Here I freely share my thoughts. Likewise please feel free to comment or criticize.
Monday, October 25, 2010
Ayuh....
Jangankan gerimis hujan pun mari, kita redahi.........jangankan ribut taufan pun mesti kita harungi.....jangankan air bah, gelombang badai pun harus berani kita renangi.....Jangankan gerhana, kelam gelita pun pasti kita terangi.
Demikianlah lantangnya bunyi madah Presiden Umno semasa menyampaikan ucapan dasarnya semasa Perhimpunan Agung Umno ke 61 baru-baru ini.
Najib juga menyeru agar Putrajaya, lambing kuasa bagi kerajaan Pusat turut dipertahankan oleh Umno habis-habisan. Beliau berkata:
Walau berkecai tulang dan juga badan, walau berkecai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari walau apa pun terjadi, Putrajaya mesti kita peratahankan!
Saya tidak tahu pandangan yang lain, tetapi bagi saya kali ini tampak dan zahir kebimbingan Umno terhadap lawannya. Jika dulu tidak pernah lawan diberi perhatian apalagi dipedulikan sangat, sekadar diperleceh dan dijadi bahan senda-gurau, ternyata kali ini setelah 61 tahun usianya, Umno mula gelisah.
Dalam usia melewati umur pencen, Umnokini tersedar bahawa survivalnya terancam. Setelah lebih setengah abad bersenang dan bersantai, Umno gundah dan gelisah, kuasa yang mula lurut dari tangan berkemungkinan terus lurut dan hanyut.
Inilah bagi saya kali pertama melihat Umno dalam suasana defensif. Kalau sebelum ini ia sekadar bertepuk-sorak, tawa hilai dan berhibur-sakan semasa bersidang, kini agak kelam dan muram. Walaupun lantaran budaya berhibur sudah menjadi darah daging, suasana ancaman tidak berapa terpancar pada wajah sebahagian perwakilan dan pemerhati kecuali yang insaf dan sedar khasnya dikalangan pimpinan.
Tetapi bolehkah Umno mengikis tabiat dan amalan buruknya untuk meyakinkan rakyat agar memeluk dan mengucupnya kembali?
Benarkah buruk tabiat dan amalan Umno?
Perwakilan Melaka, Mohd Said Yusif (jaguh “tutup sebelah mata”) dalam perbahasannya di perhimpunan Umno baru-baru ini bercerita:
(Tentang temuduga bagi jawatan “badut politik’) Dalam temuduga itu bakal badut ditanya soalan mudah lima darab lima berapa, maka dijawab dua puluh lima setelah berfikir panjang tetapi (calon badut itu) ditolak oleh pemimpin (yang menemuduga) kerana dikatakan lambat menjawab dan tidak cekap.
Badut kedua masuk dan menjawab dengan pantas dua puluh lima, juga ditolak kerana dikatakan terlalu pantas menunjukkan tidak berpengelaman.
Akhir sekali masuklah badut ketiga yang member jawapan (pada soalan yang sama): Berapa bos mahu?
Maka pemimpin it uterus berkata badut itu amat pintar kerana telah terlebih dahulu membuat “homework”.
Saya pasti semua yang mendengar dongeng Mohd Said ini akan tergelak dan keatwa besar. Tetapi hakikatnya, itulah tabiat dan amalan yang memang sedia ada disemua peringkat. Tanyalah siapa yang celik dan sedar. Kerana menyedari hakikat berkenaan, dan berhadapan dengan musuh politik yang padu dan tersusun, tidak hairanlah Umno defensif dan kiranya perangai buruk mereka terus kekal berkecailah tulang dan jasad Umno sedia untuk dimakamkan di permakaman khas yang boleh kita bina di suatu sudut di Putrajaya.
Sunday, October 24, 2010
Pada pilihanraya umum 2008 lalu, calon Umno, Ismail Kijo, tanpa diduga telah ditewaskan dengan majoriti 2,228 undi di kerusi DUN Lembah Jaya dalam parlimen Ampang oleh calon PAS, Khasim Abdul Aziz. Dengan kemenangan YB Khasim itu dan calon-calon lain dari PAS, PKR dan DAP telah berjaya menumbangkan kuasa Umno dan BN di Selangor buat pertama kali dalam negeri bertuah ini.
Kekalahan tersebut dan hilangnya kuasa Umno di Selangor sehingga hari ini terus menghantui mereka sehingga terkadang mengigau di siang hari, menyangkakan mereka masih berkuasa.
Mengapa Umno ditolak di Selangor?
Banyaklah faktornya, salah satu kerana isu pentadbiran masjid dan surau di negeri ini. Sejak pilihanraya umum 1999 (ketika itu MB nya Abu Hassan Omar) apabila PAS berjaya menang 4 kerusi di DUN Selangor diketuai Dato Dr Hasan Ali (ketika itu sebagai Ketua Pembangkang) dtemani Dato Ismail Kamus, Dr Shafiee Abu Bakar dan Ustaz Sallehen Mukhyi, Umno mula naik berang. Abu Hassan ketika ditemuramah akhbar The Star ketika itu, bagaimana PAS tiba-tiba boleh bertapak di Selangor, menjawab bahawa kerana PAS menguasai masjid-masjid dan surau-surau di Selangor. Oleh itu katanya kerajaan negeri akan bertindak dan memastikan masjid dan surau di Selangor bebas dari pengaruh PAS.
Itulah mula dendam Umno di Selangor sehingga menumpukan tenaga mereka pada masjid dan surau.
Maka bermulalah satu demi satu usaha menguasai masjid dan surau secara langsung oleh Umno. Jika sebelumnya ahli-ahli kariah diberikan hak untuk memilih pemimpin dikalangan mereka untuk mentadbir masjid dan surau, Umno lah yang telah merampasnya. Ketika itu segala bentuk pemilihan secara langsung digantung. Nazir dan AJK masjid ditunjuk oleh kerajaan negeri melalui syor Umno bahagian.
Maka naiklah orang-orang politik ada diantaranya yang tidak ke masjid pun. Di Subang Jaya contohnya seorang pemimpin Umno yang di rumahnya ada “bar” (sudut minum arak) pun dilantik menjadi AJK Masjid!
Tidak cukup dengan itu, mana-mana imam yang disangkanya tidak condong pada mereka turut ditamatkan perkhidmatannya. Begitu juga kelas-kelas pengajian Maghrib dan kuliah-kuliah Subuh yang menghidupkan masjid-masjid dan surau-surau turut dikawal. Dikeluarkan surat pekeliling para pendakwah yang disenarai-hitmakan oleh kerajaan negeri atas syor Umno. Mereka ini tidak dibenar masuk berceramah ke mana-mana masjid atau surau di Selangor. Antaranya Dato Ismail Kamus, Dato Dr Harun Din, malah Mufti Selangor Almarhum Dato Ishak Baharom diketika itu turut menjadi mangsa di pecat oleh mereka.
Akibatnya ahli-ahli kariah seluruh Selangor berpecah, berlaku berpuak-puak di masjid. Masjid yang sepatutnya menjadi pusat dakwah, penyibaran ilmu dan penyatuan ummah menjadi gelanggang milik orang politik. Suasana ketika itu amat malang buat Islam di Selangor. Berlaku juga insiden penyelewengan duit masjid oleh AJK yang tidak amanah yang ditunjuk ketika itu.
Alhamdulillah apabila Pakatan Rakyat menguasai negeri ini bermula Mac 2008, atas inisiatif kerajaan negeri melalui EXCO Agama, Enakmen Pentadbiran Masjid dan Surau Selangor dihidupkan kembali. Tiada lagi campurtangan politik seperti zaman Umno. Ahli-ahli kariah kembali diberi kuasa memilih pimpinan masjid dan surau di kawasan mereka. Malah bukan sahaja orang pro PR, orang-orang Umno juga boleh dicalonkan dan bertanding melalui proses pemilihan terbuka yang dikendalikan sendiri oleh pihak JAIS.
Cuma bagi jawatan Nazir, oleh kerana kerajaan negeri bermatlamat menjadi Masjid sebagai wahana transformasi ummah, maka calon-calon nazir dikenakan beberapa syarat tambahan, agar Serlangor nanti menerbitkan nazir-nazir yang berkualiti dan benar-benar boleh berperanan memakmurkan masjid.
Antara syaratanya Nazir mestilah boleh menyampaikan khutbah, memimpin majlis ilmu, memimpin majlis tahlil, berakhlak mulia dan punyai kelulusan. Nazir mestilah boleh mengimamkan solat berjemaah dalam ketiadaan imam. Lantaran syarat-syarat itulah maka bagi jawatan Nazir kerajaan negeri menghendaki agar beberapa nama calon dikemukakan agar ditemuduga dan disaring oleh pihak JAIS.
Tiba-tiba semalam dalam persidangan Umno, Ismail Kijo yang telah dua tahun tujuh bulan hilang kuasa itu mendakwa bahawa PAS meletakkan orang-orangnya untuk menguasai masjid di Selangor! The Sunday Star hari ini melaporkan:
A SELANGOR delegate took a swipe at PAS, saying that the Islamist party practises its own brand of democracy when it comes to appointing mosque committee members in the state.
Datuk Ismail Kijo claimed that a PAS-friendly candidate would be appointed to the committee even though the person garnered the least number of votes.
“It is like giving a gold medal to the one who finished third. This is the so-called democracy practised by PAS in Selangor,” he said when debating the motion on religion and education during the Umno general assembly.
Ismail said that PAS would appoint candidates that would benefit them.
Barangkali kerana tidak kebah-kebah dari demamnya lantaran kalah pada Mac 2008 lalu, Ismail Kijo menyangkakan PAS juga berperangai macam mereka dalam urusan masjid di negeri ini. Semua nazir di Selangor melalui proses yang baru ini, yang pastinya tidak ditindik atau ditunjuk oleh pimpinan parti seperti dizaman Ismail Kijo dahulu.
Saya tahu ada orang PAS yang menjadi Nazir, sudah pastinya beliau menepati syarat dan berjaya dalam proses penyaringan, tetapi ada juga yang Umno. Adakah ini bermakna semua yang Umno yang menjadi Nazir di bawah kerajaan baru ini juga sudah menjadi PAS? Jika begitu baguslah.
Ismail Kijo sebenarnya faham akan apa yang berlaku di Selangor hari ini. Ia sesungguhnya lebih baik dan diterima dengan hati terbuka dan senang oleh umat Islam di Selangor berbanding zaman beliau. Masjid-masjid semakin dimakmurkan buktinya sahaja di bulan Ramadhan kehadiran jemaah di masjid yang memangnya ramai semakin berlipat-ganda sejak dua tahun kebelakangan ini.
Jika beginilah sikap Ismail, menafikan kebaikan demi sentimen politik yang fanatik dan melulu, terus kekallah kerusi Lembah Jaya di tangan PAS dan begitu juga kerajaan Selangor ditangan PR insyallah.
Friday, October 22, 2010
Para perwakilan di Perhimpunan Agung Umno sedang sibuk membahaskan ucapan dasar Presiden mereka. Lazimnya siapa yang mendapat peluang bercakap akan menggunakan sebaik mungkin peluang itu untuk menarik perhatian para pimpinan. Moga-moga adalah harapan ia naik ke atas lantaran puji dan puja yang diberikan kepada pimpinan. Kalau belum jadi calon boleh jadi calon kalau belum jadi menteri boleh jadi menteri syaratnya kipaslah sekuat-kuat kipas.
Ramai-ramai perwakilan yang berucap semalam sata tertarik dengan ucapan wakil dari negeri yang Umno tak memerintah iaitu Selangor. Selangor semalam diwakil ADUN Paya Jaras yang juga Ketua Umno Subang, Mohd Bushro Mat Johor.
Untuk menarik perhatian pimpinan dan para perwakilan Bushro menyulamkan perbahasannya dengan anologi mimpi.
Dalam mimpi ini saya menaiki kereta buatan nasionaldan apabila tiba di satu persimpangan kenderaan saya dihalang oleh sekumpulan besar binatang, saya ingatkan kambing tetapi rupa-rupanya ia adalah babi yang tidak terkira banyaknya.
Perjalanan kemudian diteruskan lagi saya pandang kiri dan kanan banyak sekali rumah-rumah urut manakala apabila tiba di perkampungan Melayu saya mahu menghilangkan dahaga tetapi yang dijual bukan sahaja air mineral tetapi arak.
Begitulah kira-kira ucapan Bushro konon nak menggambarkan betapa teruknya Selangor kini di bawah pimpinan Pakatan Rakyat. Seolah babi berleluasa diternak, seolah rumah urut dilesenkan merata-rata seolah arak dijual berleluasa sehingga ke kampong-kampung Melayu.
Dalam erti kata lain kembalilah pada Umno, Selangor akan bersih dan selamat.
Membaca laporan tentang ucapan Bushro itu saya juga turut mahu mengelamun:
Dalam lamunan saya, saya menumpang kereta kawan kerana minyak terlalu mahal, tol bersepah-sepah tak mampu nak menanggungnya apa lagi beli kereta sendiri, bonus pun tak dapat. Tiba dipersimpangan terserempak dengan deretan rumah kos murah yang rata-rata didiami orang Melayu, walau pemimpin Umno menghambat orang Melayu jadio global dan glokal, orang Melayu masih bertenggek di rumah-rumah kos murah sahaja.
Tiba-tiba juga saya ternampak dicelah deretan rumah kos murah untuk orang miskin itu, tersergam mahligai indah tiga tingkat bagaikan istana, malah mengalahkan Istana Mestika di Shah Alam. Kata orang ini istana bekas ADUN Umno, naik sedikti sampai ke Seksyen 7 Shah Alam tersergam pula istana lain katanya juga milik bekas pemimpin nombor satu Selangor. Orang kampong bergelut berpuluh tahun di sawah, dikebun, dilaut mencari rezeki pemimpin ku yang hebat tak sampai dua penggal boleh bina istana berpuluh juta ringgit.
Saya kemudian ke Lapangan Terbang Subang, manalah tahu boleh dapat tiket murah dari penerbangan bajet. Nak bawa keluarga bercuti, destinasi tempatan pun tak mengapa. Saya diberitahu ada pemimpin Umno bekas ketua negeri semasa berkuasa dulu berbelanja lebih RM300 ribu dengan isteri anak dan kroninya ke Disneyland guna wang anak syarikat kerajaan negeri walau syarikat tersebut sedang menanggung kerugian.
Saya tekan ATM di lapangan terbang itu nak keluarkan saki baki duit simpanan saya. Saya diberitahu ada bekas MB Umno tak perlu tekan-tekan diusungnya berpuluh kilo wang tunai berbagai matawang sehingga ditangkap oleh pihak berkuasa Australia, aduhai hebatnya pemimpin Umno ku.
Bila berjalan keluar, saya tersepak batu, ahhhh rupanya saya bukan bermimpi macam Bushro, ini kenyataan, ini jenayah Umno pada rakyat Selangor selama mereka memerintah dulu. Meninggalkan pemimpin kecil seperti Bushro demam dan mimpi yang bukan-bukan sedangkan hakikatnya jembalang dan mambang adalah dari bikinan tangan Umno sendiri bukan orang lain.
