Sunday, February 18, 2018

PENGUNDI MELAYU SEMAKIN YAKIN PADA PAS

Keadaan ekonomi negara tidak kelihatan mampu berubah dalam waktu terdekat. Begitu juga kenaikkan kos hidup, pengangguran dan inflasi terus mencengkam dan menekan kehidupan rakyat dan ianya juga tidak kelihatan boleh diatasi dalam waktu terdekat sebelum Pilihanraya Umum ini.

Dengan bahana seumpama ini ditambah pelbagai insiden dan perkembangan yang meletakkan status quo Melayu dan Islam semakin tercabar dalam negara kehidupan mereka terus menerus dibelenggu keresahan.

Isu murtad akibat operasi undang-undang, kritikan terhadap institusi dan amalan agama, penolakkan terhadap usaha memartabatkan hukum dan peraturan Islam serta berkembang biaknya aliran liberalisma yang memberi laluan kepada budaya LGBT, kesemuanya terus menjejaskan keselesaan dan keharmonian hidup masyarakat Melayu Islam yang mewakili majoriti rakyat di Malaysia.

Kerana itu jangkaan mengatakan akan berlaku “Tsunami Melayu” atau kebangkitan pengundi-pengundi Melayu yang bakal mengundi protes dalam PRU kali ini semakin menjadi kenyataan.

Pada bulan Oktober tahun lalu Merdeka Centre, sebuah firma penyelidik, melalui Pengarahnya Ibrahim Suffian mendakwa bahawa “Tsunami Melayu” ini adalah sesuatu yang benar, dan ia menular lantaran kesan daripada isu berkaitan ekonomi dan kepentingan Melayu Islam dalam negara yang banyak menganggu emosi para pengundi segmen ini.

Ketika itu Ibrahim berpandangan jika berlaku “Tsunami” ini ia sama-sekali tidak akan menguntungkan Pakatan Harapan, tetapi parti yang bakal meraih untung menurut beliau adalah PAS. Ini kerana selain Umno, PAS lah yang dilihat konsisten memperjuang dan mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu Islam sedangkan parti-parti lain khasnya PH dilihat tidak banyak berperanan malahan dalam sesetengah senario turut menyumbang dalam mencabar emosi dan kesabaran segmen ini.

Terbaru Merdeka Centre sekali lagi mengulangi dapatan ini. Dalam satu majlis forum di ibunegara, Ibrahim menyatakan para pengundi Melayu kini dilihat lebih meyakini dan mempercayai BN dan PAS berbanding PH.

Menurut Ibrahim dalam kajian mereka, apabila diajukan soalan kepada masyarakat Melayu, pihak manakah dipercayai dapat mengurus ekonomi negara dengan baik selain menangani masalah rasuah disamping mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu Islam dan memberikan keadilan kepada kaum lain, jawapan yang diterima memihak ke PAS dan Umno.

Kata Ibrahim lagi PH tidak menjadi pilihan kerana mereka dilihat lebih tertumpu kepada agenda lain dan tidak banyak mampu meyakinkan segmen ini.

Bagi saya dapatan terbaru ini sudah pasti memberi isyarat kepada pimpinan PH khasnya dari PKR bahawa jika mereka mengharapkan komponan mereka ataupun parti-parti rakan mereka mampu meraih sokongan masyarakat Melayu Islam, khasnya setelah berpisah dengan PAS dan menonjolkan pula tokoh seumpama Tun Dr Mahathir, maka mereka sesungguhnya silap dan bakal kecewa.

Ternyata tidak ada faktor penarik buat masyarakat Melayu Islam untuk memberikan sokongan dan kepercayaan mereka pada PH.

Malah saya berpandangan Umno sendiri pun sesungguhnya akan berhadapan dengan jalan yang sukar, kerana rakyat khasnya masyarakat Melayu Islam sedar punca utama permasalahan yang mereka hadapi hari ini datangnya dari ketempanan dan kepincangan pentadbiran dan kepimpinan Umno. Bukan sahaja di zaman Dato Seri Najib Tun Razak hari ini malah ia sebenarnya diwarisi dari zaman Tun Dr Mahahtir lagi.

Kerana itu jika PAS mampu meneruskan peranan dan aktiviti mereka, terjun ke riba masyarakat dengan membawakan konsep penyelesaian Islam mengikut tatacara “Budaya Politik Matang dan Sejahtera” (BPMS), tidak mustahil “Tsunami Melayu” ini akan berpiahk pada PAS dan melontarkan PAS ke hadapan diposisi baru selepas PRU ke 14 nanti.

Umno dan BN tidak mampu memperbaiki dan memulihkan imej mereka yang teruk tercalar dan dimarahi rakyat kebelakangan ini. PH pula dengan pelbagai ragam dan gelagat rebut-merebut dan cantas-mencantas sesama mereka, dijangka tidak akan mampu mendapat simpati rakyat. Mungkin masyarakat bukan Melayu begitu taksub dengan DAP, tetapi majoriti pengundi Melayu yang merupakan tulang-belakang kepada kemenangan mana-mana pihak diperingkat Persekutuan dan di negeri-negeri tertentu dingi menerima kehadiran pakatan PKR, DAP, Pan dan Bersatu ini.

Tidak mustahil juga BN dan PH yang dilihat sesama menangung permasalahan dalaman dan rekod kepimpinan lampau yang tidak meyakinkan akan dilonggokkan di satu sudut, ditinggalkan oleh para pengundi Melayu Islam kerana mereka lebih yakin dan senang dengan PAS. Lalu walaupun berhadapan pertandingan pelbagai penjuru PRU ke 14 nanti, orang Melayu Islam hakikatnya akan hanya menimbangkan antara BN dan PH di satu sudut dan PAS di satu sudut lain. Antara kedua ini, BN dan PH akan ditolak manakala PAS menjadi pilihan utama.

Tsunami Melayu dalam hal demikian bukan hanya bakal meranapkan nasib dan masa depan BN dan Umno, malah akan mengkuburkan pakatan yang sering bertelagah ini, dan akhirnya Islam sama-sama diangkat dan diambil sebagai formula penyelesaian ke atas permasalahn yang mereka hadapi.

Perkembangan seumpama ini jangan meletakkan PAS dalam zon selesa, sebaliknya ia perlu dijadikan pedoman dan iktibar betapa bacaan politik dan perancangan pucuk pimpinan PAS selama ini di bawah naungan “Kepimpinan Ulamak” hampir tepat dan konsisten, lantas ahli-ahli dan kepimpinan PAS disemua peringkat wajar terus melipat-gandakan lagi usaha dan gerak-kerja masing-masing, kerana ternyata bahtera peruangan PAS ini tidak sendeng atau karam apabila putus hubungan PAS dengan PKR dan DAP, sebalinya ia semakin gagah belayar semakin teguh dan hari ini berkat istiqamah dan kesungguhan ahli-ahlinya bakal berlabuh ke destinasi impian semua. roslansms@gmail.com

No comments: