Friday, August 23, 2013

Meminta-minta jadi pemimpin (23/8/13)


عَنْ عَبْدُ الْرَحْمَنِ بْنِ سَمُرَةِ رضي الله عنه أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَي اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : يَا عَبْدَالْرَحْمَنِ بْنِ سَمُرَةَ ! لاَ تَسْأَلِ الْإِمَارَةَ , فَإِنَّكَ إِنْ أُوْتِيْتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلَتْ إِلَيْهَا وَإِنْ أُوْتِيْتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ إِلَيْهَا ( رواه البخاري ومسلم(.
Terjemahan Hadis

Daripada Abdul Rahman bin Samurah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya :”Wahai Abdul Rahman bin Samurah Jangan engkau meminta jawatan pemimpin . Sebab jika ia diserahkan kepadamu kerana permintaanmu maka ia akan diserahkan bulat –bulat kepadamu .Sebaliknya jika ia diserahkan kepadamu tanpa permintaanmu maka engkau akan diberikan pertolongan dalam melaksanakan tugasmu . (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

 Keterangan mengenai perawai Hadis.
Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim daripada Abdul Rahman bin Samurah r.a seorang sahabat Rasulullah SAW.

 Nilai Hadis .
Hadis ini menerangkan tentang larangan meminta – minta jawatan pemimpin kerana tidak diberkati oleh Allah SWT .

Kupasan Hadis secara terperinci .
1.Larangan meminta – minta jawatan pemimpin , kerana ia dianggap cara yang tidak bermoral, sabda Rasulullah SAW :

أنَا وَاللهِ لاَ نُوَلَّي أَحَدًا طَلَبَهُ اَوْ حَرْصِيْ عَلَيْهِ
Sesungguhnya demi Allah kami tidak memberi jawatan menjadi pemimpin, seorang yang memintanya atau terlalu berkeinginan memegangnya.

 2.Imaplikasi dari memegang jawatan pemimpin secara meminta –minta .

Pemimpin adalah orang yang memikul beban dan amanah bukannya kemegahan dan kemuliaan . Maka jawatan pemimpin itu adalah terbuka kepada mereka yang benar-benar layak menyandangnya , kalaulah seseorang meminta-minta jawatan pemimpin itu kurang layak , maka ia akan menutup peluang kepada mereka yang lebik layak memegangnya . Dia tidak dapat menjalankan tugas dengan baik kerana tidak ada mempunyai kelayakan .Bertanggungjawab sepenuhnya di dalam menjalankan tugas jawatan itu ,tanpa mendapat pertolongan dari pihak lain .
 3. Imaplikasi dari memegang jawatan pemimpin tidak secara meminta –minta iatu dipilih/dilantik

 a. Orang ramai akan rasa puas hati kerana dilantik/ dipilih atas pilihan mereka, maka senanglah ia menjalankan tugas kerana mendapat sokongan dan kerjasama dari mereka.
 b. Dapat menjalankan tugas dengan baik kerana ia memgang jawatan itu di atas dasar benar –benar layak memegang jawatan itu .

 c.Mendapat kerjasama dan pertolongan dari semua pihak ,baik dari pihak berkuasa atau pihak orang ramai di dalam menjalankan tugasnya.
 Pengajaran Hadis .

 1.Rasulullah SAW melarang seseorang itu meminta – minta untuk memegang jawatan pemimpin.
2.Tugas dan tanggungjawab akan dipikul sepenuhnya oleh orang memegang jawatan itu tanpa pertolongan dan kerjasama dari pihak lain .

3.Seseorang yang memegang jawatan pemimpin yang dipilih / dilantik akan mendapat pertolongan dan kerjasama dari semua pihak .

Hadis ini jelas isi dan keterangannya.
Pilihanraya Umum sudah lebih 3 bulan berlalu, kini masing-masing yang telah terpilih sedang sibuk menyusun perancangan dan melaksanakan tugas masing-masing. Bagi yang baru dipilih sudah pastilah ia pengalaman baru, maka amanah yang telah diberikan perlu digalas dan dilaksanakan dengan sempurna. Begitu juga yang dipilih lebih sepenggal, pastikan amanah yang diberikan dipelihara dan dipikul sebaik mungkin.

Saya masih ingat betapa hangatnya suasana sebelum PRU lalu. Lebih hangat lagi apabila masing-masing parti memerah otak menyenarai pendek dan memilih calon-calon untuk dikemukakan kepada rakyat. Ada yang diterima ada yang terpaksa digugur dan diganti “last minute”, tetapi yang paling malang sebagaimana iktibar dari Hadis di atas adalah bagi yang melobi dan meminta-minta untuk dijadikan calon!
Jangankan dalam BN dan Umno saya tahu dalam PAS juga ada yang sedemikian. Alhamdulillah dalam PAS ada mekanisma yang menepati syarak yang digunakan dalam proses memilih dan mengenal pasti calon, namun lantaran ahli-ahli PAS bukan malaikat, maka ada juga berlaku insiden ini.