Itulah Bushro, kata orang tua-tua kalau nak tidur kena cuci kaki terlebih dahulu, tengok akibatnya kan dah mimpi yang bukan-bukan!
Thursday, October 21, 2010
PAS serang Umno, Umno serang PAS merupakan seuatu yang lumrah dalam politik tanahair. Serangan politik dilakukan bagi tujuan menjual parti masing-masing kepada masyarakat, merekalah yang terbaik berbanding lawannya.
Serangan kalau dilakukan oleh ahli-ahli politik yang siuman dan rasional, ia biasanya diterima dan spontan pihak lawan akan menyerang balas juga dengan balasan yang siuman dan rasional. Terkadang ia disalut dengan emosi, namun tidaklah sampai hilang siuman dan rasional masing-masing.
Itulah politik bertamaddun dan beradab namanya.
Apa sahaja yang terkeluar dari batasan itu bermakna seseorang itu telah menjerumuskan dirinya dalam politik hutan-rimba yang tidak beretika, biadap dan kurang ajar. Politik haiwan hanya layak diterjah oleh sesama haiwan.
Selama beberapa hari ini Umno, mengadakan persidangan tahunannya di PWTC. Biasalah kalau Umno berkumpul dan berseidang begitu, maka musuh tradisinya PAS akan menerima bahana serangan bertubi-tubi. PAS pun kalau bermuktamar akan berbuat begitu pada Umno, tetapi jangan celupar dan terlanjur sehingga hilang pertimbangan dan jatuh pada tahap politik kehaiwanan.
Saya merujuk kepada perbahasan perwakilan Wanita Umno dari Kelantan semalam,. Kata perwakilan itu (Rahimah Mohamed):
PAS sekarang takut pada DAP. Pemimpin-pemimpinnya lebih takutkan Karpal Singah dari takut pada Allah swt.
Bagi saya inilah contoh pembahas yang hilang sifat insaniahnya dan menjelma sifat kehaiwanan. Seranglah PAS kalau itu tugas anda tetapi jangan sampai hilang pertimbangan, hilang kewarasan dan hilang akal. Berapa ramaikah agaknya orang Mealyu yang bersetuju dengan kenyataan Rahimah itu? Atau ramai yang akan bersetuju kalau saya katakana Rahimah sudah menyerupai sang hanuman di Zoo Negara!
PAS sebagai satu-satunya Parti Islam di Negara kita tidak pernah sesaat pun melunturkan dasar dan matlamat perjuangannya. Menurut perlembagaan PAS, dasarnya adalah ISLAM dan seruannya adalah ALLAHU AKBAR. Tujuan atau matlamat PAS adalah:
Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
Itulah dasar, seruan dan matalamat perjuangan PAS sejak ditubuhkan lebih 50 tahun dahulu hingga kini tidak berubah samada PAS berkawan dengan Karpal atau Tengku Razaleigh atau Rahimah sekalipun.
Berpada-padalah bila mengeluarkan hujah walau mahu kejar populariti sekalipun, jangan sampai kita dikatakan kurang siuman dan menjadi bahan gelak dan sindiran bangsa dan agama. Kalau bernafsu sungguh mahu merampas kembali Kelantan, buktikan anda lebih baik dari PAS. Buktikan anda bersih, tidak tempang, tidak korap, berpegang sungguh-sungguh pada agama.
Marilah kita berpolitik secara dewasa termasuklah dari PAS. Jangan meninggalkan contoh yang buruk pada anak-anak kita sehingga mereka hilang hormat, dans etiap yang hidup mengutuk dan melaknat kita.
Monday, October 18, 2010
Tiada bonus untuk kakitangan kerajaan dalam Bajet 2011. Ini bermakna lebih 1.2juta kakitangan kerajaan seluruh Negara terpaksa sekali lagi mengikat perut berpuas-hati dengan apa yang ada walaupun berhadapan dengan kos hidup yang semakin mencekik kehidupan diri dan keluarga masing-masing.
Apa yang diumumkan oleh Menteri Kewangan yang juga PM adalah “bantuan Khas Kewangan” sebanyak RM500.00 tiap-tiap seorang.
Sudah pastilah wang RM500.00 itu membantu tetapi hakikatnya ia tidak memadai. Sebagaimana disebut oleh sahabat saya Tuan Syed Shahir, Presiden MTUC:
Kita tidak memperlekehkan wang bantuan khas itu tetapi ia masih tidak mencukupi khususnya bagi penjawat awam yang mempunyai anak lebih daripada dua orang.
Setiap hujung tahun, maka berlipat-kali gandalah perbelanjaan rakyat Malaysia termasuklah penjawat awam.Anak mahu ke tadika, ke sekolah ke IPT, berbagai persediaan dan persiapan perlu diadakan lantas mengundang perbelanjaan yang besar.
Buku sekolah, peralatan sekolah, pakaian seragam, belanja pengangkutan, belanja tuisyen, tiada yang semakin turun harganya semuanya naik dan mahal belaka. Suka tak suka mereka tiada pilihan, inilah masalah besar pada penghujung tahun bagi rakyat Malaysia.
Bagi penjawat awam kemanakah mahu mereka kikis dan korek duit belanja ini? Bayangkan yang sudah terikat dengan berbagai pinjaman, perumahan, kereta dan lain-lain. Kerana itu benar walaupun RM3.1 bilion iaitu kos membayar bonus sebulan gaji kepada penjawat awam itu besar angkanya namun hakikatnya ia suatu keperluan dan banyak membantu meringankan bebenan yang ditanggung penjawat awam.
Bukankah kerajaan juga yang berkata keadaa ekonomi Negara bagi tahun 2010 menunjukkan petanda semakin pulih? Insyallah ia pasti terus begitu membawa kepada 2011, mengapa tidak kita potong atau kurangkan perbelanjaan lain yang tidak terus membantu sebagaimana bonus buat penjawat awam ini?
Saya khuatir bebanan yang timpa menimpa ini jika tidak ditangani hanya akan mengundang kaedah yang salah dan berbahaya. Lantaran terlalu tertekan ramai yang akan mencari jalan keluar, jika ia halal dan selamat tidak mengapa, tetapi yang berbaki cumalah yang sebaliknya. Ah long akan didekati dan lebih parah lagi ada yang akan terdorong untuk rasuah dan salah-guna kuasa!
Ahli-ahli parlimen kita perlu bersuara dalam hal ini. Ianya bukan untuk bermewah atau bersuka-suka, ia sesuatu yang kritikal yang perlu bagi mengatasi beban yang tertanggung oleh golongan ini, rayulah agar bonus itu dipertimbangkan jika tidak sepenuhnya, sekurang-kurangnya suatu angka yang dapat banyak membantu.
Sunday, October 17, 2010
Syukur setakat ini rakan-rakan dari Parti Keadilan Rakyat sudah sampai ke peringkat akhir melaksanakan tanggungjawab pemilihan dalam parti mereka. Proses pengundian secara langsung ternyata menjadi perhatian dan mencuri minat ramai. Ditahapp-tahap akhir ini kelihatan ia berlangsung dengan lebih lancar dalam suasana muafakat, tertib dan member tumpuan kepada agenda yang lebih mbesar yang sedia menanti.
Semalam proses penerimaan pencalonan telah sempurna. Seperti biasa yang paling “excited” adalah rakan-rakan dari dunia media, samada media konvensional mahupun media baru.
Kita yang berada di luar PKR sekadar menyerahkan kepada rakan-rakan untuk melaksanakan amanah mereka masing-masing, moga dilaksanakan dengan baik dan sempurna dan menaikkan pimpinan yang paling baik dan layak antara yang baik-baik dan layak-layak belaka.
