Tuesday, June 22, 2010

Memang Umno mesti berani..............

Saya terpegun membaca ulasan Mohd Afifi Abd Razak, Pensyarah Sains Politik dari UUM dalam akhbar Utusan hari ini. Beliau menulis di bawah tajuk “Umno mesti berani”:

Antara ujian yang dihadapi (Umno) adalah seperti berikut:

a) krisis kepimpinan dalam parti yang menyaksikan pergeseran di peringkat kepimpinan Umno di beberapa buah negeri
b) cabaran yang bertali arus dari parti-parti pembangkang - Pakatan Rakyat
c) sikap tidak ambil peduli dalam kalangan segelintir pemimpin dan penyokong Umno terhadap keadaan parti tersebut serta lupa matlamat sebenar perjuangan Umno
(beliau gariskan lima ujian, saya ambil tiga yang relevan di atas)

Sementara itu akhbar yang sama termasuk beberapa laman web melaporkan ADUN Seri Serdang , Satim Diman yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor dilaporkan terus tidak hadir mesyuarat Perhubungan Umno Negeri termasuk yang diadakan semalam. Ada khabar yang mengatakan berkemungkinan beliau akan meletakkan semua jawatan politiknya termasuk ADUN Seri Serdang.

(Untuk makluman PAS tewas pada PRU lalu di DUN tersebut dengan hanya 45 undi, undi rosak 827!)

Kalau diteliti ulasan Mohd Afifi ternyata stigma yang melanda Umno khasnya di negeri-negeri yang Umno kecundang, Selangor dan Kedah, terus menghantui mereka sehingga hari ini. Umno melalui pimpinan mereka cuba memberanikan muka berdiri di atas runtuhan kekalahan mereka, tetapi ternyata gelombang yang menjatuhkan mereka itu tidak reda-reda dan terus menghanyutkan harapan mereka.

Apabila tewas, maka krisis kepimpinan pasti tidak dapat dielakkan. Masing-masing menuding jari, masing-masing mahu melangkah mayat mereka yang kecundang itu untuk naik ke atas. Sejak tewas contohnya di Selangor, kabinet Khir Toyo terus dikambing hitamkan. Hari ini Noh Omar selaku Timbalan Pengerusi berdiri di belakang kain Najib Tun Razak yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Umno mahu bangkit kembali, tetapi pemimpin PR yang menggantikan mereka khasnya dari PAS dan PKR, di tempat-tempat yang mereka tewas ternyata menggherhanai prestasi kepimpinan mereka selama ini. Nama-nama baru yang muncul menggantikan tempat Umno contohnya Iskandar Abd Samad di DUN Chempaka, Dr Abd Rani di DUN Meru, Nik Nazmi di DUN Seri Setia, Haniza Mohd Talha di DUN Taman Medan, Dr Ahmad Yunus di DUN Sijangkang berjaya menawan dan menambat hati rakyat dengan gaya kepimpinan pro rakyat.

Begitu juga tokoh-tokoh besar PAS dan PKR seperti Tan Sri Khalid Ibrahim, Dato Dr Hasan Ali dan Azmin Ali meyakinkan rakyat khasnya bekas-bekas pengundi Umno bahawa, inilah tokoh-tokoh baru Melayu yang mempunyai kualiti dan kewibawaan dan memang mampu menggantikan tokoh-tokoh Umno yang pernah diberi peluang tetapi gagal memikulnya dengan amanah.
Umno kini tiada kuasa di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan lebih 20 tahun di Kelantan. Kerana itu sebagaimana digariskan Mohd Afifi sudah menular sindrom “tidak ambil peduli”dikalangan mereka.

Ini berlaku kerana politik wang sudah menjadi darah daging di bawah kepimpinan Umno dahulu. Apa sahaja peluang, kayu pengukurnya adalah politik. “Budak-budak Umno” termasuklah kontraktor, usahawan hatta penjaja dan pengusaha kecil diperas dengan gula-gula politik wang ini.

Hari ini bila Umno sudah tiadakuasa, budak-budak ini lapar. Dan dalam kelaparan itu membuka mata mereka bahawa selama ini Umno telah mendidik mereka dengan budaya yang sangat tidak bermaruah dan senteng. Kepimpinan PR di negeri-negeri yang PR kuasai ini membuka peluang buat semua, berniagalah dengan telus, tertib dan bersih, amalan-amalan lama terkubur dengan terkuburnya pemimpin-pemimpin lama.

Sekecil-kecil peniaga di pasar-pasar malam boleh akui hakikat ini. Dahulu mereka perlu membayar “ufti” pada Umno cawangan, sekarang mereka bayar lesen terus pada PBT, tiada lagi pihak ketiga. Kontraktor yang sememangnya berkemampuan dan terlatih dahulunya terpaksa “sub” kerja dari kontraktor milik pimpinan Umno, kini lega kerana mereka boleh bersaing secara aman.

Perubahan ini ketara dan tidak dapat dinafikan. Inilah yang membimbangkan Umno. Di negeri yang mereka tewas, rakyat yang menikmati perubahan ini pasti tidak mahu tukar dan kembali ke zaman kegelapan. Demikian juga di negeri-negeri yang Umno masih kuasai, berita dari negeri-negeri PR pasti masuk ke lubang telinga masing-masing. Jika begitu di Selangor contohnya mengapa Negeri Sembilan tidak boleh, mengapa Pahang tidak boleh?

Saya tidak tahu apakah punca Satim bertindak menyembunyikan diri. Tetapi kiranya beliau merasai gelombang perubahan ini, beliau dan ramai rakan-rakan lain yang masih di dalam Umno harusnya sedar, bahawa perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara hakikatnya telah beransur-ansur bertukar tangan. Umno tidak lagi juara perjuangan ini. Ianya telah bertukar bahtera.

Sewajarnya kita semua bangkit sedar, bahawa gelombang besar rakyat yang menuntut perubahan, yang melanda pada PRU ke 12 itu akan terus berulang. Tiada gunanya kita bertahan pada bahtera yang rapuh dan buruk, beranilah untuk melangkah ke bahtera baru yang telah pun meyakinkan rakyat. KalauMohd Afifi menyeru agar “Umno mesti berani”, maka saya mahu menambah bahawa “Pemimpin dan ahli-ahli Umno mesti berani, melangkah keluar, bersama di atas bahtera baru yang lebih meyakinkan dan diterima rakyat”.

2 comments:

Anonymous said...

Sedap nya baca, tapi sungoh ke?
saya rasa pakcik makcik di felda
dan gunasami,ratnasari masih lagi
berharap RM100,kain pelaikat,gula
10 kg,beras 50 kg,kambing dan lembu. maka selagi benda ni masih ada jangan harap perubahan akan berlaku apa mereka tahu, tentang
pembaziran wang felda?pkfz,projek2
kroni,apco,kapalselam,blok a,b.royalti patrol kelantan,salah urus glc dll kepentingan stratiji
negara yg terancam seperti bandar
iskandar ,penyerahan tanah kereta
api ke singapura.rahsia pdrm.adakah itu semua di pedulikan
orang2 kampong khas nya dan rakyat
malaysia am nya....

Anonymous said...

Salam, memang benar UMNO di peringkat nasional nampak je gah...tp hakikatnya di peringkat tempatan..layu..dan sesetengahnya bergolak..berpecah..dah lama dah berlaku...cuma pemimpin2 diorg dengan bantuan media tertentu pandai cover...lagilah sekarang UMNO makin layu..sebab kurang 'fulus'...terpulanglah kepada rakyat nak percaya ke tidak...tapi itulah hakikatnya...dari sumber UMNO sndiri.