Setahu saya seorang pemimpin telah melobi diri menjadi calon dari satu kawasan ke satu kawasan akhirnya lobi beliau gagal walaupun disaat akhir dikhabarkan telah pun siap mengambil gambar untuk dijadikan poster calon. Ini jika berlaku dalam PAS perlu sangat dimuhasabahkan kerana ia menurut Rasulullah adalah satu amalan yang tidak bermoral dalam Islam.
Semalam pula saya terbaca satu laporan seorang lagi pemimpin PAS, yang walaupun kelihatan menolak perlantikkan beliau untuk beberapa jawatan dalam kerajaan, tetapi dalam waktu yang sama menonjolkan pula dirinya untuk jawatan lain. Dalam laporan itu beliau menyatakan beliau layak untuk jawatan berkenaan.

Ini pun saya kira termasuk dalam skop Hadis di atas dan wajarlah pemimpi  itu bermuhasabah.
Memang sukar apabila kita merasakan diri kita layak tetapi pihak yang bertanggungjawab seolah terlepas pandang akan kita. Maka naluri manusia dalam jiwa kita akan memberontak, mengapa lantik si anu sedangkan aku lebih layak. Akibatnya kita akan terbit dengan pelabagi tuduhan, ada konspirasi ada niat jahat, orang yang bertanggungjawab mengamalkan kronisma.

Dunia ini ibarat roda yang berputa kadangkala kita di atas dan kadangkala di bawah. Allahyarham Ustaz Fadzil Nor pernah berkata, bila kita di atas kita lihat orang di bawah kecil-kecil belaka, kita lupa bahawa orang di bawah juga lihat kita di atas itu pun kecil.
Menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t., itulah redha, satu sifat yang perlu ada dalam pemimpin dan pejuang Islam. Sifat redha dikatakan adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.

Jangan kerana tidak dipilih kita menyerang mereka yang tidak memilih kita. Mereka itu buta, mereka itu bongkak, sombong, tetapi kita?
Sesungguhnya tiada seorang yang terlebih istimewa dalam perjuangan ini sehingga perjuangan tidak dapat diteruskan tanpanya. Semoga PAS terus kekal sepanjang zaman.

 

Wednesday, August 21, 2013

Kekal ilmu dan hikmah merajai dunia dakwah (21/8/13)


Saya sentiasa kagum dengan style, keperibadian dan pendekatan pemimpin/ulamak muda ini. Saya mendoakan semoga PAS terus subur dengan pemimpin-pemimpin seumpama beliau agar parti Islam ini terus relevan dan kekal istiqomah atas prnsip dan dasar perjuangannnya, biar datang ribut dan taufan sebesar mana sekalipun.
Beliau yang saya maksudkan adalah ahli Parlimen Pasir Mas YB Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz. Berikut adalah coretan terbarunya yang saya baca:

Metallica..
Adakah kita terpaksa akur, demi sokongan dan undi, untuk memenuhi kemahuan sejumlah anak muda yang minat gila dengan Metallica dengan mencari-cari atau mereka cipta satu fatwa ugama yang mengharuskan seni hiburan barat tanpa ugama itu untuk membentuk benak fikir dan budaya mereka?

Atau kita akur saja, kita bantah terus konsert hiburan yang melalaikan itu, kita kehilangan sokongan dan PAS menjadi tidak popular di kalangan segelintir anak muda?
Atau, kita usahakan cantuman antara keduanya, dengan memperelokkan bantahan, dengan mendidik mereka agar mengenali diri sebagai anak muda muslim yang mempunyai pelbagai kelebihan anugerahNya yang tidak melayakkan mereka untuk mudah kalah dan melayani gaya hidup barat yang syaitani itu yang akan meruntuhkan segala kelebihan yang telah mereka miliki?

Umno telah memilih yang pertama, walaupun tanpa lapik fatwa pun. Mereka telah mendapat apa yang mereka mahu.
Sebahagian pendakwah memilih yang kedua. Mereka berkata, Allah mahu tahu untuk memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya.

Pemuda PAS cuba memperhalusi dan menekuni agar ilmu dan hikmah itu merajai dunia dakwah. Jalan ketiga adalah pilihan dalam setiap hati yang budiman yang mencintai anak-anak muda muslim yang mencari-cari..
Dakwah itu kadang-kadang kelihatan mudah. Tetapi apabila kita 'terjun' sungguh di medannya, ia adalah satu seni halus menuju Allah yang memerlukan ilmu yang luas dan hikmat yang tinggi.

Mari menekuni..

Nik Mohamad Abduh

20 Ogos 2013

Memang sebagai sebuah gerakan Islam PAS akan sentiasa berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Bagaimana mendekati dan menangani sesuatu suasana dan isu itu dalam waktu yang sama tidak menggadaikan sedikit pun prinsip dan matlamat perjuangan akan terus menjadi ujian buat PAS.
Ambil jalan mudah, matlamat menghalakan cara. Asal sahaja menang kita terjah apa sahaja, esok lusa baru cerita isu prinsip…..itu setahu saya bukan PAS. PAS terus kekal dari 1951 sehingga hari ini lantaran kuatnya komitemen dan pegangannya terhadap Islam yang diperjuangkan. Itulah yang di didik dan diindoktrinasikan kepada ahli-ahlinya.