Sebagai kawan saya senang apabila melihat tiada pertembungan antara dua tokoh gergasi PKR iaitu Sdr Azmin Ali dan Tan Sri Khalid Ibrahim. Sesungguhnya kedua-dua mereka tokoh besar dan diperlukan dalam arus perjuangan menuntut keadilan dan kebenaran ini. Jika bertembung juga mereka salah seorang pasti akan gugur, dan apabila itu berlaku yang rugi adalah kita semua.
Saya teringat dalam PAS bagaimana sikap Timbalan Mursyidul Am, Dato Dr Harun Din. Beliau sedia dilantik untuk jawatan tertinggi tetapi jika ada pertandingan beliau rela member laluan. Ada yang nakal mengatakan, itu tanda Harun Din takut bertempur, takut kalah. Bagi saya itu satu telahan yang jahat dan singkat. Sepanjang hidup beliau Harun Din gergelut dan bertempur menghadapi apa sahaja halangan yang menganggu Islam di hadapan beliau. Beliau bukan insan sebegitu. Sikap itu sebenarnya cuma boleh terbit dari insan yang berhati dan berjiwa besar. Sehingga hari ini beliau terus dihormati dan dikagumi kawan dan lawan. Manusia cakap besar ramai tetapi yang berjiwa besar sangat sedkiti dan Harun Din terbukti salah seorangnya.
Berbalik kepada pertandingan Timbalan Presiden PKR, dengan pengunduran Tan Sri Khalid saya yakin laluan Azmin semakin selesa. Sekiranya ditakdirkan berjaya saya yakin Azmin dengan kepakaran, pengalaman dan kebolehannya akan mampu melonjakkan lagi PKR bersama Pakatan Rakyat jauh meninggalkan BN dan Umno yang semakin longgar dan ditolak rakyat itu.
Kita perlukan pemimpin yang ada upaya dan karisma untuk membawa kita ke Putrajaya. Azmin dan Tan Sr Khalid serta rakan-rakan lain selain pimpinan PAS dan DAP hari ini saya yakin memiliki kualiti-kualiti itu. Bawalah kami ke sana dengan restu semua.
Baru-baru ini rebut di Pulau Pinang. Umno menjadikan isu wang bantuan rakyat miskin yang diserahkan oleh kerajaan negeri dikatakan datangnya dari sumber judi. Judi itu haram, maka apabila hasilnya dijadikan habuan kepada rakyat miskin, Umno lah juara mahu membenterasnya.
Isu itu telah pun dijawab oleh pihak berkuasa negeri.
Pokoknya di sini judi itu kotor dan jahat. Ia berkemampuan meruntuhkan institusi keluarga, suami-isteri kaum keluarga bercerai dan berpecah-belah angkara judi. Ada yang berhutang keliling pinggang angkara judi, ada yang mencuri, menipu sehingga ada yang dibunuh akibatnya.
Ketua Umno, selaku PM baru-baru ini membentangkan Bajet 2011. Beliau membentangkannya selaku Menteri Kewangan. Untuk maklum judi yang haram hukunya itu dihalalkan di Malaysia melalui lessen yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, yang Menterinya juga Ketua Umno. Atas alas an kononnya judi ini tidak haram bagi yang bukan Islam, maka industri judi diizinkan. Bermula dengan loteri kebajikan masyarakat dan lumba kuda kini ia berkembang sehingga industri tikam nombor dan kasino yang syarikat-syarikatnya beroleh berbillion keuntungan dan hampir kesemuanya tersenarai di Bursa Malaysia.
Kalau benar Umno ni benci judi kenapa kalau pun tidak diharamkan industri ini, tidak dilakukan sesuautu agar rakyat semakin menjauhi ia? Kalau cukai rokok sebelum ini boleh dinaikkan sehingga sekotak rokok menjadi RM10 hari ini dan menjadi keluhan ramai perokok tegar, mengapa tidak cukai judi baru-baru ini dalam bajet turut dinaikkan?
Biar gergasi-gergasi judi yang merupakan rakan pimpinan Umno itu senak-senak perut membayar cukai yang dinaikkan berpuluh kali ganda. Atau judi sekadar kotor dan haram bila hasilnya RM100 diberi kepada orang miskin tetapi bila berbillion masuk ke kantung kerajaan pusat, saguhati berjuta diberi pada dana politik dalam pelbagai bentuk, ia menjadi suci dan bersih!
Bolehkah agaknya dalam Perhimpunan Umno nanti, jaguh-jaguh juara Umno khasnya dari Pemuda yang sebegitu lantang di Pulau Pinang mendesak agar Ketua parti mereka yang juga Menteri Kewangan agar menaikkan setinggi langit cukai judi? Kelantan negeri yang majoriti Melayu mutlak, kerajaan Tok Guru Nik Aziz mengharamkan pengeluaran lesen premis kedai judi sejak 20 tahun lalu. Di Selangor yang majmuk pun kerajaan negeri telah mengarahkan PBT-PBT agar tidak lagi mengeluarkan lesen premis judi berlesen (yang dilesenkan Pusat) yang baru.
Umno bagaimana?
Ternyata “malapetaka” Mac 2008 terus-menerus menghantui Umno. Kalah dan hilang kuasa sebelum ini tidak pernah tersenarai dalam kamus politik Umno, lebih-lebih lagi di negeri-negeri sebelah Pantai Barat dimana Umno bertahun-tahun memegang teraju, seakan menongkat langit. Mustahil Umno boleh kalah di kawasan majoriti Melayu, begitulah sangkaan mereka dan sangkaan ramai. Tetapi Mac 2008 memecah khurafat sangkaan itu.
Mac 2008, rakan-rakan Umno antaranya MCA, MIC dan Gerakan kecundang teruk di kerusi-kerusi majoriti bukan Melayu. Umno walaupun tertewas juga di beberapa kerusi majoriti Melayu, lebih nampak pada kelemahan dan kekurangan rakan-rakan mereka daripada keburukan diri sendiri. Rata-rata Mac 2008, gelombang kemarahan pengundi bukan Melayu mengakibatkan rakan-rakan Umno tertiarap dikebanyakkan kerusi dan akibatnya Umno turut terbabit hilang kuasa dibeberapa negeri yang sebelum ini ia sangka ia akan terus berkuasa “dulu, kini dan selama-lamanya”.
Yang lemah, buruk, dangkal, dungu adalah MCA, MIC dan Gerakan serta lain-lain serpihan kecil. Mereka gagal membawa undi bukan Melayu kepada BN, akibatnya Kedah, Pulau Pinang, Perak (kemudiannya ditebus melalui politik pintu belakang) dan Selangor tumbang. Akibatnya orang-orang Umno jadi pembangkang, sesuatu yang mereka tidak pernah mereka bayangkan pun sebelum ini.
Tindakan mesti diambil. Yang penting Umno mesti kembali berkuasa, MB Umno mesti ditabal kembali di Kedah, Selangor dan jika perlu di Pulau Pinang biar Umno jadi Ketua Menteri.
Kaedahnya: “Strategi laut biru”!
Menurut Naib Presiden Umno, Zahid Hamidi:
“Jika mahu menang selesa, kita harus keluar daripada strategi dan pendekatan sedia ada, kita perlu pendekatan ‘laut biru’. Jadi sistem kuota sedia ada wajar dikaji semula dan diganti dengan formula baru yang selesa kepada semua parti komponen,” (Mingguan Malaysia: 17/10/10)
Ini bermakna Umno sedang bermain-main untuk merampas kerusi MCA, MIC dan Gerakan khasnya di kawasan-kawasan campuran. Itulah tuntutan Umno di kawasan-kawasan berkenaan.
