Wednesday, April 25, 2012

Rumah ibadah gelanggang politik..........(25/4/12)

Satu ketika dahulu yang sering diperkatakan adalah isu rumah ibadah lebih tepat lagi masjid dan surau yang menjadi gelanggang politik. Kononnya masjid dan surau yang pada fahaman golongan tertentu sepatutnya menumpukan pada aspek ibadah “ritual” dan “spiritual” telah digodam menjadi pentas politik oleh puak-puak tertentu.


Lalu terkenallah label masjid dan surau PAS atau Umno akibat pertembungan berkenaan.


Malah sehingga hari ini isu ini terus berlarutan entah sampai bila kesudahannya.

Apa yang mahu saya perkatakan di sini adalah rumah ibadah yang menjadi “gelanggang politik” ini selalu dikaitakn dengan masjid dan surau sahaja di Malaysia. Rupanya hari ini ia sudah melarat ke agama lain.

Dalam akhbar The Star hari ini dalam ruangan surat dari pembaca terdapat pembaca STEVE ROADS dari Kuala Lumpur menulis:


“Churches misusing the pulpit” atau Gereja menyalahgunakan mimbar. Rupanya bukan masjid dan surau sahaja, gereja pun sudah tidak terkecuali. Sebelum ini dalam kunjungan saya ke Melaka saya maklumkan ke seorang rakan Tionghua saya ternampak di sebuah Tokong Cina berhampiran Ayer Keroh terdapat bendera dacing penuh diperkarangannya.

Kata rakan saya tadi, biasalah kalau tokong mahu minta dana!





Hati yang kotor (25/4/12)

Saya terbaca tulisan dalam sebuah blog http://fifahnazri.blogspot.com/2011/04/tanda-tanda-hati-yang-kotor.html
yang berbunyi:



Gelisah walaupun tiada masalah
Selalu berbangga dengan diri sendiri
Angkuh dengan memandang hina terhadap semua orang
Sombong dan bongkak
Selalu mengintai keaiban orang dan menyebarkannya
Suka mengumpat dan membuka aib orang lain
Gembira melihat orang lain susah atau rendah daripada dirinya
Lidah yang tajam
Suka menyakiti hati orang dengan sindiran
Berlagak alim semata-mata untuk dipuji orang
Menyampaikan ilmu dengan riak
Menganggap diri lebih hebat daripada orang lain......
....itulah kata penulis merupakan tanda-tanda HATI YANG KOTOR.

Abu Hurairah RA berkata, "Hati ibarat panglima, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika panglima itu baik maka akan baik pulalah tenteranya. Jika raja itu buruk maka akan buruk pula tenteranya. "

Dari Nu'man bin Basyir diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari Rasulullah s.a.w mengingatkan mengenai kepentingan menjaga hati, yang bermaksud : "Ingatlah sesungguhnya di dalam jasad manusia itu ada seketul darah, jika ia baik, maka baiklah jasad. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Itulah dia hati."

Kehidupan di dunia ini memang penuh cabaran dan dugaan. Semua mahu jadi insan yang baik dan sempurna namun tidak ramai yang sedari dalam percaturan mahu menjadi baik itu ia sering terpesona dengan dirinya.

Lantas dia melihat dirinya sahaja yang lengkap, yang lain kurang, hodoh dan cacat. Tidak cukup dengan perasaan demikian ia menyerang pula dengan mengadu-domba dan menyakiti yang lain seolah yang lain itu tidak lain duduk di bumi Allah.

Jika kita berterus-terang pasti kita juga punya ciri dan kecenderungan demikian Cuma kita sedar atau tidak. Lalu jadilah hati kita HATI YANG KOTOR. Ini bermakna sebagaimana sabda Rasulullah saw rosaklah jasad kita!

Walau mungkin kita berjawatan, berkedudukan, berharta, terpelajar, pemimpin atau apa sahaja tetapi seketul darah dalam tubuh kita itu kotor.............maka malanglah kita.

Mudah-mudahan kita semua dapat bermuhasabah perkara ini dan bersama-sama kita memperbaikinya demi menjadi insan yang baik, baik hatinya, baik jasadnya.