Orang menyertai PAS kerana itu dan orang berkawan dengan PAS kerana PAS bercirikan itu yakni Islam.

PAS pernah naik pernah jatuh dan naik kembali, dalam semua suasana ini ia tidak sekali-kali kompromikan dasarnya, kerana itu barakah turun sehingga ke saat ini. Jika PAS cuai, jika PAS kendur, jika PAS longgar, percayalah segalanya akan dilucutkan dari kita dan jadilah kita sebagaimana parti-parti Islam lain yang timbul tenggelam di bumi lain.
Kekallah insyallah ILMU dan HIKMAH merajai dunia dakwah!

Jenayah: Berilah keyakinan pada pihak Polis (21/8/13)


Apabila jenayah terutama pembunuhan menggunakan senjatapi berlaku secara berleluasa kebelakangan ini, banyak pihak termasuklah kita semua resah dan gelisah. Kita bimbangkan keselamatan kita dan kaum keluarga. Masing-masing mengeluh bagaimana pembunuh-pembunuh ini dapat memperolehi senjatapi dengan begitu mudah. Dan sudah psati sasaran utama kritikan adalah pihak polis iaitu badan yang bertanggungjawab menjaga kemanan rakyat dan Negara.
Banyak pihak dari individu ke pimpinan masyarakat dan politik mengeluarkan kenyataan mengutuk jenayah berkenaan. Dan pihak polis terus menerus menjadi bahan sasaran.

Tokoh korporat dibunuh, begitu juga peniaga, pegawai dan kakitangan awam termasuklah mereka yang memiliki latarbelakang yang mencurigakan. Tembak, tembak, tembak, hari-hari kita mendengar dan membaca laporannya.
Tiba-tiba apabila pihak polis bertindak. Terbaru menembak mati 5 orang suspek di Pulau Pinang yang disyaki terlibat dengan jenayah ini, lain pula ceritanya.

Polis kejam, polis tidak beri peluang sedangkan mereka ketika itu tidur, mengapa polis tidak tahan mereka hidup-hidup, polis salah guna kuasa………

Sekejapan mereka yang sebelum ini mengkritik pihak polis kerana gagal menjalankan tugas, hari ini tiba-tiba pusing kebelakang menyerang pula pihak polis yang menjalankan tugas dan sekaligus seakan membela pula penjenayah.
Orang politik yang paling kehadapan dari Timbalan Menteri, pimpinan BN (tertentu), pimpinan Pakatan (tertentu), tiba-tiba bangkit menyerang polis membela pula penjenayah???!!!

Kalau beginilah sikap kita sampai bila Negara akan aman? Ada isu yang boleh dipolitkkan, ada yang sepatutnya tidak dan memerlukan sokongan semua pihak.
Saya bukannya mahu membela membuta tuli pihak polis. Tetapi bagi saya pada merekalah kita perlu tambatkan harapan, saya yakin mereka juga berusaha sedaya upaya mahu menjenrnihkan suasana. Berilah dalam hal ini keyakinan dan kepercayaan kepada mereka.

Namun dalam waktu yang sama tidak salah jika kita menuntut agar pihak polis berhati-hati dan tidak pula nanti bertindak terhadap mereka yang tidak bersalah.
Dalam kes kejadian di Pulau Pinang, pihak polis menyatakan bahawa mereka telah bertindak ke atas ke lima-lima suspek yang ketika itu berada dalam satu unit apartmen. Apabila dikepung mereka melepaskan tembakan terhadap pihak polis dan akibatnya kelima-lima ditembak mati. Menurut laporan pihak polis menemui 3 pucuk pistol di tempat kejadian.

Apa pun saya kira pihak lain, termasuklah pimpinan politik perlu menunggu sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak polis. Malah hari ini sahaja dalam akhbar The Star dilaporkan bahawa upacara pengkebumian kelima-lima yang terbunuh telah melihatkan suasana istiadat yang biasanya diberikan kepada gang-gang mafia dan samseng.
Dilaporkan kenderaan yang membawa mayat simati dihiasi dengan “swastika” dan sebuah kenderaan menurut The Star mempamirkan bunga bunga dengan tulisan :

“Gobi Butterworth” “King of the ring”.
Masing-masing penuh dengan angka 04 iaitu lambang kumpulan samseng yang dikaitkan dengan simati.

Anehnya kita turut mendengar bahawa mereka yang mati kononnya orang baik-baik. Tidak ada rekod dan lain-lain.
Biarlah pihak polis menyiasat dan keluarkan kenyataan. Isunya di sini adalah bermaharajalela kumpulan samseng-samseng ini dan keselamatan rakyat terancam akibatnya. Biarlah pihak polis bertindak dan sebagai orang awam kita berikan keyakinan dan sokongan semoga aman kembali Negara kita.

(Mungkin kalau ada pimpinan politik yang bersungguh-sungguh mempertikaikan tindakan pihak polis dan rasional mereka menembak mati penjenayah ini, lain kali bila ada operasi seumpama ini angkut sekali pimpinan politik ini, biar mereka hadir sekali dan menyaksikan. Letak mereka di barisan hadapan…..)