Mingguan turut melaporkan:
Sebelum ini, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut menyarankan agar sistem kuota itu dikaji semula jika pengundi tidak selesa dan tidak suka dengan calon daripada parti komponen BN yang bertanding di sesuatu kawasan itu
Manakala Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin pula dilaporkan bersetuju dan menurut Mingguan:
(Beliau) mahu semua parti komponen BN berlapang dada untuk mengkaji kelemahan masing-masing dan pada masa yang sama mempraktikkan sistem baru dalam soal pembahagian kerusi.
Rampas-merampas ini akan mengakibatkan reaksi dari MCA, MIC dan Gerakan. Akibatnya ketegangan akan melanda dalam BN. Akibatnya porak-peranda, akibatnya retak semakin membelah dan hancur berkecai.
Sesungguhnya Umno lupa (angkara sindrom Melayu mudah lupa) Umno juga sebenarnya telah kalah di beberapa kerusi campuran. Di Selangor sahaja sebagai contoh:
Ijok 49.9% Melayu calon Umno tewas kepada PKR (Tan Sri Khalid)
Seri Setia54.4% Melayu calon Umno tewas kepada PKR (Nik Nazmi)
Lembah Jaya 55.3% Melayu calon Umno tewas kepada PAS (Khasim Adb Aziz)
Bukit Antarabangsa 57.4% Melayu calon Umno tewas kepada PKR (Azmin Ali)
Cempaka 58.4% Melayu calon Umno tewas kepada PAS (Iskandar Samad)
Malah di kerusi majoriti Melayu pun Umno tewas contohnya:
Hulu Kelang 81% Melayu calon Umno tewas kepada PAS (Saari Sungib)
Gombak Setia 80% Melayu calon Umno tewas kepada PAS (Dato Dr Hasan Ali)
Hakikatnya bukan MCA, MIC dan Gerakan silap, Umno lebih “dajal” lagi. Mereka pun kalah dan kecundang tetapi yang mereka nampak adalah keburukan dan kelemahan kawan-kawan.
“Laut biru” yang mahu dijadikan strategi itu membawa maksud lautan dalam, barangkali selain kita membuang tayar-tayar buruk untuk dijadikan tukun-tukun tiruan, maka sudah sampai masanya, lautan biru yang besar dan dalam itu dijadikan sekali tempat persemadian, Umno dan rakan-rakannya MCA, MIC dan Gerakan bersekali. Biarlah dimanfaatkan mereka kepada ikan-ikan sebagai sumber makanan. Lebih sihat rakyat Malaysia jadinya nanti.
Bersedialah MCA, MIC dan Gerakan.......Umno mahu melaut birukan anda semua!
Saturday, October 16, 2010
Awal-awal lagi kain rentang dinaikkan sekitar tapak ceramah iaitu di tanah lapang Subang Perdana, dengan gambar Presiden Umno Najib Tun Razak, Noh Omar, Ezam Md Nor dan lain-lain.
Dengan penuh ghairah bagaikan ayam sabung bertaji emas, Noh Omar selaku Timbalan Pengerusi Umno Selangor mengisytiharkan akan menyerang Pakatan Rakyat Selangor termasuklah Dato Ser Anwar habis-habisan melalui program berkenaan.
Kalau beginilah kemampuan Umno walaupun kononnya PR sudah menyeleweng dan mengecewakan rakyat, sebagaiamana dakwa Noh dan suku-sakatnya, ini sesungguhnya menandakan Umno sudah tidak lagi mampu merangsang dan menarik minat rakyat. Kebencian rakyat terhadap Umno di Selangor terbulti masih menebal dan semakin menebal di kawasan-kawasan yang Umno sangkakan mereka masih punya nyawa.
Thursday, October 14, 2010
Berikut laporan akhbar SINAR HARIAN EDISI Selangor hari ini:
Pas tidak perlukan tunjuk ajar UMNO
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir sebaliknya berkata, Pas sebagai komponen Pakatan Rakyat (PR) merasakan peranan dan sumbangannya dihargai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Menurutnya, kombinasi jitu dan padu ketiga-tiga parti ini ternyata berupaya membawa perubahan dan kemajuan di Selangor sebagaimana yang dicita-citakan oleh rakyat negeri ini.
“Saranan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Ir Kamaruzzaman Johari jelas menunjukkan UMNO Selangor ketandusan isu bagi melonjakkan parti yang bermasalah itu kembali ke arus perdana politik di Selangor.
“Sebaliknya Pas Selangor ingin menghulurkan tangan kepada rakan dalam UMNO termasuklah daripada Bahagian Kota Raja bersama Pakatan Rakyat (PR) bagi membina serta membawa politik baru di negeri ini yang bebas dari segala kepincangan dan kezaliman lalu,” katanya.
Malah katanya, masing-masing parti komponen dalam PR mempunyai peranan bersuara mengemukakan pandangan serta teguran dalam suasana muafakat.
Roslan berkata, kerana pelbagai isu, ada kalangan pimpinan UMNO Selangor terlupa menyebabkan UMNO dan BN ditumbangkan kuasa rakyat di Selangor.
“Sesungguhnya Pas dan PR mengambil iktibar dari kegagalan UMNO/BN itu dan beriltizam memastikan untuk tidak mengulangi kepincangan mereka, kerana itulah yang sebenarnya mengundang kebencian rakyat terhadap mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas saranan mencontohi tindakan ahli Pas di Kedah yang tidak membutakan mata dan memekakkan telinga dalam sebarang keputusan yang mencetuskan kontroversi di kalangan pimpinan mereka sendiri.
Semalam Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Ir Kamaruzzaman Johari berkata, walaupun ramai melihat sengketa kalangan pimpinan dan ahli Pas Kedah insiden demonstrasi bantah tindakan menaikkan tarif air sebagai pergolakan parti, namun ia haruslah menjadi satu teladan yang baik di kalangan pimpinan serta ahli Pas Selangor.
Umno Selangor berterus-terusan mahu memecahkan pengaruh PAS dalam kerajaan dengan mencipta pelbagai dongeng dan tahyul untuk menkaut-nakut dan memomok-momokkan rakyat. PAS kononnya dicucuk hidung, membuta-tuli menyokong apa sahaja kehendak dan kemahuan PKR dan DAP, langsung konon-kononnya menggadaikan maruah bangsa dan agama.
Rendah betul martabat PAS dimata mereka. Tetapi siapakah mereka sebenarnya? Mudahkah rakyat Selangor yang cerdik dan berilmu lupakan?
Bukankah mereka pra Mac 2008 lalu merupakan gergasi yang menggasak segala harta kekayaan negeri dan menghuru-harakan pentadbiran dan pengurusan negeri penuh dengan penyelewengan dan kepincangan. Segala hasil-mahsul negeri mana sahaja yang ada di bawah pancaran matahari semuanya dikikis untuk mengkayakan segelintir kroni dan kaum-kerabat. Kontrak kerajaan, tanah, pasir, hutan, bantuan kebajikan semuanya dipunggah dan dimuatkan dalam karong dan kanotng mereka.
Tanyalah mana sahaja rakyat Selangor, Melayu, Cina dan India hatta dari Umno, MCA dan MIC sekalipun masing-masing akan akui betapa rakusnya pimpinan negeri bawah teraju BN di Selangor pra Mac 2008.
