangkit memprotes sebagaimana diterjemahkan pada pilihanraya umum Negara berkenaan tidak mustahil pembangkang di Malaysia bukan sekadar akan melihat pertumbuhan undi dan sokongan malah cita-cita untuk merampas beberapa buah negeri lagi termasuklah Putrajaya semakin menjadi hampir dan dalam genggaman.
Dengan perkembangan ini parti pemerintah diperingkat Persekutuan, Barisan Nasional seharunya berfikir semasak mungkin sebelum tergiur untuk mahu memanggil pilihanraya umum awal. Jangan sahaja Singapura, keputusan di Sarawak pun sudah cukup untuk memberi petanda bahawa masa depan tidaklah secerah mana buat BN, panggilah pilihanraya umum awal, risikonya kemerosotan undi dan tidak mustahil kehilangan kuasa buat selamanya.
ARTIKEL INI TERBIT DALAM AKHBAR MINGGUAN SIASAH BIL. 0264
No comments:
Post a Comment