Pekerja Sikh, Muslim
di NY dibenarkan pakai turban, serban
NEW YORK: Pekerja transit beragama Sikh dan Islam dibenarkan
memakai penutup kepala tanpa perlu meletakkan logo agensi berkaitan selepas
pertikaian undang-undang selama bertahun-tahun selesai.
Kenyataan itu diumumkan di antara pekerja dan Pihak Berkuasa
Pengangkutan Metropolitan (MTA) hari ini.
Agensi berkenaan
berdepan saman mahkamah selepas membuat keputusan sebelum kejadian 9/11 bahawa
pekerja beragama Sikh dan Islam yang memakai turban serta serban tidak
dibenarkan bekerja di khalayak ramai.
Peraturan itu kemudiannya ditukar apabila agensi berkenaan
membenarkan pekerja terbabit memakai pelindung kepala di khalayak ramai tetapi
perlu meletakkan logo MTA. - AP
Bagi saya Malaysia sebagai sebuah Negara berbilang kaum
sejak dari awal penubuhannya sewajarnya menjadi peneraju dalam isu-isu
toleransi beragama seumpama ini.
Kita “rimas” apabila isu-isu berhubung kaum dan agama khasnya
melibatkan tiga kaum terbesar dalam Negara iaitu Melayu, Cina dan India terus
dipermainkan sedangkan sepatutnya kita telah matang dan dewasa dalam isu ini.
Sepatutnya sudah tiada lagi syak wasangka dan sikap prejudis antara satu sama
lain.
Kenapa perlu ada bantuan dan keistimewaan Bumiputera, kenapa
perlu ada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil? Mengapa Islam sahaja menjadi
agama rasmi Persekutuan? Mengapa bahasa Melayu sahaja menjadi bahasa
Kebangsaan?
Masing-masing sudah tahu akan sejarah tanah air ini,
bagaimana asal-usulnya, bagaimana sikap tolak-ansur nenek-moyang kita telah
membentuk dan membina Negara ini dari Tanah Melayu ke Malaya dan seterusnya
Malaysia. Semuanya lengkap dengan pengorbanan masing-masing serta kesedaran
betapa pentingnya kehadiran masing-masing da;am membentuk kekuatan dan keutuhan
Negara ini.
Negara asing seperti Amerika Syarikat yang cuma meraikan
kehadiran orang Islam dan dalam kes di atas orang Sikh cuma beberapa dekad
kebelakangan ini sahaja boleh bersikap terbuka dan toleran tetapi kita masih
terkial-kial dan bertatih jatuh.Negara sudah maju dalam acuan kita sendiri tetapi masih ada antara kita yang terus membebel dalam isu Perdana Menteri Melayu/Islam dan dalam kes tertentu Menteri Besar Melayu contohnya. Selagi kita tidak bangkit mendakap realiti asal-usul kita serta semangat pengorbanan dan toleransi nenek-moyang kita saya khuatir kita tidak akan ke mana malah lebih parah lagi akan terjeremus melangkah ke belakang meroboh apa yang telah dibina dengan darah dan air mata.