Siapakah yang menggondolkan Bukit Ceraka, siapakah membahagi-bahagi tanah di Sepang sebelum KLIA dibangunkan, siapakah yang membolot kontrak jalan dan lebuhraya dari Sabak hinggalah Lembah Kelang, siapakah terlibat dalam penjualan tanah untuk bangunkan PKFZ, siapakah terlibat dalam membina Istana EXCO, siapakah membina mahligai berbelas bilik di sekeliling perumahan kos murah, siapakah yang ditangkap dengan wang tunai berkilo-kilo di Australia, siapakah yang bawa lari anak Raja sehingga membangkitkan murka istana. Siapakah terlibat dengan skandal sumbang mahram sehingga terpaksa letak jawatan...............soalan-soalan seumpama ini boleh terus disenaraikan berjela-jela lagi, mustahil rakyat Selangor sudah lupa dan mengampunkan mereka.
Siapa yang sebenarnya perlu ditakuti dan dijauhi?
PAS datang bersama PKR dan DAP untuk membersihkan segala noda dan kepincangan yang lalu. Biar negeri bertuah ini dibangunkan mengikut kehendak rakyat. Biar segala hasil-mahsul negeri dikecapi nikmatnya oleh rakyat. Hakikatnya di Selangor kerajaan Pakatan Rakyat dibina atas runtuhan kerajaan BN yang ditolak rakyat. Rakyat mahu kerajaan yang bersih, kerajaan yang telus, kerajaan yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi atau mana-mana kelompok.
Kini giliran Pakatan Rakyat, PAS, DAP dan PKR tidak berhasrat untuk mengecewakan rakyat. Umno dan BN sudah gagal. Atas runtuhan kegagalan itu PR bangkit untuk membina masa depan yang baru buat semua rakyat di Selangor.
Terima kasihlah Umno tiada guna tengadah jika sudah terantuk benjol.
Monday, October 11, 2010
Memang diawal-awal penyiasatan kes pembunuhan tragis Allahyarham Sosilawati ada disebut bahawa ada orang politik yang turut terlibat dengan suspek utama. Namun semakin kes itu terdedah penglibatan politik semakin disembunyikan.
Kata orang suspek utama, iaitu kedua-dua peguam dikatakan banyak terlibat dengan urusan tanah. Urusan tanah sebagaimana kita maklum melibatkan Pejabat Tanah dan Galian Daerah dan Pihak Berkuasa Negeri termasuklah ketika itu EXCO kerajaan negeri.
Dalam laporan Malaysiakini hari ini di http://www.malaysiakini.com/news/144988
ada dilaporkan:
The involvement of a former Selangor exco member in the business dealings of at least one of the suspects in the Banting murders has raised questions of how much political backing the lawyers implicated in the case enjoyed before their arrest last month.
According to Companies Commission of Malaysia (CCM) documents obtained by Malaysiakini, former Selangor exco member and Sementa state assemblyperson Abdul Rahman Palil was a director in Ample Quality Sdn Bhd along with one of the suspects in the murder of cosmetics millionaire Sosilawati Lawiya and three others.
Jahat sungguh Malaysiakini sehingga membabitkan nama seorang bekas EXCO dan seorang pemimpin Umno yang disegani yang juga seorang ADUN di Selangor. Jangan sebar fitnah.............Tetapi Abdul Rahman Palil ini memang sejak mula-mula jadi ADUN Sementa dan kemudian EXCO memang banyak terlibat dengan kes-kes tanah. Malah dalam kes PKFZ pun nama beliau ada dikaitkan.
Benarkah jahat Malaysiakini atau benarkah laporan itu?
Kalau benar terpalit dan terselit, alamat robohlah saki-baki kekuatan Umno yang tinggal di Selangor. Sama-samalah kita saksikan perkembangannya. Harap jangan ada yang menyembunyikan fakta.
Wednesday, October 06, 2010
Melayu mudah lupa, itu kata-kata hikmat Tun Mahathir, sekurang-kurangnya bagi sesetengah pihak.
Saya ingat pernah semasa krisis Umno bersama Raja-raja Melayu satu ketika dahulu, Umno khasnya pimpinan tertinggi mereka keras menempelak pihak istana. Segala keburukan dan kelemahan institusi Raja-raja Melayu didedahkan. Malah RTM kalau tak silap waktu arwah Tok Mat ketika itu terus-terusan menayangkan filem-filem Melayu yang menggambarkan pendurhakaan termasuklah Hang Jebat, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Lancang Kuning dan lain-lain.
Pernah Tun Dr Mahathir ketika itu sebagai Presiden Umno semasa menggulung perbahasan dalam Perhimpunan Agung Umno menyebut bahawa Raja-raja ini kita perlu kerana apabila Hari Keputeraan mereka berikan kita bintang-bintang, bermakna hanya ke tahap itu sahaja Istana diperlukan.
Itulah Umno.
Yang paling besar pendurhaka dalam sejarah Melayu moden sudah pastilah Anuar Musa di Kelantan apabila beliau menabalkan Sultan yang baru di Kelantan ketika DYMM Sultan masih hidup dan bersemayam atas takhta Kelantan.
Umno sesungguhnya punya rekod yang sangat berwarna-warni dengan Raja-raja Melayu. Yang paling hitam adalah semasa krisis Perlembagaan seperti di atas. Kalaulah benar Melayu mudah lupa maka tiada lagilah dalam memori mereka akan insiden yang berlaku di zaman Tun Dr Mahathir itu. Seolah zaman-berzaman Umnolah pendukung pihak Istana.
Hari ini lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia memainkan isu peringatan Raja-raja Melayu. Kononnya bila Raja bersuara, kita semua perlu akur dan terima. Benarkah begitu?
Alahai betul rupanya Melayu mudah lupa.............
Tuesday, October 05, 2010
Cukai eksais ke atas rokok dinaikkan 16 peratus. Akibatnya harga rokok tempatan turut naik. Rokok-rokok keluaran Britis American Tobacco (Malaysia) contohnya naik 70 sen sekotak bagi paket 20 batang dan 80 sen sekotak bagi paket 25 batang. Ini bermakna sekotak rokok 20 batang kini berharga RM10 sekotak.
Persatuan Pengguna dan mereka yang benci rokok sudah pasti mengalu-alukan langkah ini. Biar rokok mahal harganya, kelak ia menggalakkan para perokok agar mengurangkan atau berhenti sama-sekali tabiat buruk mereka.
Kalau dah RM10 sekotak dan seorang perokok menghabiskan sekotak sehari bermakna mereka terpaksa berbelanja RM300 sebulan. Sudah pasti jumlah tersebut boleh dimafaatkan kepada perkara-perkara yang lebih berfaedah tidak kiralah sekiranya anda seorang yang sudah bekerja atau punya keluarga apa lagi jika anda masih bersekolah.
Yang mengeluh hanyalah para pengeluar dan pengilang rokok. Alasan popular mereka jika naik harga rokok maka larislah jualan rokok yang diseledup yang menurut rekod pasarannya di Malaysia mencecah berbilion ringgit.
Kita benci tabiat merokok. Kalau boleh naik lagi lipat kali ganda biar tiada lagi rakyat Malaysia yang mencampakkan diri mereka dengan rela ke dalam kebinasaan. Dalam waktu yang sama pihak kerajaan dan agensi yang berkaitan perlulah pertingkatkan usaha menyekat dan membasmi aktiviti penyeludupan ini. Jika ianya besar maka usaha skala besar juga perlu diambil. Libatkanlah pihak tentera termasuk terntera laut an darat kalau ia boleh menjimatkan kerajaan berbilion ringgit.
(Bagi pilihanraya kecil DUN Galas kata Tok Guru Nik Aziz calon PAS dipastikan orang yang tidak merokok - rasanya tiada wakil rakyat PAS yang merokok, kalau ada perlu diambil tindakan)
Dalam pada itu kita tunggu bila pula cukai arak mahu dinaikkan lagi. Bukan sahaja rokok arak pun membinasakan diri dan memporak-perandakan institusi keluarga. Bukan orang Islam sahaja seluruh rakyat terancam oleh bahana arak ini. Biarlah ia mahal dan akhirnya hanya orang kaya yang tidak berakal sahaja menogoknya.
Kita tunggu dengan penuh harapan.
Sunday, October 03, 2010
Pernah suatu pilihanraya kecil terpaksa diadakan di Gemenceh, Negeri Sembilan. Ia berikutan kematian seorang ADUN nya (Speaker DUN) yang telah ditembak mati dalam satu kejadian yang sarat dengan konspirasi dan penggunaan ilmu hitam. Setelah pihak polis selesai menyiasat antara orang yang diseret ke muka pengadilan adalah seorang ahli parlimen Umno bertaraf Menteri. Yang kemudiannya didapati bersalah dan dihukum mati. Hukuman ke atas beliau akhirnya diringankan ke penjara seumur hidup dan atas belas ikhsan pihak istana diampunkan.
Kemudian beberapa tahun berikutnya Negara digemparkan dengan kematian seorang lagi wakil rakyat Umno. Kali ini di Pahang. Beliau meninggal dunia akibat dibunuh begitu sadis dan kejam sekali. Dicincang dalam keadaan disihir angkara konspirasi dan ilmu hitam juga.
Nak ceritanya, kalau kita ikuti perbicaraan kes-kes ini di mahkamah. Kedua-duanya berkisar dan berligar sekitar pemilihan pucuk pimpinan dalam Umno. Angkara perebutan kuasa dalam Umno, mereka sanggup dan tergamak menggunakan apa sahaja untuk menang. Bukan bertumbuk atau baling-baling kerusi, dalam kedua-dua kes ini ilmu hitam digunakan dan paling tragis sekali sehingga berbunuh-bunuhan semata-mata kerana nak kekal berkuasa dalam parti.
Kebelakangan ini media arus perdana khasnya menonjolkan isu pemilihan pucuk pimpinan dalam PKR. Ada-ada sahaja insiden yang mahu dan perlu dibesar-besarkan. Bertumbuk, berbaling kerusi, hempas peti undi dan lain-lain. Matlamatnya biar rakyat takut dan menjauhi parti ini, biar rakyat akhirnya kembali pada Umno, satu-satunya parti penyelamat bangsa, agama dan Negara.
Begitulah harapan mereka walau mereka tahu Umno mengikut sejarahnya kalau berebut pucuk pimpinan bukan sekadar itu, malah sampai berbunuh-bunuh pun sanggup. Parti yang hidup besar sampai diharamkan. Tidak Umno tidak ganas yang ganas PKR.
Aduhai percaylah wahai rakyat Malaysia yang harap-harapnya masih tuli dan buta politik.
Saturday, October 02, 2010
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada rakan-rakan saya yang baru selesai mengadakan mesyuarat pemilihan mereka di cabang Kelana Jaya. Sekalung syabas dan tahniah kepada Tuan Syed Shahir (Ketua Cabang) YB Nik Nazmi (Timbalan) dan Keshminder Singh (Naib Ketua).
Petang tadi saya berada di rumah terbuka Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato Dr Hasan Ali. Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Tan Sri Khalid Ibrahim, MB Selangor yang akan mempertahankan jawatannya - Ketua Cabang di Kuala Selangor esok. Saya maklumkan tadi insyallah akan berdoa untuk kejayaan Tan Sri esok.
Agenda kita seterusnya adalah untuk kembali beri tumpuan pada pengukuhan Pakatan Rakyat dan bersama kita gembeling tenaga mempertahankan Selangor dan memberikan kekuatan ke arah bertapak di Putrajaya.
Friday, October 01, 2010
Bermula dengan kebakaran gereja di Kuala Lumpur, kemudian surau di Seremban yang disimbah cat. Kemudian kenyataan “rasis” Hajjah Siti Inshah Mansor Pengetua SMK Tuanku Abdul Rahman Putra, Kulai Johor. Ini diikuti dengan video klip Namewee yang mengkritik tindakan Siti Inshah dengan senikata dan aksi lucah dan biadap.
Ini diikuti lagi dengan ceramah yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah BTN yang menghina kaum tertentu ditambah dengan pendedahan video klip seorang paderi di Sarawak yang menghina Islam dan umat Islam.
Apa nak jadi dengan hubungan antara kaum dalan Negara kita yang berbilang kaum dan agama ini?
Beratus tahun kaum-kaum terbesar di tanah air kita, Melayu, Cina dan India dapat hidup dengan aman, rukun dan damai, hormat-menghormati serta saling faham-memahami antara satu sama lain. Tanah Melayu beratus tahun lalu berubah menjadi Malaya dan kini Malaysia lantaran hubungan harmonis ini.
Hari ini ada antara kita yang tidak menghargai apa yang telah dibina dan sedia terjalin sejak zaman berzaman. Ada di antara kita sudah berani mencabar kehalusan hubungan intim ini.
Apabila ini berlaku, tercetuslah ketegangan, masing-masing akan bangkit mempertahankan kelompok masing-masing. Punah hancurlah persefahaman yang kita wairisi.
Bahaya.........
Tanah air ini milik semua. Tiada lagi Negara Cina untuk orang Cina Malaysia kembali atau Tanah India untuk orang India Malaysia, inilah bumi kita, inilah tanahair kita untuk orang Melayu, Cina dan India warga Malaysia.
Kerana itu kita wajar memelihara dan cemburu dengan apa yang telah dibina oleh datuk nenek kita ini. Tak perlulah orang Cina bangkit apabila mereka dihina atau dinista, atau umat Islam sahaja bangkit apabila agam mereka dipersenda. Semua kita perlu bangkit dan pertahankan bersama.
Tidak perlulah juga “juara” yang mahu mempertahankan mana-mana pihak yang tidak sayang pada binaa kerharmonian ini. Kalau Siti Inshah bersalah kita hukum dia begitu juga Namawee. Kalau yang bakar gerja dihumban ke penjara begitu juga patutunya yang menyimbah cat ke surau.
Jangan politikkan orang yang rosakkan kesejahteraan antara kaum dalam Negara tercinta kita ini. Tak kiralah dia Siti Inshah atau Namawee atau orang BTN atau Paderi Benjamin, semua mereka ini tiada tempat dalam masyarakat kita. Mereka samada diajar untuk menghargai kehadiran kita semua atau dirihatkan biar tidak menggugat masyarakat.
Malaysia ini milik kita semua, itulah hakikatnya. Bersatu teguh bercerai roboh.
Biarlah PKR dengan cara mereka
Baru-baru ini saya sempat bersarapan pagi bersama Tuan Syed Shahir Syed Mohamud, Timbalan Pengerusi PKR Selangor merangkap Ketua Cabang Kelana Jaya yang juga selaku Presiden MTUC. Saya dan Tuan Syed adalah kawan lama, beliau seorang pejuang tulen yang saya kagumi dan sentiasa terpesona dengan hujah dan kekayaan ilmu dan pengalamannya.
Ketika berbual saya ceritakan pada Tuan Syed yang saya sehari sebelumnya telah dihubungi oleh seorang rakan wartawan media arus perdana. Akhbarnya memang dibenci oleh sebahagian besar rakyat, dan ketika itu mereka sedang mahu sensasikan pergelutan dalaman yang berlaku dalam PKR yang sedang menghadapi proses pemilihan pimpinan.
Beberapa insiden dalam proses pemilihan diperingkat cabang dijadikan bukti bahawa PKR sedang bergelora ke arah perpecahan besar.
Saya beritahu Tuan Syed yang saya nyatakan pada wartawan tadi PKR sedang melalui satu sejarah yang sebenarnya tidak pernah ditempa oleh mana-mana parti politik di Malaysia sebelum ini. Kata saya PKR sedang memperkenalkan demokrasi secara terus atau “direct democracy” yang paling baik dalam amalan demokrasi. Yang lainnya mengamal demokrasi berperwakilan, ada juga langsung tiada demokrasi malah kukubesi.
Sesuatu yang baru pastilah menarik perhatian. Yang penting adalah kemahuan untuk memperkenalkan perubahan ke arah yang lebih baik. Dan kata saya pada Tuan Syed, pasti komen saya akan dibaku sampahkan oleh akhbar itu, betul pun.
Berbalik kepada proses pemilhan dalam parti.
Lihatlah Umno. Belum pun menghampiri bau “direct democracy” sudah riuh berpecah, punah ranah. Baru amalkan demokrasi berperwakilan pun dah ranap. Siapa punya parti yang sampai dikuburkan angkara proses pemilihan parti, diharamkan, jika tidak Umno!
Tanyalah Pengarah Pilihanraya DUN Galas, Ku Li, bagaimana beliau diperlakukan angkara demokrasi ala Umno. Demokrasi dibega-bega dan ditukang-tukang dan ditunggang kerana yang berkuasa mahu terus berkuasa. Tanyalah Dr Mahathir yang menggodam Umno lantaran mahu tepis ancaman dari Ku Li.
Parti siapa yang perkenalkan “kouta” sehingga jawatan tertinggi parti tidak mampu dicabar oleh sesiapa pun. Ku Li pilu kerana tak mampu cabar Dollah Badawi yang lemah itu.
Tiba-tiba bila PKR mahu amalkan proses pemilihan yang mereka yakin lebih telus dan terbuka, anasir-nasir pembunuh demokrasi ini yang mahu bersuara. Biarlah PKR dengan cara mereka, bak kata Musa Hitam ketika merajuk angkara perubatan kuasa dalam Umno satu ketika dahulu, “Jagalah Umno baik-baik”.
Syabas PKR kerana berani memperkenalkan suatu amalan yang baru. Teruskan perjuangan demi kebaikan rakyat dan Negara.
Esok beberapa rakan saya akan berentap di cabang masing-masing termasuklah Tan Sri Khalid di Kuala Selangor, YB Azmin di Gombak dan Tuan Syed sendiri di Kelana Jaya. Semoga mereka terus kekal memimpin PKR dan bersama dalam PR melangkah ke ambang Malaysia yang lebih adil dan sejahtera. Selamat bersidang.
Bukan mudah menumbangkan BN. Apabila berkuasa, menggunakan kedudukan yang ada mereka akan memasak kuat cerucuk kuasa mereka itu sehingga terpaku dalam bumi, walau apa cara sekalipun. Seluruh kekuatan jentera kerajaan seakan warisan dan pusaka milik mereka.
Bukan calang-calang tenaga boleh mencabut paku kuasa tadi, tetapi dengan takdir Allah swt PR berjaya pada PRU ke 12 lalu di Selangor.
Kejayaan ini suatu pencapaian yang besar. Bagi PAS umpamanya setelah berjuang habis-habisan, dengan kudrat dan airmata, tekanan dan penindasan, menderita lebih 50 tahun, sudah pastilah kejayaan ini amat manis.
Lantaran itu PR yang bertungkus-lumus menumbangkan BN bagi merampas kuasa ini menerusi mandat rakyat sudah pasti akan memelihara amanah yang mahal ini untuk memastikan ia tidak terlepas bolos ke tangan BN kembali. Segala janji dan kehendak rakyat yang bosan, mual dan muak dengan gelagat dan karenah BN perlu ditepati dan dipenuhi.
PR bersedia kerana selama ini mereka menjiwai hati dan perasaan rakyat.
Oleh itu seluruh tenaga dan jentera kerajaan bawah teraju PR perlu tunduk dan memberikan kerjasama sepenuhnya menepati mandat rakyat. Memang berteduh lebih 50 tahun bawah payung BN telah mengenyang dan melenakan beberapa kerat dari mereka, namun hakikatnya mereka perlu sedar bahawa payung tadi atas kehendak rakyat sudah dihumban jauh.
Dari segi adab dan etika, kakitangan kerajaan khasnya para pegawai kanan perlu taat dan patuh pada “government of the day”. Anda mungkin ada yang selesa atau akrab dengan tokoh dan individu tertentu semasa payung BN melebar meneduhi anda, tetapi ingat mereka sekarang bukan lagi “political master” atau “tuan politik” anda. Ianya sudah berganti tangan. Kalau dalam istilah Melayu lamanya melayan dan “meniduri” tuan politik lama adalah berpaling tadah namanya iaitu bersamaan dengan durhaka!
Dalam akhbar SINAR HARIAN hari ini dilaporkan:
Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPNS) memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar mengambil tindakan setimpal terhadap Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.
Laporannya boleh di baca di
http://www.sinarharian.com.my/selangor/content/story8240931.asp
Inilah satu contoh hidup seorang yang telah lama berteduh selesa bawah payung BN, seakan lupa dan tidak sedar bahawa payung besar itu telah dirobohkan oleh rakyat. Mana mungkin kita yang makan gaji dengan rakyat mahu melawan arus kebangkitan rakyat!
Kerajaan PR Selangor tidak pernah menyekat kakitangan kerajaan dari melibatkan diri dalam parti-parti politik. Berlainan semasa BN dan Umno pegang tunggak dahulu. Kalau ada sahaja contohnya pegawai kerajaan bukan pun menjadi ahli atau pimpinan PAS tetapi sekadar bersimpati pada PAS, nescaya hamba Allah tadi akan dilanyak dan ditendang bagaikan sampah. Ada yang ditukar ke hutan belantara pedalaman, kalau tidak pun disekat kenaikan, dipulaukan dan berbagai lagi penganiayaan.
Dalam kes Adzib ini beliau memilih untuk hadir dalam majlis anjuran BN Selangor sedangkan beliau adalah Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Selangor. Tidak pernah pula Adzib kita dengar tergiur mahu hadir majlis PAS atau PKR apalagi DAP. Tetapi bila BN, terangsang sungguh nafsunya untuk hadir (maklumlah selesa berteduh dahulu) sedangkan jawatan beliau itu menghendaki beliau tidak memihak mana-mana belah.
DYMM Tuanku Sultan murka apabila ada wakil rakyat PR yang bukan Islam hadir dalam masjid dalam suatu majlis rasmi bertemu rakyat, PR akur dan menjunjung sembah mohon maaf atas ketelanjuran yang mengundang murka Tuanku itu, tetapi Adzib yang bertanggungjawab ke bawah Duli Tuanku selepas tahu akan titah Tuanku itu boleh pula hadir bersama wakil rakyat BN yang bukan Islam di masjid?!
Pada kerajaan PR Adzib tunjuk belang, pada Tuanku Adzib durhaka!
Kerajaan PR sebagaimana saya sebutkan dibina atas gelombang kebangkitan rakyat. Mereka menghargai dan member keyakinan kepada kerajaan baru ini, mana-mana pegawai kerajaan yang bersikap begini sudah pasti akan dicela rakyat. Lantas wajar sangatlah mereka yang sebegini diambli tindakan, kalau teduhan payung BN itu yang dirindui, terjun sahaja bersama BN dalam kandang mereka, jangan ganggu kerajaan ini!
Syabas Dewan Pemuda PAS Selangor, Allahu Akbar.